Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 10 - Kucing

Pagi-pagi lagi aku dah menuju ke maintenance department. Aku agak-agak je dia orang dah selesai morning briefing. Aku nak tangkap Abang Khalil sebelum dia masuk bengkel. Masuk sahaja ke maintenance department, aku lihat masing-masing sedang memilih tools dan akan bergerak ke work station mengikut job order.

Seram juga nak masuk ke department yang 100% lelaki. Ada bujang, ada suami orang. Duda pun ada. Tapi, sepanjang aku bekerja dan bekerjasama dengan dia orang, tak ada yang berani cari fasal. Gurau-gurau biasa tu selalu juga. Gurau lucah, belum pernah. Tak tahulah dengan orang lain. Tapi, dengan aku memang tak ada. Mungkin sebab aku HR dan setiap daripada mereka yang masuk ke syarikat ini menerima briefing daripada aku tentang Code of Conduct Sexual Harassment.

"Uih, patutlah pagi-pagi tadi hujan. Awek HR nak datang sini rupanya!" Fadhli, salah seorang junior technician memecah sunyi. Dia yang mula-mula nampak aku sebab dia duduk di meja menghadap pintu masuk, tengah susun job order. Dengar sahaja pintu ditarik dari luar, dia terus angkat kepala. "Berseri dan wangi department ni bila ada bidadari menyinggah."

Aku senyum je. Mata melilau mencari Abang Khalil. Aku nampak Fakhri. Dia senyum. Aku angguk sikit.

"Lis! Kau dah ada boyfriend ke, belum? Aku nak masuk line kalau belum." Meor, umur tua setahun daripada aku. Bujang. Engineer lepasan GMI (German-Malaysia Institute) dalam bidang Mechatronic. Pernah bekerja di sebuah syarikat pembuatan kereta sebelum join company ini. Awal masuk, pendiam ya amat. Sekarang ni dah boleh bercakap. Gurau pun, boleh tahan!

Aku senyum juga. Tak tahu sebenarnya nak balas apa.

"Jenis memilih tu... sebab tu single." Mohamad, senior technician. Baya-baya aku juga, tiba-tiba berbunyi. Dia ni memang tak pernah senyum. Bercakap pun sikit-sikit. Kalau aku bagi briefing, memang dia tak pernah bersuara. Tak tanya apa. Tak tahu faham ke, bosan ke... hari ni berbunyi pulak! Patut hujan...

Dia capai kotak tools yang ada nama dia, "Meor, kau bagi tahu kat bos, aku kat line 3. Lepas tu mungkin ke line sebelah. Nanti suruh bos tengok job order tu. Lunch nanti baru aku masuk office, update."

Aku menyisih ke tepi bila Mohamad menolak pintu dan melangkah keluar. Dia ni memang ada isu dengan HR!

"Jangan ambil hati, Lis. Mat tu memang macam tu. Tapi, kalau nak ambil hati juga, kau ambillah hati aku. Tak ada sapa-sapa punya."

"Wuuu... berani kau Meor, mengayat orang HR! Tak takut kena kaunseling ke?" Fadhli bersuara. Gelak-gelak.

"Hei, apa ada hal kalau kena kaunseling dengan Lis. Sejuk mata, redup telinga! Kau tengok budak Fakhri semalam. Balik kena kaunseling, muka berseri-seri macam lepas akad nikah. Lainlah kalau kena dengan Kak Kinah. Macam Mat kena tahun lepas. Balik daripada kena kaunseling dengan Kak Kinah, muka macam tertelan ubat gegat. Padahal isunya sama je dengan budak Fakhri. Isu absent."

"Sudah-sudah menyakat Lis. Tak sempat siap job order yang bertingkat-tingkat tu nanti." Abang Khalil muncul dari pintu bengkel sebelah. Dia dengar je agaknya dari tadi anak-anak buahnya menyakat.

"Ala bang... potong line betullah! Bukan selalu awek HR yang ni nak mencemar duli bertemu pacal hina berminyak macam kita orang. Sesekali dia masuk sini, kenalah beramah mesra, bergurau-senda. Tak gitu, Lis? Lis okey je kan? Abang Khalil saja je tak bagi chance!"

"Jom, Lis, kita duduk kat bilik mesyuarat. Tak payah dilayan budak-budak ni. Tak selesai kerja kita."

Aku senyum sambil melangkah mengekori Abang Khalil.

Setiap department akan ada bilik mesyuarat sendiri. Macam bilik mesyuarat di jabatan ni dibina dalam pejabat dan bersebelahan dengan bengkel tempat mereka bekerja. Dindingnya tembus pandang. Jadi, boleh je nampak siapa-siapa yang duduk di dalamnya. Walaupun begitu, bilik ni dibina kalis bunyi. Yalah, sebelah bengkel. Kacau pula konsentrasi nak meeting kalau dengar dung-dang, dung-dang.

Abang Khalil rapatkan pintu kaca.  Aku ambil tempat depan Abang Khalil dan menyerahkan laporan semalam.

"Apa yang abang nak kena tukar dalam laporan ni, Lis?"

"Yang part telefon tu, bang. Sebelum ni, abang tulis tak ada terima sebarang makluman, kan? Tukar kat situ, yang Fakhri ada telefon. Tapi, abang tak jawab sebab tak perasan ada panggilan masuk. Dan, abang tak call balik sebab nombor tu tak ada dalam daftar panggilan abang."

"Oh, okey." Abang Khalil membelek laporan sebelum mula menulis.

"Bang... masukkan sekali masa dia telefon tu. Dan, berapa kali missed call."

Abang Khalil fokus menulis.

"Okey, dah." Dia hulur balik laporan tu pada aku untuk aku semak.

"Budak ni okey, Lis. Kerja pun bagus," Abang Khalil bersuara sewaktu aku sedang menyemak dokumen. "Perangai pun okey. Hormat orang. Solat tak tinggal. Tapi..."

Aku angkat kepala dan pandang Abang Khalil, lama. Tapi?

"... kuat merokok! Haih, sayang betul! Muda-muda dah merokok."

Aku tak pernah tahu dan tak pernah bertembung pun dengan Fakhri yang merokok. Masa dia jumpa aku waktu nak tandatangan laporan, tak ada pula tertangkap bau rokok di hidung aku. Semalam pun sama.

"Errr... laporan dah okey, bang. Saya pun tak nak ambil masa abang lama-lama. Terima kasih. Kalau ada apa-apa fasal Fakhri tu, abang roger je saya." Aku tak tahu nak komen apa dengan keluhan Abang Khalil yang risaukan Fakhri merokok.

"Eh, Lis. Kejap." Abang Khalil tahan aku masa aku baru nak bangun.

"Ya? Ada apa, bang?"

"Errr... tak boleh ke kalau budak-budak intern ni terus call Lis kalau dia orang tak datang? Abang ni bukan apa. Takut kes macam ni berulang. Macam menganiaya anak orang pula. Budak intern je... Lis pun dah ambil tugas Kak Kinah, kan? Handphone syarikat yang Kak Kinah pegang tu, tak dapat kat Lis ke?"

Betullah tu. Aku dah ambil alih tugas Kak Kinah. Dan, Encik Fuad pun ada beritahu yang handphone syarikat yang ada pada Kak Kinah tu akan diserahkan pada aku. Memang pegawai HR yang in-charge ER/IR akan diberi satu handphone. Bagi bukan sebarang bagi. Berat tanggungannya. Tak boleh off. Kalau ada emergency berkait dengan pekerja, telefon ini akan berbunyi. Sama ada daripada pihak polis, bomba, atau mana-mana manager jabatan lain sekiranya mereka tidak dapat menghubungi Encik Fuad selaku pengurus besar HR.

Pernah Kak Kinah terima panggilan pada jam 1 pagi daripada pihak hospital bila ada pekerja yang admitted dan jaminan majikan diperlukan bagi meneruskan rawatan menggunakan insurans syarikat.

Ada juga kes pekerja cedera ketika terlibat dengan rusuhan dan ditahan di balai. Kak Kinah kena uruskan semua tu. Sekarang ni, aku menunggu masa untuk berhadapan dengan situasi yang sama.

"Belum dapat lagi bang. Kak Kinah kan masih ada. Tapi, tak apalah. Nanti saya bagi nombor saya pada dia."

"Terima kasih, Lis."

"Terima kasih juga pada abang sebab bantu saya uruskan budak intern. Tak semua jabatan nak terima budak intern. Sebab rasa leceh nak mengajar dan nak luangkan masa semak laporan semua."

"No hal. Lis punya fasal, bila-bila je."

Aku senyum lalu meminta diri untuk pulang ke department.

Sampai kat office, aku susun semula kertas laporan dan segala surat tunjuk sebab. Aku tulis dan lakar kronologi kes dalam bentuk rajah. Aku filing dan labelkan. Aku buka database HR dan mula memasukkan data. Satu sejarah bila dalam rekod seorang budak intern ada kes salah laku. Selalunya, di bahagian ER/IR budak intern, bersih. Tidak ada sebarang data di situ. Tetapi, untuk Fakhri...

Selesai semuanya, aku semak semula sebelum generate report dalam satu muka. Aku turunkan tandatangan digital dan e-mel kepada Encik Fuad, Kak Kinah, Meena dan bos jabatan maintenance, termasuk supervisor in-charge, Abang Khalil.

Case closed!

"Settled kes adik kau?" Meena bertanya. Semenjak aku balik pejabat tadi dia tak berani buka mulut. Faham dengan sikap aku yang tak nak bercakap kalau dalam otak penuh dengan susunan kerja dan pemikiran-pemikiran berkait kes yang aku handle.

"Yup! Lega. Haih, semput aku uruskan budak sorang ni." 

Meena ketawa.

Aku pun ketawa, puas.

"Meena..."

"Hmmm..." Mata Meena tak berkalih. Masih pada dokumen di atas meja dan sekali sekala melihat ke skrin monitor.

"Kau rasa... patut ke aku bagi nombor telefon aku pada budak intern?"

"Motif nak bagi?"

"Untuk makluman ketidakhadiranlah."

"Macam tak boleh call office."

"Ish kau ni! Masih tak dapat tangkap maksud aku. Kan aku dah cerita kes Fakhri."

Meena angkat muka, "Oh, okey... faham. Bagi je lah. Kau boleh handle kan budak-budak intern. Lagipun, kau tu tegas. Dia orang boleh buat apa je kalau dapat nombor kau? Takkan nak kacau setiap masa. Dan, kau pun kalau tengok nombor yang kau tak rasa nak jawab, yang call tak kena masa dan tempat... kau boleh je abaikan, kan? Bukan tak biasa buat."

Aku mengangguk.

"Kau ingat tak masa kau mula-mula masuk dulu..." Meena dah tak fokus pada kerja. "Ada supervisor bahagian Shipping nak try kau. Entah mana dia dapat nombor kau. Tak fasal kena sound kaw-kaw. Dan, kau punya angin tu memang menakutkan. Encik Fuad pun tak berani nak hentikan. Lagilah bila kau tahu yang call mengushar tu orang dalam. Kau cari satu-satu nombor dalam database HR, dan bila kau tahu siapa, kau berdepan. Kecut perut abang tu!"

Aku ketawa, "Dahlah... cerita lama. Masa tu darah muda, memang kuat melenting. Dia pun gatal sangat. Aku kalau rasa terancam, memang terus jadi singa. Dahlah kacau time pejabat. Memang mendapatlah. Sekali dua, aku sabar. Kalau setiap hari, memang kena cari!"

"Sekarang ni dah banyak bersabarlah?" Meena mengusik.

"Dah insaf!" Aku ketawa. 

"Singa dah tak mengaum lagilah, ya?"

"Dah jadi kucing! Meow-meow!" Aku sambung ketawa.

"Eh, Fakhri suka kucing."

Terus aku diam. Meena ni...

"Betul, Lis. Memang budak tu suka kucing. Sayang pada kucing. Aku terserempak dengan dia depan surau. Baru habis solat agaknya. Baru dia nak pergi, ada ibu kucing gesel-gesel kat kaki dia. Aku perhati je. Ingatkan dia nak tolak ke, atau blah macam tu saja. Tak. Dia mencangkung dan bercakap dengan kucing tu. Lepas tu, aku nampak dia ke kantin belikan ikan goreng. Cubit-cubitkan bagi kucing tu makan. Dia usap-usap kepala kucing tu. Haih, tersentuh hati aku."

Hmmm...

1534 pp

09 Ogos 2023

10.22 malam

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: #budakintern