Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 33 - Terbisu

Sebaik kereta Fakhri bergerak, aku hantar mesej pada Meena.

+Na. Aku nak inform kau yang aku on the way ke rumah Fakhri. Fakhri jemput aku.

Meena membalas...

+Hah? Kau biar betul, Lis. Ingat Tuhan. Kalau betul dah jatuh cinta dengan budak tu pun, bawa-bawa nikah dulu.

Ish, Meena ni. Cepat aku taip sebelum dia fikir benda lain.

+Tak, tak. Bukan macam tu. Dia bawa aku jumpa family dia.

Meena is typing...

+Hah? Kau dah confirm dengan dia ke?

Aku taip lagi. Masa ni, debaran hati sudah berkurang. Geram pula dengan Meena yang macam-macam.

+Tak, tak. Family dia jemput aku sarapan sama. Dia orang nak raikan Fakhri habis intern. Dan, aku dijemput sebagai supervisor dia.

Meena is typing...

+Laa... kenapa family dia tak jemput aku sekali?

Baru aku nak taip, Fakhri menegur, "Chat dengan siapa? Awak buat report polis ke yang saya culik awak?" Dia ketawa kecil.

Aku teruskan chat aku dengan Meena.

+Na, aku takut. Kalau aku tak call kau dalam tempoh 24 jam, kau cari aku tau. Kalau tak jumpa, kau cari budak sorang ni!

Terus aku halakan telefon aku pada Fakhri. Aku tangkap gambar dia. Sempat dia menoleh dan senyum sambil sebelah tangan buat sign mini love. Gambar Fakhri, aku hantar pada Meena.

+Kau bagi kat polis gambar ni. Suspek utama kalau aku hilang daripada radar. Tau!

Lepas tu, aku send location juga pada Meena.

Meena is typing...

+Eh, cutelah adik kau ni, Lis! Fotogenik la muka dia.

Meena ni kan... aku mengeluh, lalu matikan telefon. Dia dengan Fakhri lebih kurang je.

"Kenapa?" Fakhri menegur. Masa itu, dia sudah membelok masuk ke sebuah rumah mewah dengan pagar yang terbuka sendiri. Di pekarangan rumah itu, ada beberapa buah kereta lagi. Bukan jenama tempatan. Ada juga dua tiga motosikal berkuasa besar. Paling koman, RXZ.

"Tak ada apa."

Dia senyum, "Dah sampai. Jom."

Mahu atau tidak, aku keluar daripada kereta. Kasihan pula jika keluarga Fakhri benar-benar sedang menunggu. Kami jalan beriringan ke pintu utama rumah Fakhri.

"Assalamualaikum," Fakhri bagi salam sebaik dia menolak pintu. Suara dia... matang. Lembut. Sopan.

Automatik degup jantung aku jadi kencang.

"Waalaikumsalam." Jawapan berjemaah daripada beberapa suara lelaki dan wanita kedengaran. Aku nampak Fakhrul. Dia angkat tangan pada aku dan ketawa. Mungkin dia gelakkan muka aku yang jelas tak selesa dan terpaksa.

"Acik ni kan..." Seorang wanita yang pada aku sangat cantik walaupun usianya dalam lingkungan mids 50 bangun, menghampiri aku dan Fakhri. Ditepuknya bahu Fakhri, kuat. "Kenapa tak berterus terang dengan Farisya? Kasihan kawan tu."

"Sakitlah, ibu. Kalau acik berterus terang, confirm dia tak sampai sini, bu!"

Aku pandang je budak mengada-ngada ni. Tipu kalau kata sakit. Gengster dah kena belasah, dah kena toreh, dah patah kaki berapa kali, takkan pukul macam tu sakit?

"Minta maaf, Farisya. Budak sorang ni memang macam ni. Memang kena sabar banyak-banyak dengan dia ni."

"Tak apa, puan. Faham." Aku cuba tenangkan diri dan adapt dengan keadaan.

"Jom, makan dulu. Nanti kita sembang." Bahu aku diraih ibu Fakhri. Ya Allah, perasaan seram tu, Allah je yang tahu. Aku ni bertahan macam tak ada apa je!

Aku lihat, keluarga Fakhri yang lain sudah menunggu di meja makan. Ya Allah, rasa bersalah sangat. Aku bersalam dengan seorang perempuan muda dalam lingkungan umur early 30. Dia senyum pada aku, dan aku balas. Aku agak, itu kakak ipar Fakhri. Isteri along. Dan, aku bersalam juga dengan seorang budak perempuan dalam lingkungan usia 11-12 tahun. Aku rasa, itu adik bongsu dia yang tinggal dengan along dia.

"Farisya, jemput duduk."

"Tuan." Aku senyum dan angguk pada yang menjemput. Rasanya, itu ayah dia. Wajahnya tegas, tapi manis.

Ayah Fakhri ketawa. Mungkin sebab formaliti yang aku wujudkan.

"Ya, duduk je Farisya. Ber'tuan' bagai. Acik, mana act of service?" Dia bercakap dengan Fakhri.

"Acik cover line kalau depan kita, yah. Belakang kita, kemain dia ni!" Fakhrul bersuara sambil gelak. Dia paling banyak tahu kesengalan Fakhri pada aku. Dan, memang aku rasa malu ya amat dengan Fakhrul. Harap-harap, apa yang berlaku di hospital tempoh hari, Fakhrul simpan untuk dirinya sahaja.

Fakhri tarik kerusi untuk aku, "Duduk, awak."

Jantung aku macam nak tercabut keluar. Dia memang tak beragak langsung. Depan family dia, kot! Aku rasa nak menangis. Ayah dia punya fasallah ni. Act of service sangat! Aku memaksa senyum dan duduk. Fakhri duduk di sebelah aku. Ya Allah, risaunya aku. Sebelah kanan, ibu Fakhri. Sebelah kiri, Fakhri. Sebelah Fakhri, Fakhrul. Fakhrul duduk di kepala meja kanan. Ayah dia, duduk di sebelah ibu dia, di kepala meja kiri. Sebelah Fakhrul, iaitu yang berdepan dengan Fakhri, adik perempuan dia. Sebelah adik perempuan dia, kakak ipar dia dan along dia yang tak berbunyi sejak tadi. Hanya diam, senyum dan memerhati. Along dia duduk dekat dengan ayah dia.

"Along, baca doa." Ayah Fakhri keluarkan arahan. Terus along menadah tangan. Orang lain ikut dan dia mula membaca doa. Aku pun ikut menadah tangan dan mengaminkan doa along Fakhri dalam hati.

"Okey, jemput makan. Farisya, ambil mana yang nak. Jangan segan. Kalau rasa segan, suruh orang sebelah kiri awak tu ambilkan."

Ya Allah, lagilah aku segan. Ayah Fakhri ni pun kuat menyakat! Dia orang tahu kan aku datang sebagai supervisor Fakhri?

"Tak apa, tak apa. Saya okey," Aku terpaksa juga bersuara. Dan, terpaksa juga mengambil apa yang paling dekat. Ada puding koktel. Nampak sedap. Itu yang aku ambil.

"Eh, makan puding je Farisya? Ambillah nasi lemak sambal sotong ni. Ibu Fakhri ni dah lama tak masak macam ni. Lepas berhenti kerja ni baru nak mula memasak balik," pelawa ayah Fakhri dengan tambahan maklumat yang Fakhri langsung tak pernah cakap!

"Errr... puan dah berhenti kerja?" Sebab nak elak rasa janggal dan asyik dikenakan, aku cuba-cuba juga berbual.

"Aah, baru seminggu lepas. Sayang juga nak berhenti, tapi kalau dah asyik kena ke sana ke mari attend kursus, stay up nak siapkan report, biarlah berhenti. Lagipun, tu anak dara tu nak balik duduk bilik sendiri. Dah tak nak tinggal rumah along dah. Sebab lepas ni along nak pindah ke Johor. Ada projek 10 tahun kat sana. Dia bawa anak isteri sekali."

"Saya yang suruh berhenti, Farisya. Bukan setakat sebab anak dara tu. Sebab tu yang bongsu teruna tu juga. Risau sangat kalau asyik jumpa kat hospital." Ayah Fakhri bersuara.

Oh, jadi minggu lepas, ibu Fakhri ada di rumah, jaga dia. Patutlah dia bersemangat buat slide presentation dan report dia pun dahsyat. Ada motivasi.

"Puan, akauntan, kan?"

Dia mengangguk sambil menyuap nasi lemak.

"Kumpul CPD pointlah, kan?"

"Oh, Farisya tahu?"

"Saya in-charge T&D (Training & Development), puan. Memang selalu atur kursus dan buat TNA (Training Needs Analysis) untuk staff. Itu yang tahu sikit-sikit tu."

Tiba-tiba sewaktu aku nak memotong puding, pinggan puding aku hilang. Diganti dengan pinggan besar berisi nasi lemak sambal sotong dan telur mata. Aku pandang Fakhri.

"Makan nasi dulu. Perut tu kosong. Puding koktel tu masam, sejuk..."

"Tapi, saya belum rasa puding tu. Saya nak." Aku bercakap dengan nada separuh berbisik..

"Awak period. Mana boleh makan benda sejuk-sejuk. Nanti cramp perut tu."

Baru aku nak membalas, aku dengar along Fakhri gelak, kuat. Dan, dia kemudiannya dicubit oleh kakak ipar Fakhri. "Jangan kacaulah, abang. Biarlah dia orang tu."

"Ya Allah, tak tahan tengok." Along Fakhri gelak bersungguh. Sampai keluar air mata. Ibu dan ayah Fakhri yang sebelum ni diam tak bersuara pun tiba-tiba gelak sama. Fakhrul jangan katalah. Dah sampai tekan perut. Hanya adik perempuan Fakhri je yang tak ketawa. Dia senyum sambil meneruskan makan. Bahagia agaknya tengok abang-abang dia yang sengal semuanya ada di hadapan mata.

Terpinga-pinga aku dibuatnya. Terus merah muka. Mahu tak mahu, aku suap juga nasi lemak sambal sotong depan mata sambil menunduk.

"Ya Allah, kejang perut aku. Woi! Kau ni acik. Tak beragak kalau bercakap."

"Apa? Aku suruh dia makan nasi je. Aku tak buat apa pun. Lainlah kalau aku suap dia. Kau dah kenapa?"

"Kenapa kau kata? Nantilah. Lepas makan ni kita slow talk."

Aku rasa, aku faham concern along Fakhri. Telinganya tentu dapat menangkap perkataan 'period' yang disebut oleh Fakhri, walaupun Fakhri berbisik. Aku rasa nak masuk bawah meja je waktu ni. Nak telan nasi lemak pun dah rasa kesat tekak. Dan, aku teringat pada puding koktail tadi. Tak apalah, balik nanti lepas habis period, aku buat sendiri.

Lepas makan, aku nak basuh pinggan, Fakhri tak bagi. Dia kata, biar dia yang buat. Aku nak lap meja, Fakhrul dah arahkan adik perempuan dia buat. Fakhrul pula sibuk mengemas makanan lebih, dimasukkan ke dalam bekas dan disimpan ke dalam peti ais. Aku nak bantu, dia kata, aku tak tahu mana nak cari bekas. Aku nak menyapu, along dia kata, dia cop dulu. Kakak ipar Fakhri uruskan anaknya yang nak menyusu. Yang besar sikit tu nak sambung tidur. Bangun awal agaknya pagi tadi sebab nak ke sini.

Aku dibawa oleh ibu Fakhri duduk di tepi kolam renang. Dia bawa sebekas puding koktail. Aku jadi malu dengan insiden bergaduh dengan Fakhri di meja makan. Depan family dia.

"Makanlah, Farisya. Tak banyak, sikit. Lepaskan rasa. Nanti boleh minum air panas suam."

Aku menggeleng, "Tak apalah, puan. Takut juga kalau cramp. Err... maaf, ya. Saya tak sengaja tadi, bergaduh dengan anak puan."

"Tak macam gaduh," Dia ketawa. "Kalau macam tu, nanti bawa balik. Puding ni tahan seminggu. Baru buat tadi. Farisya baru period ke? Semalam masa keluar dengan Fakhri masih boleh solat, kan?"

Ya Allah, panas muka aku. Rasa nak menangis. Malunya. Semuanya ibu dia tahu. Aku keluar dengan anak dia, aku period....

Melihat perubahan riak muka aku, dia bersuara, "Tak apa. Tak payah segan. Ibu faham. Fakhri tu lain berbanding adik-beradik dia. Dia membesar di kampung. Tinggal dengan datuk dia. Masa tu, datuk dia, iaitu ayah ibu, tinggal seorang. Nenek Fakhri baru meninggal. Umur Fakhri 6 tahun. Baru nak masuk sekolah. Memang berat ibu nak berjauhan dengan dia. Tapi, kasihan pula dengan ayah. Dia pilih Fakhri berbanding cucu lain sebab dia nampak Fakhri lasak. Dia kata, ibu tak akan mampu jaga Fakhri dalam kesibukan kerja sehari-hari dengan kelasakan dan kedegilan Fakhri.

Memang betul. Ibu selalu tak ada masa. Along dan angah, mudah dengar kata, walaupun sesekali degil angah tu muncul. Tapi, masih tak berani nak buat apa-apa kalau kita larang. Tapi Fakhri tak. Dia tak peduli dan dia tak pernah takut apa pun. Ibu selalu takut kalau dengar dia punya pegangan kata."

"Hidup untuk mati." Aku sebut pegangan kata-kata Fakhri di hadapan ibunya.

Ibu Fakhri tersenyum, "Dia kongsikan dengan Farisya. Apa Farisya balas masa dia sebut tiga perkataan tu?"

"Saya balas, 'mati untuk hidup'. Sebagai orang Islam, dia patut faham apabila saya sebut begitu. Dan, alhamdulillah, dia faham."

Ibu Fakhri tersenyum. Dia capai tangan aku dan diusapnya. Dibeleknya jari jemari aku. Membuatkan jantung aku berdegup kencang dengan perasaan yang sangat tidak tenteram.

"Farisya dan Fakhri ni macam ada chemistry. Ibu boleh nampak yang Farisya pun boleh tahan degil. Dan, ibu boleh bayangkan macam mana Fakhri tersentak apabila ada seseorang yang mampu membalas pegangan katanya dengan satu pegangan kata yang lain. Yang cukup jitu."

"Puan tahu yang Fakhri pernah sakit teruk sebab makan Maggie dan lepas tu tersilap ambil julap?"

Dia menghela nafas. Melepas pandang ke arah kolam renang beriak kecil. Lalu berpaling memandang ke arah aku semula dan mengangguk. Ada kepedihan pada renungan matanya.

"Ibu... kesal. Dia tahu apa yang dia tak boleh makan, tapi dia saja makan. Dia boleh je order makanan lain. Boleh je suruh kawan-kawan dia hantar makanan, atau boleh je buat macam selalu... keluar malam dan makan di luar. Dia ada kawan-kawan yang sanggup buat apa sahaja untuk dia. Cakap je nak makan apa, akan ada yang menghantarnya sampai depan pagar. Itu kalau dia perlukan seseorang yang membeli untuk dia. Yang paling mudah, order. Tapi, dia tak buat. Dia sanggup sakitkan diri sendiri semata-mata nak tunjuk protes pada ibu. Bila dah sakit sangat, silap pula makan ubat."

"Dia nak tarik perhatian puan agaknya. Rindu untuk puan jaga dia."

"Ibu jauh masa tu, Farisya. Memang dia selalu buat macam tu awal-awal dia balik ke sini. Kalau setakat ibu ada di KL, memang ibu drive balik ke rumah. Tinggalkan seminar yang ibu patut hadiri. Tapi, tak selalu ibu boleh buat macam tu. Masa dia call kata dia sakit, ibu kat Singapore. Dia tak tahu. Dan, baru nak cakap, dia dah letak telefon. Dia block nombor ibu. Ibu hanya tahu keadaan dia daripada angah. Itupun selepas dua hari. Selepas kawan-kawan dia beritahu angah."

"Suami puan?"

"Ikut ibu ke Singapore. Dan, kebetulan, dia ada nak jumpa kawan perniagaan dia."

"Along?"

"Fakhri jarang call along. Dia anggap along dah cukup berat menanggung tanggungjawab ibu dan ayahnya apabila kami menyerahkan adik perempuannya dijaga along. Dia kata kami lepaskan tanggungjawab. Satu-satunya ahli keluarga yang baik dengan dia, angah."

Aku diam. Rasa berdosa pula pernah beranggapan yang sama terhadap ibu dan ayah Fakhri.

"Saya minta maaf, puan. Saya tak tahu. Saya ingat..."

"Tak apa. Memang ibu dan ayah, salah. Fakhri tu dah terlalu lama memendam perasaan sejak ditinggalkan dengan datuknya di kampung. Malah, kami jarang balik menjenguk dia. Hanya mengirim wang. Sebab itu apabila dia pulang, dia nak kemahuannya dituruti. Dan, apa yang dia nak, tak pernah gagal diperolehi. Dia tak peduli apa pun."

"Tapi, asas agama Fakhri sangat baik."

"Ya. Itu satu-satunya yang ibu tak pernah kesalkan ketika meletakkan dia bersama datuknya. Ayah ibu tegas dalam hal solat. Rotan cara didiknya. Sebab itu ketahanan tubuh Fakhri berbeza dengan abang-abangnya. Dia lebih lasak sebab cara hidupnya di kampung memang lepas. Dia buat ikut suka dia. Jatuh pokok berkali-kali. Accident motor sampai keadaan motor tu, tak boleh dibaiki."

Sedang aku ralit mendengar cerita ibu Fakhri, dia muncul.

"Oh, kat sini rupanya. Sembang apa dengan ibu?" Fakhri duduk di sebelah ibunya sambil merenung muka aku. Sebelah tangannya disangkut pada bahu ibunya. Dia buat macam kawan-kawan dia je.

"Sembang biasa je."

"Mengadu pada ibu tentang saya, ya?"

"Tuduh, berdosa."

Terus dia gelak, "Tengok, ibu. Macam tu je dia kenakan acik."

Aku senyum. Mengada. Ngadu kat ibu dia!

"Seronoknya berborak. Farisya kena datang selalu ke sini. Sembang dengan ibu. Dengar perangai Fakhri yang macam-macam," Ayah Fakhri tiba-tiba muncul dengan ramahnya. Entah ke mana tadi ayahnya menghilang selepas makan. Mungkin ada panggilan atau ada urusan kerja. Dia ambil tempat di sebelah isterinya. Ketiga-tiga beranak ni sedang menghadap aku.

"Segan, tuan. Kalau mak saya tahu, kena bebel saya ni. Datang rumah orang lelaki..." Aku cuba beralasan.

Ayah Fakhri ketawa. Tetapi kemudian berubah riak, "Emm... saya nak tanya Farisya sesuatu, boleh?"

"Ya, boleh tuan. Tanyalah." Tanpa sebarang keraguan, aku buka ruang.

"Farisya suka Fakhri?"

Terus aku tersumpah bisu.

2408 pp

28 Sep 2023

20.14 malam

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: #budakintern