✿𝓑𝓐𝓑 9
"KAU nak pergi, Nad?" Hanan bertanya apabila mendapati sahabatnya sedang menyarungkan tudung sarung di kepala berhadapan cermin.
"Keluar dengan Tengku Afiq," jawab Nadhirah ringkas.
Dahi Hanan berkerut sambil memandang segenap tubuh Nadhirah dari atas hinggalah bawah.
"Dengan pakaian ni?" Nadhirah memusingkan tubuhnya memandang Hanan yang sedang memerhatikannya.
"Hmmm! Kenapa? Teruk sangat ke?"
"Tak ada lah teruk mana tapi tak ke nanti Tengku Afiq bising dekat kau? Kau keluar berdua je kan dengan dia?" Hanan ingin kepastian. Nadhirah mengeleng. Dahi Hanan berlapis.
"Mummy dia join sekali."
"What?!" Mata Hanan terbeliak. Manakala, Nadhirah pula terpinga-pinga dengan reaksi melampau sahabatnya itu.
"Kau kenapa, sengal?"
"Kau tu yang tak waras! Tengku Hajah Fatimah join sekali tapi kau boleh pakai selekeh macam ni?!" Hanan tidak percaya dengan sikap terlalu yakin diri sahabatnya itu.
Dahi Nadhirah berkerut apabila pemakaiannya pada hari ini dikatakan selekeh. Dia meneliti badan dan kakinya. Mana ada selekeh!
Tudung sarung hitam tersarung di kepala. T-shirt hitam yang ditengahnya terdapat corak seekor anak itik bersaiz besar. Kakinya pula dipadankan pula dengan seluar kotak-kotak berwarna hitam. Style apa!
"Kau nak pergi date dengan kerabat diraja tau bukan nak pergi pasar malam. Plus, mak dia join sekali! Kau dah gila ke, Nad? Takkan kau nak malukan Tengku Afiq depan mummy dia?"
Memang! Itu pun niat asalnya. Wajah Nadhirah kekal tenang. Kedua-dua belah tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar kotak-kotak hitamnya. Gayanya tak ubah seperti samseng cap ayam yang ingin mengugut mangsanya agar memberinya wang.
"Yes! Memang aku nak malukan dia. Kalau boleh, aku nak buat dia menyesal sebab ajak aku kahwin. Hutang tu nanti pandai-pandailah aku bincang dengan family aku. Aku tahu family aku akan faham walaupun pada mulanya mereka sedih."
Hanan terdiam. Dia takut untuk terus membuka mulutnya kerana dia risau sahabatnya itu akan salah faham dan mengatakan bahawa dia berpihak kepada lelaki kaya itu. Mungkin ini kerana dia tidak berada di tempat Nadhirah sekarang?
"Kau sanggup buat macam tu?" Kali ini, giliran Nadhirah pula diam.
Apa yang harus dia balas? Adakah dia sanggup melukakan hati orang tuanya? Sudah semestinya tidak!
"Aku tahu kau tak sanggup, Nad. Kalau betul kau sanggup buat macam tu, mesti dari awal lagi kau dah tolak dan sekarang ni kau takkan keluar pun dengan dia," Hanan yang bagaikan boleh membaca fikirannya, mula membuka mulut.
"Aku terpaksa..." ujar Nadhirah dengan nada suara yang cukup perlahan. Hanan mengangguk sambil mencipta langkah mendekati tubuh sahabatnya itu lalu bertindak menarik tubuh Nadhirah ke dalam pelukan.
"Aku tahu, Nad. Aku tahu."
Teruklah dia sebagai seorang sahabat tidak memahami sahabatnya sendiri?
Dia tahu Nadhirah terpaksa. Nadhirah terima pun kerana dia memikirkan kedua orang tuanya dan tidak mahu memalukan mereka.
"Err... Aku menganggu ke?" Latisha yang entah muncul dari mana, tiba-tiba bersuara.
"Sibuk je dia ni! Orang baru nak sedih-sedih."
"Sedih tak ajak aku. Kata member! Merajuk lah macam ni," Perangai tak semenggah Latisha muncul kembali. Bibir dimuncungkan seperti itik.
"Hati tisu!" Hanan menggelengkan kepala. Pening dengan sikap kanak-kanak sahabatnya yang sudah besar panjang itu.
Latisha yang tadi ingin merajuk, tidak jadi apabila matanya terpandang ke arah tubuh Nadhirah. Matanya terbuntang luas.
"Kau nak pergi mana dengan pakai baju macam ni?"
"Date dengan Tengku Afiq," Nadhirah menjawab dengan tenang.
"Buat setakat dengan Tengku Afiq je. Tengku Hajah Fatimah pun ada, Sha. Kawan kau ni saja buat hal," Kali ini, Hanan berada di pihak Latisha.
Latisha bertindak membesarkan matanya dua kali ganda. Seram pula Nadhirah melihatnya!
"Seluar kotak-kotak dengan baju gambar anak itik ni?!" Suara Latisha naik seoktaf. Nadhirah menelan liurnya.
"Bi... Biarlah! Bukan aku bogel pun," Nadhirah cuba mempertahankan dirinya.
Mata Latisha masih dalam posisi yang sama. Kedua-dua belah tangannya diletakkan pada pinggang. Gayanya seperti seorang ibu yang sedang memarahi anaknya.
"Memanglah bukan kau bogel. Kalau kau bogel, lagi buaya berduit tu suka. Agaknya waktu drive, matanya bukan tengok jalan tapi tengok kau. Nanti malam, tiba-tiba keluar dalam berita pasal kemalangan korang!"
Latisha versi mak-mak dah mai! Mana Tengku Afiq ni? Kenapa lambat sangat?! Buat pertama kalinya, dia ingin segera berjumpa dengan lelaki kaya itu.
Pin! Pin! Pin!
Akhirnya...
"Tengku Afiq dah sampai dah tu. Aku pergi dulu. Lagipun tak sempat dah nak tukar baju. Bye!" Beg tangan segera disambar sebelum dia berlari keluar ke halaman rumah.
"Hei, aku belum habis lagi lah!"
Nadhirah berlari anak menuju ke sebuah kereta Lykan HyperSport yang sudah pun terparkir di luar pagar rumah. Tak perlu berasa takut kerana dia sudah tahu siapa pemilik kereta mewah itu.
Namun, langkah mati apabila melihat kereta mewah tersebut. Keningnya saling berpaut. Tubuhnya pegun berdiri di luar pagar dan hanya merenung ke arah kereta tersebut.
Kenapa kereta tersebut hanya memiliki dua pintu sahaja? Kalau Tengku Hajah Fatimah ada dalam kereta, habis di mana dia harus duduk?! Atas bumbung?
Tingkap kereta bahagian penumpang diturunkan dari dalam. Kelihatan Tengku Afiq menjenguk keluar kepalanya dari celah tingkap sebelum menegur Nadhirah yang masih lagi dalam dunianya.
"Hei, kenapa kau tercegat dekat luar tu?! Masuklah. Kalau nanti kau nak tenung kereta ni sampai malam pun aku tak kisah tapi sekarang kita kena cepat. Mummy dah tunggu tu!" Belum apa-apa lagi, dia sudah dimarahi.
Dengan teragak-agak, Nadhirah masuk ke dalam perut kereta. Janggal. Suasana tiba-tiba menjadi seram sejuk.
Baru sahaja dia melabukan punggungnya di atas kusyen kereta, sekali lagi dia dikejutkan dengan jerkahan lelaki tersebut. Lama-lama macam ni, boleh pekak telinga dibuatnya!
"Baju apa kau pakai ni, Ya Allah? Kau memang sengaja cari pasal, kan?!"
Nadhirah mula kecut perut. Mata lelaki kaya itu mencerlung menikam anak matanya sehingga membuatkan dia dapat merasakan inilah pengakhiran hidupnya.
No, Nadhirah! Kau kena lawan. Jangan buat dia fikir semua perempuan dalam muka bumi ni patuh dan lembut.
"Saya tak ada baju lah! Tengku fikir saya ni anak orang berada ke? Baju anak itik ni pun saya beli dekat pasar malam tau! Tak macam sut yang tengku tengah pakai sekarang ni," Dengan berani, dia mengeluarkan jari telunjuknya lalu menunjuk ke arah tubuh sasa itu.
Kata-kata pedasnya berjaya membuatkan mulut Tengku Afiq terkunci rapat. Lelaki itu kembali memusingkan tubuhnya menghadap ke jalan raya sebelum bertindak menekan pedal minyak.
"Pakai tali pinggang," Arahan dikeluarkan. Namun, nada suara yang digunakan cukup lembut dan perlahan.
Ia membuatkan Nadhirah rasa dia menang sekali lagi.
Huh! Dia fikir dia boleh hina aku? Anak itik, kau berbakti pada aku hari ni! Perut ditepuk perlahan. Nadhirah tersenyum puas dan keadaan menjadi senyap. Hanya kedengaran lagu sahaja yang berkumandang di corong radio untuk memecahkan kesunyian.
MATANYA tidak berkelip memandang bangunan yang berdiri megah di hadapannya. Mulutnya terlopong memandang papan tanda yang tertera 'Golden Mall' di mana perkataannya dicat menggunakan warna kuning keemasan.
Golden Mall? Dia buat apa dekat sini?
Sebenarnya, ini kali kedua dia menjejakkan kaki ke pusat membeli-belah tersebut. Namun buat kali pertama, dia hanya singgah untuk memulangkan barang lelaki kaya tersebut yang tertinggal di bilik mesyuarat pejabatnya sebelum segera kembali ke pejabat.
Lagipun dia sedar level dia dengan level orang-orang yang biasa berbelanja di situ. Standardnya hanyalah pasar malam!
"Kau nak berdiri dekat sini sampai malam ke? Cepatlah, mummy dah lama tunggu," Tanpa disedarinya, Tengku Afiq sudah pun terpacak betul-betul di hadapannya sambil menanggalkan kaca mata hitamnya.
Nadhirah mencebikkan bibirnya. Dia fikir dia hot lah tu!
"Mummy tunggu kita dekat mana?" tanya Nadhirah ingin tahu sambil matanya meliar memandang sekeliling.
"Diam dan just follow me," balas Tengku Afiq ringkas dan dingin. Langkah lelaki itu laju sehingga Nadhirah terpaksa berlari anak agar tidak jauh ketinggalan.
Laju-laju nak pergi mana dia ni? Dia tak tahu ke kaki aku ni pendek!
"Mummy..."
Kami berdua sudah pun terpacak di hadapan sebuah kedai emas. Nadhirah binggung dan teragak-agak untuk masuk ke dalam.
Buat apa dekat sini?
Lelaki kaya itu terlebih dahulu melangkah masuk ke dalam kedai barang kemas tanpa mempedulikannya. Dia mendapatkan ibunya sebelum tubuh wanita agak berumur itu didakap erat.
"Dah sampai pun kamu. Nadhirah mana?" tanya Tengku Hajah Fatimah sambil meninggikan lehernya untuk mencari bakal menantunya.
Nadhirah tersengih malu apabila matanya dan mata bakal ibu mentuanya saling bersabung.
"Kenapa kamu berdiri dekat situ? Marilah sini. Kamu ni pun, Ku Fiq. Pentingkan diri!" sempat perut putera sulungnya dicubit manja.
Nadhirah semakin naik segan apabila mendapati kornea mata wanita terhormat itu memandangnya dari atas hingga bawah. Peluh dingin mula membanjiri segenap tubuh.
Jangan panik, Nad...
"Mummy,tengok bakal menantu mummy ni. Ku Fiq dah suruh dia pakai baju elok-elok sikit tapi ada ke patut dia pakai baju ada corak anak itik. Kalau kecil tak apa, ini besar saiznya!" mata Nadhirah terbeliak.
Cis, ada ke patut buaya berharta ini mengadu dekat mummy dia! Tak aci!
Get ready je lah, Nad. Mana tahu lepas ni kau pula kena perli dengan Tengku Hajah Fatimah.
Nadhirah sudah bersiap sedia untuk dimarahi dan dihina namun lain yang di sangkakan, lain pula yang terjadi. Kata-kata Tengku Afiq disambut dengan tawa mummynya. Tengku Afiq dan Nadhirah sama-sama keliru.
"Apa salahnya? Yang penting tutup aurat, kan, Nad? Tak semestinya kita kena sentiasa berpakaian lengkap. Buat kita selesa pun dah cukup sebenarnya. Lagipun comel apa gambar anak itik tu," ujar Tengku Hajah Fatimah dalam sisa tawanya.
Eh?
Yeay, mummy berpihak padanya!
"Dah, mari sini Nad. Kamu pilih mana satu cincin yang kamu berkenan, mummy belanja," Tangan Nadhirah ditarik agar mendekati meja kaca di mana bawahnya terdapat susunan cincin-cincin dengan pelbagai bentuk batu permata.
"Eh, susahkan mummy pula. Lagipun abang kata abang dah belikan cincin. Betul tak, bang?" Dia menoleh ke arah Tengku Afiq yang berdiri di belakangnya. Dia cuba mendapatkan pertolongan lelaki kaya tersebut.
Dia tidak inginkan hadiah dan wang wanita terhormat itu. Karang tak pasal-pasal pula dia dicop sebagai 'gold digger'.
"Betul tu, mummy. Ku Fiq dah beli dah cincin untuk Nad dua hari lepas. Kalau mummy tak percaya, mummy pergi tanya Kayrul."
Ingatkan ibu kepada lelaki kaya itu ingin membatalkan niatnya namun beliau masih berkeras. Betullah, anak ikut perangai mak. Dua-dua keras kepala.
"Mummy saja nak belikan untuk Nad. Hadiah sempena sudi kahwin dengan anak mummy yang sengal ni."
Betul, mummy. Nad setuju!
"Err... Tak perlu, mummy. Nad ikhlas nak kahwin dengan abang," Nadhirah pula sedaya-upaya untuk menolak.
"Pilih sajalah tak susah pun. Anggap saja hadiah dari mummy," Tengku Hajah Fatimah sudah menarik muka masamnya. Ia berjaya membuatkan Nadhirah rasa bersalah.
"Baiklah. Kalau macam tu Nad pilih cincin ni," Sebuah cincin platinum yang di atasnya terdapat batu permata berbentuk hati, ditunjuk. Itu pun dia main pilih sahaja. Asalkan bakal ibu mentuanya berpuas hati.
"Betul ni?"
"Hmmm!" Dia mengangguk yakin.
"Bagi saya cincin yang ini."
"Baju kahwin dah cari?" Sementara menunggu pemilik kedai mengeluarkan kotak cincin untuk pemilihan saiz, mummy mengambil peluang untuk bertanya tentang persiapan pernikahan anaknya.
"Dah, mummy. Kita orang dah cari mingu lepas ..."
"Mummy jangan risau. Semua dah settle sebenarnya. Kitaorang dah buat semuanya dari minggu lepas. Kursus kahwin pun kitaorang dah pergi. Tinggal tunggu majlis saja," Pantas Tengku Afiq menyambung ayat Nadhirah.
Minggu lepas, mereka terus selesaikan semua urusan yang harus dibuat dan benda yang harus dibeli. Selepas itu, mereka langsung tidak pernah berjumpa lagi sehingga pada hari ini lelaki itu tiba-tiba telefonnya dan meminta untuk bertemu.
"Baguslah tu. Warna apa yang kamu berdua pilih?"
"Untuk majlis resepsi belah Nad, kita orang cadang nak pilih baju warna biru tua. Belah mummy pula warna kuning diraja. Mummy tak kisah, kan?"
Tunku Hajah Fatimah angguk sambil tersenyum.
"Mummy suka dengan pilihan warna tu. Pandai kamu berdua pilih!" puji Tunku Hajah Fatimah.
Sempat Nadhirah memaperkan senyuman sinis ke arah Tengku Afiq. Tengoklah siapa yang pandai pilih warna! Manakala, lelaki itu hanya membalas senyumannya dengan jelingan maut.
Perang saraf berhenti serta-merta apabila kedengaran bunyi deringan telefon memecahkan suasana. Kelihatan lelaki kaya itu menyeluk poket seluarnya lalu melihat skrin iPhone yang masih lagi berdering.
"Mummy, Ku Fiq jawab call sekejap," Lelaki itu segera meminta diri meninggalkan Nadhirah berduaan bersama Tengku Hajah Fatimah.
"Entah dengan siapalah tu yang call. Jangan-jangan stok kekasih simpanan dia tak?" kedengaran Tengku Hajah Fatimah merengus geram di akhir ayatnya.
Kening Nadhirah terangkat tinggi.
"Mummy tahu perangai abang?" Tengku Hajah Fatimah angguk.
Sudah semestinya dia tahu perangai putera sulungnya. Selama ini, dia juga yang sedaya-upaya menutup kegiatan gelap puteranya itu dari pengetahuan suaminya yang tercinta. Sekali kantoi, memang kepala dia dan puteranya sudah lama hilang!
"Mummy tahu tapi mummy yakin Nad mampu ubah Ku Fiq. Mummy yakin suatu hari nanti Ku Fiq akan berubah dan takkan pernah bosan menagih cinta Nad. Kamu hebat Nad sebab berjaya tarik Ku Fiq untuk menghalalkan hubungan kamu berdua. Mummy nampak yang Ku Fiq betul-betul serius dengan kamu. Tak silap mummy, Ku Fiq pernah cakap yang kamu berdua bercinta hanya ambil masa tiga bulan sahaja sebelum Ku Fiq suruh kami masuk meminang. Betul ke?"
Dari senyuman senang yang terukir, sepantas kilat lenyap.
Sejak bila pula kitaorang berdua bercinta? Tiga bulan pula tu! Mamat ni memang kaki kelentong punya orang.
"InsyaAllah, mummy. Nad tak boleh janji tapi Nad akan cuba sebaik mungkin," katanya ringkas. Dia sempat menghadiahkan wanita terhormat itu dengan senyuman manis menandakan wanita itu boleh mempercayainya.
Nad memang tak boleh janji yang Nad boleh bahagiakan Tengku Afiq tapi Nad yakin Nad boleh buat dia menyesal sebab beria-beria nak jadikan Nad sebagai isteri dia.
Ho! Ho! Ho!
⚠️DILARANG MENCURI IDEA ATAUPUN PLAGIAT KARYA SAYA. JIKA TIDAK, SAYA AKAN MEMAKLUMKAN HAL TERSEBUT KEPADA PIHAK WATTPAD !⚠️
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro