Bab 35 - Perasaan
Accept perasaan awak sendiri.
Ayat ni... aku ulang dalam hati. Aku perhati muka Fakhri. Mencari kebenaran perasaan dia.
"Farisya. Lama sangat tenung muka saya. Jadi segan saya kalau macam ni," Dia mengalihkan pandangan.
Terus aku ketawa. Fakhri ni kan...
"Fakhri..."
Dia pandang aku semula dengan wajah yang sedikit merah. Ya Allah, serius ke dia malu! Aku kembali ketawa. Dia pula tersenyum simpul sambil merenung lembut. Renungan Fakhri membuatkan tawaku serta-merta terhenti. Galau hati. Kuteguk liur dan berdehem kecil.
"Fakhri... saya tanya awak betul-betul. Awak bersungguh ke dengan saya? Dah habis fikir? Awak tak rasa ke perasaan awak, silap? Mungkin akan ada orang yang betul-betul untuk awak, dan orang tu bukan saya."
"Tak!" Dia balas dengan tegas.
Aku tersentak juga.
"Farisya. Banyak perkara yang kita boleh ragukan, tapi bagi saya, soal perasaan yang satu ni, tiada keraguan. Saya yakin dengan perasaan saya, sebab perasaan ni Allah yang bagi. Allah bagi macam tu je. Saya pun tak sangka yang saya akan suka, jatuh angau pada seseorang. Dan, orang itu memang awak. Susah saya nak cerita. Tapi, awak faham, kan?"
Aku senyum dan mengangguk. Saya faham, Fakhri.
"Emmm, baguslah kalau awak faham. Sebab kan Farisya... perasaan ini terlalu halus dan complicated sangat. Nak cerita dengan perkataan, susah. Kalau awak nak suruh saya lukis, lagilah payah," Fakhri gelak.
Aku senyum. Sempat dia buat lawak!
Fakhri ni, bijak. Cara dia bercakap, tak sepadan dengan umur. Dia tak terus meyakinkan aku dengan sumpah seorang pencinta atau pengakuan yang bukan-bukan. Sebaliknya dia meyakinkan aku tentang perasaan itu ciptaan Tuhan. Tidak ada sangkalan apabila ia datang daripada Maha Pencipta. Tidak ada ayat yang mampu direka. Melukisnya, mungkin tanpa warna. Putih. Suci. Aku faham jika itu yang budak sengal ni alami.
"Terima kasih."
"Tak naklah terima kasih, Farisya..."
"Habis tu?" Hah, adalah yang dia nak pusing tu!
Dia gelak.
"Gelak pulak! Kalau tak nak terima kasih, nak terima apa?" Aku pun gelak. Macam dah terbiasa dengan penyelewengan dan pelencongan Fakhri.
"Cuba terbalikkan 'terima kasih' tu."
Aku berfikir sebentar sebelum menarik senyum. Dia ni kan... memang macam-macam!
"Janganlah senyum. Cuba sebut."
"Kasih diterima Encik Fakhri."
"Alhamdulillah! Esok-esok, saya hantar rombongan meminang. Hari ini, saya hantar awak pulang." Dia turunkan hand break, masuk gear dan tekan minyak.
Aku menggeleng dan tersenyum. Fakhri ni... perkataan 'hantar' pun boleh diseleweng! Terhibur aku.
Ada situasi tertentu yang memerlukan kita menerima apa yang hadir bersama waktu. Dan, aku menerima dia, Muhammad Fakhri Amri bin Khairulnizam sebagai seseorang yang akan melengkapi kehidupan. Insya-Allah. Kalau dia yakin, kenapa tidak aku.
"Farisya..." Dia memanggil sebaik aku keluar daripada keretanya. Sepanjang perjalanan pulang tadi, masing-masing hanya diam dan melayan rasa hati dan pemikiran. Aku menoleh.
"Terima kasih." Dia senyum.
"Diterima."
Dia ketawa. Mukanya berseri-seri.
"Jangan khayal masa memandu. Balik nanti, kirim salam pada ibu dan ayah. Insya-Allah, nanti saya pulangkan bekas puding ibu. Dah selamat sampai, mesej saya."
Dia senyum sambil mengangguk sebelum tangannya menghalau aku masuk ke dalam apartment. Tak senonoh betul halau aku macam halau angsa!
Sebaik aku sampai di hadapan pintu rumah, notifikasi WhatsApp menderu masuk. Melihat nama Fakhri, aku tersenyum.
+Saya balik ke litar. Tak balik lagi ke rumah ibu. Tapi, saya dah mesej ibu.
+Saya dah sampaikan pesanan salam awak pada ibu dan ayah juga. Dia orang dah jawab. Dia orang tanya bila nak datang lagi.
+Saya akan mesej awak kalau saya dah sampai rumah. Tapi, mungkin lepas maghrib. Ada kerja sikit kat litar. Awak jangan risau kalau saya lambat mesej.
+Puding tu simpan dulu. Jangan makan. Nanti cramp. Faham, kan?
+Hantar WhatsApp pada Kak Meena, bagi tahu awak dah sampai rumah. Takut nanti dia report polis kata saya culik awak.
Aku gelak. Ingat pula dia tentang hal ni. Aku balas sebutir kata sahaja, 'okey'. Dan, aku melangkah masuk ke dalam rumah. Mengunci pintu, dan menyimpan puding ke dalam peti sejuk. Dah tak rasa nak makan puding sejuk, masam dan manis tu lagi sekarang ni. Tiga rasa itu sudah sebati menyelimuti hati. Ia bermula semenjak mendengar cerita 'perasaan' dari sudut pandang Fakhri.
Aku keluarkan telefon bimbit daripada backpack. Aku WhatsApp Meena, mengatakan yang aku dah selamat sampai di rumah, dihantar oleh Fakhri. Dan, seperti biasa, Meena terus call aku!
"Cerita!"
Aku ketawa, "Na... sakit telinga aku kau jerit macam tu. Salam mana, salam?"
"Kau okey tak ni? Cuba check, semua kau dah bawa balik ke, atau ada yang tertinggal?"
"Ish, kau ni! Ingat aku budak-budak? Adalah semua. Aku tak keluarkan apa-apa barang pun daripada backpack aku masa kat rumah Fakhri."
"Pasti?"
"Insya-Allah, pasti."
"Hati?"
"Hah?"
"Hati kau tu dah check? Kot tertinggal kat sana..." Meena gelak.
"Na..." Aku abaikan tawa Meena. Ada yang aku nak bagi tahu Meena.
"Ada apa, Lis?" Meena hentikan tawa serta-merta. Bertanya risau apabila nada suara aku bertukar.
"Aku... dah terima dia."
"Hah? Serius? Aku tak salah dengar? Lis! Kau..."
"Serius, Na. Aku rasa, tak guna aku selindung perasaan sendiri kalau dia dengan selamba tunjuk perasaan dia."
"Lis, aku tak tahu nak komen apa. Tapi, aku tahu, kau susah nak jatuh pada makhluk Tuhan spesis Adam. Nak keluar berdua, jauh sekali. Tapi aku agak terkejut ya, bila kau tiba-tiba boleh keluar berdua dengan Fakhri sehari suntuk. Esoknya keluar lagi. Naik kereta dia pula tu. Pergi rumah family dia. Dan sekarang, kau kata kau dah buat pengakuan terima dia. Memang susah aku nak percaya. Tapi... aku suka! Kawan aku, perempuan normal rupanya." Meena ketawa. "Tak sangka orang yang macam Fakhri tu yang boleh buka pintu hati kau. Ilmu apa dia pakai..."
"Aku pun tak percaya, Na. Macam terhipnosis je masa aku mengaku depan dia tadi."
"Mungkin betul. Tapi, bukan dia yang menghipnosis kau, sebaliknya perasaan kau yang selama ni tersimpan. Dan, dia tu pemegang kunci kepada perasaan kau. Budak tu ada karisma tersendiri walaupun sengal dan macam-macam.
Tapi, perangai kau pun sama je dengan dia. Kau tu umur je tua. Tapi, perangai tak macam umur sebenar. Kalau panas baran kau tu datang, hilang dah kematangan. Orang tua, selalunya sabar. Tapi kau tu, aci redah je. Managing Director Jepun pun kau hentam kalau kau tak puas hati."
"Kau nak ganti Encik Fuad eh, Na? Selalunya dialog macam tu, Encik Fuad yang bagi kat aku. Asyik suruh aku sabar, sabar je... Mana nak sabar kalau makin pemikiran dia orang tu tak tentu hala. Nak set-up prosedur itu ini tapi adakalanya tak jelas. Lepas tu suruh aku fikir macam mana nak brief pada pekerja. Bukan sekali dua, banyak kali! Ingat aku boleh sabar? Memang mendapatlah!"
Meena ketawa, "Lis... kau tahu tak yang kau ni dah macam gengster?"
"Gengster tak gengster. Mana boleh biar diri kita kena buli. Aku bukan jenis 'yes sir' punya orang! Jangan nak cari fasal. Jangan nak curi peluang. Asal campak kerja pada aku, aku settlekan, dia orang ingat boleh lepas tangan? Kirim salam! Of course aku nak dia orang take accountability atas setiap arahan dia orang. Lagilah hal-hal yang melibatkan undang-undang. Kalau aku tak buat perangai gengster, silap hari bulan, aku masuk lokap."
Meena ketawa sebelum tiba-tiba suaranya menjadi serius, "Lis, kau dah terima dia, aku nak ingatkan kau satu perkara. Dah bagi hati tu, jangan suka-suka tarik balik. Dia tu nampak lain sikit. Nampak firm pada keputusan yang dipilih. Kalau dah dipegang, aku tak rasa mudah untuk dia leraikan. Kalau dia mampu melerai pun, tentu dia akan menanggung sakitnya. Dan, kau kena sedar banyak perkara. Bercinta dengan budak yang lebih muda usia daripada kita ni, cemburu dia lain sikit. Protective dia pun lain."
"Terima kasih, Na. Aku malu sebenarnya dengan kau."
"Tak payah malulah, Lis. Bukan kau yang nak perkara macam ni terjadi. Sesekali, kena berdamai dengan takdir. Perasaan tu pun sejenis makhluk Tuhan yang patuh arahan. Kalau dah jatuhnya pada si dia, maka di situlah bercambahnya rasa. Aku doakan yang baik-baik je untuk kau. Aku sayang kau."
"Terima kasih, Na."
"Aku off dulu. Jumpa esok. Tak sabar nak tengok muka orang tengah bercinta. Tentu berseri-seri."
"Sengallah kau, Na! Aku biasa-biasa je lah!"
Meena ketawa sebelum memberi salam dan memutuskan talian.
Ada satu perkara lagi yang perlu aku selesaikan. Tetapi, aku tak boleh buat di rumah. Aku perlu access ke sistem HR. Esok, aku akan lakukan walaupun ia bakal mengundang amarah Fakhri.
Malam itu, Fakhri langsung tidak menelefon. Aku bersangka baik. Dia mungkin ada kerja penting yang nak diselesaikan walaupun hati aku sering tertanya, kerja apa. Mengenali dia, aku percaya yang dia tak buat kerja haram. Orang yang tak meninggalkan solat, berbuat baik sesama umat, dan sering berpasakkan kepercayaan kepada Allah, tak mungkin akan melakukan sesuatu yang mungkar.
Aku tidur awal malam itu.
Keesokannya, semasa aku tiba di office, Meena belum sampai. Aku terus buka sistem HR dan menaip nombor IC Fakhri yang sememangnya aku hafal. Dapat apa yang aku inginkan, aku keluar daripada sistem. Aku buka applikasi bank dan membuat pindahan wang daripada akaun aku kepada akaun Muhammad Fakhri Amri bin Khairulnizam.
Aku bayar balik setiap apa yang dia bayar sewaktu di MyTown. Memang aku hafal setiap jumlah harga makanan, minuman, aiskrim dan gambar.
Dan seperti yang aku jangka, dia cari aku. Kami berjumpa di luar lobi pada waktu makan tengah hari.
"Apa yang awak dah buat?" Dia bertanya sambil tangan menyilang di dada.
"Saya bayar balik duit yang awak dah keluarkan masa di MyTown."
"Alasan?"
"Awak masih belajar, Fakhri."
"Jadi?"
"Biarlah saya bayar. "
"Awak pandang rendah pada saya."
"Mana ada. Saya cuma tak nak ambil kesempatan pada awak."
"Saya ada duit, Farisya. Duit saya. Bukan duit ibu atau ayah. Dan, saya serius nak pinang awak dengan duit saya."
Dah dua kali dia sebut. Hantar rombongan. Nak pinang, Risau aku! Takkanlah secepat itu. Aku baru je accept.
"Jangan main-mainlah Fakhri. Awal lagi. Selesaikan belajar dululah."
"Belajar tu bila-bila. Serius, saya tak main-main nak ikat awak. Ibu dah beli cincin."
"Awak tipu."
"Tipu, dosa."
"Mana ibu tahu saiz jari saya?"
Fakhri ketawa. "Tak perasan rupanya, ya? Ibu ada belek-belek jari awak masa tepi kolam renang. Tak ingat?"
Berkerut dahi aku mengimbas ingatan di tepi kolam renang.
Dia gelak, "Saya masuk dulu. Tentang duit tu... okey, saya accept. Faham kalau ada orang tu dah mula nak berkongsi, berbahagi belanja. Terima kasih sayang. Tapi, belanja rumah tangga kita, saya akan tanggung."
"Fakhri..." Dia ni kan...
"Ya, yang..." Dia gelak. "Oh, ya! Tak payah risau muat tak muat cincin tu. Insya-Allah, muat." Dia terus berlalu dengan tawa yang terus terngiang di telinga, walau tubuhnya dah hilang daripada pandangan.
Dia tinggalkan aku dengan kata-kata nakal yang masih tak dapat nak kuhadam. Apatah lagi kalau nak percaya.
1666 pp
6 Oct 2023 (amendment date)
23.00
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro