Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 39 - Tikam

Mengimbas kenangan lalu, membuatkan aku jadi malu. Tentu Fakhri juga ingat akan peristiwa selepas dia menyelamatkan aku.

"Dik, aku nak ke tandas sekejap," Faris bangun, meninggalkan aku sendirian.

Dan, pada ketika itulah Fakhri sampai dengan dulang di tangan. Dengan tertib dia meletakkan mi goreng mamak di hadapan tempat Faris. Fish n Chip, dia letakkan di hadapan aku dengan segelas air kosong. Dua gelas teh tarik, diletakkan di tengah meja. Dah kenapa dia tiba-tiba jadi pelayan restoran ni? Aku rasa lucu pula dengan Fakhri ni.

"Awak, okey?" Dia duduk sambil matanya merenung ke wajah aku.

Aku mengangguk walaupun aku tak berapa okey. Segan sangat dengan dia setelah aku tahu dialah budak kecik tu!

Fakhri melihat wajah aku lebih dekat, "Faris dah cerita pada awak, siapa saya?" Suaranya seakan berbisik. Tetapi, aku mendengar dengan jelas. Sebab, dia bercakap betul-betul di cuping telinga aku.

Aku mengangguk, lalu mengalihkan pandangan. Segan. Muka, tak tahulah macam mana merahnya menahan malu. Hanya mengerling dia sekilas. Alahai, cepatnya budak kecik ni dah besar. Tinggi pada aku. Lengan kecil dia yang menarik aku dulu pun dah besar. Kalau dulu dah padu, sekarang lebih padu. Penuh dengan otot. Rasa takjub dengan segala apa yang berlaku.

"Nah, makan dulu." Dia tolak pinggan berisi Fish n Chip yang ikannya telah dicarik-carikkan. Yang masih keluar asapnya daripada celahan carikan. Tentu lebih mudah dimakan apabila panasnya telah keluar.

"Faris pergi mana?" Dia cuba berlagak santai. Mungkin tak mahu aku rasa janggal setelah mengetahui siapa dia yang sebenar.

"Dia, ke tandas." Perlahan sahaja aku menjawab.

Garfu yang dihulurkan oleh Fakhri, aku sambut. Dia tersenyum. "Dah, jangan ingat lagi kalau perkara tu buat awak awkward dengan saya. Kita fokus pada masa depan, okey...." Lembut je dia bercakap.

"Fakhri..." Aku menarik nafas dan menahannya sebelum kulepas perlahan,"... terima kasih."

Dia senyum. Lesung pipitnya jadi dalam amat.

"Saya belum lagi ucap terima kasih pada awak selepas awak selamatkan saya dulu. Saya minta maaf."

"Mana satu ni? Terima kasih ke, maaf, yang?" Dia gelak. Dia capai dua tiga fries dan sumbat ke dalam mulut.

"Dua-dua."

"Terima kasih tu saya faham. Tapi, kenapa pula Farisya saya ni minta maaf bagai?"

"Sebab..." Aku menelan liur, "... saya pergi macam tu sahaja." Aku pandang dia.

Terdengar keluhan kecil daripada bibirnya. Riak wajahnya sedikit berubah. Keruh. Tetapi, tak sampai beberapa minit, wajahnya kembali tenang. Dia menarik senyum. Pada waktu itu, hanya mata kami yang berbicara buat seketika.

"Saya dah lama maafkan awak walaupun apa yang awak buat masa tu terasa macam awak tikam saya berulang-ulang. Sakit tau, yang!" Dia gelak-gelak.

Tetapi, aku tahu... di sebalik gelak-gelak dia, dia memang memaksudkan apa yang dia rasa. Pilihan kata 'tikam' tu bukan saja-saja. Dia memang sakit dan terluka. Tapi, sebab nak jaga hati aku, dia buat dalam nada bersenda. Dan ini menambahkan lagi rasa bersalah aku pada dia. Kenapalah awak jatuh pada saya, Fakhri? Kenapa bukan pada yang sebaya atau yang lebih muda? Dan kenapa awak boleh jatuh seawal usia macam tu?

"Kenapa awak tinggalkan saya?" Dia menyoal tiba-tiba.

Hati aku rasa berat nak cerita. Rasa bersalah masih bergayut di dada. Aku memang nak lari jauh daripada dia masa tu. Satu, aku malu. Dua, aku takut dia mengharapkan balasan hati daripada tindakannya menyelamatkan aku. Sedangkan, aku tak mampu. Aku menganggap dia budak kecik. Budak yang mustahil untuk menjadi seseorang di samping aku. Aku, pada waktu itu dah jadi budak universiti. Dia hanya budak kecik yang bersekolah rendah. Tak nampak pun sebagai seorang lelaki, apatah lagi kalau nak dijadikan suami. Budak kecik! Tetapi, aku tak mampu nak jelaskan rasa itu sekarang. Lebih-lebih lagi apabila yang di sebelah aku ini bukan lagi Fakhri budak kecik, sebaliknya seorang lelaki, yang sempurna segalanya. Malah, aku dah jatuh pada dia dengan perangai 'macam-macam' yang membuatkan aku adakalanya terlupa perbezaan umur di antara aku dan dia.

"Awak rasa?" Aku tak jawab. Sebaliknya membuka ruang untuk dia menyatakan apa yang dia rasa. Atau... fikirkan.

"Sebab, awak malu? Malu kena peluk dengan saya, eh?" Dia ketawa.

Aku ketawa sama. Ya, saya malu, Fakhri. Malu dengan peristiwa itu. Lebih malu sebab pernah memandang rendah pada awak, sedangkan di sebaliknya saya berhutang nyawa pada awak. Sekarang ini, saya malu sebab kesetiaan, kesungguhan dan kemaafan yang awak tunjukkan bukan calang-calang. Awak terima saya walaupun saya pernah menolak dan melukakan. Sikap awak, betul-betul membuatkan perasaan saya tak tenteram.

Dia ambil garfu daripada tangan aku tanpa cakap apa-apa. Dicucuk carikan ikan. Dicicah pada sos Thousand Island dan disuap terus ke mulutnya. Selamba!

"Awak tahu..." Dia serahkan semula garfu itu ke tangan aku. Dengan mulut masih mengunyah, dia bercerita, "Saya tak percaya awak akan pergi macam tu sahaja. Saya fikir, selepas kejadian tu, dengan mudah saya akan memiliki hati awak. Tapi tak sangka yang berlaku adalah sebaliknya," Fakhri gelak, sambil dia berusaha menelan makanan di dalam mulutnya.

Sebaik dia menelan semuanya, dia menyambung bicara, "Farisya... awak mungkin fikir, seorang budak berusia sembilan tahun tak faham apa-apa dan nampak perbuatannya macam main-main sebab mentah umurnya. Tapi, tak semua orang sama. Kedewasaan seseorang bukan pada usia, tapi pengalaman hidup. Apa kemampuan yang dia ada. Apa yang dia dah buat untuk masyarakat di sekelilingnya. Bergelut dengan satu rasa memberontak dalam jiwa, saya berusaha menjadi orang yang mampu membuat banyak perkara yang budak-budak baya saya tak buat. Dari situ saya berbeza. Saya lebih memiliki sifat dan pemikiran orang dewasa. Tahu sebab apa pemberontakan jiwa tu terjadi sehingga saya dewasa sebelum waktunya?"

Aku diam. Mungkin aku tahu. Mungkin tidak.

"Sebab, saya nak buktikan sesuatu pada ibu. Saya nak dia menyesal kerana tidak pernah melihat anaknya ini membesar di depan mata. Tahu-tahu sahaja sudah dewasa dan saya yang dewasa tidak perlukan dia pada waktu kedewasaan saya."

"Ibu awak terpaksa. Datuk awak memilih awak, bukan cucunya yang lain. Tak sepatutnya awak salahkan ibu."

Dia mengangguk, "Ya, saya akui yang saya silap kerana menyalahkan ibu. Saya kesal pada bahagian itu. Tetapi, saya tak pernah kesal pada rasa pemberontakan yang tumbuh dalam jiwa saya. Kerana rasa itu, saya dewasa. Kerana rasa itu... saya nampak jodoh saya. Tapi, jodoh saya sombong gila! Tak pandang langsung pada saya. Yalah, kita budak kecik, kan..."

Aku senyum. Sempat dia mencilok ke situ!

"Lepas tu, jodoh saya menghilang. Memang saya tak faham kenapa dia menghilang selepas saya buktikan kemampuan," Fakhri terus tergelak.

Aku terhibur melihat tawa Fakhri.

Tak lama, tawanya mengendur. Suaranya bertukar kepada nada rendah, "Nasib baik selepas tu, takdir tiba-tiba ngam dengan saya. Baik sangat takdir dengan saya... Tak sangka saya dapat jumpa balik jodoh saya. Kalau masa dia berumur 19 tahun, dia manis tanpa senyum. Di usia 29 tahun, tak sangka... lawa yang membuatkan hati saya berdebar." Dia senyum dengan mata bersinar-sinar.

Fakhri dengan ayat-ayat manis potong kaki. Aku menggeleng. Tersenyum.

"Awak..." Dia menunduk sekejap sebelum kembali memandang aku. "Saya berdosa pada ibu. Ibu tak salah."

Aku mengangguk. Suka aku mendengar pengakuan Fakhri. Masa ni, aku rasa... aku jatuh buat kesekian kali pada dia. Dia jatuh dahulu, aku jatuh kemudian. Tetapi, bila aku dah mula jatuh, aku jatuh berkali-kali dengan setiap perlakuan. Semakin lama kenal, semakin dia nampak matang dan menyenangkan.

"Saya yang tak sabar dengan ujian Allah. Masa saya dah sedar, saya minta maaf betul-betul pada ibu. Berdosa, sebab buat ibu runsing dengan perangai saya. Dan, semua kesedaran dan sesalan itu muncul selepas saya jumpa awak balik. Terutamanya, selepas awak bagi perhatian pada saya, masa saya sakit. Masa tu, saya nampak kenapa saya yang Allah pilih untuk melalui kehidupan masa kecil di kampung. Bukan Fakhrul atau abang long. Kenapa Allah gerakkan hati datuk saya untuk memilih saya berbanding cucunya yang lain. Dan, kenapa Allah sempitkan masa ibu dan ayah sehingga tak sempat menjengah saya sehingga membuatkan saya rasa terbuang dan dilupakan. Sebab... semua itu untuk Dia hadiahkan saya seseorang. Kalau saya tak tercampak ke kampung, saya tak nampak awak. Dan hati tak berdetak," Dia senyum lagi.

"Allah susun hidup saya dengan sangat cantik. Secantik jodoh saya." Dia merenung ke dalam mata aku dan melayang senyuman.

Aku tersenyum sama sebelum suara Faris menegur, "Assalamualaikum, adik dan bakal adik ipar. Kita di tempat awam. Main mata dan buat aksi-aksi percintaan dengan makan sepinggan, berkongsi garfu, bercerita mesra amat... Kot ya pun, jangan ketara sangat. Kasihan orang single yang tengah pandang-pandang. Dia orang nak makan pun tak senang. Nanti, orang single pakat ramai-ramai pindah makan kat tengah jalan."

Terus Fakhri gelak. Suka sebab abang aku panggil dia 'bakal adik ipar'. Aku menggeleng. Dua orang manusia ni, memang sejak dulu, ngam. Kalau dulu Fakhri kecik pun dia orang dah rapat, bila dah besar ni, lagilah...

"So, hujung minggu ni keluarga aku turun JB. Lepas aku settle sijil, terus nikah. Details, nanti kita bincang kat rumah." Fakhri bercakap dengan Faris yang dah mula duduk, makan mi.

Selamba je dia bercakap macam aku tak wujud di sebelah.

Faris pula, sambil menyuap mi goreng, sambil mengangguk-angguk, langsung tak bantah. Teh tarik diteguk, enak.

Balik, Fakhri suruh aku naik kereta dia. Kereta aku, abang drive. Dia kata, dah malam. Dia tak benarkan aku memandu seorang.

Sepanjang dia memandu yang jarak ke rumah aku tu tak sampai sepuluh minit dah sampai, aku curi pandang muka dia. Nak cari persamaan muka dengan budak kecik yang dulu mengekori aku ke mana-mana.

"Tengok apa kat muka saya?"

Terus aku pandang depan. Dia ketawa.

"Awak okey kan kalau kita nikah awal? Tak kisah kan kalau saya tak ada pekerjaan tetap?"

"Awak... kerja apa sebenarnya? Emm... saya faham kalau awak ada duit semua tu sebab awak pewaris harta Tok Hisham. Tapi, awak pernah kata yang awak ada kerja awak sendiri, tak harap duit ibu ayah awak. Kerja apa?"

"Saya ada bengkel repair kereta lumba. Kat kampung pun ada, kat Penang, KL, Johor Bharu... emmm ada beberapa lagilah. Kebanyakan bengkel tu, saya hired budak-budak lepak. Saya bagi training untuk upskill dia orang."

"Oh."

"Oh, je, yang?" Dia gelak. Masa tu kami dah sampai di hadapan apartment aku. Abang aku follow kat belakang. Aku nampak Fakhri bagi isyarat pada abang aku untuk drive masuk ke dalam parking apartment. Security apartment tu dah kenal Fakhri, so memang tak ada masalah. Lagilah bila nampak sticker pada kereta yang dipandu oleh abang. Memang lepas walaupun pemandunya orang yang tak dikenal.

"Habis, saya nak cakap apa? Oh je lah!"

"Tak nak tanya daripada mana saya dapat dana dan ilmu perniagaan? Macam mana saya uruskan wang, pekerja dan akta berkaitan perniagaan?" Dia dah pusingkan badan menghadap aku. "Tak nak tanya bagaimana saya bahagikan masa?"

"Tak kot..." Aku balas dengan kata meleret.

"Tak kot atau takut?" Fakhri gelak lagi. "Takut eh, duduk berdua lama-lama dengan saya dalam kereta?"

Dia main-mainkan aku.

"Okey, tak apa. Kita berkenalan selepas nikah. Tanyalah nak tanya apa. Sekarang, pergi masuk rumah. Rehat. Esok nak kerja, kan?"

Terus aku buka pintu kereta dan melangkah keluar. Memang budak kecik yang dah besar ini menakutkan! Aku berjalan ke arah kereta yang Faris parkir di tapak parkir apartment. Faris serahkan kunci kereta pada aku. Dia hulur tangan untuk aku salam dan cium.

"Dik..."

Aku mendongak.

"Aku... happy untuk kau. Aku happy dia muncul balik. Jangan fikir sangat tentang umur tu. Dia, okey. Dia sesuai dengan kau. Jangan ukur kebahagiaan dengan kata-kata orang, tapi apa yang kau inginkan. Jangan asyik menolak. Sesekali, kau kena buka hati menerima sesuatu yang Allah hadirkan. Lama dia kejar kau. Aku tahu, kau pun suka dia. Cuma, sebab seketul angka tu yang buat kau teragak-agak. Kan?"

Aku senyum pada abang. Dia gosok kepala aku. Ronyok tudung aku! Lepas tu dia berlari keluar sambil ketawa.Dari jauh, aku tengok dia angkat tangan dan menghalau aku masuk ke rumah. Fakhri terus memecut. Dalam hati, aku berdoa semoga Allah tetapkan hati aku.Jangan berbolak-balik. Jangan buat hati seorang Fakhri sakit. Cukuplah dengan tikaman dulu. Kalau kali ini aku buat lagi, ia bukan setakat menikam hati Fakhri, tapi hati sendiri.

1949 pp

13 Oct 2023

11.00 malam

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: #budakintern