Bab 31 - Malu, Ohneul dan Manual
"Bila Fakhri balik Penang?"
"Saya macam tak nak balik. Tapi, tak boleh. Kena balik. Kena habiskan pengajian. Baru Farisya saya bangga dengan saya."
Dia mula mengarut! Lain aku tanya, lain dijawabnya.
"Dah kenapa tak nak balik? Kan best dapat jumpa kawan-kawan. Dapat jumpa crush..." Saja aku menyakat.
"Nak test ke apa?" Dia gelak.
Merah terus muka aku. Tak beragak!
"Jomlah pergi Penang. Boleh kenal dengan kawan-kawan saya. Kat sana, saya join Penang punya geng. Dia orang ni okey. Tapi biasalah. Ada segelintir dua yang teruk. Teruk tahap macam tak ada pegangan agama. Ke laut semuanya."
"Apa maksud Fakhri 'ke laut semuanya'?"
"Perangai. Akidah. Hanyut."
"Contoh?"
"Layan video lucah. Onani. Pil kuda."
"So, apa yang awak dan geng awak buat?"
"So, kita orang slow-slow la tarik mana yang hanyut."
Tarik? Tarik telinga ke macam mana? Berdebar hati aku mendengar cerita Fakhri. Ke... dia belasah budak tu? Dan, tertanya juga akan akidah dia sendiri. Dia terlalu muda untuk tidak hanyut atau terpedaya dengan nafsu remaja. Lebih-lebih lagi bila berada dalam kelompok sedemikian.
"Masa sebelum saya balik KL untuk intern hari tu, saya dan geng saya sempat ajar seorang budak ni mandi hadas."
Mandi hadas? Dah kenapa mandi hadas? Bukan kena ajar solat ke, mengaji ke... Tapi, aku tak suarakan. Aku tunggu Fakhri bercerita.
Fakhri senyum pada aku, "Awak jangan fikir yang bukan-bukan tau! Jangan fikir atau jangan pandang saya dan kawan-kawan saya ni ada buat benda tak senonoh tau. Kita orang tak pernah sentuh perempuan."
"Apa sebenarnya yang Fakhri nak cakap ni?"
"Budak lelaki kalau lepas layan video lucah, dia orang akan..." Fakhri terdiam. Dia berpaling ke arah lain. Menunduk seketika. Dan ketika kepalanya diangkat semula, dia menghela nafas dan menyambung kata, "... saya segan nak cakap. Tapi, awak dapat catch-up tak apa yang saya nak sampaikan?" Dia tanya aku sambil menarik senyum paksa.
Aku memang slow, memang blur. Cuba hadam tapi tak sampai.
Tiba-tiba dia ketuk tangan aku dengan buku, "Eiii... otak tu kenapa tak matang? Takkan nak suruh saya cakap juga." Dia marah aku. "Betul ke tak dapat catch-up ni?"
Aku menarik muka masam, "Tak payah ceritalah kalau rasa saya ni slow catch-up. Marah orang dah kenapa? Siap pakej pukul pulak!"
Dia senyum, "Saya rasa, saya lagi matang pada awak."
Aku buat tak tahu. Aku pandang sekitar. Sakit hati bila rasa dianggap bodoh. Dah aku tak faham, tak catch-up, nak buat macam mana. Corak hidup aku berbeza kot dengan corak hidup dia. Dahlah berlainan jantina. Umur jauh beza. Memang taklah aku fikir apa yang dia dan kawan-kawan dia buat.
"Saya sebut satu perkataan. Tapi... awak jangan pandang serong pada saya. Ia fitrah."
Aku diam. Tak pandang pun pada dia. Masih melarikan anak mata ke arah orang yang lalu lalang.
"Ejaculation."
Terus panas muka aku.
"Sebab itu saya malas nak sebut. Tengok, muka tu dah merah. Sekarang Farisya faham kenapa saya ajar budak-budak tu mandi hadas? Bukan ajar dia orang mengaji atau solat dulu? Sebab, saya nak dia orang tu bersih. Tak guna saya ajar mengaji atau solat kalau dia orang tak betul-betul bersih. Kebersihan itu penting dalam solat.
Dia orang tengok cerita tak senonoh tu memang kita susah nak halang. Dah nasihat pun ada yang sekejap je masuk dalam otak, lepas tu ketagih balik. Kalau saya dan kawan-kawan saya tak ajar benda penting ni, solat dia orang tak sah. Bila solat tak sah, hati susah nak terima apa benda nasihat pun. Apatah lagi petunjuk daripada Allah. Saya harap sangat, biar jahat macam mana pun dia orang, tapi solat dia orang terjaga. Dalam keadaan bersih dan diterima. Dari situ baru boleh didik bab lain."
Aku faham sekarang. Tapi, masih tak mampu nak angkat muka. Segan ya amat!
"Dahlah tu. Awak buat perangai malu macam ni, buat saya geram. Cute sangat. Ini yang rasa nak menyakat." Dia gelak.
Otak aku dah jem. Kenapalah dalam cerita dia kena ada perkataan macam tu? Segan sangat. Tak pernah walau sekali pun aku berdepan dengan lelaki dan bercakap 'perihal lelaki'. Walaupun aku handle beberapa kes sexual harassment. Mungkin belum lagi sampai kes seumpamanya.
"Farisya..." Dia ketawa. "Jom kita solat asar. Lepas tu saya nak tuntut hadiah saya."
Lagilah aku berdebar. Jangan hadiah yang mengarut sudahlah.
"Kalau dah rasa malu sangat, saya gerak dulu. Harap, lepas solat, awak dah okey. Jangan fokus pada perkataan tu. Fokus pada apa yang saya buat untuk bantu anak muda kita. Satu hari, kita akan ada keluarga. Kalau kita tak jaga generasi yang ada, esok-esok, takut terkena pada keturunan kita. Orang macam saya yang dekat dengan budak-budak hanyut ni je yang boleh tarik mereka. Kalau ustaz-ustaz tegur, dia orang buat dek. Fikir begitu, Farisya. Saya gerak dulu. Awak jangan lama-lama kat sini. Nanti ada orang mengurat. Saya cemburu."
Dia bangun dan bergerak ke surau.
Barulah aku mengangkat muka. Astaghfirullahalazim! Sakit jantung aku dengan Muhammad Fakhri Amri ni! Terus aku capai beg dan ke surau.
Selesai solat, aku bertafakur atas sejadah. Merenung balik kehidupan aku yang dah 29 tahun ni. Memang aku akui yang Fakhri benar. Aku ni umur je tua, tapi lambat matang. Lebih-lebih lagi bab yang melibatkan hal-hal dua manusia lelaki dan perempuan.
Masa form five, orang dah start bercouple. Dah ada rasa. Dah fikir soal kahwin. Dah nampak kahwin tu macam mana. Dah ada ilmu tentang 'buat manusia'. Tapi aku apa pun tak tahu. Aku pernah kena marah dengan ustazah sebab soalan bodoh aku. Ya, aku memang bodoh. Tapi soalan aku tu jujur. Jujur bodoh.
Masa ustazah bercerita, suami akan tahu bila isterinya period, aku tanpa fikir apa-apa terus tanya, "Macam mana dia tahu, ustazah?"
Terus aku kena tengking, "Awak jangan main-main ya tanya soalan macam tu!"
Sumpah. Aku memang tak tahu. Aku tanya kawan-kawan aku, tapi dia orang tak percaya aku tak tahu. Masing-masing kata aku pretending tak tahu. Masing-masing, tak ada seorang pun yang nak explain pada aku. Memang sedih. Memang rasa bodoh gila! Sampailah aku mengkaji setiap perkara. Baik dalam ilmu sains, mahupun agama.
Dan, aku mulai faham kenapa orang layan aku macam tu. Aku maafkan mereka. Aku maafkan juga diri aku yang sangat tertutup minda dengan hal-hal sebegitu.
Keluar dari surau, Fakhri sudah menunggu. Dia tak berani tegur atau senyum pada aku. Tapi, aku yang tegur dia dulu.
"Maaf. Saya lambat catch-up tadi. Kalau saya faham awal, tentu awak tak sebut perkataan tu, kan? Silap saya. Lepas tu, saya buat awak serba salah pula." Aku menunduk.
Tiba-tiba, dia mencangkung depan aku. Mendongak, melihat muka aku yang menunduk. Hanya selepas seminit dua, baru dia berdiri.
"Jom, kita pergi satu tempat. Saya nak tuntut hadiah saya."
Aku berjalan sebelah dia. Malas nak tanya. Tunggu je dia nak bawa aku ke mana.
"Farisya..."
Oh, dia bawa aku ke Ohneul Korean Photo Studio!
"Boleh, ya?"
Apa aku nak balas?
"Please. Saya nak balik Penang. At least hadiah ni..." Ayatnya tergantung.
"Saya tak tahu nak cakap apa."
"Cakap 'okey'."
"Saya tak pernah tangkap gambar dengan lelaki. Berdua."
"Tipu. Saya tahu awak ada tangkap gambar dengan budak-budak intern awak yang lain. Dengan Saifullah pun ada, kan?"
Oh! Aah, ada. Aku terlupa. Mungkin sebab itu kat dalam syarikat. Lepas tangkap gambar ramai-ramai, memang ada budak-budak intern yang tangkap gambar berdua dengan aku. Kenapa aku tak ingat? Mungkin situasi kali ini berbeza. Aku dan Fakhri di pusat membeli belah. Pakaian kami sama tema. Dan, tempat bergambar pun... alahai...
"Kita tangkap gambar kat kilang je lah masa hari last awak."
"Tak ada beza, kan? Tetap berdua. Tetap muka yang tercetak pada gambar nanti muka kita."
"Lainlah..."
"Ada masalah ke kalau lain? Saya tak nak sama dengan budak-budak intern yang lain tu."
Fakhri ni kan... dia punya insist tu...
"Okeylah!"
Terus dia senyum.
Kami masuk ke studio tu dan mula bergambar. Pada mulanya, aku rasa kekok. Tapi Fakhri bijak buat macam-macam untuk bagi aku selesa. Dan, dalam gambar tu memang dia je yang banyak berposing. Gambar aku pula banyak memerhati dan ketawa dengan gaya dia. Hanya selepas beberapa shoot, baru aku boleh bergambar seperti biasa.
Boleh senyum natural. Boleh buat mini love. Boleh buat simbol peace...
Keluar dari Ohneul, Fakhri serahkan beberapa salinan pada aku, "Simpan. Awak ada satu set, saya ada satu set."
"Kata, ini hadiah saya untuk awak, tapi kenapa awak yang bayar?" Aku tanya pada dia.
"Hadiah daripada awak berbentuk keizinan dan kesudian bergambar dengan saya di sini. Bayaran tu tak ada apa-apa pun. Terima kasih. Saya happy sangat hari ni."
"Kita balik? Saya dah penatlah."
"Jom."
Kami menuju ke tempat parkir. Sewaktu aku buka pintu kereta, Fakhri tiba-tiba masuk ke dalam kereta aku di sebelah pemandu.
"Eh?"
"Sekejaplah..." Dia tutup pintu.
Aku hidupkan enjin kereta dan hidupkan aircond. Elok dia bersandar dan membelek kereta aku.
"Caiyok! Manual tu!" Dia gelak. Teruja sebab kereta aku jenis manual.
"Murah sikit kalau manual. Kereta auto, mahal."
"Kereta saya pun manual. Memang sengaja beli manual. Nak tahu kenapa?" Dia berpaling pada aku.
Aku hanya angkat bahu.
"Sebab, pada saya dan kawan-kawan saya... kereta auto tu hanya untuk orang cacat. Orang kurang upaya."
"Eiii... tak baiklah!" Aku gelak.
"Nasib baik awek saya sehati sejiwa dengan saya."
Kereta aku jenis Honda Civic. Aku memang peminat Honda. Kereta Fakhri, kereta model lama. Lama gila! Satria GTI. Mana entah dia dapat kereta rare ni. Aku pun minat Satria GTI ni. Satu, sebab comel. Dua, memang jenis kalau bawa berlumba, pick up sedap. Kalau masa tukar gear tu (manual), memang superb!
"Okeylah. Drive baik-baik. Dah sampai, WhatsApp, k!" Dia keluar dari kereta aku. Terus masuk ke kereta dia.
Aku buka tingkap dan melambai sebelum memandu keluar dari parkir. Tak lama. Ketika aku dah keluar ke jalan utama, kereta Fakhri ada di sebelah. Dan, sepanjang aku memandu pulang, aku nampak dia ikut dari belakang. Tanpa sedar, aku sengih sorang.
1622 pp
25 Sep 2023
00.09 pm
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro