Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 22 - Terkejut

Lama aku berborak dengan Mohammad malam itu. Sampai bateri aku dah capai bar merah. Haih, masalah juga dengan orang perempuan ni. Suka bertukar jadi obsesi! Pagi itu, sekali lagi aku dan Mohammad duduk dalam bilik kaunseling. Aku dah maklumkan pada Encik Fuad, Abang Khalil dan bos maintenance department, melalui e-mel.

"Awak tulis semuanya. Macam yang awak cerita tu. Senaraikan juga surat-surat yang awak dapat. Letak tarikh dan catat sikit isinya tentang apa. Sebaris cukup."

Kali ini, wajah Mohammad tidak tegang seperti semalam. Tenang. s
Sesekali, dia senyum. Tipis dan sekadar beberapa saat. Dia bukan seorang yang mudah senyum. Wajahnya kasar. Kalau senyum pun, sekilas sebelum kembali sama ada beriak tenang atau tegas. Bukan sejak azali dia begini. Hanya selepas 'hubungan kawan' kami menjadi dingin. Dia juga mula jadi seorang yang pendiam. Lebih banyak fokus pada kerja. Tetapi, sesekali dia bersuara, tajam katanya menikam dalam.

Aku membelek-belek dokumen lain yang berkaitan. Termasuk fail peribadi budak perempuan yang memfailkan kes terhadap Mohammad. Namanya Aznita. Berusia 25 tahun. Sudah bekerja di sini, selama setahun setengah. Kerani di bahagian production. Aku pun tak perasan sangat kewujudan budak perempuan ini.

Mengikut kata Mohammad, dah setahun budak ni cuba mendekati dia. Tapi, dia tak layan. Bila aku tanya kenapa, dia jawab, "Saya tak ada perasaan."

Masa tu hati aku berkata, 'Kalau tak ada perasaan, kenapa cemburu dengan Fakhri? Cemburu tu bukan sejenis perasaan juga, ke?' Tapi, tak kusuarakan. Memang cari fasal kalau aku timbulkan perkara ini. Lagilah bila aku sebut nama Fakhri di tengah-tengah urusan kes dia.

Hampir satu jam aku berada di bilik itu menunggu Mohammad menulis.

"Fakhri."

"Hah?" Aku yang sedikit berkhayal terkejut bila Mohammad tiba-tiba menyebut nama Fakhri.

"Tu. Dia baru lalu tadi."

Terus aku menoleh ke belakang. Melihat ke arah cermin yang samar-samar. Aku duduk membelakangkan laluan. Di kiri aku, pintu masuk bilik kaunseling. Mohammad pula duduk menghadap cermin dan boleh nampak orang yang lalu-lalang. Cuma...

"Macam mana awak boleh cam itu Fakhri? Kan..."

"Saya kenal susuk tubuhnya. Bukan ramai budak lelaki muda yang tinggi macam dia. Cara jalan. Cara dia menoleh ke dalam bilik ini pun saya boleh tahu itu dia."

"Tapi... dia kan MC lagi?" Aku menoleh sekali lagi ke belakang. Kotlah orang yang dikatakan Fakhri itu lalu buat kesekian kali.

"Awak lebih kenal dia, Lis. Dia akan buat apa yang dia suka tanpa mengira risiko."

Aku diam. Betul. Memang itu sifat Fakhri.

"Awak dah habis tulis?"

Mohammad hulurkan beberapa helai kertas hasil karangannya. Aku baca dan semak setiap isi di dalamnya. Not bad cara dia menulis. Ayat yang simple, tapi isinya cukup. Ayat orang lelaki dan seorang yang cenderung kepada kerja-kerja teknikal.

"Saya nak photostate dulu. Lepas ni, saya nak panggil Aznita untuk dia baca apa yang awak tulis ni. Awak okey ke, kalau saya bawa dia masuk dalam bilik ni. Berdepan dengan awak? Dan, awak nak saya panggilkan Abang Khalil atau mana-mana budak maintenance ke sebagai saksi?"

"Saya okey. Tak perlu saksi. Sikit orang lebih baik. Hal maruah."

Aku mengangguk. Aku tolak kerusi dan keluar dari bilik tu. Fail-fail di atas meja, aku bawa sekali. Ada dokumen yang confidential di dalamnya. Fail peribadi Aznita. Bukan aku tak percayakan Mohammad, tapi sekurang-kurangnya aku perlu mengelak risiko. Kebocoran maklumat atas kelalaian yang kecil tetapi memberi impak besar, boleh merisikokan pekerjaan aku sebagai HR.

Keluar ke laluan di hadapan bilik kaunseling, aku bertembung dengan Fakhri yang baru keluar dari tandas. Aku sedikit tergamam. Memang betullah orang yang Mohammad nampak itu, Fakhri.

"Eh, bukan ke Fakhri masih dalam MC?" Aku terus bertanya. Memadam gugup kerana terkejut dengan kemunculan dia.

Dia diam. Berdiri macam patung. Pandang aku dengan satu renungan yang aku tak faham. Wajah dan mata mengada-ngadanya hilang sama sekali. Cara dia pandang aku buat aku rasa terancam. Kali ini, sisi seorang budak kongsi, terserlah. Dan, aku tak nampak dia macam budak intern aku lagi. Dia seperti seorang dewasa. Dengan ketinggian yang aku hanya bawah bahu dia, dengan wajah yang tidak kemas. Sudah tumbuh misai dan janggut halus di wajahnya. Baru nak masuk seminggu aku tak nampak dia. Secepat itu bulu-bulu di wajahnya tumbuh. Dan, dia tak kisah untuk bercukur nampaknya.

"Fakhri dah betul-betul sembuh ke?" Aku tak selesa bila dia renung aku tapi tak cakap apa.

"Fakhri!" Aku menahan sabar. Aku terus pergi dari situ. Banyak lagi kerja aku. Berat dah kepala aku kalau nak fikir hal dia semata. Cepatlah masa bergerak. Biar intern dia tamat.

Aku masuk ke ofis. Terus ke mesin photostate. Aku photostate dokumen tulisan tangan Mohammad. Jantung aku bergerak laju. Rasa marah dan geram dengan Fakhri masih kuat.

"Okey, tak?" Lembut Meena menyapa.

Terus aku pandang dia. Dan, tiba-tiba air mata aku bergenang. Meena terus peluk aku. Digosoknya belakang tubuh aku.

"Aku tolong kau. Biar aku tunggu photostate ni. Pergilah tandas. Menangis puas-puas. Kau penat tu..."

Aku tinggalkan semuanya pada Meena. Kasihan Meena. Mujur bukan tengah bulan. Tak adalah dia sibuk hal gaji sangat. Bolehlah dia tolong aku sikit-sikit.

Dalam tandas, aku menangis puas-puas. Tak tahulah kenapa murah sangat air mata ni. Tak tahu juga punca aku menangis. Mungkin betul kata Meena. Aku, penat. Terlalu penat. Lepas satu kes, satu kes lagi muncul. Berturutan. Kalau kes biasa, mudah aku uruskan. Tetapi bila kes itu melibatkan seseorang yang aku kenal, perasaan aku jadi berat sama. Malah, kes ugutan abang Si Muthusamy itu juga masih bersisa rasa takutnya.

Ditambah dengan mat-mat motor rakan Fakhri yang ikut aku. Bersambung pula laporan dan soal jawab aku di balai polis ketika menguruskan kes kecurian tempoh hari. Memang aku dan Encik Fuad berulang hampir setiap hari ke balai polis. Bermesyuarat. Semuanya hal yang berat-berat.

Puas membuang air mata, aku cuci muka. Terus keluar dari tandas pejabat. Bertembung dengan Fakhri yang berdiri di tengah lobi. Aku abaikan dia. Dia pun tak menegur. Cuma memandang sehingga aku masuk ke pejabat. Dia tak panggil, tak cakap walau sepatah. Tak tahu kenapa dia ada di lobi. Aku tak nak tahu. Aku tengah penat. Malas nak bersoal jawab dengan dia yang kepala batu!

"Sorry, Na! Menyusahkan kau."

"Alaaa... tak ada susahnya nak tunggu photostate ni. Nah, check tengok cukup tak? Yang ini yang original, yang ini yang photocopy. Eh, tak sangka ya budak perempuan tu obses pada abang kau."

"Meenaaa...." Aku leretkan suara. Dulu, masa aku baik dengan Mohammad lagi dia gelarkan Mohammad abang aku. 'Abang' yang bermaksud 'seseorang' atau 'bakal suami'. Samalah macam dia gelarkan Fakhri sebagai 'adik' aku. Adik sesuatu.

"Ops, sorry. Dia sebaya. Tak boleh jadi abang, " Meena ketawa, nakal.

Aku ketawa sama. Meena selalu tahu cara nak hiburkan hati aku.

"Tapi, jujur Lis. Mohammad tu, makin masam muka dia, makin nampak kelelakiannya. Makin macho. Tapi, itulah. Pelik aku dengan kau ni. Dengan 'adik' pun kau tak tergugat, dengan Mohammad pun kau macam tak .... Apa tu? Tak..."

Aku gelak, "Tak apa, Na... dahlah. Mohammad dah tunggu aku lama kat dalam tu. Marah pula Abang Khalil nanti simpan anak buah dia lama sangat. Eh, jap! Aku lupa nak intercom Kak Sham, minta Aznita datang ke pejabat."

"Untuk?"

"Ini, nak suruh dia baca jawapan balas Mohammad. Lepas tu nak dengar juga apa alasan dia. Masih nak teruskan kes ke, macam mana? Sekarang ni dah terbalik. Mohammad boleh charge dia pula yang harras Mohammad!"

"Emm... patutlah kawan aku ni macam tak cukup rehat. Otaknya handle benda-benda memeningkan. Dahlah, kau call Kak Sham cepat. Cepat dia orang berdepan, cepat kes ni selesai. Lepas ni kes apa pulak. Aku pun dah rasa nak muntah dengar masalah manusia ni. Macam-macam hal!"

Meena terus duduk di tempatnya. Menghadap komputer.

Aku tekan nombor intercom production. Minta Kak Sham panggilkan Aznita masuk ke pejabat.

Tak lama, gadis itu datang. Wajahnya tak langsung ada riak-riak bimbang. Berbeza dengan 'mangsa' bagi kes sexual harrassment yang pernah aku handle sebelum ini. Masing-masing trauma. Masing-masing kalau boleh, tak nak datang kerja. Takut, satu. Malu dengan orang sekeliling yang seolah-olah satu kilang tahu mereka kena harrass. Sedangkan, hanya orang tertentu sahaja yang tahu.

"Kak Sham kata, Cik Farisya nak jumpa?"

"Ya. Duduk sekejap."

Dia menarik bangku lalu duduk di sebelah aku.

"Ini jawapan balas Mohammad. Dia sekarang ada di bilik kaunseling. Aznita baca dulu, kalau dah selesai, saya nak bawa Aznita jumpa Mohammad. Kita cuba selesaikan tanpa perlu masuk DI (Domestic Inquiry)."

Dia angguk, lalu mula membaca salinan yang aku dah photostate untuk dia. Perlu bagi yang photostate. Takut andai mangsa tak mampu nak kawal emosi, dikoyakkannya kertas jawapan itu. Tak fasal tertuduh kena tulis lagi sekali.

Sepanjang dia membaca, aku renung wajahnya. Cuba mentafsir riak wajahnya. Gadis ini tenang amat. Sedikit pun tak terkesan dengan ayat-ayat Mohammad. Sesekali aku nampak dia menarik senyum. Berkerut kening aku. Dia seolah-olah sedang membaca surat cinta daripada Mohammad untuknya. Haih, tak faham betul aku.

"Dah, Cik Farisya." Diserahkannya kertas-kertas itu pada aku.

"Jadi?"

Dia angkat kening.

"Awak, ada apa-apa nak cakap?"

"Tak ada."

Pelik.

"Betul, tak ada? So, boleh kita ke bilik kaunseling, jumpa Mohammad?"

"Boleh!"

Eh, budak ni!

Aku bangun. Aznita turut bangun. "Meena, aku kat bilik kaunseling." Meena jeling sekilas. Matanya bukan pada aku, tapi pada Aznita.

Masuk ke bilik kaunseling, aku ambil tempat aku tadi. Berdepan dengan Mohammad. Aznita terus duduk di sebelah Mohammad. Dia senyum pada Mohammad. Mohammad buat tak tahu. Sedikit pun tak pandang pada gadis itu.

"Ehem!" Aku cuba tarik perhatian Aznita yang sibuk merenung Mohammad dari sisi. Dia mengalihkan pandangannya.

"Aznita dah baca jawapan balas Mohammad. Ada apa-apa yang Aznita nak cakap? Pada saya ataupun pada Mohammad?"

Dia senyum. Dia pandang Mohammad lagi sekali. Masih tak cakap apa-apa.

"Aku tak ada masa. Kau settlekan apa yang kau dah buat. Jangan nak macam-macam."

Aku telan liur mendengar kata-kata kasar Mohammad pada Aznita. Aku besarkan mata. Bagi amaran agar jangan berkasar. Tolong hormat aku selaku pegawai HR. Jangan suka-suka nak marah pada sesiapa pun dalam bilik ni. Silap bicara, Aznita boleh failkan tuduhan kedua pula. Kata Mohammad ugut dia dan macam-macam lagilah kalau nak cari fasal! Orang, kalau dah obses, macam-macam boleh dibuatnya.

"Saya tarik balik tuduhan saya," Aznita pandang aku.

Aku angguk.

"Tapi..." Dia pandang pula pada Mohammad. "Abang, terima saya..."

Aku menghela nafas. Masalah betullah budak seorang ni.

"Kau tak faham bahasa ke..."

Cepat aku bagi isyarat mata pada Mohammad bila dia mula nak tinggikan suara pada Aznita buat kali kedua.

Mohammad menghela nafas, "Aku betul tak ada perasaan kat kau. Aku tak boleh. Kau muda lagi. Ramai lagi lelaki kat luar tu yang layak, yang boleh terima kau. Kenapa kau nak seksa diri kau, nak rendahkan maruah kau sebagai seorang perempuan. Perasaan kau pada aku tu bukan cinta. Itu obsesi. Orang, kalau cintakan seseorang, dia akan hormat perasaan orang tu. Kau bukan sahaja tak menghormati perasaan aku, tapi kau fitnah aku. Kau tak jaga maruah aku, malah kau jatuhkan lagi nama baik aku. Sudah-sudahlah..."

Gadis itu tergamam. Aku pun sebenarnya tergamam. Mohammad tak pernah bercakap banyak. Dan, tak pernahlah aku dengar dia bercakap begini. Tak pernah dia tunjukkan sisi lembut hatinya sebagai seorang lelaki. Dia tegas. Dia kasar. Dia bercakap satu dua kata sahaja. Dan, kata yang satu dua itu biasanya kalau tak sinis, tajam. Kalau tak tajam, lebih berbentuk ancaman.

Aznita menangis. Perlahan. Tertunduk. Aku hulurkan tisu padanya. Aku bagi isyarat pada Mohammad agar jangan cakap apa-apa. Biarkan sahaja Aznita melepaskan segala apa yang dirasa. Macam aku tadi. Lega bila dapat melepaskan beban dalam dada dengan tangisan. Walaupun tak tahu apa punca sebenar tangisan itu.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: #budakintern