Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 13 - Dia...

Di pejabat, aku sibuk dengan kerja-kerja ER yang dah semakin melambak. Pegawai baharu yang kucari untuk menggantikan tugas aku di bahagian Recruitment, tak masuk. Katanya dah dapat offer daripada syarikat lain. Candidate lain yang shortlisted juga sudah dapat kerja. Sementara waktu ini, kami buat pembahagian tugas. Meena akan ambil kerja-kerja Recruitment memandangkan top management minta semua jabatan berhenti ambil orang. Yang resign dan masih tak dapat calon ganti, disuruh hold dulu dan guna tenaga kerja yang mana ada. Setiap orang yang buat dua tiga tugas tanggungan akan dibayar elaun tanggung kerja.

"Saya okey je Encik Fuad, kalau nak buat Recruitment dengan keadaan sekarang yang beku. Tapi, budak intern... tak naklah. Tak reti nak check report budak-budak ni..."

Aku dah jeling pada Meena. Maksudnya...

"Lis, awak teruskan dengan tugas jaga budak intern. Tak ramai pun. Tinggal sorang tu je. Kalau awak rasa tugas ER berat, lepas ni kita bekukan dulu pengambilan budak-budak intern."

"Em... insya-Allah. Saya cuba dulu, Encik Fuad. Tak perlu bekukan. Kasihan adik-adik ni tak ada tempat. Lagipun, sibuknya masa dia orang nak masuk dan nak habis. In-between, sikit-sikit je saya support. Macam kes Saifullah tu, sebab under project. Itu yang macam all the time saya dengan dia."

Encik Fuad mengangguk-angguk, "Baiklah. Kalau ada masalah, bagi tahu."

Habis meeting dengan Encik Fuad, aku bergegas bangun, "Meena. Aku kat bilik kaunseling. Kalau Fakhri datang, kau bagi kat dia tiga buku report atas meja aku tu."

"Kes apa kau handle?"

"Ada dua kes. Tapi yang pagi ni, aku handle attendance. Petang nanti, ada satu lagi kes, sexual harrassment."

Meena mengangguk. Dia tak cakap apa. Dia tahu agaknya kes siapa. Aku terus bawa semua fail yang berkenaan ke bilik kaunseling. Di pertengahan jalan, aku bertembung dengan Fakhri dan Mohammad. Fakhri melayang senyum. Aku balas sekadarnya. Bersyukur dia tak tegur aku dengan suaranya yang mengada-ngada itu depan Mohammad. Kalau tidak, sia-sia je aku kena sindir.

Dalam bilik kaunseling, Kak Su sudah menunggu aku dengan seorang pekerja perempuan, berbangsa India. Pekerja itu senyum pada aku. Aku membalas. Sebaik duduk, aku buka fail. Aku dah study kes dia sejak semalam. Bukan kali pertama dia lewat. Malah, bukan kali pertama dia masuk ke bilik kaunseling. Cuma, baru kali ini kesnya aku handle.

Nama dia, Savathri. Ibu kepada tiga orang anak. Yang sulung berusia 9 tahun. Yang dua lagi 7 dan 5 tahun. Suaminya kaki judi dan kaki botol. Sebelum ini kes absentnya terkait dengan suami. Dia merupakan mangsa dera. Kesnya sudah jadi kes polis. Tetapi kes itu sudah selesai. Dan, suaminya juga sudah menerima hukuman.

"Kakak apa khabar?"Aku menyapa Savithri.

"Ada baik, adik." Dia tersenyum dengan dua tangan bercantum.

Aku pandang pula pada Kak Su yang mencuka. Aku sengih, "Kak Su? Sihat?"Aku memang dah biasa dengan Kak Su. Nak bergurau kasar pun tak ada hal!

"Awak rasa?"

Aku ketawa. Faham dengan sikap Kak Su. Dia, kalau dengan aku memang cuba nak bitter. Tapi, aku tak rasa pun kepahitan sikapnya itu. Rasa buah yang masam tapi enak. Macam mangga muda yang lemak-lemak manis gitu!

"Kakak, kenapa satu minggu tidak datang?" Aku bercakap dengan nada biasa. Tidak mahu terlalu formal macam peguam yang membaca kes di hadapan tertuduh.

"Saya ada emergency, adik. Saya ada call Su, minta cuti."

"Ya, saya tahu. Tapi, bos tak lulus sampai satu minggu. Satu hari sahaja, kan? Itupun sebab kakak call kata ada emergency."

"Ada betul, adik."

"Cerita dengan saya, kenapa?"Aku sudah bersedia mencatat setiap butir bicara Savithri.

"Dia sudah jadi anak dara, adik."

Aku blank. Totally blank. Tapi, aku senyum sahaja sambil otak ligat memproses apa benda yang Savithri ni cakap.

"Siapa?"

"Anak perempuan saya. Itu yang umur 9 tahun. Dia sudah keluar darah."

Oh, okey... aku rasa, aku faham...

"Lis, orang India, kalau anak perempuannya pertama kali keluar haid, dia orang ada macam pantang larang nak kena jaga. Budak perempuan tu tak boleh ditinggalkan sendirian. Lepas tu ada la beberapa perkara yang dia orang kena praktikkan ikut adat dia orang," Kak Su meleraikan kekeliruan aku.

Aku mengangguk-angguk. Ia satu ilmu baharu bagi aku. Ini salah satu sebab kenapa aku sukakan ER. Sedangkan Meena pula tak faham kenapa aku menyukai bidang yang terkait manusia, yang padanya hanya memeningkan kepala.

Aku pula memang suka mengkaji sifat manusia. Dan, hari ini aku mengkaji sifat manusia terkait dengan adat, bangsa dan agamanya. Bagaimana seseorang manusia itu bereaksi dengan sesuatu yang dipanggil sebagai peraturan. Yang melibatkan adat resam, pantang larang berbanding disiplin kerja atau peraturan-peraturan umum.

"Saya kena jaga dia, adik."

"Berapa lama?"

"Satu minggu, adik."

Aku pandang pula Kak Su, "Pekerja India lain, macam ini juga ke, kak?"

"A'ah. Tapi, taklah ambil cuti sampai seminggu. Dia orang tu ada orang lain yang tolong jaga. Bergilir. Mak cik, adik-beradik yang dah besar..."

Aku mengangguk sambil mencatat. Sambil-sambil tu, aku mengerling ke wajah Savithri. Kasihannya dia... kena kerja, jaga anak sendirian. Ada suami pun menyusahkan.

"Saya rasa, tak ada apa saya nak tanya pada Savithri. Saya nak bercakap berdua dengan Kak Su sahaja."

Kak Su bagi arahan Savithri balik ke line.

"Adik... kasi tolong. Jangan buang saya kerja. Saya tak sekolah tinggi. Sini kerja sudah lama."

"Kakak balik line dulu. Saya bincang dengan Kak Su dan bos."

Dia keluar. Aku teruskan perbincangan dengan Kak Su. Bertanyakan prestasi kerja Savithri selama berbelas tahun dia bekerja dengan syarikat. Dan, setiap kesnya, aku tanya lagi sekali dengan Kak Su untuk mendengar pendapat peribadi Kak Su. Dan, aku akan panggil beberapa orang supervisor lagi yang pernah mengelola kerja Savithri untuk mendengar daripada mulut mereka. Semua ini perlu untuk aku serahkan pada pihak pengurusan.

Hampir dua jam setengah aku berada di bilik kaunseling meneliti fail kes dan menulis laporan. Aku buka laman web, mencari tentang adat resam masyarakat India berkaitan hal ini.

Aku baca satu artikel. Upacara Sadanggu atau Sadenggu. Merupakan upacara memandikan anak perempuan yang pertama kali datang haid. Dan, gadis ini tidak dibenarkan keluar ke mana-mana. Hanya duduk di dalam bilik. Dipercayai, untuk menghalang mereka daripada didekati oleh roh jahat. Malah, mereka dan ahli keluarga mereka (yang memiliki anak gadis yang pertama kali datang haid), tidak boleh ke kuil kerana dianggap dalam tempoh tidak suci dan sedang dalam tempoh penyucian iaitu tujuh hari. Mereka juga dipisahkan dari tempat pemujaan atau yang terkait dengannya.

Semua maklumat ini aku masukkan ke dalam catatan helaian kaunseling.

Balik ke office, nak kena taip pula sebelum hantar kepada Encik Fuad. Aku rasa badan dah lenguh-lenguh. Aku menggeliat. Otak rasa jem dengan kes yang begini. Di antara tegas sebagai majikan dan di antara empati sebagai manusia. Dua-dua penting. Petang nanti ada kes lain pula. Lebih mencabar apabila ia melibatkan maruah kedua-duanya – mangsa dan yang tertuduh.

***

Aku balik lewat. Aku solat maghrib di pejabat. Sebaik sampai rumah, azan isyak berkumandang. Aku mandi. Berlama-lama di bawah shower. Memejamkan mata sambil menyahkan segala pemikiran berkaitan kerja. Aku cuba kosongkan minda.

Selepas bersolat, aku merebahkan diri atas katil. Hidup orang bujang. Tak ada komitmen. Hidup pula seorang tanpa rakan serumah. Rumah apartment di tingkat 22, membuatkan aku rasa bahagia. Tenang, damai. Pintu sliding balkoni yang menghadap lebuh raya, kubiarkan terbuka. Terkibar-kibar langsir putih bila ditiup angin malam.

Segelas Nescafe 3 in 1, berperisa Latte menjadi peneman. Aku capai sebuah novel Inggeris, yang pastinya siri penyiasatan, karya John Grisham. Itu sebelum telefon bimbit aku menyala. Aku tengok skrinnya. Nombor yang sudah lama tidak terlihat di skrin telefon aku. Teragak-agak untuk aku menyambutnya.

"Assalamualaikum, Lis."

"Waalaikumsalam."

"Saya ganggu, ke?"

"Oh, tak. Tengah rehat, minum Nescafe 3 in 1." Aku gelak. Menutup gugup.

"Awak kan tak boleh minum air berkafein."

Aku terdiam sebelum menjawab, "Saya, okey. Saya tak minum banyak. Satu cawan sahaja. Saja nak bagi segar otak."

"Penat? Susah buat ER?"

"Emmm... agak penat. Tapi saya okey. Suka dengan kerja macam ni." Dalam kepala memikirkan kenapa dia tiba-tiba menelefon selepas hampir setahun kami renggang? Aku tak pernah melarang dia menelefon atau menegur aku. Aku, okey. Dia sahaja yang menjauh selepas aku... menolak untuk kami, memecahkan tembok 'kawan'. Dia approach aku. Dan aku, reject dia. Aku tak bersedia.

"Bila nak kahwin?"

"Tak ada perasaan lagi."

"Tunggu jodoh yang bawah umur tu capai usia dewasa ke?"

Aku menarik nafas. Melepasnya dengan perlahan. Cuba bercakap dengan tenang, "Kenapa awak call saya?"

"Rindu. Lama tak dengar suara awak dalam talian. Saya rindu nak berbual macam dulu. Dan... ada sesuatu yang saya nak pastikan dengan awak."

"Ya, apa tu."

"Awak ada apa-apa dengan Fakhri?"

"Ada."

"Lis..."

"Awak tahu kan saya dengan dia tu siapa?"

"Tapi, awak layan dia berbeza berbanding budak intern yang lain! Dan, Lis..."

Aku diam. Nafas aku tak tenang.

"... dia mengaku dia sukakan awak. Dia... anggap awak lebih daripada seorang supervisor."

"Dia anggap saya kakak. Awak dengar sendiri dia panggil saya kakak. Dan, ya. Saya juga anggap dia istimewa berbanding budak intern lain. Saya anggap dia, adik saya."

"Lis, Lis..." Dia gelak. Jangan lurus sangat. Saya lelaki. Dan, dia lelaki. Saya boleh tahu beza pandangan, tatapan, kerling mata, bentuk senyum... dan segala bahasa tubuh dia ketika dia nampak awak. Ketika selepas dia jumpa awak. Dan, jangan kata awak tak tahu..."

"Biarlah. Perasaan dia. Selagi dia tak melebihi had, saya tak kisah."

"Tapi, saya kisah."

Aku diam.

"Lis, awak tahu siapa saya. Dan, saya nak beritahu awak yang Fakhri tu pun sama macam saya. Dia budak kongsi, Lis. Dan semalam... dia terlibat dengan pergaduhan. Kalau awak tak percaya, awak tengok kat lengan kanan dia ada kesan torehan pisau. Hati-hati, Lis. Saya tak nak awak jadi mangsa. Itu sahaja saya nak cakap. Sudahlah. Pergilah berehat. Saya tengok awak dari jauh. Kalau awak perlukan bantuan saya. Saya selalu ada. Nombor yang satu ini tak akan pernah saya matikan. Awak tahu, kan? Assalamualaikum..."

Dia putuskan talian.

Aku menghela nafas. Mungkin... ini juga rahsia yang Fakhri ingin kongsikan.


1530 pp

17 Ogos 2023

7.25 malam

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: #budakintern