Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 24 - Terasa

Masuk sahaja ke pejabat, aku terus buka fail kes. Aku teliti balik setiap kronologi kes. Aku buka sistem HR. Aku buat data entry dan buka folder bagi setiap dokumen. Folder ini, akan aku upload dalam sistem HR sebagai fail sisipan. Sewaktu aku bangun nak scan setiap dokumen, Meena menghulurkan sebuah buku pada aku.

"Nah! Aku nak bagi awal-awal tadi, tapi aku tengok kau sibuk. Otak tu macam tengah mengarang sambil berjalan. Takut kalau aku tegur, berterabur semua yang kau tengah karang tu!" Meena gelak.

Aku sambut buku daripada tangan Meena. Membaca judul di hadapan buku dengan sebaris nama yang tertera di muka hadapannya. Terhela nafas aku. Oh, patutlah dia ada di lobi tadi. Dia nak serahkan report intern dia.

"Dia intercom kau dari lobi?" Aku tanya pada Meena. Hairan, sebab dia dah bertembung dengan aku masa aku keluar dari bilik air. Kenapa tak bagi je pada aku masa tu? Tegur pun tidak.

"Aah. Dia intercom aku dari lobi."

"Aku ada bertembung dengan dia juga masa keluar tandas. Tapi, dia tak tegur aku langsung."

"Dia pandang kau?"

Aku angguk.

"Emm... patutlah."

"Apa yang patut?"

"Kau baru lepas menangis, kan? Manalah dia nak tegur kau..."

"Aku dah cuci muka, kan? Takkanlah ada kesan lagi."

"Kau pun tak tegur dia, kan?"

"Aku tengah bengang. Aku ada tegur dia masa depan bilik kaunseling. Dia baru keluar dari tandas production yang dekat dengan bilik kaunseling tu. Tapi, dia tak jawab pun. Mata tu... macam ada bilah pedang nak tikam orang! Salah apa aku pada dia entah. Aku ni supervisor dia. Tak respect langsung! Dia ingat aku apa? Baya-baya dia yang kalau dia nak marah, nak merajuk, nak palau... dia boleh buat ikut suka dia?"

Meena pandang aku. Dia tak cakap apa. Tapi, lepas tu... dia senyum.

"Dah kenapa kau senyum? Kau pun sama je macam dia."

"Duduk sekejap. Tarik nafas. Bertenang dulu. Kita sembang dulu. Cerita dulu apa yang terbuku dalam dada kau tu. Yang memberat dalam kepala kau tu. Apa masalahnya di antara kau dengan adik kau tu. Lepas tu, baru scan dokumen tu."

"Tak apa. Aku pergi scan dulu. Tak tenang nak bertenang dengan kerja tak settle, lepas tu nak bercerita pulak tentang budak intern sorang tu. Lagilah tak boleh nak bertenang. Sekejap. Nak bersembang apa pun, bagi aku settle hal yang satu ni dulu." Aku terus pergi ke mesin pengimbas. Tak suka kerja bertangguh. Biar settle satu-satu. Sekurang-kurangnya kurang dah satu beban dalam kepala.

Masa tunggu dokumen kes tu diimbas, aku belek report intern Fakhri. Kemas. Kadangkala, aku rasa... budak ni macam ada split personality. Dia matang pada satu-satu masa, dan jadi kebudak-budakan pada satu masa yang lain pula. Report intern dia lengkap! Formatnya tepat. Ayatnya teratur, kemas dan seperti ditulis oleh seorang yang matang fikirannya. Yang nampak setiap perjalanan, tugasan dan pengalaman sepanjang internship itu berlaku. Dia tulis setiap apa yang diperolehinya daripada setiap department, di mana dia melalui internship. Malah, siap bagi cadangan penambahbaikan. Sangat mengagumkan!

Aku berhenti membelek report intern Fakhri sebaik mesin pengimbas berhenti. Aku semak setiap dokumen yang aku dah label awal tadi. Label agar aku tahu jumlah dan apa dokumen yang aku imbas. Aku takut tercicir. Tak boleh bagi tercicir. Ia dokumen sulit yang perlu dijaga rapi.

"Sekejap, Na. Kau jangan cakap apa-apa dulu. Bagi aku settlekan kerja yang satu ni dulu." Aku hentikan Meena yang baru nak buka mulut sebaik nampak aku kembali ke tempat duduk. Tak sabar-sabar Si Meena ni nak brainwash aku!

Meena angguk. Dia tahu cara kerja aku. Seserabut mana pun aku, aku akan settlekan satu-satu kerja dulu, lepas tu baru nak uraikan keserabutan tu. Lagilah apabila keserabutan itu terkait masalah peribadi. Tetapi kata Meena, ia masalah berkait kerja. Fakhri budak intern aku. Kerja aku. Kalau aku serabut dengan hal Fakhri, bermakna ia keserabutan berkaitan kerja.

Memang aku in-charge kaunseling. Tetapi, sebagai pegawai ER, aku juga manusia biasa yang ada waktu rapuh dan down. Kata Meena, "Kau pun perlukan kaunselor untuk mendengar lelah kau tu. Kau aware kan, yang kaunseling ni bukan hanya melibatkan kes macam yang kau handle. Tapi, apa sahaja masalah termasuk masalah peribadi yang mampu memberi kesan atau gangguan pada pekerjaan."

Kata Meena lagi, "Memang aku kawan kau. Tapi, aku juga HR. Aku boleh jadi kaunselor kau. Memang kau selalu cerita masalah kau pada aku. Dulu. Masa kita sama-sama bujang. Tapi, bila aku dah kahwin, kau tak cerita lagi. Kau kata, waktu habis kerja, itu waktu aku dengan keluarga aku. Kau tak nak kacau. Tapi, kau jangan lupa. Kau boleh cerita pada aku dalam bilik kaunseling. Dalam waktu kerja. Ini bukan gosip. Ini kerja. Kau juga seorang pekerja yang memerlukan pendengar.

Kaunseling bukan hanya bebelan supervisor atau kaunselor pada pekerja. Tetapi, satu sesi mendengar dan memahami untuk menenangkan jiwa. Bila jiwa tenang, kerja yang dilakukan akan lebih berkualiti. Kau faham kan, apa yang aku cakap ni?"

Sangat faham. Tetapi, aku sering beralasan. Tawaran Meena sering aku abaikan. Masa aku terlalu mahal untuk aku peruntukkan untuk diri sendiri dikaunseling. Didengari. Lebih-lebih lagi dalam waktu kerja.

Aku save scanned document tadi dalam folder dan aku upload dalam sistem HR dengan kod kes yang auto generate daripada sistem. Selesai, aku filing dokumen tu semua dalam fail yang sedia ada dengan label kod kes yang sama.

Aku simpan dalam peti besi, yang mana, hanya tiga orang sahaja yang ada access untuknya - aku, Encik Fuad dan Meena. Meena boleh access sebab dia dan aku substitute dalam kerja. Kalau aku emergency leave, Meena akan cover kerja aku. Begitu juga dengan kerja-kerja Meena. Kami dilatih untuk buat HR General. Semua skop HR, kami berdua boleh buat.

Cuma...

Skop aku lebih luas. Meena boleh support kerja aku untuk part dokumen dan buat kaunseling bagi kes peringkat pekerja bawahan sahaja. Tetapi, apabila melibatkan kes level pegawai ke atas, Meena tak boleh. Aku dan Encik Fuad akan buat. Kes pegawai hingga peringkat pengurus tempatan, aku substitute kepada Encik Fuad. Kes director ke atas, Encik Fuad handle sendiri dengan bantuan orang dari mahkamah perusahaan atau consultant lantikan.

Aku kembali duduk dan menghadap komputer. Aku kena taip laporan sementara otak masih lagi segar dengan kronologi kes dan tak bercampur dengan fikiran-fikiran lain. Selesai taip laporan, aku print. Ada beberapa jenis laporan bagi satu-satu kes. Satu, laporan penuh yang aku perlu serahkan pada Encik Fuad dan peringkat pengurusan tertinggi. Dua, laporan bagi setiap individu terlibat untuk mereka baca dan sahkan. Mereka perlu turunkan tandatangan pada laporan tersebut.

Hampir satu jam aku tumpukan perhatian pada laporan kes. Sesekali, aku terpandang Meena yang mengintai aku dari balik monitor komputernya. Kami duduk berdepan. Sabar jap, Meena. Aku tahu kau tak sabar nak kaunseling aku!

Sewaktu aku selesaikan semua kerja berkait kes ER tu, masa sudah pukul 1.30 petang. Masa berlalu sangat pantas! Apa pun, aku lega. Satu kerja, telah selesai. Eh, tak selesai sepenuhnya. Aku masih perlu bermesyuarat dengan Encik Fuad untuk buat perbentangan keseluruhan kes. Selepas itu jika tiada dispute, barulah aku boleh panggil semula individu terlibat untuk menurunkan tandatangan pada laporan dan... ya, barulah kes benar-benar boleh ditutup.

Penat.

"Selesai?" Meena jengah di celah komputer.

"Alhamdulillah. Laporan selesai. Tinggal nak present pada Encik Fuad dan ambil tandatangan yang terlibat. Lepas tu dah boleh tutup fail."

"Jom, lunch dulu. Lepas tu bergilir solat."

Aku angguk. Aku kemas semuanya. Shut down PC dan ikut Meena ke kafe. Selepas makan, Meena suruh aku solat dulu. Dia kata, aku nampak penat sangat. Rehatlah dengan bersolat. Dia akan ke surau selepas aku selesai.

Memang aku penat sangat. Dan, masa sujud akhir solat zuhur itu... menitis juga air mata aku. Entahlah. Aku tak penat sangat dengan kes Mohammad. Aku lega. Aku puas. Dan, aku rasa bersemangat nak present pada Encik Fuad. Kepenatan tu hilang dengan satu rasa puas. Tetapi, ada satu bahagian hati aku yang terasa berat. Ada sesuatu yang masih tidak lepas. Yang membuatkan perasaan aku sebak.

Keluar dari surau, aku menoleh ke kiri. Ke surau lelaki. Betul rasa hati aku. Ada yang sedang memerhati.

Fakhri.

Aku balas pandangannya. Tanpa riak. Lalu, aku terus berlalu. Entah kenapa, hati aku terasa sangat dengan dia. Sedih. Pedih bila dia buat aku macam tu. Aku nak tolong internship dia. Tapi perangai dia...

"Dah solat?" Meena bertanya.

"Dah. Kau pergilah. Lewat dah ni."

"Okey. Tapi, kau okey tak ni? Sepatutnya lepas balik surau, muka tu jernih. Ini, keruh semacam. Kes ER dah selesai. Ada kes apa pulak yang buat Cik Farisya Mellisa kita ni runsing? Kes adik, eh?"

Meena ni...

"Pergi solat. Dah lewat. Awak tu bukan boleh jalan cepat-cepat. Nak usung perut lagi..."

"Ngelatlah tu! Sebelum aku pergi surau, aku nak cakap sesuatu dengan kau."

Aku angkat kening.

"Kau tahu tak, kau dengan adik kau tu mengalahkan pasangan bercinta. Dengan merajuknya, dengan terasa hati.... Marah, tapi ambil berat. Marah, tapi risau. Gaduh, tapi budak tu siapkan juga report. Masing-masing acah tak kawan, tapi masing-masing dok pandang-pandang... okey, bye. Aku nak pergi surau!" Meena terus blah. Tak sempat aku nak defends diri.

***

Lupa nak promote:

Novel saya yang ni tengah sale. Tinggal 45 buah je lagi daripada 900 cetakan. (Dua kali cetakan).
.
Novel ni 600+ muka surat. Korang boleh baca sebahagian ceritanya di Wattpad. Atau, boleh baca ulasan pembaca lain di Goodreads atau FB. Ada juga ulasan di YouTube dan TikTok.
.
Terima kasih pada yang dah ada buku-buku saya. ❤️

Boleh beli di Shopee saya dengan voucher code SEP16.

Atau, WhatsApp saya 0126031244.

1493 pp

12 Sep 2023

11.51 pagi

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: #budakintern