Bab 23 - Serabut
Aku intercom Kak Sham untuk datang ke bilik kaunseling. Sementara menunggu Kak Sham, aku suruh Aznita ke tandas dahulu, cuci muka. Takkanlah nak masuk kerja balik dengan mata merah. Dia akur.
Sebaik Aznita keluar, aku terus bersuara, "Boleh saya tanya sesuatu?"
Mohammad pandang aku. Dia tak jawab guna mulut, tapi mata dia memberi izin.
"Kenapa masa mula-mula saya panggil awak ke bilik ini, awak macam tak nak defends diri awak? Awak macam buat tak faham je dengan pertuduhan ke atas awak? Suruh jelaskan pun awak tak nak. Lepas tu suruh proceed hukuman. Kenapa?"
"Saya serabut."
Baru nak soal lanjut, Kak Sham sampai.
"Mana budaknya, Lis?"
"Pergi tandas, kak. Saya suruh dia cuci muka."
Kak Sham ambil tempat di sebelah Mohammad.
"Dah okey ke kes ni? Buat DI, tak?"
Aku senyum. Menggeleng. "Ini yang saya nak cerita kat akak ni. Aznita tarik balik pertuduhan. Jadi, kes ini akan ditutup."
Kak Sham angguk. Dia kemudiannya memandang Muhammad, "Okey tak Mat?"
"Entahlah, kak."
"Dia memang suka awak. Tapi, akak tak sangka sampai jadi macam ni. Betul awak tak buat macam yang dia tuduh tu? Tak ambil kesempatan sebab awak tahu dia suka awak? Orang kalau dah suka, suruh serah apa pun, diserahnya."
Aku tengok, muka Mohammad dah berubah. Macam nak marah. Macam kecewa. Telinganya bergerak-gerak. Cepat-cepat aku potong.
"Kak... nanti pihak HR akan check juga rakaman CCTV pada tarikh tu. Buat masa ni kami tak check lagi sebab ada bukti lain yang cukup kuat. Dan, 'yang memfailkan kes' pun bersedia menggugurkan kes selepas baca jawapan balas 'yang dituduh', dengan bukti-bukti yang ada. Lagipun, dengan keadaan 'yang memfailkan kes' itu tidak terlihat sebarang trauma, pertuduhan ini boleh dipertikaikan. Boleh jatuh juga sebagai libel atau defamation. Fitnah atau keadaan memerangkap seseorang atas niat tertentu."
"Nampak macam tak trauma luarannya, Lis. Tapi, dalamannya... dia mungkin bertahan."
Aku terdiam seketika sebelum bersuara, "Kita akan check rakaman CCTV."
Aznita menuduh Mohammad sentuh pipi dia, usap tangan dia semasa lelaki itu ditugaskan membaiki mesin photostate di Production. Memang pada masa dan tarikh tersebut, Mohammad ada job membaiki mesin photostate di sana. Ada job sheetnya. Tuduhan yang agak berat. Lebih-lebih lagi berlaku dalam waktu kerja, di tempat kerja.
Memang agak rumit apabila ada pihak ketiga mempertikai walaupun keputusan sudah ada. Tetapi, setiap pertikaian itu pada aku, tak boleh dipandang ringan. Kes, walaupun sudah ditutup, masih boleh dibuka semula jika ada yang mengungkit selepas beberapa tahun. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan kesan emosi jangka panjang.
Aku suka bila ada yang membuat pertikaian awal. Itu lebih baik berbanding bertahun-tahun ke hadapan. Lagipun, setiap persoalan yang dibangkitkan akan membuatkan otak aku bekerja lebih keras untuk meneliti kes dan menyelesaikannya sehingga setiap simpulan terurai.
Sangat mencabar. Tetapi, kalau dapat diselesaikan sehingga tercantas segala keraguan... ia satu kepuasan yang tak boleh nak digambarkan.
"Mohammad, awak okey untuk kita lihat rakaman CCTV?"
Dia hanya mengangguk.
Kak Shamsiah nampaknya berpuas hati.
Tetapi, ada satu perkara lagi yang sebenarnya boleh juga dipertikaikan oleh bahagian Production. Mohammad itu sendiri adalah salah seorang yang ada access untuk masuk ke bilik security yang memaparkan semua rakaman daripada kamera CCTV!
Kalau dia nak sorok, nak rosakkan rakaman, bila-bila masa sahaja. Tetapi, biasalah. Jika ada 'masa' yang hilang di antara 'masa' yang bergerak, tentu lebih menimbulkan curiga. Dan, dia tak bodoh untuk 'menghilangkan masa' itu.
Aznita kembali ke dalam bilik. Melihat tempatnya yang sudah diambil oleh Kak Sham, dia duduk di sebelah aku.
"Aznita, saya dah maklumkan pada Kak Sham tentang keputusan awak. Ada apa-apa yang awak nak beritahu dia? Kalau ada, boleh cakap dalam bilik ni. Dalam production nanti, jangan sesiapa berbincang atau berbunyi tentang hal ini. Ingat dokumen yang pernah ditandatangani sewaktu mula-mula masuk kerja dulu? Ada satu bahagian yang meminta setiap pekerja menjaga confidentiality syarikat. Ia terpakai untuk situasi seperti ini juga."
"Ingat. Tak ada apa saya nak cakap pada Kak Sham. Abang tak buat semua itu walaupun saya ada dekatkan diri padanya waktu tu. Saya sengaja mengada-adakan cerita. Saya geram sebab abang langsung tak sudi berkawan dengan saya. Pandang pun, tidak."
Aku lega apabila kebenaran terungkai. Kak Shamsiah juga nampaknya seperti sudah jelas dengan keadaan sebenar. Aku tak bagi kertas jawab balas Mohammad pada Kak Shamsiah, sebab itu dokumen sulit yang tidak perlu pun Kak Shamsiah tahu. Segala surat dan isi surat yang tertulis di dalam jawapan balas Mohammad, terkandung aib Aznita. Cukup hanya aku, Meena, Encik Fuad, Abang Khalil, manager maintenance department dan dua orang yang terlibat – Mohammad dan Aznita yang mengetahui perkara ini. Tidak perlu ramai lagi.
Dan, pengakuan Aznita itu juga sepatutnya perlu dianggap sebagai maklumat sulit oleh Kak Sham. Hanya setakat di dalam bilik ini sahaja. Kalau Aznita sendiri hendak berkongsi ceritanya di luar daripada bilik ini... itu hak dia. Orang lain, jangan berbunyi.
"Awak cantik. Ramai lagi kat luar tu yang nakkan awak. Kenapa kejar orang yang tak sudi?" Kak Shamsiah menggeleng. "Dahlah. Jom balik ke Production. Banyak kerja yang tergendala."
Kak Sham bangun. Diikuti oleh Aznita. Matanya sempat menoleh ke wajah Mohammad. Kawan tu tunduk memandang meja.
"Terima kasih, Aznita. Awak boleh datang jumpa saya jika ada apa-apa hal berbangkit atau terkait dengan kes ini. Saya akan buat laporan dan buat pembentangan kepada pihak pengurusan sebelum kes ditutup. Kak Sham, terima kasih juga. Dan, jangan bercerita lagi tentang perkara ini. Apa yang dibicarakan dalam bilik ini, habis di sini."
"Faham, Lis."
Aku mengangguk. Mereka meninggalkan bilik kaunseling. Meninggalkan aku dan Mohammad juga.
Aku pandang Mohammad, "Ada apa-apa awak nak cakap?"
"Tentang soalan awak..."
Aku menanti.
"Saya serabut dan malas nak fikir. Lagipun, saya hilang arah masa tu. Tak tau nak defends diri dengan apa."
"Surat-surat tu?"
"Saya tak pernah simpan."
Aku terperanjat. "Habis tu, mana datangnya pulak?"
"Abang Khalil yang simpankan selama ini. Saya pun tak sangka. Ikut saya, memang saya dah campak je. Serabutlah ada orang suka..."
Eh? Serabut?
"Abang Khalil tahu yang Aznita suka awak? Bagi awak surat?"
Dia mengangguk, "Dia dah macam abang saya. Banyak yang saya kongsikan dengan dia. Dia je yang saya ada."
Mohammad anak yatim piatu. Anak tunggal. Selama ini, mak cik dia yang jaga dia. Mak cik dia seorang yang tidak pernah berkahwin.
Tiba-tiba aku teringat sesuatu...
"Err... Abang Khalil tahu... tentang kita?"
Dia angguk lagi.
Aku terkelu. Aku fikir, selama ini hanya Meena je yang tahu. Tapi ada orang lain lagi. Malu dah nak ke maintenance department lepas ni. Abang Khalil tentu tahu aku pernah reject Mohammad!
"Lis..."
Aku pandang Mohammad.
"Terima kasih."
Aku angguk.
1075 pp
10 Sep 2023
11.45 malam.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro