Bab 34 - Denda
Sepanjang perjalanan balik, Fakhri hanya membisu. Dia tak bercakap apa pun. Tapi, aku bersyukur sebab dia nak juga hantar aku balik. Kiranya, dia masih rasional. Dan, rasionalnya dia menunjukkan kematangan fikirannya dalam berhadapan dengan satu situasi yang mengocak emosi sendiri.
"Err... Fakhri..." Aku rasa tak selesa pula bila Fakhri bermuram durja. Aku tak biasa. Aku kenal dia sebagai seorang yang mengada-ngada, menyakat, mencuri peluang meluah rasa hati, memberontak untuk mencapai apa yang dihajati dan melakukan macam-macam agar dirinya diberi perhatian. Fakhri yang diam membuatkan aku jadi tak tenteram.
Dia terus membisu. Menoleh pun tidak mahu. Seperti telinganya sudah disumbat dengan earphone yang terpasang lagu heavy metal yang sangat kuat.
Aku mencuba lagi, "Fakhri..."
Dia tetap buat tak tahu. Dia palau aku!
Okey, baik. Nak sangat kan perang bisu. Aku layan! Aku pun diam. Itu sebelum dia menerima panggilan telefon daripada kawannya.
"Ya! Okey, aku sampai sekejap lagi. Kau tahan dia dulu." Dia terus membuat lencongan di jalan hadapan.
Aku jadi cuak. Rumah aku kat sana, dah dia nak pergi mana? Kalau ya pun ada nak jumpa kawan, hantarlah aku balik dulu. Tak pun, turunkan aje aku kat tepi jalan. Pandailah aku call Grab.
"Fakhri."
Dia menoleh.
"Awak ada kecemasan ke? Tak perlu hantar saya. Turunkan saja saya kat depan tu sekejap. Saya boleh call Grab."
"Tak boleh." Dia bercakap dengan tegas. "Saya jemput awak, saya yang akan hantar awak balik sampai awak selamat sampai depan rumah. Awak dah lupa apa yang awak dah hantar pada Kak Meena? Awak hantar gambar saya. Suspect utama kalau awak hilang. Dah lupa?"
Allahuakbar. Aku dah termasuk ke perangkap sendiri.
"Habis tu... awak kan nak jumpa kawan-kawan awak. Saya tunggu dalam kereta, eh?"
"Tak. Ikut sekali. Jangan nak duduk sorang-sorang."
"Hah? Kena ikut sekali ke?" Ya Allah. Fakhri ni memang gilalah! Dahlah pagi tadi bawa aku jumpa family dia tanpa bincang apa-apa dengan aku. Bagai nak gugur jantung aku. Baru nak bertenang, dah dia nak bawa aku pergi jumpa kawan-kawan dia pula. Kawan-kawan dia tu pula, call macam ada kecemasan je. Nak 'berperang' ke apa entah. Main 'tahan-tahan'. Dah kalau dia orang sesama gengster bertumbuk, aku ni apa cerita? Aduh, Fakhri ni...
Bukan dia tak tahu yang aku gelisah. Tentu-tentu dia tahu. Tapi macam dia nak balas dendam pada aku je. Makin dia tengok aku cuak, makin ditekan minyak. Mencilok macam pro. Aku tak kisah sangat dia bawa kereta laju, aku suka. Tapi sebab nak jumpa kawan-kawan dia tu yang aku rasa macam nak putus nyawa!
Dalam hati, aku berdoa banyak-banyak. Janganlah aku terlibat dengan benda-benda yang melibatkan maruah. Hilang nyawa, aku macam tak berapa nak fikir. Sebab aku macam dia juga. Berpegang pada 'hidup akan mati'. Dan, kalau belum ajal, tak akan terjadi. Aku lebih risaukan maruah diri. Biar mati suci daripada hidup tanpa kegadisan yang diragut oleh nafsu syaitan.
"Kita dah sampai. Turun."
Aku lihat sekeliling. Sebuah litar lumba. Aku ikut je cakap dia, turun daripada kereta.
"Sentiasa dekat dengan saya. Jangan nak jauh-jauh."
Dia terus menapak laju. Aku ikut di belakang dia sehingga tiba di tepi padang litar, di mana sekumpulan lelaki sedang berkumpul. Aku rasa... umur dia orang tak sama. Mungkin ada yang lebih tua dalam 30 lebih macam tu, dan ada yang paling muda dalam 16-17 tahun.
"Hei, Am dah sampai!" Aku dengar beberapa suara menyambut kehadiran Fakhri. Oh, kawan-kawan dia panggil dia, Am. Yalah, nama dia Muhammad Fakhri Amri. Macam akulah. Orang lain panggil aku Lis. Dia je panggil aku Farisya.
"Assalamualaikum. Apa cerita?" Fakhri bersalam dengan kawan-kawan dia. Ada dalam 20 orang semuanya. Masing-masing menjengah melihat aku. Tapi tak bertanya apa.
"Tu... Farhan kena belasah," Salah seorang kawan Fakhri menuding ke arah seseorang yang sedang duduk bersandar di bangku panjang berbumbung. Aku nampak orang tu macam dalam kesakitan. Mukanya ada kesan lebam dan di pinggir bibirnya ada darah.
"Siapa punya kerja?" Fakhri bertanya.
"Suhaimi."
"Mana dia?"
"Hoi, Mie! Keluar. Am dah sampai. Kau jawab dengan dia." Lelaki yang bercakap dengan Fakhri sejak tadi menjerit sekuat-kuatnya sambil kepalanya ditoleh ke belakang. Ke arah sebuah garaj yang aku rasa bengkel kereta. Ada banyak tayar dan peralatan di situ. Ada juga bilik macam ofis kecil.
Seorang pemuda lebih kurang baya Fakhri keluar dari bilik kecil tu. Mukanya masam mencuka. Pandangannya tajam. Gaya jalannya macam sedang marah. Apa objek yang tersentuh di hujung kasutnya, disepak.
Aku tengok muka Fakhri dari sisi. Dia seperti menahan sabar. Aku tak pernah tengok sisi Fakhri yang ini.
"Am." Budak tu tegur Fakhri.
"Kau apa hal? Kenapa kau belasah kawan sendiri, hah? Dah gila ke apa?" Fakhri terus melepas marah tak cover-cover!
"Dia buat hal."
"Hal apa?"
"Dia couple dengan kakak aku."
"So, apa masalahnya? Dia ada buat benda tak baik pada kakak kau, ke?" Fakhri bertanya dengan dahi berkerut. Kali ni suaranya sedikit rendah.
"Tak adalah buat apa. Dia orang bercinta diam-diam belakang aku. Dah siap hantar rombongan meminang, dah nak kahwin, baru aku tahu."
"So? Okeylah tu kalau dia dah hantar rombongan meminang. Maksudnya dia serius nak halalkan kakak kau. Apa masalahnya?"
"Kakak aku la weh! Macam dah tak ada perempuan lain ke kat dunia ni sampai kakak aku pun dia nak! Kakak aku pun satu, dah macam tak ada jantan lain ke kat dunia ni sampai kawan adik sendiri nak dijadikan laki? Babilah!"
Buk!
Tersentak aku melihat tubuh Suhaimi melayang. Dagunya ditumbuk oleh Fakhri. Farhan yang melihat dari jauh segera datang dengan kaki terhincut-hincut. Dia melutut di sisi Suhaimi. Matanya tajam memandang Fakhri. Yang lain juga nampak terkejut. Ada yang dah mara ke depan, menahan tubuh Fakhri. Takut agaknya kalau disusuli dengan sepakan pula. Bukan boleh percaya budak seorang ni.
"Am." Masing-masing cuba menenangkan Fakhri.
"Korang relaks. Aku tahu apa yang aku buat."
Fakhri duduk melutut di hadapan Suhaimi. Dibeleknya luka pada dagu Suhaimi sebelum tangannya ditepis kuat oleh Suhaimi.
"Kau tahu kenapa aku tumbuk kau?"
Suhaimi diam. Renungannya tajam.
"Satu, sebab kau pukul Farhan. Dua, sebab kau sebut 'babi'. Aku dah bagi tahu awal-awal. Dalam group ni, jangan biasa mencarut, mencaci dan memaki. Kau langgar apa yang aku tetapkan, kau mendapat. Faham?"
Fakhri berdiri, "Bagi tahu aku dosa besar apa yang Farhan dah buat sampai kau belasah dia macam nak cabut nyawa?"
"Kan aku dah cakap tadi... dia nak kahwin dengan kakak aku!"
"Kahwin tu dosa ke? Bukannya dia berzina yang nak direjam sampai mati."
"Kakak aku tua lima tahun pada dia, kot!"
"So, dosa ke?" Fakhri bertanya sinis.
Suhaimi diam.
"Kau belajar sirah nabi. Kau faham tak? Allah tak cipta satu-satu keadaan kalau bukan sebab untuk dijadikan panduan umat. Perkahwinan Khadijah dan Muhammad SAW, bukan hanya kisah cinta Baginda, tapi nak tunjuk ia bukan dosa kalau umur lelaki tu lebih muda."
Fakhri menghela nafas. Dia menjeling pada aku sekilas. Aku teguk liur. Dia bahasakan aku sama.
"Aku nak, kau minta maaf dengan Farhan. Kalau kau tak nak terima dia sebagai abang ipar pun, fikirkan dia sebagai kawan yang pernah sama-sama bersabung nyawa, berdepan dengan musuh. Dan, pada aku, dia berniat baik. Kau fikir baik-baik, Mie. Dengan sikap kau, kau bukan sakitkan Farhan je, tapi kakak kau. Dia mungkin akan membuang Farhan daripada hidupnya sebab dia tak nak hilang kau sebagai adiknya. Tapi, luka akibat cinta bukan luka biasa. Orang yang tak pernah jatuh, tak akan faham." Fakhri hulur tangan pada Suhaimi. Disambut oleh Suhaimi.
"Aku minta maaf sebab tumbuk kau. Aku sayang korang semua. Aku tak suka korang bergaduh sesama korang. Kalau ada apa-apa yang aku boleh bantu untuk pulihkan hubungan korang, bagi tahu."
"Am..." Farhan mendekati. "Aku minta maaf. Aku rahsiakan perkara ni daripada korang. Kalau aku kongsi dan bincang, tentu tak jadi macam ni."
Fakhri tersenyum. Ditepuknya bahu Farhan, "Kau minta maaf pada Mie. Aku rasa, dia okey je. Cuma geram sebab kau dan kakak dia membelakangkan dia. Tiba-tiba je nak kahwin. Respect sikit pada adik dia, bro. Nak kakak, kena ambil hati adik dulu. Dahlah, pergi settle. Kalau ada apa yang nak aku support, bagi tahu je."
"Mie, sorry. Tapi, aku serius dengan kakak kau. Kalau kau tak boleh consider sekarang, aku sanggup tunggu sampai kau terima aku," Farhan hulur tangan nak bersalam dengan Suhaimi.
"Kau kan, An..." Suhaimi acu penumbuk. Ditumbuknya bahu Farhan sebelum menarik senyum dan ketawa. Mereka berjabat tangan dan berpelukan.
Kawan-kawan lain bersorak. Bertepuk-tepuk bahu sesama mereka. Tersenyum dan ketawa.
Aku pun tersenyum sama. Yeay, happy ending! Caiyoklah Fakhri. Hei, aura budak ni bukan kaleng-kaleng!
"Kenapa awak senyum?"
Terus aku tutup mulut.
"Hal awak dengan saya tak settle lagi, ya! Jangan nak senyum-senyum."
"Am..."
Fakhri menoleh.
"Tak nak kenalkan kita orang pada Farisya kau, ke?"
Uh, dia orang kenal aku!
"Entah, Am ni! Kita orang bersungguh jaga dia, iring dia hari tu... kau sikit pun tak kenalkan kita orang. Apa jenis member macam ni!"
"Farisya. Ini semua kawan-kawan saya yang escort awak tempoh hari. Hah, aku malas nak sebut nama korang. Korang sebut nama sendiri."
Seorang demi seorang rakan-rakan Fakhri menyebut nama masing-masing. Macam-macam nama ada. Pelik-pelik bunyinya. Yang pasti, ia nama panggilan. Ada, Panjang, Pendek, Katak, Beruang... aku dah gelak.
"Hai, korang! Terima kasih. Maaf, saya tak tahu awak kawan-kawan Fakhri masa tu. Dia tak bagi tahu pun. Saya ingat korang gengster yang nak culik saya."
Sebaik aku habis cakap, dia orang bantai gelak. Merah muka aku.
Fakhri menggeleng. Dia simpan senyum. Bila aku pandang dia, dia ubah jadi muka serius. Siap menjeling lagi!
"Farisya, jaga bos kita orang baik-baik. Sejak kenal awak, mood dia selalu baik." Entah siapa nama yang bersuara ni, aku tak ingat dah.
"Dah selama ni aku tak baik ke?" Fakhri berbunyi.
"Baik. Tapi sejak ada Farisya, terlebih baik." Dia orang gelak berjemaah.
"Farisya. Fakhri bawa kereta laju tak?"
Aku mengangguk. Mengiakan. Nak bersuara, tak berani.
"Tak takut?"
"Eh, tak. Saya suka. Lagipun, smooth je cilok. Tak adalah melayang." Lepas tu aku tutup mulut, terlebih bicara!
Budak-budak tu ketawa.
Fakhri menggeleng. Kali ini dia tak berjaya sembunyikan senyumnya. Dan, aku pun pandang dia dengan membalas senyumannya. Dengan bahasa mata, 'Awak dah okey. Awak dah senyum.'
"Dah, dah... main mata pulak! Tak hormat langsung orang single. Pergi hantar Farisya baliklah, Am. Risau aku, korang keluar lama-lama berdua."
"Dan... dengan rasminya Satria GTI Muhammad Fakhri Amri telah dinaiki oleh seorang gadis." Entah siapa yang buat announcement.
Kawan-kawannya bersorak, "GTI Am dah tak suci. Dah pecah rekod. Tak sangka wei! Selama ni dia riak berlagak kata tak akan ada perempuan berjaya naik kereta GTI dia. Ibu dan adik perempuan dia pun tak pernah naik. Tup-tup, hah... ambik kau! Hari ni sejarah tercipta."
Aku terkejut. Ibu dan adik dia pun tak pernah naik kereta dia ke? Aku pandang dia.
"Kenapa, Cik Farisya? Tak percaya yang awak satu-satunya perempuan yang naik kereta saya?" Dia membongkokkan badan. Menyamakan pandangan separas mata aku.
Berderau darah aku. Rasa bersalah bergelumang dengan rasa yang selama ini tersimpan kemas. Yang aku tahan walau ia sedikit demi sedikit mencelah dari ruang-ruang yang terbuka.
"Fakhri..."
Mata kami bertembung.
"... saya... minta maaf."
"Awak ada buat salah ke?"
Aku mengangguk.
"Cuba sebut, apa kesalahan awak?"
"Saya..."
"Emm...?"
"...nafikan perasaan saya pada awak."
Dia tegakkan tubuh. Terdengar helaan nafas Fakhri. Ketika aku mendongak, memandang wajahnya, dia tersenyum, "Saya maafkan. Tapi, ada denda."
"Okey..."
"Nak tahu apa dendanya?"
Aku menggeleng.
Dia ketawa, "Apa ni. Macam mana saya nak kenakan denda kalau awak tak nak tahu..." Dia sambung gelak.
Aku senyum. Suka tengok dia dah tak masam macam tadi, "Dah awak tanya sangat. Suka hati sayalah nak jawab apa."
"Eiii... nakal!" Dia macam nak sentuh pucuk hidung aku, tapi kemudian tangannya yang tergantung itu diturunkan. Sedar akan halal haram.
"Am!" Kawan-kawannya menjerit. "Pergi baliklah woi! Aku dah mencair ni...."
Aku dan Fakhri sama-sama ketawa. Fakhri merapati kawan-kawannya. Bersalam dengan setiap seorang yang ada, termasuk Farhan dan Suhaimi yang nampak macam dah okey.
"Geng, aku chow dulu. Mie! Fikir-fikirkan. Jangan ikut kau je. Apa-apa, roger. Jom, awak."
Aku pandang kawan-kawan Fakhri, "Terima kasih. Saya balik dulu. Jaga diri."
Fakhri tarik backpack aku.
"Bye, Farisya!" Kawan-kawannya menjerit.
Fakhri menoleh, menunjuk penumbuk.
"Am, jelous!"
Kami terus melangkah ke kereta. Masuk sahaja ke dalam kereta, dia menghidupkan enjin dan memasang aircond. Dia pandang aku.
"Saya nak denda awak ni!"
"Hah? Kat sini ke? Sekarang?"
"Ya. Kat sini. Sekarang."
"Tapi, saya tak nak tahu..."
"Tak ada. Jangan nak ngelat. Biasa ya, cakap macam tu depan parents saya. Saya ni awak buat macam tak wujud je. Tak jaga langsung perasaan saya."
"La... kan dah kata awak bawa saya jumpa keluarga awak sebab saya ni supervisor awak. Tentu-tentu jawapan saya pun sebagai seorang supervisor."
Sewaktu ayah Fakhri bertanya sama ada aku suka Fakhri atau tidak, aku jawab 'suka'. Masa tu memang muka dia orang macam terkejut sebab aku berterus terang. Tapi... kemudian aku menyambung,
"Fakhri ni antara budak intern saya yang terbaik. Tentu-tentu saya sebagai supervisor, suka. Mula-mula memang rasa geram je dengan attendance dia ni, tapi lepas dapat feedback daripada ketua jabatan tentang kerja dia yang cemerlang, terus saya rasa suka. Lebih rasa suka bila dia dapat siapkan report pada masa yang ditetapkan walaupun dia selalu ada masalah kedatangan. Dan, presentation report dia memang di luar jangkaan saya. Hebat sangat."
Masa tu, ibu dan ayah Fakhri saling berpandangan. Mula-mula, macam ada kekecewaan pada air muka kedua-duanya. Tetapi, tak lama, kedua-duanya ketawa. Fakhri je yang masam menjeruk rasa. Aku yang melihat ibu ayah Fakhri ketawa, terus ketawa sama.
Fakhri marah. Dia ajak aku balik serta-merta. Dan, dia diam sepanjang dalam kereta. Sehingga kami kembali dari litar lumba tadi, barulah hubungan ini jernih.
"Tapi, awak tahu kan... lepas ayah saya bagi hint yang dia tahu hubungan kita, tentu soalan dia berkait dengan perasaan awak pada saya. Dah kenapa masih nak anggap ibu ayah tak tahu? Sibuk bagi jawapan dari sudut pandang seorang supervisor, kenapa? Geram betul saya masa tu. Dahlah tak dapat dengar jawapan yang saya nak. Lepas tu kena gelak pula dengan ibu dan ayah! Farisya Mellisa binti Sofwan, awak suka buat saya marah, kan?"
"Muhammad Fakhri Amri bin Khairulnizam. Jangan nampak salah saya je. Awak tu! Buat apa-apa bukan nak bincang. Ingat saya tak cuak ke tiba-tiba awak bawa jumpa ibu ayah awak? Keluarga awak? Bagai nak gugur jantung ni menahan rasa. Mengawal riak muka."
Dia senyum, "Kita seri. Farisya Mellisa binti Sofwan, saya sayang awak. Please... accept saya. Dan... accept perasaan awak sendiri."
2410 pp
30 Sep 2023
12.39 malam
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro