Bab 11 - Lagi!
Bulan ini, bulan terakhir Saifullah di syarikat ini. Awal-awal lagi dia dah submit laporannya. Tak sabar betul nak balik ke universiti agaknya.
"Kak... jumpa sekejap, boleh?"
Aku menerima panggilan intercom daripada Saifullah.
"Saya tunggu akak kat lobi."
Aku tinggalkan kerja aku. Baru nak bangun, telefon di meja aku, berbunyi. "Na... tolong jawab sekejap. Aku nak ke lobi. Jumpa Saifullah."
Belum sempat tangan menolak pintu pejabat, Meena bersuara, "Prabu. Dia nak cakap dengan kau. Urgent."
Terus aku capai telefon dari tempat Meena, "Yes?"
"Lis... budak intern you pergi mana? Dia tak ada hari ini."
Sudah seminggu Fakhri bertukar jabatan. Minggu ini jadualnya di Engineering Department. Prabu, senior engineer yang bertanggungjawab menyelia Fakhri.
"Dia tak ada call?"
"Hmmm... dia tak ada nombor I. But, not sure either he..." kata-kata Prabu terhenti tiba-tiba. Aku dengar dia melaung dan bertanya kepada kerani di situ tentang Fakhri.
"Lis, no information."
"How many days. Is it only today?"
"I think... so."
Aku lihat jam di tangan. Dah pukul 11 pagi baru Si Prabu ni nak inform HR. Haih, geram pula aku!
"Prabu, are you busy?"
"Yup, super busy." Dia diam seketika sebelum... Oh, sorry!" Dia baru tersedar. "Sorry, Lis... I... I just realize he didn't turn up... I'm looking for the drawing that I gave him two days ago."
Oh, macam tu. Dia mencari Fakhri untuk sesuatu dan baru tersedar budak tu tak ada.
"Okey, Prabu. I'll try to contact him. Thanks!"
Malas aku nak panjang cerita. Setiap kali budak intern masuk ke department yang satu ni... memang akan ada banyak masalah. Fakhri ni dahlah budaknya bermasalah sejak hari pertama lapor diri lagi! Budak-budak yang independent je yang boleh survive di department yang super busy ni. Tapi, bersyukur sebab dia orang masih nak terima budak intern.
Aku terus letak telefon. Saifullah dah tunggu lama kat lobi tu. Kalau manager lain nampak, terutama manager Jepun, payah nak menjawab. Pengurus-pengurus Jepun ni bukan boleh tengok orang duduk saja. Jalan perlahan pun, kalau berpapasan dengan dia orang, silap hari bulan, kena sound! Semua benda kena cepat pada dia orang. Masa tu duit.
Lagilah Saifullah masih memakai uniform syarikat. Kalau dia pakai baju luar, mungkin pengurus Jepun ni ingat supplier ke, customer ke...
"Adik kau buat hal lagi?" Meena bertanya sewaktu aku dah nak bergerak ke pintu. Entah kenapa, suka benar Meena menggelar Fakhri sebagai adik aku. Sedangkan yang selalu dengan aku, Saifullah.
"Kau tolong call dia. Tanya apa masalah. Aku nak settle dengan Saifullah dulu."
"Okey, beb!" Meena terus capai telefon. Aku pantas menolak pintu dan berjalan ke lobi.
"Sorry, akak stuck dengan phone call."
"No worries, kak. Faham."
"Hah, ada apa nak jumpa?"
"Nah! Untuk akak."
"Rasuah?"
"Dengan akak, tak jalan rasuah semua tu... buat yang terbaik je. Sure dapat A!" Dia gelak. Dia tahu. Dia kenal perangai aku.
"Boleh buka kat sini, ke?"
Dia angguk, "Silakan."
Kena check dulu sebelum terima. Tak boleh terima sembarangan hadiah terutama daripada budak intern yang dah reach final evaluation. Which is, aku yang tentukan selepas semua supervisor dari jabatan selesaikan bahagian masing-masing.
Sebuah buku nota. Aku cabut plastiknya. Aku selak helaiannya. Buku nota kosong tanpa garis. Aku senyum. Kalau setakat buku nota macam ni... aku boleh terima. Harganya tidak terlalu mahal untuk dipertikaikan. Bawah RM10. Lagi pula, keputusan evaluation Saifullah telah selamat aku serahkan pada pihak pengurusan tertinggi. Tak boleh nak ubah apa pun. Jadi, tiada conflict of interest di sini.
"Mana tahu akak suka buku kosong, tak ada garis atau petak?"Aku tak pernah ceritakan tentang diri aku, kesukaan aku pada budak-budak intern atau pada sesiapa jua. Kecuali Meena. Meena ni bukan hanya rakan sekerja, tetapi kawan baik yang tahu segala-galanya tentang aku. Apa-apa benda pun, aku selalu kongsikan dengan Meena. Dia pun, sama. Termasuklah hal-hal mengata bos!
"Selain identify hazard, saya identify akak," Dia gelak.
Aku mencebik, "Berapa likelihood akak?"Aku ikut bergurau.
"Rahsia."
"Okeylah. Akak pun tak boleh lama. Thanks! Kalau ada apa-apa, dm."
Dia dah follow semua akaun media sosial aku.
"Tak boleh dapat nombor fon, eh?"
"Hah, cepat keluarkan telefon. Save nombor akak." Aku teringat perbualan dengan Abang Khalil tempoh hari. Ya, mahu atau tidak, ada bahagian-bahagian tertentu dalam hidup aku, perlu dikorbankan. Lagipun, aku rasa, budak-budak ni pun bukan ada apa-apa intention pun. Kan? Akak, kan?
Rasanya, tak akan ada masalah pun.
Aku sebutkan nombor aku. Saifullah taip dalam telefonnya lalu membuat panggilan. Aku tersenyum.
"Okey, kak. Save juga nombor saya. Kalau saya call, akak jangan tak jawab pula, ya. Dan, jangan buat-buat tak kenal. Gerak dulu. Assalamualaikum."
Aku terus masuk ke pejabat. Belum pun duduk, Meena dah bersuara, "Dia tak jawab."
"Berapa kali kau call dia?"
"Lebih lima kali dial."
Aku angguk, "Thanks! Aku try sekejap lagi."
Nak marah pun, ya. Risau pun, ya. Apa sahaja yang jadi kat budak Fakhri ni?
Sewaktu aku kat surau, telefon aku menyala. Kebetulan, aku sedang melipat telekung. Baru sudah solat. Fakhri! Ya, aku ada save nombor dia dan aku call dia sebelum zuhur guna telefon pejabat. Tak berangkat. Aku tinggalkan mesej, beritahu ini nombor aku dan please reply. Selepas empat jam mesej itu kuhantar, baru sekarang dia balas. Dengan menelefon.
"Hello?"Perlahan sahaja suara aku menyambut panggilan. Dalam surau, kot.
"Akak..." Suara dia...
Aku putuskan talian. Aku hantar mesej.
+Kenapa tak datang?
Dia tak balas.
+Saya dalam surau. Tak boleh nak bercakap.
Entah kenapa, mood aku jadi formal. Menahan marah, mungkin. Sebab, budak seorang ni bermacam-macam ulah. Banyak betul masalah. Malas nak ber'kakak' dah dengan dia. Biar aku bersikap seperti sebenar-benar supervisor.
Fakhri is typing...
+Akak rehat nanti, saya call. Saya nak bercakap dengan akak.
Aku menghela nafas. Aku tak balas mesej dia. Aku selesaikan mengemas telekung dan sejadah. Aku balik ke pejabat.
Waktu rehat petang, aku duduk dalam pejabat. Memang kebiasaannya begitu. Aku buka sistem HR. Mencari nama Fakhri menggunakan nombor MyKad dia. Kerana dah selalu aku buka fail dia dalam sistem ni, sampai aku boleh hafal nombor MyKad dia. Aku meneliti attendance Fakhri. Oh, baru hari ini je dia tak datang. Sedikit lega. Aku ingatkan, dah dua tiga hari. Prabu memang tak alert dengan Fakhri berdasarkan perbualan aku dengan dia tadi. Itu yang aku pelik masa Prabu call tadi. Selalunya, Meena alert dengan attendance pekerja. Lebih-lebih lagi budak intern. Lebih dua hari, tentu Meena berbunyi pada aku. Kadang-kadang, sehari pun Meena dah berbunyi.
Bila telefon aku mula vibrate, aku tahu... itu Fakhri.
"Assalamualaikum..." Aku mulakan salam. Dia jawab sebelum suara mengada-ngadanya muncul.
"Akak..."
"Kenapa Fakhri tak datang? Dan, kenapa tak call supervisor?" Terus aku tanya.
"Dah call. Talian busy. Tak tahu nombor fon supervisor."
"Okey, ada apa yang tak datang ni?"
"Kucing..."
"Kucing?" Apa benda pulak budak sorang ni! Sebelah tangan aku dah mula memicit pelipis kepala.
"Saya dah nak keluar rumah pagi tadi... dah keluarkan motor. Dah tutup pagar semua..."
Dia ni... ceritalah cepat. Aku menahan sabar je...
"Lepas tu ada mak kucing dengan anak kucing depan pagar rumah saya. Kesian, kak. Macam lapar je... Mak dia dahlah menyusukan anak yang tiga ekor tu. Kat rumah saya tak ada pula stok makanan kucing. Saya pergi KK Mart dulu carikan makanan kucing. Lepas tu, saya bawa kucing-kucing tu masuk rumah. Bagi mak dia makan. Anak dia menyusu badan. Lepas tu... saya... tengok jam. Dah lewat. Kelam-kabut saya pecut. Lepas tu... saya accident."
Aku menarik nafas. Dalam-dalam...
Perkataan accident tu sepatutnya membuatkan aku risau. Tapi, dengan cara dia bercerita, dengan suara mengada-ngada dia... aku tak risau dah. Hanya tahan marah. Dia ni... lagi sebulan setengah kot nak habis intern. Kenapalah kau macam-macam Fakhri oiii!
"Kak..."
"Macam inilah. Esok pagi-pagi, jangan masuk kerja. Tunggu akak kat lobi."
"Okey!" Dia jawab dengan suara sangat ceria.
"Akak nak bagi kaunseling kat awak."
"Eh, saya ada buat salah ke? Tak sampai 48 jam lagi kan saya tak datang tanpa makluman? Kan?"
Dia aware dengan akta...
"Ada buat salah ke, awak tanya? Soalan awak... Awak tahu tak yang alasan awak tu..." Aku menarik nafas, menghembus perlahan. Sesak dada aku.
"Kak... saya tolong kucing. Saya accident."
Aku dah tak tahu nak balas apa. Jadi bodoh terus dengan 'macam-macam' Fakhri ni. Hilang 'HR' dalam diri aku. Tak tahu nak explain macam mana bila dia mempersoalkan perkara tu salah atau tidak. Kalau dia tak bercerita tentang kucing-kucing tu, cuma kata dia accident masa nak pergi kerja... itu, okey. Itu, memang sesuatu yang tak boleh nak dielak. Semua orang boleh berada pada situasi tersebut. Accident adalah satu perkara yang tak dijangka. Sama ada kita terlanggar orang, atau kita dilanggar. Atau, kita hilang kawalan dan macam-macam punca.
Tetapi, cerita awal tu... hmmm... Dia ada tanggungjawab dan keterikatan pada pekerjaan. Tetapi, dia memilih hal remeh untuk didahulukan.
"Awak sanggup korbankan intern awak sebab kucing?"
"Kak... dia makhluk Tuhan. Kesian, kak. Kalau saya tak tolong, saya tak tenang nak pergi kerja."
"Tapi, bila dah tolong... awak lupa masa. Awak leka. Salah awak. Lepas tu kelam-kabut tak tentu hala, sampai accident."
"Yalah. Marahlah kak... benda dah jadi. Tapi, okey juga. Esok boleh jumpa akak."
Itu je jawabnya... berderau-derau darah aku menahan rasa.
Aku dan dia, diam seketika. Hampir tiga minit talian sunyi. Bila aku rasa dah susut sikit amarah dalam dada, aku bertanya, "Teruk ke accidentnya?"
"Bernyawa lagi."
Orang tanya baik-baik, dia jawab macam tu.
"Kalau akak tanya, tolong jawab dengan serius, boleh tak? Ada pergi klinik, tak?"
"Ada... kaki kanan injured. Ibu jari bengkak. Doktor suruh buat appointment, x-ray. Nantilah... malas nak buat. Nanti ganggu attendance. Errr... esok, boleh ke kalau saya pakai selipar?"
"Berbalut tak?"
"A'ah. Berbalut."
"Teruk?"
"Esok akak tengoklah sendiri."
"Dapat MC?"
"Hari ni je. Doktor kata, kalau nak sambung MC, datang lagi esok."
"Habis tu? Tak nak sambung?"
"Esok nak jumpa akak..."
Aku rasa nak starlight je budak sorang ni! Biar merah dahi tu!
1492 pp
13 Ogos 2023
09.35 malam
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro