RATU MALUM (battle)
RATU MALUM (sambungan cerpen)
Penulis: Liah Ismail
Kumpulan: Unicorn Vs Phoenix
*****
SAAT ini Floren, si puteri Phoenix memandang tepat ke arah putera Unicorn. Wajah tampan dalam kejadian manusia itu dipandang hiba. Sayu hatinya mengenangkan bakal ada antara mereka berdua yang akan tertewas sebentar lagi.
Hildan melepaskan nafas berat. Dia tahu Floren juga merasakan hal yang sama. Namun, syarat yang telah dibuat oleh ratu durjana tersebut, wajib dilaksanakan. Jika tidak, orang kesayangan mereka pula yang menjadi mangsa.
“Apa benar, kita tidak ada pilihan ketika ini?” perlahan Floren bersuara. Hildan hanya mendiamkan diri.
Saat ini, hujung tanduk di atas kepala putera unicorn itu sudah mengeluarkan sinar cahaya putih kebiruan yang terang benderang. Apabila lelaki itu memfokuskan kuasa dalaman, pasti tanduknya akan bersinar.
Lantas mata Floren membulat. Nampaknya Hildan tidak akan bertolak-ansur padanya lagi. Kalau terus dia leka, pasti nyawanya yang akan melayang. Kerajaan Phoenix bakal musnah.
Floren melangkah ke belakang beberapa langkah sebelum muncul sayap phoenix di belakangnya merah-menyala. Tanda kuasa milik kerajaan itu sudah sebati dalam diri. Dia bakal pewaris takhta, dan mustahil semudah itu akan mengaku kalah.
Di hujung bibir Hildan, lelaki itu tersenyum nipis. Akhirnya Floren sudah faham tanda yang baru keluarkan. Bukan masa untuk berbual, pengorbanan ini untuk generasi masa hadapan. Serentak itu juga satu cahaya kebiruan keluar dari tanduknya lalu menuju laju ke arah Floren.
Puteri itu bukan sembarangan puteri. Serangan yang baru saja dilancarkan padanya, pantas dielak dengan sekali pukulan dari sayapnya. Walaupun tangkisannya berhasil, namun hatinya tetap sakit. Sakit kerana Hildan memang sudah nekad mahu membunuhnya dalam pertarungan ini.
Ratu Malum yang sedang menyaksikan pertarungan yang baru saja bermula antara puteri Phoenix dan puteri Unicorn itu, sudah tersenyum sinis. Senang hatinya kedua pewaris kerajaan itu mula berbunuhan sesama sendiri. Tidak perlu dia bersusah payah, andai keduanya mati.
Sengaja dia memilih Floren dan Hildan bertarung, kerana dia tahu keduanya sedang menyimpul kasih. Kalau keduanya bersatu dalam ikatan perkahwinan, pasti rancangannya akan musnah. Kedua kerajaan itu tidak boleh bersatu atau alam ini bakal menjadi kuasa mereka berdua!
*****
PERMAISURI FLURRY tidak senang duduk ditakhtanya saat ini. Semua pembesar dari golongan phoenix dan juga haiwan-haiwan yang lain sedang berkumpul di ruangan istana tersebut. Kerisauan permaisuri mereka dikongsi bersama.
“Sudah berapa lama puteri beta menghilangkan diri?” sua Permaisuri Flurry pada pembesar yang sedang berdiri di hadapannya itu.
“Seharian, Tuanku.” Jiltu, antara pahlawan terbilang di alam ini menjawab. Permaisuri menghembus nafas beratnya.
“Ada sesiapa yang tahu, ke mana Puteri Floren menghilang?” sekali lagi soalan muncul darinya. Semua berpandangan, menunggu siapa pula yang akan menjawab.
“Puteri Floren sedang mengikat kasih dengan Putera dari kerajaan Skotlandia, Putera Hildan, tuanku.” Kim berterus-terang.
Kini semua memandang tepat ke arahnya. Tidak sangka dengan khabar yang baru disampaikan wakil dari haiwan rusa itu.
“Bicara apa tuan hamba ini? Phoenix dan Unicorn mustahil akan bersatu!” Arena, salah satu penjaga batu phoenix itu meningkah tidak setuju. Namun Permaisuri Flurry hanya mendiamkan diri.
“Adakah maksud Pembesar Kim, Puteri Floren melarikan diri ke Kerajaan Skotlandia?” Permaisuri Florren akhirnya bersuara. Semua senyap tidak berkata-kata.
Keadaan senyap itu tiba-tiba dikejutkan dengan kemunculan sesuatu diluar jangkaan. Satu portal muncul di hadapan pintu masuk ruangan istana. Seorang manusia berjubah biru putih melangkah keluar dari portal itu.
Menuju dengan langkah seorang pahlawan menghadap sang permaisuri Buana Pari. Pandangan semuanya kini memusat pada makhluk tersebut.
“Benarlah firasat beta. Saat kerajaan Buana Pari dalam malapetaka, akan muncul sang pembela lagi hebat mengalahkan seluruh buana.” Permaisuri Flurry bermadah bicara. Kim dan Pim mengangguk-angguk setuju.
Kehadiran gadis istimewa itu kali ini berbeza dari sebelumnya. Jubah pahlawan biru putih yang dipakainya itu menunjukkan, dia sudah tidak datang dengan tangan kosong.
*****
FLOREN bersembunyi di sebalik pokok besar untuk mengelak serangan Hildan yang tidak berhenti sejak mula lagi. Masa sejam perlu digunakan sebaik mungkin agar tiada orang kesayangannya yang dibunuh Ratu Malum.
Tekadnya Hildan membuatkan Floren kecewa. Nampaknya kasih yang dibina tidak mampu menandingi hati Hildan terhadap keluarganya. Kalau benar itu pilihan Hildan, dia juga tidak akan membiarkan dirinya menjadi mangsa.
“Kenapa bersembunyi, Floren? Bukankah kau pewaris kuasa sang pemerintah Buana Pari! Kalau begini bertingkah, aku percaya Buana Pari akan tetap musnah di tanganmu nanti!” Hildan memprovoke. Perlahan-lahan dan penuh hati-hati lelaki itu mendekati pokok besar, di mana Floren sedang menyembunyikan diri.
“Kau yakin aku pewaris Sang Buana Pari, Hildan?” sinis Floren menjawab, membuatkan langkah Hildan terbejat. Pantas dahinya berkerut. Masakan Ratu Malum salah. Keempat-empat mereka yang terkumpul di situ adalah pewaris takhta dari kerajaan masing-masing.
Kedengaran tawa di sekeliling hutan tersebut. Bergema-gema dan lirih sekali. Mereka berdua pasti, tawa sinis itu datangnya dari Ratu Malum.
“Bijak sekali kau berkata-kata, Floren. Sebab itu, Permaisuri Flurry amat mempercayaimu!” tingkah suara Ratu Malum walaupun jasadnya tidak kelihatan. Kedua mereka mencari-cari kelibat ratu itu, namun tidak kelihatan.
“Ratu Malum bukan sembarangan ahli sihir. Dia ahli sihir yang menguasi sihir terlarang di alam ini. Hanya sekali jentik saja, kita berdua bisa jadi abu.” Floren berkata-kata. Masih bersembunyi di tempat yang sama.
“Semua ini rancangannya, agar setiap kerajaan bertingkah dan saling memusnahkan. Tidak perlu dia susah payah untuk menewaskan kita satu-persatu.” Floren menambah.
Sekali lagi ketawa Ratu Malum kedengaran lalu satu cahaya seperti kilat mengenai pokok tempat persembunyian Floren. Pokok itu terbelah dua. Mujur tidak mengenai Floren.
Floren bergulung-gulung mengelak serangan mengejut tersebut. Setelah berdiri, puteri itu memandang sekeliling. Bersiap siaga andai ada serangan sekali lagi menuju ke arahnya.
“Putera Hildan! Masamu tinggal 15 minit lagi. Bunuh Puteri Floren atau abangmu bakal menjadi debu!” ugut Ratu Malum.
Tanpa menunggu lama, Hildan melancarkan serangan sekali lagi. Pedang di tangan dilibas berkali-kali ke arah Floren. Gadis itu dapat membaca setiap gerakan Hildan kerana mereka selalu berlatih bersama.
Pancaran kilat sering-kali kelihatan apabila dua pedang dari dua pewaris kerajaan masing-masing berlaga. Namun, keduanya masih tetap utuh. Tiada satupun yang tertewas.
Sekali lagi pedang mereka berlaga, kali ini pandangan tajam keduanya bertemu. Sudah tidak ada lagi ucapan kasih-sayang, yang ada cuma dendam.
“Maafkan aku…” ucap Hildan tiba-tiba. Tidak sempat Floren mengelak apabila tusukan dari tanduk Hildan tepat mengenai batang tubuhnya. Floren terpelanting ke belakang. Sayapnya terkatup ke hadapan cuba mengawal kelajuan seretan. Darah merah pekat membuak keluar dari mulut dan tubuh puteri itu. Pedangnya sudah terlepas dari pegangan.
Hildan cuba berlagak tenang, walhal hatinya sudah tidak keruan. Puteri itu cinta hatinya. Namun terpaksa menjadi korban demi orang lain.
“Bagus!” kedengaran tepukan muncul di tengah-tengah arena perlawanan tersebut. Walaubagaimanapun, jasadnya tetap tidak kelihatan.
“Aku sudah menang, Ratu Malum! Jadi kau harus mengotakan janjimu!” jerit Hildan. Kemudian pandangannya beralih pada Floren semula. Gadis itu walau sudah cedera tetapi masih bernyawa.
“Dia belum mati lagi, Hildan! Syaratnya, kau harus bunuh puteri phoenix atau keluargamu jadi galang-gantinya!” Hildan meludah ke tanah. Sakit hatinya kerana perlu betul-betul menghabiskan nyawa Floren.
Wajah Floren yang sedang menahan sakit dipandang penuh serba-salah. Dengan gerakan perlahan, sekali lagi Hildan mengumpulkan kuasanya. Tanduk Unicorn miliknya mula menyala semula. Lebih terang dari tadi. Sudah nekad, agar serangan kali ini akan membunuh Floren serta-merta.
Sebaik tanduk unicornnya itu sudah penuh dengan kuasa, lalu dia pancarkan tepat ke arah Floren. Namun sesuatu tidak diduga, kuasannya melepasi satu portal yang tiba-tiba muncul di hadapannya.
Mata Hildan membesar. Kelihatan beberapa kelibat muncul di situ lalu menghampiri Floren. Lima orang penjaga dan pahlawan terbilang Buana Pari berdiri di hadapannya dengan lagak bersiap-sedia.
“Anggap saja perlawanan ini, puteri beta tertewas. Maka, terhapuslah sumpahan Ratu Malum!” Permaisuri Flurry berkata-kata sambil melihat wajah puterinya yang pengsan. Andai mereka terlambat sedikit saja tadi, pasti puterinya ini sudah mati.
Satu pusaran angin tiba-tiba muncul tidak jauh dari tempat Hildan berdiri. Sebaik pusaran angin itu berhenti, kelihatan Ratu Malum memandang ke arah Permaisuri Flurry dengan pandangan menyinga. Lantas tongkat saktinya dihalanya tepat ke arah Permaisuri Flurry, namun sepantas kilat itu juga satu kelibat menghalang dengan pedang bercahaya biru. Sihirnya terpesong ke arah hutan.
Sekali lagi kejutan diberikan kerana saktinya tidak berhasil menembusi pedang milik gadis yang berjubah biru putih itu. Berkerut serta-merta dahi Ratu Malum. Tidak menyangka, ada makhluk yang lebih utuh sihirnya.
“Seperti Permaisuri Buana Pari katakan sebentar tadi, anggap saja Putera Unicorn menang pertarungan ini.” Gadis yang menepis sihirnya itu bersuara.
Hildan senyap tidak terkata-kata. Bagaimana Kerajaan Buana Pari menembusi gelanggang ciptaan Ratu Malum. Setahunya, ahli sihir itu kuasanya amat hebat berbanding yang lain.
Ratu Malum mendengus kasar. Pasti gadis berjubah biru putih itu bukan sembarangan makhluk. Mungkin benar dikatakan Puteri Floren tadi, dia bukan pewaris tunggal Kerajaan Buana Pari.
“Siapa namamu?” tanya Ratu Malum. Langkahnya terhenti sementara yang lain sudah menghilang di sebalik portal yang terbuka.
Gadis itu menoleh ke belakang bersama senyuman kecil.
“Nama hamba, Sandra,” beritahu Sandra kemudian melangkah semula. Sebelum portal itu tertutup, Sandra memandang semula ke arah Hildan yang masih terpinga-pinga. Mungkin sedang berfikir, apa nasibnya selepas portal itu tertutup.
Sandra membuka tapak tangan kanannya pula lalu dihalakan ke sebelah lelaki itu. Di situ, satu portal baru yang muncul.
Sekali lagi Ratu Malum terkejut. Selama dia menguasai alam, baru kali ini dia melihat ada makhluk yang mampu membuka dua portal dalam masa yang sama selain dirinya.
“Ruangan itu menuju ke kerajaanmu. Baliklah. Sampaikan apa yang telah berlaku dan bersiap sedia dengan segala kemungkinan. Ratu Malum tidak akan berdiam diri.” Pesan Sandra. Hildan hanya menggangguk lalu menuju ke arah portal tersebut.
“Puteri Floren. Andai dia sudah sedarkan diri nanti, katakan padanya, beta minta-maaf dan menyesal.” Balas Putera Hildan kesal.
“Akan hamba sampaikan. Moga kita bertemu lagi.” Akhir perbualan itu, kedua portal itu hilang serta-merta.
Ratu Malum menjerit nyaring. Rancangan untuk memusnahkan dua kerajaan tersebut tidak berjaya.
“Aku, Ratu Malum! Selagi hajatku tidak kesampaian, jangan kau ingat mampu lari begitu saja!” laung ratu itu sebelum jasadnya menghilang bersama dendam yang terus menyala.
TAMAT.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro