Bab 32 - Budak Fakhri ni kan...
"Tak bangun lagi ke, Farisya? Dah pukul 7 ni."
"Emm... siapa ni?" Aku lihat pada skrin telefon. Oh, Fakhri. "Fakhri, nak apa?" Aku bertanya, malas.
Dia ketawa, "Bangunlah. Saya nak ajak awak sarapan sama-sama ni. Awak pergi mandi, gosok gigi... pakai baju elok-elok, lagi lima minit saya sampai."
"Ada janji nak jumpa ke pagi ni?" Aku masih baring di katil. Malam tadi senggugut aku datang, berguling aku macam tenggiling. Menangis tak boleh tidur. Hot pad pun tak boleh selesaikan masalah senggugut aku. Masa itulah teringat mak kat kampung. Kalau aku kena senggugut teruk, mak akan panaskan batu tungku dan balut tebal dengan kain batik. Mak suruh aku baring lurus dan letak tungku tu atas perut. Masa tu rasa selesa sangat. Tak lama lepas bertungku, darah period aku akan keluar dengan banyak.
Kata mak, darah tu tersekat. Itu yang rasa sakit. Bila dah bertungku, perjalanan darah akan pulih dan senggugut tu insya-Allah hilang.
"Tak ada janji apa-apa, wahai Cik Farisya. Tapi, saya nak bersarapan dengan awak. Kena buat appointment ke, yang?"
"Fakhri..."
"Eh, sekejap!" Dia potong cakap aku. "Subuh tadi solat tak? Ke... terlajak?" Sempat dia risaukan solat aku.
"Saya cutilah, Fakhri. Malam tadi baru kena. Sakit sangat. Tak boleh tidur. Itu yang bangun lambat."
"Teruk ke sakit period awak? Ada ubat tak? Nak saya belikan?"
"Tak payah. Saya dah makan Panadol dua biji malam tadi. Pagi ni kurang sikit. Tapi macam malas nak keluar. Awak tak sarapan lagi ke? Pergilah sarapan. Nanti masuk angin perut tu. Kat rumah ada makanan tak? Jangan makan Maggie pulak. Lepas tu makan julap..." Aku gelak.
Dia gelak juga, "Farisya saya ni dah pandai, ya! Dalam prihatin, dia kenakan orang. Picit hidung dia tu nanti."
"Belajar daripada budak nama Fakhri. Dia kan cekap curi peluang."
Fakhri ketawa lagi, "Kan... budak tu memang cekap. Tapi, dia cekap curi peluang je ke? Hati? Dia dapat curi tak? Tak dapat lagi? Haih, lemah betul budak Fakhri tu."
Aku terus ketawa. Hah, kan dah kata! Ada je idea dia nak melencong ke arah perkara-perkara hati.
"Dah hilang ke senggugut awak tu? Jomlah sarapan sama..."
"Saya malaslah..."
"Malas lain saya tak kisah. Malas jumpa saya, saya kisah. Saya dah nak balik Penang ni Farisya..."
Ish, mengada betul budak ni, "Okey. Nak sarapan kat mana?"
"Yeay! Kat mana tu, nanti saya bagi tahu. Awak siap je. Naik kereta saya, tau!"
"Setengah jam."
"Okey, okey. Boleh. Nak jumpa boyfriend tentu nak touch up cantik-cantik, kan? Nak pilih baju dan tudung lagi. Faham-faham."
Tengok budak ni! Ya Allah, sakit perut aku gelak. Ada je ayat-ayat merepek dia. Terus aku putuskan talian. Tunggu dia letak memang lambat.
Tapi, apa yang Fakhri kata memang betul. Aku ambil masa juga nak memilih baju dan tudung. Waktu-waktu period, memang taklah aku nak memilih baju warna putih walaupun aku nak sangat pakai baju warna putih. Dengan berat hati, hitam jadi pilihan. Aku gabungkan dengan shawl satin kelabu. Naik kereta Fakhri, aku kena consider baju yang lebih sopan.
Aku menilik deretan pakaian berwarna hitam yang aku ada. Mata tertancap pada sehelai blouse kosong yang loose dan labuh melepasi punggung. Malah, lebih sikit labuhnya, melepasi paha. Tapi tak mencecah lutut. Seluar, aku pilih jean hitam juga. Kalau bocor pun, tak nampak. Tapi, aku akan pastikan tiada kebocoran berlaku. Naik kereta orang, kot! Dahlah kereta Fakhri. Awal-awal period ni, aku akan pakai Kotex wings bersaiz 32. Insya-Allah, selamat. Kalau pilih saiz 28, memang akan out juga sipi-sipi.
Aku bersiap tak lama. Dalam 15 minit, siap mandi dan berpakaian. Tudung, memang dah ada yang digosok. Spray toner di muka, ratakan. Apply pelembab dan sapu sunscreen selapis pada muka. Lepas tu, sapu lip balm warna pink pada bibir. Calit sikit lip tint warna tanah juga agar tak nampak pucat bibir tu. Aku capai pocket perfume dan sumbat dalam beg. Memang tepat setengah jam. Macam biasa, aku selesa bawa backpack. Kali ini, aku tak pakai cermin mata. Aku pakai kanta lekap warna anak mata. Tak suka sangat nak pakai yang berwarna. Dalam lif, aku spray pocket perfume. Light sahaja baunya.
Sampai di pondok pengawal, kereta Fakhri dah sedia menunggu. Dia keluar daripada kereta, mengangkat tangan pada pengawal bertugas dan ...
"Assalamualaikum, Farisya Fakhri."
Aku senyum. Menggeleng. Dah tak boleh buat apa! Kenapa dia pun pakai hitam?
"Kenapa? Tak percaya?" Dia gelak. "Mungkin kali ini bukan kebetulan. Sebab... saya sengaja pilih hitam untuk sama dengan awak. Saya pandai, kan? Boleh ramal warna apa yang awak akan pakai."
"Pandailah sangat. Dah kenapa nak sama-sama ni? Tak bestlah..."
"Eh, couple kan? Kenalah sama. Penat tau kita nak meramal, boleh pula dia kata tak best sama-sama ni?" Fakhri menggeleng.
"Penat apa, ikut common sense je kan? Sebab awak tahu saya period."
Dia gelak, "Jom. Lapar dah ni." Dia iring aku ke kereta dan bukakan pintu, "Silakan fiancee."
Aku menggeleng. Ada je dia ni...
Dalam kereta, Fakhri pasang lagu Lovehunters, Sambutlah Kasihku. Aku layan liriknya. Emmm... ada makna ni. Bukan saja-saja je dia pasang. Tapi aku buat tak faham. Dia di sebelah tak habis-habis senyum.
Sewaktu keretanya masuk ke sebuah kawasan perumahan elit, aku tegakkan badan. Melihat persekitaran.
"Kita nak sarapan kat mana sebenarnya ni?" Cemas aku dibuatnya. Mana budak ni nak bawa aku? Dia nak culik aku ke, apa?
"Relaks, Farisya. Saya nak bawa awak ke rumah saya je. Dan, kat rumah tu bukan saya je ada. Ibu, ayah, along dan family dia, angah dan adik saya pun ada. So, tenang saja ya. Ibu dah masak. Dia orang semua tengah tunggu awak."
"Fakhri! Awak tak boleh buat macam ni..." Aku dah rasa nak menangis. Betullah budak ni suka buat benda-benda luar jangka. Suka hati dia je. "Fakhri, kenapa buat saya macam ni?" Gila apa aku nak jumpa keluarga dia. "Fakhri. Awak baliklah makan dengan keluarga awak. Saya turun kat tepi jalan ni je. Saya call Grab. Saya nak balik."
Dia berhentikan kereta di tepi jalan. Aku cuba buka pintu kereta, tapi berkunci. Aku pandang dia.
"Farisya... kenapa?"
"Kenapa, awak tanya? Dah kenapa tiba-tiba nak bawa saya jumpa keluarga awak?"
"Sebab awak supervisor saya. Saya berjaya selesaikan intern saya dengan baik sebab awak. So, salah ke saya nak kenalkan awak pada family saya? Awak tak payah rasa apa-apa, okey?" Dia bercakap dengan tenang dan dengan matang.
Debaran di dada aku berkurang. Aku pandang dia. Mata aku berair. Serius aku tak pernah fikir benda macam ni akan berlaku pada aku.
"Percaya pada saya?" Dia memujuk sambil menghulurkan tisu.
Tapi aku menggeleng. Aku tak nak kenal dengan keluarga dia. Aku tak percaya dia. Baru tadi dia sebut fiancee, dan dia mengaku memang sengaja pakai baju sama warna... Apa yang sebenarnya Fakhri buat?
"Okey, saya call ibu sekejap. Kalau awak tak percaya yang saya jemput awak sebagai supervisor saya, awak boleh cakap dengan ibu saya sendiri."
Dia on handphone dan mula bercakap, "Ibu... emmm... supervisor acik tak percaya dengan acik. Dia takut bila tahu acik nak bawa dia ke rumah kita. Dah... Acik dah cakap yang keluarga kita ada. Tapi, dia takut benda lain pula, bu," Fakhri ketawa. "Aah, bu. Itulah yang dia takutkan. Dahlah warna baju acik dengan dia tersama. Macam mana ni, ibu?"
Aku jadi pelik. Bukan ke sebelum ni hubungan Fakhri dengan ibunya tak baik? Tapi... cara dia berbual macam dia tu baik sangat dan manja dengan ibunya.
"Nah!" Fakhri hulur telefonnya pada aku. "Ibu nak cakap dengan awak."
Teragak-agak aku nak menyambut telefon Fakhri. Tapi, aku cuba bertenang. Apa bendalah kau Farisya. Dengan pengurusan tertinggi syarikat elok je kau hadap, dengan ibu student intern pula yang kau takut. Tenang dan jawab macam mana kau jawab panggilan pensyarah Fakhri dulu.
"Errr... hello. Assalamualaikum."
"Waalaikumsalam. Farisya?"
"Ya, saya."
"Ibu dah masak, jemputlah datang makan sama-sama. Kami nak raikan Fakhri sebelum dia balik Penang. Farisya supervisor dia, kan?"
"Errr... ya, saya."
"Jangan segan. Fakhri tu memang suka buat benda-benda luar akal. Ibu tak sangka dia tak bagi tahu lagi hal ni pada Farisya. Patutlah lewat. Datang, ya. Ada perkara yang ibu nak bincangkan."
"Errr... okey."
Degupan jantung aku macam nak tercabut keluar. Fakhri ni memang gila! Apa bendalah yang dia dah cerita kat keluarga dia. Dan, apa bendalah yang ibu dia nak bincangkan dengan aku jika dia menganggap aku ni supervisor Fakhri? Ya Allah, tolonglah aku.
Aku serah semula telefon pada Fakhri. Dia senyum. Aku berpaling memandang ke luar tingkap. Terdengar dia mengeluh.
"Farisya, saya gerak ya?" Dia bercakap dengan lembut. Tapi aku tak rasa nak jawab dan pandang dia. Memang dari awal aku kenal Fakhri ni jantung aku memang tak terkawal. Ada sahaja halnya yang membuatkan aku tak tenang. Air mata sudah bertakung lama. Bila-bila masa sahaja akan turun lebat kerana risau teramat. Sebaik kereta bergerak, makin hebat detaknya. Apalah yang budak macam-macam ni dah buat.
1459 pp
28.09.2023
16.20 pm
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro