Bab 16 - My Dear Farisya
Aku tersedar apabila terdengar suara orang berbual.
"Kan aku dah kata, dia 'real'. Kau je yang tak percaya cakap aku. Kata aku berangan bagai!"
"Wei! Tu... dia dah celik..."
Bila aku buka mata, Fakhri dan seorang lelaki yang iras Fakhri sedang memandang aku. Cepat aku tegakkan badan yang tadinya menumpang sandar di kepala katil. Aku pandang sekeliling. Oh! Aku kat hospital. Aku gosok mata, raup muka.
"Morning sayang.... Ini, angah."
Aku pandang Fakhri. Aku pandang lelaki yang duduk di sebelah katil Fakhri, bertentang dengan aku. Pening sekejap.
"Pukul berapa, sekarang?" Aku tanya. Tak tahulah pada siapa. Tengah mamai lagi.
"Tiga pagi." Fakhri yang jawab. Dengan senyuman.
"Farisya..."Lelaki yang Fakhri kenalkan sebagai angah tu, panggil nama aku. "Terima kasih, mesej angah. Bagi tahu fasal budak sorang ni! Dia ni memang! Tak pernah serik. Ish, tak tahulah aku nak cakap macam mana. Risau lain kali dapat panggilan dah tak bernyawa je!"
Fakhri ketawa, "Hidup untuk mati, ngah!"
Angah menggeleng.
Aku baru teringat. Malam, selepas aku habis berbual dengan Fakhri di telefon, aku terus masuk tidur. Dalam pukul 1 pagi macam tu, telefon aku berbunyi.
"Cik Farisya?" Suara lelaki. Aku tengok skrin telefon aku. Nama yang naik, nama Fakhri. Tapi, suara tak macam dia. Dan, kenapa dia panggil aku, 'Cik Farisya?'
"Ya..."
"Kenal Fakhri Amri?"
"Ya, kenal. Encik ni siapa?" Dada aku dah berdebar kuat. Mata aku terus segar.
"Fakhri cedera. Dia ada di wad kecemasan HUKM sekarang. Saya dapat nombor cik daripada call log Fakhri. Nombor cik, yang terakhir berbual dengan Fakhri. Cik, tunang dia ke? Boleh cik datang ke hospital?"
Hah?
"Okey, saya datang."
Terus aku turun daripada katil. Tak mandi. Hanya gosok gigi dan cuci muka, aku bersiap. Pakai jean biru lusuh, sarung t-shirt lengan panjang warna hitam, pakai anak tudung ninja, sarung dan lilit shawl. Tak sempat aku nak pakai apa-apa kat muka dan bibir, bedak ke, lip balm ke... pukul satu pagi, kot! Haih, manusia bernama Fakhri ni kalau tak buat hidup aku huru-hara, memang bukan dialah namanya.
Waktu aku sampai, dia masih belum sedar. Kepala berbalut. Kaki kanan pun berbalut.
"Cik Farisya?"
Aku angguk, "Macam mana keadaan dia?"
"Setakat ni, condition dia stabil. Kaki pun, tak perlu simen. Ada retak sikit je. Kita tunggu result scan untuk kepala."
"Dia... kenapa, doktor?"
Doktor tu pandang aku. Pelik pandangan dia. Macam aku ni bertanya sesuatu yang aku dah sedia tahu. Tapi, dia jawab juga, "Kena pukul."
Berderau darah aku. Dah kata lepas letak telefon, nak tidur. Macam mana boleh kena pukul? Ada orang masuk rumah dia ke, macam mana?
"Siapa hantar dia ke sini?"
"Saya tak pasti. Mungkin orang awam..."
Fakhri, Fakhri...
"Ini barang-barang peribadi dia. Awak simpanlah."
Aku sambut dompet duit dan telefon bimbit Fakhri yang doktor hulur.
"Saya nak tengok result scan. Nanti saya datang balik."
Aku mengangguk. Aku pandang Fakhri. Elok tenang je muka dia. Tak macam orang sakit. Kecuali kepala yang berlilit dan kaki yang berbalut. Pening kepala aku hadap situasi macam ni. Bangun mengejut, dapat berita 'terkejut'.
Aku duduk di bangku sebelah kanan katil Fakhri. Aku pandang telefon bimbit dia. Kalau doktor boleh access, maksudnya... telefon dia tak ada passcode. Aku hidupkan telefon Fakhri. Aku cari call log. Dia save apa nama aku kat telefon dia?
My Dear Farisya (fiancee)
A... apa benda budak ni? Aku gigit bibir. Menggeleng. Tak faham betul dengan Fakhri ni. Budak random. Sengal. Macam-macam!
Aku tengok semua call log dia. Tak banyak. Hanya ada nama aku dan nama... angah. Bersilih ganti. Terus aku tekan nama yang satu tu. Mesti abang dia.
Lama aku tunggu, tak berjawab. Mungkin doktor pun ada call nombor angah ni tadi. Tapi tak berjawab. Itu yang doktor call aku. Agaknya.
Aku cari icon WhatsApp Fakhri. Aku WhatsApp angah. Aku bagi tahu yang Fakhri cedera dan ada di hospital. Aku minta dia datang cepat. Dan, aku tak sempat nak kenalkan diri siapa. Aku harap dia faham. Sebab, aku mesej guna fon adik dia. Harap, bila angah baca mesej aku dia terus datang ke hospital. Doktor dah kata budak sorang ni stabil, cukuplah. Hilang sikit risau hati aku. Aku nak balik. Aku kena masuk office juga hari ni.
Tak sangka dalam menunggu angah dan meneman Fakhri di wad kecemasan yang orang-orang di situ semuanya bekerja macam hari dah siang, aku boleh terlena. Hampir satu jam lebih juga aku terlelap! Duduk pun boleh lelap. Otak penat sangat agaknya. Dan, entah bila angah sampai. Entah bila Fakhri sedar. Dan, entah macam mana rupa aku tidur!
Aku abaikan pandangan dua manusia di depan aku. Aku keluarkan air mineral dari dalam bag-pack. Minum seteguk dua. Cuma nak hilangkan bau mulut yang baru bangun tidur.
Aku pandang Fakhri. Dia senyum.
"Awak, kenapa? Kenapa boleh jadi macam ni? Bukan ke lepas kita off, Fakhri kata nak tidur?" Terus aku tanya Fakhri. Tak kisah pada manusia 'angah' yang Fakhri kenalkan tadi. Dada aku berdebar tak boleh bincang masa dapat call jam 1 pagi. Dia boleh pula senyum-senyum dan 'morning sayang' bagai!
"Aah, kita tidur sama-sama, kan?" Dia buat sengal dia. Angkat-angkat kening, bagai.
"Fakhri..." Suara aku jadi tajam.
"Maaf sayang.... kawan saya call. Dia orang perlukan saya."
Lelaki yang dia kenalkan sebagai angah, diam sahaja. Mendengar. Sikit pun dia tak menyampuk atau rasa nak cepuk adik dia yang sengal dan macam-macam ni. Aku pula yang panas hati!
"Awak tak sayang nyawa, ya?"
"Tak. Saya sayang awak."
Selamba jawapan dia.
"Fakhri, masa orientation saya dah terangkan pada awak undang-undang syarikat dan apa yang boleh menyebabkan internship awak dibatalkan. Attendance awak tu penting, tahu. Saya tak main-main masa saya terangkan."Mood seorang penyelia aku dah menyala.
"Boleh kita cakap sekejap? Di luar..." Lelaki dengan panggilan angah tu, potong cakap aku.
"Kau nak bawa awek aku pergi mana, ngah?"
"Kau, diam. Aku patahkan betul-betul kaki kau tu karang!"
Aku menghela nafas. Adik-beradik ni, sama je! Angah bagi isyarat mata, ajak aku keluar. Sampai di luar, dia ajak aku duduk kat bangku yang ada.
"Awak... penyelia internship Fakhri?"
Aku angguk.
"Awek dia?"
Mula-mula aku nak angguk juga, tapi nasib baik sempat sedar... terus aku geleng. Soalan tiba-tiba...
"Umur, awak... tua pada Fakhri?"
Aku angguk. Dalam hati, aku sambung cakap, 'Tua pada kau juga, angah.' Dia budak universiti yang belum habis degree pun lagi, walaupun aku tahu dia sudah di tahun akhir.
Dia menghela nafas.
"Saya patut panggil..."
"Panggil 'akak' je. Fakhri pun panggil 'akak'."
"Tapi, tadi dia panggil..."
"Tak payah layan sengal dia tu..."
Angah tarik senyum, "Tahu ke dia suka... akak?" Teragak-agak dia nak panggil aku, 'akak'.
Aku angguk. Dah nyata-nyata depan abang dia, dia panggil aku sayang, gelar aku awek dia...
"Tak kisah?"
"Kisah. Tapi, dah dia memang macam tu. Tegur pun tak jadi apa. Selagi dia tak langgar batas, lantaklah."
Angah pandang aku dari atas ke bawah. Dari bawah, ke atas balik. Aku buat-buat tak perasan. Hanya tengok pada orang yang lalu lalang.
"Susah nak caya."
"Mendenya?"
Dia gelak, "Pakai macam ni, cara cakap macam Fakhri..." Dia sambung gelak.
Aku tarik muka. Pukul satu pagi kot aku dapat call. Expect apa? Ingat aku sempat nak fikir pakai elok-elok? Pakai baju kurung, pakai tudung pin sana sini dan pakai make-up? Atau, pakai blouse, skirt labuh... Macam nak masuk office? Ini kira baik aku pakai jean dan t-shirt lengan panjang... dan oh, aku pakai selipar. Baru aku perasan. Main sarung je tadi. Nak cepat. Tapi, kira baik kalau tengok pada pakaian aku ni. Kalau aku pakai kaftan, je?
"Patutlah budak tu jatuh hati. Penyelia pun... dahlah nampak macam baya-baya dia. Perangai pun... lebih kurang je..."
"Kenapa nak jumpa akak kat luar ni?"
"Terima kasih."
Aku diam. Tiba-tiba cakap 'terima kasih' dah kenapa?
"Terima kasih sebab ambil berat hal dia. Layan dia walaupun dia macam tu. Kisah dengan internship dia. Sanggup datang pukul satu pagi, risaukan dia. Bukan calang-calang supervisor. Patut dia jatuh cinta."
"Apa yang dia rasa, dia kata tu... tak betul. Jangan anggap betul."
Angah pandang aku, lalu menggeleng. Senyum. "Betul, tak terkesan dengan kata-kata dia? Betul tak ada perasaan pada dia?"
Dengan yakin, aku menggeleng.
Dia senyum, "Baguslah. Kalau nak terluka, biar dia seorang je. Tak payah dua-dua."
Aku tak faham. Tapi, aku malas nak panjangkan perbualan. Aku nak tengok Fakhri dan nak tahu berapa lama dia akan MC. Lepas tu, aku nak balik. Kalau sempat lelap kat rumah nanti, aku nak lelap sekejap sebelum mandi dan pergi office.
"Saya nak nombor... boleh? Tapi, jangan beritahu pada Fakhri."
Aku angguk. Aku bacakan nombor telefon aku. Dia taip dalam telefon dia.
"Buat missed call kat akak. Akak pun nak kena simpan nombor angah. Eh, boleh panggil angah ke? Nama angah, siapa?"
"Fakhrul Razi."
Oh. Fakhri Amri dan Fakhrul Razi.
Fakhrul 'tembak' aku. Terus aku save nombor dia dengan nama Fakhrul Razi (Angah Fakhri).
"Dia tu tak pandai jaga diri lagi," Fakhrul bersuara.
Aku tahu. Aku nampak.
"Dia tak stabil. Dah selalu sangat 'koyak'. Cakap pun ikut kepala dia sahaja. Tak sangka ada orang luar yang faham dia walaupun baru beberapa bulan kenal. Masa dia kata, dia jatuh cinta, saya tak percaya. Kata tak nak hidup. Nak mati. Tiba-tiba jatuh cinta. Dah apa ke hal!" Fakhrul ketawa.
Tak nak hidup? Berkerut dahi aku nak hadam apa yang Fakhrul cakap. Selamba pula tu cara dia cakap. Macam hal hidup mati ni macam dalam game sahaja! Tak ada apa.
"Dia join budak kongsi sebab dia memang dah tak sayang nyawa. Dia tahu bunuh diri berdosa. Tapi, kalau terbunuh, lain cerita. Dia banyak cerita tentang akak. Sejak dia kenal akak, dia dah kurang keluar malam. Dah kurangkan aktiviti sebagai budak kongsi. Kalau dulu, memang macam orang tak berumah. Balik sekolah, ghaib. Tak tahu dia tidur mana. Makan minum macam mana. Ibu dan ayah pulak, bila tengok dia macam tu, biarkan je."
"Fakhrul tahu yang dia pernah sakit teruk dua bulan lepas? Masa tu dia hadap seorang diri."
"Oh, masa tu saya ada kat luar. Saya ada aktiviti universiti. Daki gunung. Tak ada coverage sangat telefon saya. Balik, kawan-kawan dia cerita. Masa tu, baru saya tahu."
"Fakhrul kenal kawan-kawan dia?"
"Kawan-kawan dia, kawan-kawan saya juga."
"Fakhrul pun... terlibat dengan... kongsi gelap?"
Dia angguk.
Aku menghela nafas.
1579 pp
28 Ogos 2023
2.58 pm
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro