Bab 38 - Budak kecik
"Korang... kawan ke?"
Bertambah besar gelak dua orang ni dengan soalan aku. Abang aku lagilah sengal. Main angkat-angkat kening, gerak-gerak mata pula dengan Fakhri. Aku menjeling ke arah Fakhri. Dia sudah tidak ketawa lagi. Hanya tersenyum. Sesekali memandang aku dengan muka tenang dan jelas dia cuba menjaga hati aku.
"Dik... ini ke orangnya?" Faris bertanya. Tawanya sudah berhenti. Tetapi, senyum nak kenakan orang tu memang dia tak boleh nak tanggalkan! Suka sangat dia nak kenakan aku. Agaknya kalau tak ada Fakhri, dah berapa banyak dia punya gelak tu! Dia stop ketawa pun selepas dapat pandangan amaran daripada Fakhri.
"Dah tahu, tanya lagi!" Aku menyilang tangan di dada. Memalingkan wajah ke jalan raya. Benci betul kalau asyik ada surprise gila macam ni. Memang hidup ni perlu ada kebetulan yang mengejutkan ke? Aku ada satu nyawa je kot! Dan, jantung aku bukannya kuat kalau asyik nak dikejutkan dengan hal-hal tak tercapai akal. Macam mana aku boleh sangkut dengan kawan abang ni! Punyalah elak.
Fakhri diam tak cakap apa. Dia tenang. Tak mencampuri hal aku dengan Faris.
"Am, kau nak aku cerita ke, kau yang nak cerita?" Faris bertanya.
Masa ni, aku menoleh ke arah Fakhri. Dia pandang aku dengan pandangan kasih dan senyuman manis, "Sayang nak saya cerita ke, Faris yang cerita?"
Menderu darah naik ke muka aku. Degup jantung jadi laju dan tak sekata. Bulu roma merinding dan seluruh tubuh rasa bagai diselimuti angin musim salju. Rasa nak beku kat situ. Lagilah bila aku perasan yang tangan kanan Fakhri sedang merintang di bahagian belakang kerusi aku. Entah sejak bila. Aku tak sedar sebab aku tak menyandar.
Perasaan bengang dan nak marah sebab rasa dipermainkan tadi serta-merta terbang entah ke mana-mana arah. Dup-dap, dup-dap hati aku tak tentu arah. Dia ni sedar tak Faris ada kat depan mata? Segannya aku dengan Faris. Tapi yang peliknya, Faris relaks je. Dia tak gelak, dia tak tegur pun apa yang berlaku.
Bila Fakhri lihat muka aku yang merah, dia tarik tangan dia.
"Kau je lah yang cerita, Faris. Aku nak pergi order air. Kau ada nak makan apa-apa tak?" Fakhri mulai bangun dan berdiri di tepi meja.
"Belikan aku mi goreng mamak."
"Farisya? Awak nak makan apa?" Dia dah bersuara normal. Tapi, hati aku tak habis berdebar lagi. Panggilan sayang dengan suara tak normal dia, pakej dengan pandangan mata yang macam nak tembus ke jantung aku dalam jarak tak sampai seorang manusia, memang bagi impak bukan sedikit. Lagilah bila semua tu berlaku depan mata abang kembar aku. Memang jantung aku tak relaks.
"Saya belikan tomyam panas, ya?"
"Tak... tak payah. Saya tak nak apa-apa."
Dia duduk kembali. Pandang aku.
Terus aku alihkan pandangan. Terpandang pula muka Faris. Faris tenang. Tak senyum apatah lagi gelakkan aku macam selalu. Membuatkan hati aku sedikit lapang.
"Makan sikit. Cakap je nak apa. Kalau tak habis tak apa. Saya habiskan. Kita kongsi, ya?"
Aku kembali pandang Fakhri, "Awak belilah apa-apa pun. Ikut awak."
"Tak nak. Kalau ikut saya, nanti awak tak makan. Cakaplah, nak makan apa."
Otak aku cepat berputar mencari idea. Risau kalau aku tak bagi jawapan, Fakhri akan terus duduk merenung aku.
"Emm... Fish n Chip okey kot."
Dia senyum dan terus bangun. "Macam tu lah sayang saya."
Dan-dan... terus berdebar balik hati aku. Sebaik Fakhri beredar, aku segan nak pandang muka abang aku. Aku tunduk mengacau air dan menghirup sehingga tinggal setengah. Lepas tu aku terus tunduk. Pandang limau yang berenang dalam cawan.
"Dik... dia memang kawan aku. Kawan baik yang dah lama hilang dan baru dua tiga bulan ni jumpa balik. Kau tak payah segan dengan aku kalau betul dia orangnya."
Perlahan-lahan aku mendongak. Aku pandang muka abang aku. Dia senyum tipis. Membuatkan aku rasa pelik. Kenapa Faris tak membahan aku. Kenapa dia macam okey je bila Fakhri buat macam tu pada aku. Panggil aku sayang bagai, Faris macam tak terkesan. Macam benda tu sesuatu yang dah biasa dan normal pada pandangan mata dia.
"Betul kan, dia orangnya? Muhammad Fakhri Amri bin Khairulnizam. Umur dia 19 tahun. Beza 10 tahun dengan kita. Kan?"
Aku mengangguk.
"Dan, kau pun dah terima dia. Okeylah. Aku suka kalau kau dengan dia."
Aku diam. Mencerna maksud Faris. Semudah itu? Sebab Fakhri kawan dia?
Faris menghirup air limaunya yang dah tak suam sebelum dia kembali bersandar dengan tangan kanannya merintang di penyandar bangku sebelah yang kosong.
"Dik... kau tak ingat dia?"
Kali ini dahi aku berkerut. Fakhri? Aku pernah kenal Fakhri ke sebelum ini?
"Kau pernah bawa dia balik rumah kita ke?" Kali ini curiosity aku mengatasi rasa malu.
Faris menggeleng.
"Habis?"
"Kau ingat Tok Hisyam? Yang tinggal kat kampung arwah abah? Masa tu kita tinggal di rumah lama tok sebelum kita berpindah ke JB."
"Yang dekat Sekinchan?"
Faris mengangguk.
Aku mula memutar kenangan. Dah agak lama aku tak ke kampung sebelah arwah abah. Keluarga kat sana pun dah tak ada. Ramai yang dah berpindah. Hanya tinggal tanah kosong. Rumah pun tak berpenghuni. Sawah hanya dipajak kepada orang. Dan, wajah Tok Hisyam yang tinggal di sebuah rumah besar, bercat hitam dengan reka bentuk macam istana zaman silam, terbayang di mata aku. Orang tua tu kaya. Walaupun dah berusia, dia masih tampak sasa dan berjiwa muda. Di rumahnya ada banyak motosikal. Daripada motor kapcai, sampailah motor berkuasa besar Harley Davidson. Kereta pun ada dua tiga buah. Masa isterinya meninggal, aku ada ke sana menziarah Tok Hisyam. Pada aku, dia seorang lelaki yang setia dan memiliki cinta yang amat dalam. Wajah sedihnya terbayang. Saat terpandang dia mencium baju arwah isterinya di tangga rumah, aku menangis sama. Dia seorang pencinta yang setia.
"Aku rasa... aku ingat."
"Kau ingat tak kat cucu dia?" Waktu ini, Faris dah mula menarik senyum.
Dan, sekonyong-konyong wajah seorang budak kecil yang terpaling sengal itu muncul. Tegak terus tubuh aku. Besar mata aku memandang pada Faris.
"Kau jangan cakap yang..."
Faris mengangguk laju. Dan, dia dah mula gelak. Kali ini gelaknya tak beragak.
Aku terus tersandar, memejam mata dan menggigit bibir. Sewaktu aku celik, Faris masih tak habis gelak. Muka dia yang putih tu dah bertukar merah. Dan, di hujung matanya ada air yang hampir menitis. Memang dia betul-betul gelak sampai keluar air mata. Sengal punya abang!
Dalam rasa terkejut dan tak percaya, aku akhirnya tergelak sama. Takdir dan realiti bersatu. Dan, aku... malu. Tisu yang bergumpal di atas meja, yang awal tadi aku buat lap pipi Faris masa dia tersedak, aku baling pada dia. Lepas tu, aku gelak sama.
"Tak sangka, kan?" Faris ketawa. "Dia kejar kau sampai besar. Dan tak sangka kau dah terima dia."
"Aku tak tahu itu dia."
"Kau in-charge internship dia, kau boleh tak perasan ke nama dia?"
"Aku kenal dia sebagai budak intern bernama Fakhri. Dan, kalau aku sedar orang panggil dia Am pun, taklah aku teringat kat cucu Tok Hisyam tu. Agaklah nak ingat budak kecik tu!"
"Agaklah konon! Tak ingat punya fasal, kan dah jatuh." Faris gelak.
"Dia tahu ke aku ni budak perempuan tu?"
"Kau rasa?" Faris dah tarik senyum dengan kening terangkat sebelah.
"Dia cerita kat kau yang dia kenal aku?"
"Dia datang jumpa aku kat JB bila dia tahu kau budak perempuan yang dia kejar masa kecil dulu."
"Hah?"
"Dia tak pernah lupakan kau. Dia cerita kat aku yang mula-mula dia memang tak ada hati nak ikut internship. Dia nak memberontak pada parents dia. Tapi, masa kau call dia marah-marah dia sebab tak datang lapor diri hari pertama dan masa tu kau ada kenalkan diri kau sebagai Farisya Mellisa binti Sofwan, automatik sel-sel otak dia berhubung. Dia ingat kat nama kau. Dan cara kau marah-marah dia kat telefon tu lagilah buat dia yakin itu budak perempuan kat kampung atuk dia dulu."
"Macam mana dia boleh kesan kau kat JB? JB tu punyalah besar!"
"Dia ramai kawan. Kebetulan, kita orang dalam group budak-budak litar. Dia tu ramai kaki. Orang femes, kot. Lagilah dia profesional dalam sport permotoran ni. Lepas tu cekap pasang part. Pergi mana-mana litar, akan dapat contact. Sekejap je dia dapat info tentang aku. Aku pun terkejut masa dia datang dan tanya tentang kau. Masa tu aku story kat dia yang kau kerja kat KL. Dia sebut nama syarikat tempat kau kerja, aku terkejut juga. Bila dah confirm tu kau, dia terus serah kunci rumah dia yang kat KL tu pada aku. Dia kata, in-case dia nak aku ke sana, aku kena pergi. Dan, dia tak nak aku tidur rumah kau macam selalu. Dia kata boleh timbul fitnah sebab orang bukan tahu aku abang kandung kau. Dia kata, at any time, aku boleh lepak rumah dia, buat macam rumah sendiri. Fridge dia penuh dengan makanan. So, aku lepak sana, kenyang."
"Kau datang KL ni sebab dia suruh? Ada apa yang urgent sangat?"
"Dia nak bincang hal kau dan dia."
"Hah?"
"Apa, 'hah' pulak? Kan ibu dia dah beli cincin?" Faris gelak. Dia tahu yang aku tak sedia. Dan, aku juga tak tahu apa.
"Dia ni kan..." Aku tarik nafas. Tahan seketika... dan lepas. Sabar Farisya Mellisa. Muhammad Fakhri Amri ni memang sengal dan tak menyempat orangnya. Kau kan dah kenal dia sejak dia kecil lagi!
Faris gelak, "Dik... kau ingat tak macam mana dia ushar kau masa kat Sekinchan dulu?"
Aku menggeleng. Kenangan tu memang gila kalau difikirkan. Masa tu, aku benci dia sangat-sangat. Dahlah masa tu dia kecil lagi. Boleh pula dia mengurat aku yang jauh lebih tua, lebih besar berbanding dia. Gedik betul!
Faris gelak tak beragak. "Ya Allah dik, masa tu memang dia gila betul. Aku pun tak tahu nak cakap apa. Baru 9 tahun kot, dah propose kau. Yang lawaknya, dia panggil kau, 'adik'." Faris sambung gelak.
Memang! Memang aku benci betul dengan Fakhri Amri masa tu. Orang kampung panggil dia, Am. Dia memang budak paling gila yang aku kenal. Aku dan Faris yang berumur 19 tahun masa tu, langsung dia tak respect. Dia boleh panggil Faris dengan nama je. Dan, dia panggil aku, 'adik'. Sebab ikut Faris yang panggil aku 'adik'. Memang anginlah aku.
Dahlah panggil aku 'adik', asyik kejar aku je. Ajak aku kahwin. Tak sedar dia masa tu pendek je. Aku lebih tinggi kot pada dia, masa tu. 19 tahun! Dan dia 9 tahun!
Faris gelak, "Aku tak boleh lupa dia kata, bila dia dah besar, dia akan cari kau. Dia akan kahwin dengan kau. Dan, tak sangka... memang dia buktikan. Dia berjaya curi hati kau. Buat kau terima dia tanpa kau sedar dia budak kecik yang kau paling menyampah masa tu."
"Rimas aku dengan dia. Mana aku ada, situ dia ada. Orang tua-tua macam tak kisah dia duduk rapat dengan aku sebab dia budak kecik. Tapi, aku ni... tak rasa macam tu. Dia punya gatal tu, tak macam budak kecik. Selagi tak bersentuh bahu, selagi tu dia duduk rapat. Aku tolong orang rewang, kupas bawang pun, dia nak kupas bawang juga."
"Aah, dik. Masa kita tolong kenduri kat rumah Nek Jah tu, kita kena cuci kuali, dia pun ikut sekali. Aku panggil kau adik, dia pun panggil kau adik. Tapi, kau panggil aku abang, dia tak pulak panggil aku abang! Dia panggil aku Faris je..." Faris gelak.
"Itulah. Orang sibuk pergi bendang nak tengok bangau, dia pun sibuk kat situ."
"Tapi, aku suka dia. Aku boleh merempit sana sini dengan motor atuk dia. Dia tu, walaupun kecil lagi masa tu, tapi tinggi dia dah separas bahu kau. Kaki dah sampai bawa motor. Motor guna clutch pun dia boleh bawa. Yang kau tu pulak, umur 19 tapi pendek je. Macam budak sekolah menengah yang umur 15. Mana budak tu tak try. Eh, dik. Kau ingat tak dia selamatkan kau masa kau jatuh ban?"
Aku menghela nafas. Ya, Muhammad Fakhri Amri yang berumur 9 tahun masa tu pernah selamatkan aku masa aku tergelincir jatuh ban yang berair deras. Aku tak tahulah berapa banyak skill yang budak tu ada. Dia boleh repair motor, repair kereta, berenang, panjat pokok... segala macam pokok. Even pokok kelapa yang licin dan tinggi tu pun dia mampu panjat.
"Kau hutang nyawa dengan dia."
Aku mengangguk. Tapi, masa tu memang aku malu gila. Aku tergelincir lepas aku marah-marah dia. Sibuk dia suruh aku berjanji yang aku tak akan kahwin dengan orang lain selain daripada dia. Aku dahlah tak suka dia yang asyik mengekor dan memaksa aku terima dia. Dahlah kecik lagi. Aku ni dah belas tahun. Dah masuk universiti. Tak adalah aku nak kat dia.
Masa aku jatuh tu, Faris pun tak berani nak terjun kat ban yang berair deras tu. Kami bertiga je masa tu. Asalnya aku dengan Faris je. Konon nak tangkap gambar buat kenangan sebelum berpindah. Tapi, budak Fakhri ni ada je kat mana-mana. Dan, dia tahu yang aku nak pindah. Dia makin mendesak.
Masa aku jatuh tu, memang aku dah ingat mati je. Aku hanyut dengan cepat. Faris pun aku nampak samar-samar je kat tebing. Aku tak nampak Fakhri, tapi tiba-tiba rasa ada orang tarik aku ke tepi. Tudung aku pun dah ke mana masa tu. Dia memang cekap. Dia peluk aku dan dongakkan kepala aku biar air tak masuk. Dia biarkan tubuh kita orang hanyut. Dia tahu kat mana dia akan berpaut. Dia kenal betul dengan ban tu. Sebelum sampai ke tempat tali air, dia dah berjaya buat tubuh kami tersangkut pada satu akar. Dari situ, dia tarik aku naik ke tebing. Mencungap aku cuba mencari nafas. Dia dudukkan aku, gosok belakang aku. Sebab dia nampak aku takut gila, dia peluk aku. Dan, aku menangis di bahu dia.
Sebaris ayat dia masa tu buat aku tenang, "Saya tak akan biarkan awak mati macam tu je depan saya. Saya akan usaha walau kita bertukar nyawa."
***
Kalau korang nak bayangkan watak nakal, lasak Fakhri masa umur 9 tahun, boleh tengok watak Mawi dalam cerita 'Tentang Bulan', lakonan Aedy Ashraf.
2268 pp
10.10.2023
11.00 pagi
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro