Bab 30 - M&M
Usai solat, Fakhri sudah menunggu di luar surau perempuan. Dia senyum bila nampak aku keluar.
"Nak cari buku apa, Farisya?" Dia bertanya sambil kami berjalan menuju ke BookXcess.
"Novel Inggeris."
"Novel cinta ke?"
Aku tergelak, "Taklah. Novel bunuh-bunuh."
Dia senyum. Kami masuk ke BookXcess. Aku mula ralit melihat rak buku. Fakhri mengikuti. Sesekali, dia capai dua tiga buku dan membaca blurb. Sesekali, bila aku menoleh ke sebelah, dia hilang. Oh, tertinggal di rak awal tadi. Ralit dia membelek kulit buku. Aku bergerak menghampiri Fakhri.
"Ada yang Fakhri minat? Saya belanja." Aku sebenarnya terfikir nak bagi dia sesuatu, tapi tak tahu nak bagi apa.
Dia menoleh dan tersenyum, "Memang biasa bagi budak-budak intern hadiah ke kalau dia orang dah habis intern? Dah berapa ramai awak bagi hadiah? Patutlah ramai yang 'melekat'."
"Eh, tak adalah. Biasanya, saya yang dapat hadiah. Tempoh hari, Saifullah pun ada bagi hadiah sebelum dia habis intern. Saya tak pernah bagi budak-budak intern hadiah. Ramai, kot! Tak mampu." Aku gelak. "Belanja makan kat kafe, bolehlah. Ini baru nak bagi kat yang sorang ni."
Dia pusingkan badan, menghadap aku, "Betul? Tak tipu?"
"Tipu berdosa."
Dia ketawa. Dia cuit hidung aku dengan buku yang dipegangnya. Automatik aku mengelak. Nasib baik aku tak tepis buku tu. Tak fasal melayang kena orang lain. Budak ni kan... tak beragak.
"Awak ni kan..." Aku menggeleng.
"Awak ni kan..." Dia ketawa, "... memang awek gengster. Refleks lain macam. Baru sentuh guna buku. Belum dengan tangan. Dah macam nak bersilat."
"Sentuh-sentuh, sensitif ya. Behave."
Dia senyum, "Awek saya pandai jaga diri."
"Buku ni tentang apa? Ralit betul Fakhri belek. Suka?" Aku tukar topik.
"Emm... entah. Saya rasa buku genre thriller. Saya suka dengan taglinenya, 'He broke his promise, she paid the price.' Penulisnya, Harlan Coben. Tajuk... Promise Me. Pernah baca?"
Aku menggeleng. Aku capai buku daripada tangan Fakhri. Aku selak beberapa halaman dan baca sekali lalu, "Menarik!" Aku baca pula blurb di belakang buku.
Fakhri pula membelek beberapa buku lain yang ditulis oleh penulis yang sama.
"Macam bersiri, awak." Dia tunjukkan pada aku beberapa buku yang diambil.
"Yalah. Ini kalau baca, memang tak jejak realiti. Ralit. Menariklah cerita dia yang ini." Aku angkat buku yang mula-mula Fakhri pegang tadi. Yang dibuat menyentuh pucuk hidung aku.
Dia senyum, "Pandai awak curi hati saya."
Berkerut dahi aku.
"Bila awak suka apa yang saya pilih, itu dah cukup mencuri hati."
Dalam diam, aku akui. Pilihan dia dan aku, serasi, "Awak pilihlah buku lain. Saya bayar. Dah niat nak bagi hadiah."
"Boleh saya tahu, kenapa awak nak belikan saya hadiah? Sedangkan, awak kata, awak tak pernah belikan mana-mana budak intern hadiah?"
"Entah. Mungkin situasinya berbeza. Saya suka kalau orang baca buku. Lagilah lelaki yang membaca. Dan... orang tu jenis macam awak. Unexpected. Ingatkan tak suka buku, tapi bila membelek, memilih... not bad citarasa awak pada buku. Emm... mungkin sebab tu."
"Emm... kalau saya tak nak buku, tapi nak request benda lain, boleh?"
"Insya-Allah, tapi jangan yang bukan-bukan." Aku bagi amaran. Budak ni bukan boleh percaya. Nanti diminta yang bukan-bukan, tak fasal!
Dia ketawa, "Jangan risau. Okey je yang saya nak minta ni. Tak mahal pun, tapi bermakna. Awak tahu kenapa saya suka awak?"
"Sebab M&M?" Aku meneka. Sedangkan, aku tak tahu pun lagi maksud di sebalik M&M tu.
Fakhri ketawa, "Sebut sangat... tahu ke maknanya?"
Aku ketawa sama sambil menggeleng, "Tolonglah cerita."
"Matang & Manja." Dia renung muka aku.
Aku biar je. Aku tak alihkan pandangan pun. Aku renung muka dia yang M&M, 'Macam&Macam'.
Dia senyum, "Saya nak cerita pada awak satu rahsia. Sebenarnya, memang saya sengaja makan Maggie malam sebelum lapor diri untuk intern esoknya. Dengan harapan saya jatuh sakit, dapat MC dan tak perlu attend internship. Saya cuba protes pada ibu ayah. Tapi... sebab pagi tu awak call, membebel kat saya dengan suara lunak merdu manja awak tu... curiousity saya terus on. Saya nak jumpa awak. Nak tengok awak."
"Lunak merdu manja? Fakhri ada masalah pendengaran ke, apa? Saya tengah marah kot masa tu. Tengah membebel!"
"Aah, saya ada masalah pendengaran. Kan saya sakit lepas makan Maggie..." Dia ketawa, melayan sarcasm aku.
Tapi, sesaat dua lepas tu, dia jadi serius balik, "Tapi apa yang saya kata tu, betul. Saya serius, Farisya. Memang lepas dengar suara awak, saya decide nak datang ke kilang dan teruskan intern. Saya nak jumpa awak."
"Fakhri, Fakhri... takkanlah semudah itu awak boleh buat keputusan. Suara tak melambangkan diri seseorang tu sepenuhnya. Awak datang bukan sebab suara saya. Tapi, memang Allah sayang awak. Nak awak tunaikan hajat ibu ayah awak untuk awak tamatkan pengajian awak dengan sempurna. Maka, Allah bisikkan dalam hati awak satu gerak rasa. Bukan sebab suara saya."
"Emmm... betullah tu apa yang Farisya Fakhri cakap. Bukan suara. Tapi, gerak hati. Hati yang dah terikat dengan jodoh yang diatur Ilahi. Dengar suara asbab untuk hati berdetak."
Ada je ayat dia ni! Aku dah tak boleh nak cakap apa. Akhirnya aku ketawa.
"Ketawa pun, manja. Macam manalah saya nak balik Penang macam ni. Mesti rindu nanti."
Terhela nafas aku. Ayat Fakhri... lama-lama aku 'jatuh' juga dengan budak ni...
Aiskrim yang kami order dah siap. Aku memilih Cheesecake Kakigori, sementara Fakhri memilih Mango Yogurt Kakigori.
"Macam sama... je! Nak rasa sikit. Sama tak?"
Aku tolak mangkuk aiskrim. Dia ceduk dan rasa. "Emm... sedap! Nah, rasa!" Dia tolak dia punya pula.
Aku ceduk sesudu dan rasa, "Emm... lagi sedaplah yogurt daripada cheesecake."
Dia senyum, "Kalau awak tak kisah, kita makan kongsi-kongsi je. Kalau rasa nak, amik je."
"Emmm... tak apa. Saya makan yang saya punya je." Risau aku kalau dah kongsi-kongsi ni. "Saya nak tanya, boleh?" Aku buka topik.
Dia mengangguk.
"Emm... betul ke masa orientation dulu, dalam bilik latihan, Fakhri cekak kolar baju Saifullah?"
Dia ketawa, "Mamat tu mengadu, eh?"
Aku senyum je.
"Betullah tu. Geram. Jawapan tak boleh blah. Kenapa Farisya tanya?"
"Saja nak tahu. Sebab awal sangat dah..."
"Dah cemburu?" Dia senyum.
Susah aku nak percaya. Baru sehari dua kenal, takkanlah semudah itu ada rasa. Dah tu, melampau pula cemburunya!
"Emm... nak tanya lagi."
Dia gelak, "Macam ni nak halau saya balik? Dah agak, mesti ada macam-macam awak nak tanya. Curiosity awak tu memang mudah dijangka. Ya, sayang. Ada apa tu?"
Terus jantung aku tak relaks, "Masa malam awak tolong kawan awak dan awak admitted tu, call log awak cuma ada nama saya dan nama angah. Tapi dalam cerita awak, awak kata, awak ada call kawan polis awak, call kawan-kawan awak..."
Dia senyum, "Tahu tak kenapa saya semakin yakin yang saya betul dah jatuh pada awak?"
Aku menggeleng.
"Sebab kematangan awak. Penerimaan awak terhadap cerita saya. Ketegasan awak dalam bekerja. Awak tak kisah pun pada permintaan saya supaya jangan jawab panggilan Mohammad. Dan, setiap cerita saya, awak hadam betul-betul tanpa prejudis. Keinginan awak untuk tahu tentang saya, tinggi. Dan, awak keras hati. Tapi, ada masa-masa tertentu, awak manja. Kemanjaan yang tuan badannya pun tak perasan."
"Sebab, saya dah 29 tahun, Fakhri. Kalau awak tak sedar. Itu angka umur saya. Dan angka itu tak lama lagi akan bertukar kepada nombor tiga di hadapan. Walaupun awak kata, age is just a number, tapi daripada angka yang banyak itulah terbentuknya kematangan seseorang. Lebih-lebih lagi saya seorang wanita berkerjaya. Yang sering berhadapan dengan pihak tertinggi pengurusan. Tak perlu awak nak jatuh suka pada saya hanya kerana azalinya begitu. Dan tentang 'manja'... sedar atau tidak, setiap perempuan ada sisi itu. Kalau awak buka ruang pada mana-mana gadis untuk menakluk hati awak, awak akan jumpa sisi itu padanya walau siapa pun dia. Jangan sebab dua perkara itu buat awak keliru di antara kagum dan cinta."
Dia senyum. Tak terkesan dengan kata-kata aku.
"Saya kenal hati saya. Saya dah berdepan dengan ramai orang walaupun umur saya tak capai umur matang ikut angka dalam skala kematangan awak. Saya dah bergaul dengan orang dewasa pada usia 9 tahun lagi. Saya muda pada usia, tapi bukan pada pengalaman sosial. Awak tahu, Farisya. Pada umur 12 tahun, saya dah hisap shisha."
Aku pandang dia. Serius, aku terkejut. Mohammad pernah beritahu aku yang Fakhri merokok. Dan, aku percaya. Tapi, aku tak pernah jangka yang dia hisap shisha seawal usia itu.
"Awak... merokok?" Walaupun aku pasti dia merokok. Cuma, agak pelik sebab sepanjang kami keluar dari pagi membawa ke petang, dia tak hisap walau sebatang pun. Dan, kalau dia hisap sembunyi-sembunyi, tentu ada bau pada nafasnya. Tapi, tak ada.
Dia mengangguk, "Cuma, kalau dengan awak, saya tak hisap. Saya tahu awak tak suka orang merokok dan tak suka bau rokok."
Patut muka dia cepat matang. Rokok membuatkan dia lebih tua berbanding usia sebenar. Macam mana rupa paru-paru dia sekarang, kalau dalam usia muda sudah consume benda-benda terlarang? Akan datang? Oh, lupa. Pegangan dia, 'hidup untuk mati'.
"Aiskrim awak dah cair..." Dia tegur aku yang dah berhenti menyuap. Dia punya dah nak habis.
Terus aku menyuap. Kalau dah cair betul, kurang sedap.
"Farisya..."
Aku mendongak.
"Betul... saya suka awak. Kenapa hati awak tak macam aiskrim?"
Aku ketawa. Ini salah satu sebab kenapa aku selesa dengan Fakhri. Dalam kami berbual hal serius, dia boleh melencong kepada hal-hal simple yang menyenangkan.
"Nah," Dia hulur tisu. "Comot." Dia kutuk aku sebelum menyambung kata, "... tentu saya akan rindu muka comot ni..."
Aku menggeleng. Terlepas tawa kecil. Fakhri dengan ayat-ayat semanis aiskrim.
"Oh, tentang soalan call log saya. Awak nak tanya mana senarai call yang lain? Kawan polis saya... geng-geng saya... kan?"
Dia tahu. Aku mengangguk. Sedangkan, pada malam itu, ada beberapa nama yang call dia dan dia juga ada call mereka selain nama aku dan Fakhrul (angah). Mustahil dia sempat delete dalam keadaan kelam kabut, nyawa di hujung tanduk?
"Saya ada dua telefon. Satu tu, telefon pakai buang. Saya tak nak merisikokan kawan-kawan saya kalau saya kena tangkap polis. Dan, saya tak nak kawan polis saya terseret sama kalau nombor dia ada dalam call log saya. Masa saya lari tu, sempat saya buang telefon tu. Dan, dalam senarai tu, tak ada satu nama pun. Saya hanya hafal empat nombor belakang setiap kawan-kawan saya. Kalau orang lain jumpa telefon tu pun, tak akan jadi apa-apa. Saya rasa, tak boleh retrieve pun sebab dah rosak kena campak. Sim kad pun, sim kad pakai buang. Dan, setiap nombor pakai buang saya, nombor terakhir adalah nombor empat. Itu kod keselamatan saya dengan kawan-kawan. Kalau saya dial, dan dia orang nampak nombor empat pada akhir nombor tak dikenal, mereka boleh agak itu saya."
"Mohammad pun ada dua nombor. Dan, dia tak save nama saya sebab keselamatan. Tapi, awak elok je simpan pada telefon lagi satu tu."
"Nak kata saya merisikokan awak? Tak sayang awak? Tak macam yang Mohammad buat?" Dia angin tiba-tiba.
Berderau darah aku tengok Fakhri dalam keadaan marah. Sisi gengster dia terserlah. Terkebil-kebil aku pandang dia.
"Maaf. Saya sentap bila awak bandingkan saya dengan lelaki lain. Saya sayang awak. Saya ada alasan kenapa saya buat begitu. Salah satunya sebab saya nak awak dan angah jadi orang terawal yang menerima berita tentang saya. Dan, saya tahu ia berisiko meletakkan nama awak dan angah. Tapi, saya tahu sejauh mana kemampuan awak dan angah menangani hal-hal kecemasan atau yang berisiko. Kalau ada orang nak ganggu awak hanya kerana berdendam pada saya, itu awak jangan risau. Saya selalu pantau awak. Kawan-kawan saya pun ada di merata-rata tempat untuk pantau awak."
Aku mengangguk. Semakin jelas watak seorang Fakhri di mata aku. Watak yang mula mengganggu rentak jiwa wanita aku.
1907 pp
22 Sep 2023
19.14 pm
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro