Bab 12 - Siapa saya
"Fakhri tak boleh buat macam ini. Akak faham Fakhri nak tolong haiwan. Tapi, kena fikir diri sendiri juga. Kena faham disiplin dalam bidang pekerjaan. Kita kerja syarikat Jepun. Tak ada flexible hours. Kalau kata masuk jam 8, 15 minit sebelum tu dah kena ada dalam jabatan. Fakhri pun dah tiga bulan di sini. Tentu tahu 15 minit awal tu untuk apa."
"Morning briefing..."
"Bijak."
"Kak..."
"Ya."
"Kalau kata masuk kerja jam 8, kenapa tak mula morning briefing tu tepat jam 8? Kenapa nak kena mula awal? Rugilah masa pekerja. Gaji kira ikut dari jam 8 tu, kan?"
Aku nak senyum. Tapi, aku tahan. Budak ni otaknya berjalan. Bukan jenis mengikut je. Dan, dia jenis berani bertanya. Ada rasa nak tahu dan ambil tahu kenapa dan mengapa.
"Ehem..." Aku acah betulkan suara. Yang sebenarnya menahan senyum. "Macam ni lah syarikat Jepun. Kalau kata jam 8 mula kerja. Memang jam 8 tu kena kerja. Briefing tak termasuk dalam skop kerja. Produktiviti tak dikira masa briefing tu. Ia bermula masa kita betul-betul memulakan kerja."
"Oh, faham..." Dia senyum. Ada lesung pipit kat dua belah pipi budak ni. Selama ni tak perasan pula aku.
"Baguslah kalau dah faham. Jadikan pengalaman kena panggil ni sebagai peringatan waktu Fakhri masuk bidang pekerjaan sebenar. Memang attendance Fakhri dah tak cantik sebab ada rekod kena panggil, kena jawab surat tunjuk sebab semua tu... tapi ia pengalaman yang tak semua orang dapat masa internship. Bukan akak nak menggalakkan budak-budak intern buat salah laku... tapi bila dah jadi, jangan down dan bila dah masuk bidang pekerjaan sebenar, pastikan rekod attendance cantik. Faham?"
"Macam akak."
"Apanya yang macam akak? Jangan macam-macam, eh!"
Terus dia gelak.
Eh, budak ni. Orang kena panggil dengan HR, kena kaunseling sebab salah laku... muka takut. Muka kelat. Dia boleh gelak pulak!
"Dah, pergi masuk kerja. Kalau orang kat Engineering tu tanya, cerita yang part accident tu je. Jangan sebut langsung fasal kucing. Faham!"
Dia senyum.
"Jangan nak senyum-senyum. Akak bukan nak cover Fakhri, eh!"
"Eleh, eleh... akak..." Dia terus bangun dengan senyum tak habis.
Dia 'eleh-elehkan' aku.
Malam itu, telefon aku yang jarang berbunyi, tiba-tiba je berbunyi. Memang tak adalah sesiapa nak call aku kecuali Meena. Itu pun kalau ada hal office yang urgent. Aku capai telefon. Nama Muhammad Fakhri Amri tertera jelas di skrin.
"Hello?"
"Assalamualaikum, akak. Akak dah tidur ke?"
"Hmmm... belum. Kenapa call? Ada masalah ke? Kucing masuk wad nak beranak ke?"
"Akak ni..."
Aku tekup mulut menahan tawa. Tak nak dia tahu. Dengan dia, kena buat serious. Tak boleh bagi muka!
"Nak tanya fasal report dan final project. Akak ada contoh report dan contoh final project budak poli yang sama course dengan saya?"
"Ada. Esok datang office. Boleh tengok format dan cara dia buat. Topik, tak nak sama. Dah fikir nak buat topik apa?"
"Dah... nak buat yang ada kaitan dengan welding."
"Oh... kenapa tak fokus yang ada kaitan dengan engineering?"
"Saya sebenarnya tak minat engineering, kak. Saya lebih suka yang hands-on. Macam kerja-kerja welding tu."
"Tapi, awak budak mechanical. Tentu ada part yang boleh awak pilih daripada cabang mechanical tu. Mechanical pun banyak yang hands-on juga."
"Tak boleh ke, kak?"
"Akak tak ada masalah. Tapi, awak kena dapatkan persetujuan supervisor awak kat poli sana. Call dan tanya. Dapatkan juga pendapat pensyarah yang mengajar core subject. Dia orang okey ke kalau student pilih topik yang lari sikit daripada bidang. Dan, kalau pensyarah setuju, awak kena bincang dengan Abang Khalil dan bos Maintenance Department untuk awak masuk ke sana balik, untuk siapkan report intern dan final project."
"Dengan Mr. Prabu dan manager Engineering, saya kena cakap juga?"
"Dapatkan consent pensyarah dan Abang Khalil, yang lain tu akak uruskan."
"Maceh, kak. Luv u!"
Malas nak layan budak tak matang ni.
"Ada apa-apa lagi, tak?"
"Akak dah nak tidur ke?"
"Tak. Akak nak baca buku."
"Buku apa, kak?"
"Buku yang berkait dengan kes-kes mahkamah perusahaan."
"Akak suka?"
"Emmm... bolehlah. Lebih kurang macam baca novel mystery thriller John Grisham."
"Ada kes apa dalam tu, kak?"
Eh, makin panjang pula perbualan aku dengan Fakhri ni. Bila nak letak ni...
"Banyaknya soalan awak. Nak online sampai subuh ke apa?"
"Saya okey je... akak tak kisah ke?"
Laa... aku perli je. Tak faham ke buat-buat tak faham budak ni?
"Kat rumah ada siapa?" Budak ni bosan agaknya. Kurang perhatian. Kurang kasih sayang.
"Kucing semalam dan anak-anak dia."
Aku menghela nafas. Dah agak. Patutlah... Aku tutup buku. Kasihan pula dengan budak sorang ni. Ada family, tapi macam sebatang kara.
"Awak dah makan ke?"
Dia diam.
"Fakhri?"
"Akak risaukan saya?"
Aku pula terdiam. Tak tahu nak jawab apa. Memanglah aku risaukan dia. Tapi, tak naklah cakap. Takut nanti dia salah faham.
"Saya dah makan. Saya ada beli nasi masa balik kerja tadi. Akak jangan risau. Saya tak makan Maggie lagi. Julap lagilah... sumpah saya tak akan sentuh."
Terus aku ketawa. Kejanggalan yang baru terbit sebentar tadi, terus lenyap. Part julap tu memang aku tak boleh tahan gelak.
"Akak... janganlah gelak. Hari tu saya tengah sakit. Confuse antara julap dengan majun. Saya ingatkan sama dua tu. Majun tu kan ubat kuat. Dah saya tengah sakit, demam... ingatkan kalau makan ubat kuat, jadi sihat. Bolehlah recover cepat dan pergi kerja. Dapatlah tengok akak sayang saya. Mana nak tahu itu julap..."
Lagilah aku tergelak. Macam-macam betullah budak Fakhri ni.
"Gelaklah kak, gelak..." Dan, aku dengar dia pun tergelak sama.
Reda sikit gelak aku, aku tanya dia, "Memang Fakhri selalu tinggal sorang ke?"
Dia diam sekejap. Hanya terdengar hembusan nafas yang aku rasa, agak berat.
"Saya sayang akak. Jujur. Saya betul-betul sayang akak. Saya dah buat keputusan. Esok malam, saya call akak lagi. Saya akan ceritakan pada akak, siapa saya. Tak akan ada rahsia antara akak dengan saya. Saya off dulu, kak. Jaga diri. Assalamualaikum."
Tak sempat aku nak cakap apa, dia terus letak. Dan, aku sebenarnya nak ingatkan dia jangan suka-suka hati lafaz sayang. Kalau nak jadikan aku kakak angkat pun, tak payahlah lafaz sayang bagai. Nasib baik dia masih kekalkan perkataan 'akak' tu. Tak adalah aku risau sangat. Tapi, risau juga!
Aku termenung panjang. Mata tak rasa mengantuk langsung. Tapi, tak rasa nak sambung baca buku. Budak intern seorang ni dah tinggalkan puzzle dalam kepala aku. Siapa dia? Bukan ke dia tu hanyalah seorang pelajar politeknik bidang mechanical engineering? Budak intern aku. Yang 'macam-macam'. Apa lagi tentang dia? Dan, perlu ke aku tahu?
989 pp
15 Ogos 2023
5.15 petang
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro