Bab 29 - Okey je!
Lama aku berbual dengan Fakhri. Dan, aku terkejut ketika dia bercerita tentang alasan dia keluar pada malam yang dia dipukul lalu terlantar di hospital.
"Awak tentu menganggap saya budak liar. Keluar malam dan buat perkara bodoh. Biarkan diri terjebak dengan pergaduhan."
"Sesiapa pun akan beranggapan begitu, Fakhri. Kalau Fakhri nak cerita, saya suka nak mendengar."
Dia senyum, "Curiosity, kills the cat. Tak takut?"
"Hidup untuk mati," Aku balas dengan prinsip hidup dia sendiri. Sambil aku tersenyum sinis dan angkat kening. Tak ada apa yang aku nak takutkan tentang hakikat hidup seorang Muhammad Fakhri Amri. Sejak awal kenal, dia dah memang 'macam-macam'. Banyak perkara tiba-tiba, luar jangka yang Fakhri munculkan. Jantung aku dah lali dengan semua perkara unexpected oleh Fakhri.
Dia ketawa. Suka apabila prinsip yang dipegangnya, disebut sebagai serangan balas kata-kata sendiri.
"Memang sesuai jadi awek saya."
Aku menggeleng. Tersenyum. Lucu dengan perkaitan yang tak pernah lari daripada perasaan keliru dia.
"Saya keluar sebab nak tolong kawan. Antara hidup dan mati. Antara maruah dan kesilapan masa lalu."
Aku mendengar dengan tekun. Cerita yang menarik dan jauh daripada kehidupan aku. Kisah manusia yang zahiriahnya dipandang masyarakat sebagai hina dan tidak punya matlamat. Tetapi, matlamat itu sebenarnya wujud. Hanya nampak ketika disebut.
"Kawan saya, adik perempuannya hampir diculik kerana hutang. Maruah budak itu hampir tergadai kalau abangnya tak bawa wang."
"Fakhri bayarkan?"
"Ya. Saya keluarkan seribu ringgit duit simpanan saya. Cash. Kawan saya cuma berhutang RM200. Masa tu dia nak repair motor. Dia budak litar. Ditawarkan bantuan. Dia tak tahu lelaki tu lahanat yang cari mangsa."
Seram aku dengar cerita Fakhri. Patutlah dia keluar juga malam tu. Di antara nyawa dan maruah adik sahabat. Kalau aku di tempat Fakhri pun, aku akan buat perkara yang sama.
"Fakhri pergi seorang?" Ngeri aku bila mengenangkan jika benar dia pergi seorang. Tapi, aku rasa tak. Dia ada geng besar.
"Saya call kawan saya. Polis. Bagi tahu dia. Dan, saya call kawan-kawan lain. Stand-by. Tapi, saya pergi seorang. Takut kalau datang serentak ramai-ramai, kawan saya hilang nyawa. Masa tu, nego baik je. Saya bagi je duit tu. Tapi, mangkuk hayun tu memang setan. Memang Yahudi. Tak pegang pada janji. Dia kata akan tuntut lagi. Ada bunga lagi. Anginlah saya. Memang saya mengamuk. Saya suruh kawan saya blah dengan adik dia dan saya belasah orang yang jadi perantara tu."
"Fakhri sorang?"
"Sorang je. Bukan lama pun gaduh. Lagipun, mangkuk hayun tu bukan ramai pun. Tujuh orang je."
"Tujuh orang je?"
"Aah. Tujuh orang yang pengecut. Kalau dia orang hebat sangat, setakat saya yang belasan tahun ni nak hadap, tak payah datang lebih daripada tiga orang sepatutnya. Tapi, masing-masing pengecut. Nama je ah long, kaki pukul. Tapi, bawa back-up sampai lima enam orang."
Aku pandang muka Fakhri. Dia ni memang berani. Berani mati! Geram je aku dengan dia. Kalau jadi boyfriend ni memang aku tak senang tidur.
"Tujuh orang tu, saya belasah je. Tapi, penatlah. Baru nak bernafas, datang lagi 10 orang. Saya cabut. Saya call kawan polis saya, tanya dia kat mana. On the way! Nasib baik geng back-up datang. Tapi masa tu saya dah kena. Polis sampai, masing-masing blah. Dia orang tak jumpa saya. Saya dah tercampak dalam longkang. Ayah dan geng ayah yang jumpa saya. Saya nampak muka ayah masa ayah angkat saya."
"Kiranya, kes ni dah jadi kes polislah? Fakhri kena bagi keterangan ke? Jadi saksi utama, ke?"
"Tak. Ayah back-up. Kawan saya yang polis tu pun back-up. So, sebab tak ada sesiapa report dan bila tangkapan dibuat masing-masing senyap, kes ni ditutup. Tapi, mangkuk-mangkuk tu dah tak berani nak kacau. Geng ayah dah bagi warning."
"Duit seribu tu?"
"Dia orang ambillah. Kira betul langsailah hutang kawan saya tu."
"Dia akan bayar balik ke?"
"Saya tak nak. Saya kira halal je. Dia bukan ada duit pun. Kalau saya anggap hutang, entah bila nak settle. Kalau saya mati, tergantung hutang tu. Kalau dia mati, memang saya akan halalkan."
"Ayah Fakhri tahu tentang duit seribu tu?"
"Saya tak pasti. Tapi, duit tu bukan duit ayah. Saya ada duit sendiri. Saya ada kerja sendiri."
"Fakhri kerja apa? Bila masa Fakhri kerja? Bukan belajar ke?"
Dia senyum, "Adalah. Simpanan saya pun dah banyak. Sebab tu berani nak ushar anak dara orang. Kalau nak pinang pun, boleh. Cuma, orang tu lah... tak pernah nampak kita sebagai lelaki. Nampak sebagai budak intern dia je..."
Aku tak tahu nak cakap apa. Dah memang dia budak intern aku. Apa aje kerja budak ni...
"Farisya..."
"Hmm?"
"Kalau saya bukan budak intern awak, kalau umur saya bukan 19 tahun... awak boleh anggap saya macam lelaki lain, tak?"
"Saya tak tahu nak jawab macam mana."
"Jawab jujur."
Aku gigit dinding pipi. Bila mata berlaga dengan mata dia yang merenung, menunggu jawapan, aku jadi kalut. Ribut perasaan aku dibuat dek budak seorang ni.
"Awak tak rasa happy ke sepanjang kita keluar ni?"
"Okey je..."
"Okey, je? Saya punyalah excited. Awak tahu tak, awak perempuan pertama yang keluar dengan saya?"
"Oh, ya ke?"
"Farisya! Eiii... macam tu je balasan dia?"
"Emm... kenapa saya? Awak tak rasa umur kita terlalu jauh ke? Awak tak rasa macam perasaan tu menipu ke? Bukan sikit beza umur kita."
"Age is just a number, Farisya. Dan, perasaan tu kalau dia nak muncul, dia muncul je. Tak ada salam, tak ada kata tipu ke apa. Kalau pertama kali dengar suara pun dah boleh rasa degup jantung tak stabil. Tengok orangnya, lagilah rasa macam, eh kat sini rupanya jodoh aku."
Dia bercakap dengan muka selamba. Aku yang dengar ni jadi tak tentu rasa.
"Jujur. Saya menepati kriteria lelaki idaman awak, tak?"
"Saya... tak pernah fikir."
"Seriouslah!"
Aku angguk.
"Betul awak cuma anggap saya budak intern awak?"
Aku, angguk.
"Tak rasa apa-apa? Saya dah panggil sayang. Dah ngaku awek depan abang saya. Dah... dah jaga awak setakat yang saya mampu... tak rasa apa-apa?"
"Ada. Sikit..."
Dia senyum.
"Saya rasa... takut."
"Saya culik juga Farisya Mellisa ni... Itu bukan jawapan yang saya nak sayangku."
"Bukan jawapan yang awak nak. Tapi itu yang saya rasa. Awak anggap awak jaga saya. Awak suruh kawan-kawan awak iring saya masa hari tu. Tapi, saya tak rasa selamat pun. Saya rasa takut gila adalah. Trauma seminggu."
Dia tarik nafas dan lepas perlahan. Menggeleng, "Sorry. Saya tak terfikir pula. Tapi, saya betul nak jaga awak. Risaukan awak."
Aku diam. Dia pun diam. Lama.
Aku pandang dia. Mencari kejujuran rasa seorang Fakhri. Budak intern yang berusia 19 tahun, tapi perangai dah macam orang tua yang ada banyak tanggungjawab. Nak jaga semua orang sampai tak kira nyawa sendiri yang hampir terbabas, hilang.
Aku dan dia berbalas pandangan sebelum dia tiba-tiba senyum dan ketawa. Entah apa yang menggelikan hatinya pun, aku tak tahu. Tapi, bila tengok dia ketawa, automatik aku rasa nak ketawa sama. Dan, kami ketawa tanpa tahu apa benda yang kelakar.
"Apa perasaan awak masa dapat call dari hospital, waktu saya admitted?"
"Terkejut. Mamai. Mengantuk."
Dia senyum dan melepas tawa kecil, "Janganlah jujur sangat sayang oii!"
Aku terus ketawa, "Betullah!"
Tawanya reda, "Tak rasa risau?"
Aku tarik nafas dalam, "Risau. Takut."
"Pernah terfikir tak yang satu hari nanti awak tak akan jumpa saya lagi. Masa tu, tak ada orang akan buat jiwa awak kacau. Tak akan ada 'macam-macam' lagi. Dan, masa tu adakah awak rasa... awak akan rindukan budak yang 'macam-macam' ni? Jujur."
Aku pandang dia. Tentang mata dia. Lama. Aku... angguk.
"Terima kasih," Dia senyum.
"Fakhri, kita solat? Dah masuk zuhur ni. Lepas solat, kalau awak nak terus balik, balik je. Saya lambat sikit keluar dari surau. Nak pakai tudung bagai. Tak payah tunggu."
"Awak nak pergi mana lepas solat?"
"Bookstore."
"Saya ikut."
"Tak..."
"Nak cakap apa? 'Tak payah'? Kirim salam. Jangan nak halau saya balik. Saya nak habiskan masa satu hari dengan awak. Banyak benda saya nak cakap. Awak pun boleh tanya apa yang awak nak tanya. Saya tahu curiosity awak tu tinggi. Jom, solat."
Dia bangun dan bawa back-pack dia. Dia angkut sekali back-pack aku.
"Fakhri, beg saya..."
"Jalan. Nanti sampai surau, saya bagi."
"Saya..."
"Jalan."
"Nanti tak sama."
Dia berhenti. Dia pandang aku. Dan... dia ketawa besar. Terus dia hulur back-pack aku dan menunduk, berbisik.
"M&M."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro