Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 14 - Hidup, mati

Tidak lama selepas Mohamad memutuskan talian, telefon aku menyala lagi. Kali ini, bukan nombor, tapi sebaris nama yang telah berjanji untuk menelefon pada malam ini. Aku tekan butang jawab.

"Assalamualaikum," Aku yang memulakan salam kerana sudah kutahu siapa pemanggilnya.

"Waalaikumsalam. Akak... gayut dengan siapa?"

Aku senyum tipis. Dalam hati sudah bergayut pelbagai rasa, "Kawan..." balasku.

"Lelaki ke perempuan?"

Sekali lagi aku tarik senyum. Terhela sedikit nafas. Lelah, tapi tetap kulayan.

"Lelaki."

"Siapa? Istimewa ke? Bukan akak kata tak ada boyfriend?"

"Kawan biasa. Kawan lama. Fakhri telefon pukul berapa tadi?" Malas nak kena soal banyak-banyak, biar aku pula yang menyoal.

"Sejak lepas isyak tadi. Lama juga agak gayut dengan kawan lelaki akak tu..."

"Dah makan ke belum ni?"

"Dah. Betul ke yang telefon tadi bukan boyfriend akak?"

"Betul. Akak sibuklah, mana sempat nak berboyfriend bagai!"Aku gelak.

Dia diam.

"Kenapa diam?" Pelik pula dengan budak sorang ni. Telefon orang, tapi lepas tu diam!

"Saya tak suka. Mesti tadi akak gelak-gelak masa cakap dengan dia. Sebab tu lama."

"Emm... Fakhri telefon ni sebab nak soal siasat akak untuk isu ni sahaja ke? Kalau ya, akak nak letak. Akak penat. Tadi siang pun dah puas bersoal jawab dalam bilik kaunseling." Ya. Aku tak tipu. Aku betul-betul penat. Penat otak, penat perasaan. Dan bila kedua-dua otak dan perasaan penat, seluruh tubuh rasa penat sekali. Malah, emosi rasa sukar nak diseimbangkan. Mudah nak marah. Mudah nak menangis.

"Sorry..."

"Emm... okey. Sorry juga. Bukan sengaja nak mengadu penat pada Fakhri, tapi terpaksa berterus terang. Fakhri ada pergi office tadi tak, ambil contoh report intern daripada Kak Meena?"

"Dah. Masa bertembung dengan akak tadi, saya terus ke pejabat, ambil report tu. Tahu akak sibuk. Akak penat ke? Tak apa ke nak layan saya bercakap?

"Okey je kalau Fakhri nak bincang hal report intern."

"Tapi, ini bukan waktu kerja akak. Tak apa ke?"

"Insya-Allah, akak okey. Cuma, jangan tanya hal peribadi akak macam tadi. Akak penat nak jawab."

"Kalau bincang hal lain, selain report intern... boleh? Saya tak sempat tengok lagi contoh report tu. Saya telefon ni pun sebab dah janji dengan akak nak cerita sesuatu. Hal ni penting sangat. Akak kena tahu."

"Emm... bolehlah kalau Fakhri rasa penting." Aku jawab dengan otak yang sedikit mamai.

"Akak... saya nak akak tahu yang saya sayang akak. Saya nak beritahu akak siapa saya. Saya tahu, saya muda sangat untuk akak. Tapi, nak buat macam mana, saya betul-betul suka kat akak. Tak pernah saya suka kat orang perempuan macam saya suka akak. Tapi, akak jangan risau, saya tak paksa akak untuk suka saya balik. Akak layan saya baik macam ni pun saya dah bahagia. Tapi kalau akak tersuka dengan saya, saya akan happy gila."

"Apa bendalah awak ni. Dah happy, happy je lah. Kenapa kena gila pula?"

Dia ketawa berdekah-dekah.

Aku menarik senyum. Suka dengar dia ketawa.

Bila reda, dia menyambung, "Kita memang serasilah kak. Thanks. Dah lama saya tak rasa gembira macam ni. Tengok mak kucing ni kak. Dia pun pelik tengok saya gelak. Selama ni, rumah ni macam kubur. Sunyi gila! Sebab tu saya malas nak duduk rumah. Tiap-tiap malam saya keluar. Kalau rumah pun dah macam kubur... tak salah pun kan kalau keluar buat apa yang kita suka. Melepaskan segala tekanan jiwa dengan cara kita. Mati pun tak kisah, sebab tinggal dalam rumah dengan tinggal dalam kubur macam tak ada beza."

Aku terdiam. Budak ini memang kosong jiwanya. Memang dia rebel. Memang dia memberontak dalam senyap, memberontak pada ibu ayahnya. Keluarganya. Lama benar agaknya dia terluka, memendam rasa. Tak sampai hati aku tak melayan panggilan dia. Biarlah kalau dia nak merepek pun. Bil telefon, bapak dia yang bayar. Kalau tinggi tapi anak dia selamat daripada bahaya di luar, itu lebih baik. Aku ambil keputusan melayan bicara Fakhri.

"Akak..." Dia memanggil bila dirasakan aku hanya diam di hujung talian.

"Ya..."

"Dengar tak?"

"Dengar." Jujur aku dengar. Aku dengar sambil otak bergerak, memikirkan perkongsian Fakhri. Adakah perkongsian seterusnya akan sama dengan apa yang telah diberitahu oleh Mohamad tadi.

"Line apa yang akak tahu?"

"Line telefon." Jujur aku menjawab.

Dia ketawa. Ketawalah dik. Ketawalah sejujurnya. Lupakan kesunyian awak.

"Salah ke jawapan akak? Awak bagi teka-teki ke apa ni?" Suaraku masih bersisa tawa.

"Tak salah, cuma bukan jawapan yang saya nak. Akak ni luculah."

"Huh, lucu ke? Bukan akak ni garang macam singa ke?"

"Singalah sangat. Macam kucing comel je..."

Terus aku teringat kata-kata Meena. Hampir sama! Dan, Fakhri memang sukakan kucing.

"Apa jawapannya?"

"Akak pernah dengar tentang ahli kongsi gelap? Dia orang ada line sendiri."

"Emm... kalau nak cerita, akak dengar."

"Kak... saya ahli kongsi gelap."

Aku diam.

"Kak..."

"Emmm... okey..."

"Saya ada line sendiri. Ada nombor sendiri."

"Apa nombor awak?"

Dia diam.

Tak lama selepas itu, dia bersuara, "Akak macam tak terkejut je... Dan, akak macam tengah uji saya."

"Uji apa?"

"Akak dah tahu eh, yang saya tak sepatutnya kongsikan nombor saya pada sesiapa? Tapi, akak uji. Kalau saya kongsikan, sama ada saya dikira pengkhinat atau akak akan check sama ada nombor saya tu betul-betul ada dalam senarai nombor ahli kongsi gelap. Akak ni... ahli kongsi gelap juga, ke? Saya musykil ni, kak."

Terus aku ketawa. Aku tahu, dalam kongsi gelap memang mereka menggunakan nombor berbanding nama. Tapi, aku bukan ahli kongsi. Gila apa aku nak join aktiviti berani mati ni! Aku perempuan, kot. Tak tergadai nyawa, mahu tergadai body. Mengarut betul Si Fakhri ni.

"Mana ada..."Aku jawab bersahaja.

"Ke... akak ada boyfriend yang ahli kongsi gelap?"

Aku diam. Tekaannya hampir mengena, tapi tak tepat. Mohamad hanya kawan biasa. Bukan boyfriend aka kekasih aku.

"Tak. Bukan boyfriend atau kekasih. Kawan. Hanya kawan."

"Siapa..." Perlahan dia bertanya.

"Mohamad." Nak buat apa berahsia kalau dia sepatutnya dah tahu. Mohamad satu-satunya orang yang dia dan aku sama-sama kenal.

"Yang call akak tadi... Mohamad? Dia... kawan yang akak maksudkan? Ah, sial! Patutlah akak relaks je! Akak pernah kawan dengan budak kongsi! Akak pernah berkawan dengan dia! Tentu dia dah cerita fasal saya pada akak."

"Ya. Dia yang call tadi. Dia beritahu yang Fakhri cedera. Kena parang."

"Dia bukan hanya kawan, kan kak?" Ada getar. Ada ancaman dalam suara Fakhri.

"Hanya kawan. Kita orang tak ada apa-apa."

"Tipu! Ah, sial betullah! Ahli kongsi gelap tak akan dedahkan identitinya macam tu sahaja. Saya cerita pada akak sebab sayang. Dia cerita pada akak sebab apa pulak kalau bukan sebab yang sama! Memang sial!"

Terus aku putuskan talian. Pantang dalam hidup aku orang cakap sial pada orang lain. Memang kalau depan mata, aku tampar!

Telefon aku menyala. Fakhri.

Aku pejam mata. Marah masih bersisa. Kecewa pun ya. Tapi, bila difikirkan yang dia budak tak berakal sangat, dan dia budak intern aku yang kalau aku cuba menjauh pun tetap akan bertemu, aku jawab.

"Sorry," Suaranya perlahan. Berbisik, kesal.

Aku diam. Masih nak menghukum.

"Kak... saya cakap sorry ni..."

Aku menghela nafas.

"Kalau akak tak jawab... saya akan letak. Lepas tu akak tak akan jumpa saya lagi. Sampai bila-bila. Saya dah tak peduli dengan intern saya."

Dia ugut aku. Dan, aku terkesan! Ini satu kelemahan aku. Aku selalu nak sempurnakan hidup orang sehingga aku terjerat dalam hidup mereka. Aku lupa di mana borderline urusan kerja dengan urusan jiwa manusia.

"Jangan buat lagi. Jangan sebut perkataan 'sial' tu lagi depan akak. Sebut lagi, akak tak nak cakap dengan Fakhri. Intern Fakhri, akak suruh Kak Meena uruskan."

"Okey. Sorry."

Aku gertak je. Bertuah kalau Meena nak uruskan budak seorang ni.

"Stop nak marah-marah akak. Akak baik dengan Fakhri, Fakhri kurang ajar dengan akak."

"Maaf, k. Saya tak cakap kasar lagi. Insya-Allah. Saya janji. Please... saya tak boleh tak ada akak. Saya cuma bengang. Saya... saya tak boleh... saya cemburu dengan Mohamad. Akak maafkan saya, okey. Kita mula balik. Boleh?"

Empat kali sorry, dan satu maaf. Cukuplah.

"Baik. Kita lupakan perkara tadi. Lupakan Mohamad. Akak nak tanya Fakhri satu soalan."

"Okey, tanyalah. Saya jawab."

"Kenapa join kongsi gelap? Bukan ke merisikokan nyawa? Tak sayang nyawa ke? Tak rasa kalau bergaduh, cedera atau terbunuh, semua tu sia-sia?"

Dia diam.

Aku fikir, dia sedang memikirkan jawapan tapi sebaliknya...

"Kak... ini bukan satu soalan dah... tiga, empat soalan!" Dia ketawa galak. Sempat dia mengenakan aku. Bertuah punya budak!

"Hei, jawab sajalah! Akak parangkan pulak tangan yang satu lagi..."

"Jangan kak. Nanti bukan saya yang sakit, akak yang sakit..." Dia gelak lagi.

"Tak ada makna. Tangan awak, bukan tangan akak."

"Betul? Sampai ke hati akak?"

"Sampai."

"Okey, saya rela. Esok saya jumpa akak bawa pisau lipat yang nipis tu. Akak toreh lengan saya yang satu lagi. Toreh nama akak kat situ."

"Gila!"

"Jangan menyumpah kak..." Dia ketawa.

"Maaf," Aku termalu. Aku dan dia, dua kali lima. Cepat panas. Cepat mulut mengatakan sesuatu yang tak sepatutnya bila rasional akal tiada.

"Tentu saya maafkan akak. Kita seri. Saya akan jawab soalan akak. Akak tahu kan, hidup saya macam mana? Saya ni ada keluarga, macam tak ada je. Ayah bagi duit, bagi kad kredit segala, tapi tak kisah hidup mati saya. Abang saya yang nombor dua tu je yang selalu tanya khabar saya. Yang nasihat kat saya agar jaga diri. Yang lain, buat tak reti. Saya sayang diri saya sebab angah je. Sekarang ni saya sayang diri saya sebab akak pula. Dan, saya sebenarnya percaya kalau bukan ajal, kita tak akan mati. Dan pada saya, memang hidup ini akhirnya akan mati. Hidup untuk mati. Jadi, kenapa perlu takut? Kalau tak join kongsi gelap pun, tak bergaduh pun, memang semua orang akan mati. Jadi, saya ikut kawan-kawan. Saya rasa, saya akan tenang melepaskan segala kemarahan melalui pergaduhan. Jadi ahli kongsi, satu escapism. Seronok bila dapat belasah orang dengan niat membantu kawan atau mempertahan kumpulan."

"Tujuan hidup, bukan setakat hidup untuk mati, Fakhri. Sebaliknya, mati untuk hidup."

Fakhri diam.

"Setiap makhluk Tuhan akan menemui kematian. Tetapi, sebagai orang Islam, akan ada hari kebangkitan. Kita semua selepas fasa mati, akan dihidupkan semula untuk ditimbang amalan dan segala perbuatan. Jadi, tujuan hidup itu jangan terhenti setakat hidup untuk mati, tetapi ingat juga yang mati itu untuk hidup."

Dia masih diam. Agak lama. Aku biarkan. Aku tahu, dia sedang mencerna. Dia budak bijak. Hanya tersilap rentak. Dia budak intern aku. Kalau Mohamad itu aku sifatkan sebagai buluh yang dah tua dan sukar dilentur, Fakhri berbeza. Aku tahu, minda dan jiwanya masih boleh dibentuk dan dimanipulasi jika kena dengan gayanya.

"Saya rasa, kita berjodoh, kak," Dia gelak tiba-tiba.

Random betul budak ni!

"Dah macam mana daripada soal hidup mati boleh jadi soal jodoh ni?"Aku layankan juga. Fakhri ni dalam pada serius, dia boleh bertukar mood tiba-tiba. Dan yang peliknya, aku boleh pula mengikut rentak dia. Tak pernah rasa nak marah dengan kemerepekan dia kecuali sumpah sial yang dia lafazkan tadi. Selain itu, dia jujur.

"Yalah. Saya punya, hidup untuk mati. Akak punya, mati untuk hidup. Akak nampak tak? Nampak tak kat situ kita dua-dua mencipta falsafah kata masing-masing. Kita serasi bersama kak. Haih, makin dalam sayang saya pada akak kalau macam ni."

"Orang... kalau ada orang yang dia sayang, dia tak akan biarkan nyawa di hujung parang."

Fakhri tiba-tiba diam di hujung talian.

Dan... aku menyesal bila sudah terlepas kata.

1807 pp

19 Ogos 2023

11.27 malam.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: #budakintern