Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 36 - Beban


Masuk sahaja ke ruang lobi, aku bertembung dengan Encik Fuad dan Encik B.

"Hah, Lis! Masuk sekejap kat bilik meeting."

Aku yang masih tersangkut fikiran pada kata-kata Fakhri tadi terpaksa meleraikan pemikiran. Lalu, akur mengikut dua bos yang pasti ada agenda baharu untuk aku. Aku melangkah masuk ke dalam bilik mesyuarat. Di dalam bilik itu, hanya ada kami bertiga.

Sebaik kami duduk, Encik Fuad bersuara, "Saya tak nak buang masa, saya cakap terus. Awak tahu yang Linda warded?"

Aku menggeleng. Tak dapat berita pula yang secretary MD sakit sampai admitted di hospital.

"Okey. Dia akan menjalani operation sebab apendiks. Sekarang ni kita agak kalut nak cari orang untuk cover kerja-kerja Linda. Budak Encik B akan membantu dari segi hal-hal yang melibatkan kewangan. Meeting appointment, Encik B sendiri akan buat. Cuma..."

Aku dah rasa macam aku sasaran seterusnya. Cuma?

"Bahagian guest MD, saya dan Encik B nak minta tolong awak uruskan."

Apa yang aku nak cakap?

"Company akan bayar elaun tanggung tugas pada awak. Dan, dalam minggu ni akan ada beberapa orang VIP yang datang untuk jumpa MD. Anak President. Awak tolong uruskan hotel."

Aku dah nampak yang masa aku akan jadi semakin terhad dan otak aku akan jadi semakin berat. Nampak sahaja macam, 'ala... call hotel dan buat reservation.' Tetapi, ia tidak begitu apabila melibatkan VIP. Sementelah VVIP. Anak President, pastinya datang dengan isteri dan anak-anak. Biasanya kalau business trip begini, keluarga mereka akan datang untuk bercuti sekali.

Hotel selection perlu mengambil kira akan lokasi selain hal-hal yang terkait dengan keadaan bilik. Kena consider hotel yang berdekatan dengan mall. Yang ada restoran makanan pelbagai menu termasuk menu negara tamu. Kena tengok juga shuttle yang ada kalau-kalau mereka nak berpusing-pusing di bandar.

"Baik, Encik Fuad. Nanti share dengan saya jadual penuh Tanaka-san."

"Saya akan e-mel pada Lis," Encik B yang membalas.

"Selepas saya teliti jadual Tanaka-san, saya akan prepare beberapa soalan dan Encik B tolong translate ke bahasa Jepun dan e-mel pada Tanaka-san. Saya perlukan preference Tanaka-san untuk room reservation."

"Okey, Lis."

"Kalau tak ada apa-apa lagi, saya keluar dulu."

"Boleh, Lis. Thanks!" Encik Fuad bangun dan bukakan pintu. Bos aku memang macam tu kalau dia bagi kerja lebih kat aku. Act of Service dia melebih!

Masuk sahaja ke dalam office, Meena menegur, "Kau baru habis dating ke, meeting?"

"Dua-dua."

Meena ketawa, "Bos tangkap kau kat lobi ke?"

"Aah. Serabut kepala aku. Dahlah dengan Fakhri lagi..."

"Kenapa pula dengan dia? Dia ajak kau nikah ke?" Aku tahu Meena cuma bergurau, tapi gurauan dia tu kena pula. Memanglah Fakhri tak kata terus menikah, ikat je. Tapi, 'ikat je' tu pun bukan mudah. Lagilah dia tengah belajar. Tahu, dia ada duit. Tapi, aku nak cerita macam mana dengan mak dan adik-beradik aku? Nak kata dia kerja apa?

"Dia taklah ajak nikah, nak 'ikat' je."

"Hah?" Meena berhenti menaip.

Aku mengangguk.

Dan, Meena ketawa, "Advanced gila budak tu!"

"Itulah. Buat aku rasa macam nak tercabut jantung je. Dengan kerja baharu yang bos bagi lagi. Migrain aku datang juga ni kejap lagi."

"A'ah, tadi dua bos tu cari kau. Aku kata, kau kat lobi. Sempat juga aku sound dia orang tu. Waktu rehat pun nak kacau. Dia bagi kau kerja Linda?"

Aku mengangguk. Otak dah mula memikir soalan untuk si anak president, Tanaka-san. Aku kena tahu room preference dia. Kalau Linda, memang dia dah tahu sebab bertahun-tahun menguruskan VIP dan VVIP MD's. Tapi, tak pernah nak tulis setiap perkara tu. Dia anggap mudah sebab dia fikir, dia seorang yang uruskan dan dia expert.

Selepas ni, memang aku akan letak draf ni dalam JS (Job Spec) Linda, as attachment to the specification process.

"Tak apa Lis, kau pun dah biasa liaise dengan pihak hotel, kan?"

"Biasa memang biasa, Na. Tapi, kali ni menguruskan tempahan bilik untuk penginapan, bukan bilik latihan. Dan, bilik penginapan ni bukan reserve untuk peserta kursus yang boleh aku tempah ikut bajet company, tapi kena tempah untuk VVIP. Ikut preference dia orang. Kena tahu dia orang nak suite yang mana. Yang katil jenis apa. Kalau satu bilik, sure bukan bilik biasa. Kalau lain bilik, tentu nak yang connected room. Dan, nak tahu juga, nak yang ada tingkap ke tak. Ada orang memang tak suka bertingkap. Dan, kalau nak yang bertingkap, nak city view ke atau tak kisah asal ada view. Nak smocking room ke, non-smocking room."

"Leceh eh, uruskan VIP ni? Linda tu nampak je macam relaks, tak ada kerja, tak ada nak uruskan dokumen yang banyak macam kita. Tapi rupa-rupanya, kerja dia yang sikit tu, sangatlah renyah."

"Itulah, Na. Kita ni selalu judge orang macam tu. Kalau nak tahu betul orang tu kerja goyang kaki ke tak, hah ambillah kerja dia. Baru tahu!"

"Tapi, dia dah bertahun buat kerja tu tentu pejam sebelah mata je, kan. Dah consider expertlah handle VVIP semua tu."

"Bolehlah, Na. Tapi, selagi namanya mengurus manusia, lagilah VVIP, memang akan ada je kesukarannya. Manusia, Na. Macam-macam perangai. Preference pun kadang-kadang berubah. Tahun ni mungkin suka yang bilik macam ni, makanan macam ni... tahun depan, belum tentu lagi."

Meena gelak.

"Kenapa kau tiba-tiba ketawa?" Pelik pula aku dengan Meena.

"Kau sebut 'macam-macam' tu, terus aku teringat kat Fakhri kau!"

Fakhri aku. Aku menarik senyum. Itu seorang lagi. Haih, nasib baik dah berputik sayang.

Petang itu sebaik aku balik ke rumah, mak call. Terkejut juga. Tak sangka mak call. Mungkin sebab dah berminggu aku tak call ke kampung. Aku sebenarnya merajuk dengan mak. Setiap kali telefon, setiap kali mak tanya bila nak kahwin. Bila nak bawa calon. Bila nak bagi mak cucu. Sedangkan, aku bukannya anak sulung. Bukannya satu-satu anak perempuan yang mak ada. Cucu mak daripada anak kakak aku yang sulung dah ada tiga. Daripada abang ngah aku, dah ada satu. Cukup lelaki dan perempuan. Tapi, mak tetap desak aku. Sikit-sikit tak apa. Tapi kalau dah setiap kali telefon mendesak hal yang sama, memang hati aku tak selesa.

Bila aku ungkit kata kenapa hanya aku yang mak desak, bukan abang kembar aku? Jawab mak, dia lelaki. Kahwin lewat pun tak apa. Lagipun, abang kembar aku tu sengal! Umur 29, perangai macam 21. Masih keluar melepak, ngeteh, race motor, kereta. Awek, tak tahu ada ke tak. Macam tak berminat je dengan perempuan! Katanya, perempuan ni leceh. Mengada-ngada lebih. Dia jenis tak suka perempuan macam tu. Lagilah kalau yang jenis bertanya macam-macam. Yang nak tahu pergi mana, dengan siapa... kalau tak call, kata tak ingat, tak sayang...

Kalau jenis macam tu, jangan kata abang kembar aku, aku pun menyampah!

"Sibuk sangat ke sampai tak sempat telefon?" Ayat mak buat aku sentap. Rasa berdosa pun ada. Alahai... dengan mak pun aku nak berasa hati. Kasihan mak aku. Dahlah, abah tak ada. Tentu mak sunyi. Anak-anak kak long kalau musim cuti sekolah, memang ada je kat rumah mak. Tapi, kalau hari sekolah, dia orang tak datang walaupun rumah kak long berdekatan.

"Adik minta maaf, mak." Aku tak nak bagi alasan sibuk. Aku hanya sibuk waktu pejabat. Selepas pada tu, aku tak sibuk sangat walaupun masa aku banyak kuhabiskan untuk menyelesaikan bacaan buku yang bertimbun. Novel dan buku non-fiction yang terkait hal kerja.

"Adik berasa hati dengan mak, ke?"

"Aah. Sikit."

"Mak sayang adik. Risau kat adik. Kalau mak tutup mata nanti, siapa nak jaga adik?"

"Mak janganlah cakap macam tu. Adik sayang maklah!" Aku dah sebak. Kalau dengan mak, memang aku tak boleh... cepat sangat berhati tisu. "Mak jangan risaukan adik. Selama ni adik hidup sorang juga. Insya-Allah, adik boleh jaga diri sendiri."

"Adik betul tak ada sesiapa? Mohammad? Dia sihat? Dah kahwin ke belum dia?"

Mak aku memang tahu cerita tentang Mohammad. Tak pernah aku berahsia dengan mak. Cuma, aku dah cakap dengan mak awal-awal, dia hanya seorang kawan. Baik macam mana pun dia, hensem macam mana pun dia, tapi kalau hati tak ada rasa, memang susah aku nak terima.

"Dia sihat je. Belum kahwin lagi."

"Adik tak nak bagi peluang pada dia? Kotlah lepas dah ikat ada tumbuh rasa tu?"

"Mak... adik dah ada 'kawan'."

"Hah?" Mak teruja "Baru ke? Adik tak cerita pun dengan mak. Adik suka dia? Siapa nama dia? Mana adik kenal dia?"

"Adik baru je kenal. Baru je nak ada rasa. Nantilah adik cerita dengan mak. Tapi... dia tu..."

"Kenapa dik? Mak tak kisah kalau adik dah suka. Siapa pun dia, mak terima. Mak tahu adik susah nak suka dengan sesiapa."

"Dia... muda pada adik."

"Dia suka adik?"

"Aah."

"Tak apalah. Nanti adik cerita ya? Okeylah. Mak tak nak kacau adik. Nasib baik mak telefon. Suka dengar adik dah ada seseorang. Eh, abang ada telefon adik?"

Abang. Panggilan pada abang kembar aku. Sebagaimana aku dipanggil 'adik', sebegitu dia dipanggil 'abang'.

"Tak ada. Kenapa, mak?"

"Abang nak ke tempat adik. Entah kenapa pula dia tak call adik. Nak tidur mana entah. Adik cubalah telefon dia. Kalau mak telefon, dia bukan nak jawab."

Abang kembar aku ni pun satu. Duduk dengan mak, tapi macam duduk jauh.

"Okey, mak. Nanti adik telefon dia."

"Okeylah dik. Adik jaga diri. Nanti kirim salam dengan 'kawan' adik tu, tau." Mak gelak.

"Mak pun jaga diri. Nanti adik balik. Insya-Allah, nanti adik sampaikan salam mak pada dia."

Mak putuskan talian. Entah kenapa, ada satu kelegaan dalam hati aku. Rasa macam satu beban paling besar sudah kukeluarkan.

Aku nak telefon abang kembar aku pula. Entah kenapa si sengal seorang ni senyap tak telefon aku. Selalunya dia kalau nak datang KL, tak pernah tak telefon. Kali ni, apa hal entah!

1600 pp

07 Oct 2023

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: #budakintern