Bab 6
IJAN yang duduk di sebelah Haris di dalam kelas Lima Ibn Qayyum mengambil langkah berhati-hati untuk melindungi sahabatnya itu. Hatinya kuat mengatakan bahawa Ain sedang merencanakan sesuatu untuk merosakkan hidup Haris.
Pandangannya tajam menikam Ain yang sedang leka memerhatikan Haris. Ya Allah, berikanlah petunjuk kepadaku untuk menangani perempuan ini andai benar dia berniat jahat terhadap sahabatku.
Kelas tambahan pada hari itu telah pun berakhir. Haris bergegas menuju ke ruang parkir motor untuk pulang ke rumah dengan segera. Ain juga sama. Tapi... Ada sesuatu yang pelik. Mana pergi pemandu yang selalu jemput dia setiap kali lepas habis kelas? Kenapa dia jalan kaki pula? Persoalan itu hanya berlegar dalam benak fikiran Ijan sahaja.
Tiba di satu selekoh sunyi, Haris ternampak seorang perempuan dikelilingi oleh beberapa orang lelaki yang berwajah bengis. Haris memberhentikan motornya jauh sedikit dari tempat perempuan itu berada.
Di sebalik pokok, Haris mengintai dari jauh. Membuntang matanya apabila perempuan yang dilihat itu adalah temannya sendiri. "Macam mana Ain boleh ada dekat sini? Dia kan selalu balik dengan pemandu dia. Mungkin pemandu dia ada hal kut." Haris cuba menenangkan perasaannya.
Balik ka atau selamatkan dia?
Selamatkan dia ka balik?
Haris berperang hebat dengan perasaannya sendiri. Tanpa membuang waktu, Haris meluru ke arah lelaki-lelaki yang sedang mengerumuni Ain. Tudung perempuan itu ditarik. Pipi mulus itu ditampar. Ada darah yang mengalir di hujung bibirnya.
"Woi, hangpa buat apa dengan kawan aku tu! Lepaskan dia." Kesemua lelaki itu berpaling ke arah suara bagaikan petir memanah telinga.
"Hang siapa yang nak menyibuk hal kami?" Seorang daripada mereka menapak ke depan sedikit untuk menghalang langkah Haris.
"Kalau hangpa dah usik kawan aku, itu dah jadi urusan aku juga," tegas Haris. Mereka ketawa terbahak-bahak.
"Perempuan ni hang punya ka?" Makin kuat tangan sasa itu memegang wajah Ain.
"Haris, tolong saya... Saya tak kenal pun mereka ni." Suara Ain merintih lemah kerana tidak mempunyai kudrat untuk melawan lelaki-lelaki yang berada di hadapannya.
Haris perlahan-lahan mendapatkan Ain daripada cengkaman lelaki yang tidak berhati perut itu. Dia sedaya-upaya melindungi perempuan itu walaupun dulu dia pernah dimalukan oleh Ain di hadapan khalayak ramai.
"Rasakan!" Haris menendang kedua-dua wajah yang telah menyakiti sahabatnya itu.
"Hangpa nak berambus dari sini atau nak tunggu pihak polis yang mai ambil bawa masuk lokap?" Kedua-dua lelaki itu membuka langkah seribu meninggalkan tempat itu.
Tahu takut. Haris mengelap darah di dahinya lalu mendapatkan Ain.
"Hang tak apa-apa ka?" Pandangannya redup memandang Ain yang sudah tidak berdaya. Ain cuba untuk bangun tetapi dia tidak mampu. Haris berasa kasihan melihat keadaan temannya itu lantas menuju ke arah Ain untuk membantu.
"Maaf aku terpaksa pegang hang untuk hantar hang balik." Belum sempat tangan Haris mendarat di lengan Ain, Ain terlebih dahulu mengoyakkan hujung kainnya sehingga menampakkan sebahagian betisnya.
"Astaghfirullahaladzim! Apa yang hang cuba buat ni? Tutuplah kaki hang tu." Haris berpaling membelakangkan Ain yang sedang tersengih.
"Tolong! Tolong! Ada orang nak rogol saya," teriak Ain. Terasa bagai mahu gugur jantung Haris mendengarnya. Kebetulan ada beberapa orang penduduk kampung yang sedang lalu di kawasan itu, mereka terus mendapatkan Ain yang terbaring lesu di tepi jalan.
"Hang sanggup buat kerja terkutuk ni?!" tempik salah seorang daripada mereka. Haris tidak sempat berbuat apa-apa untuk mempertahankan dirinya. Kedua-dua tangannya dipegang kejap oleh lelaki berusia dalam lingkungan umur 40-an.
"Pak cik, tolong lepaskan saya. Saya tak bersalah." Haris meronta-ronta minta dilepaskan.
"Hang dah buat salah besaq, hang ingat boleh lepas macam tu aja?" Tegas lelaki itu.
Pandangan Haris tajam menikam wajah Ain. "Daripada hang fitnah aku buat kerja terkutuk ni, lebih baik hang bunuh aku aja. Aku ingat hang dah insaf. Pandai hang berlakon baik depan aku." Haris melepaskan apa yang terbuku di hatinya.
"Tok tolonglah saya. Saya tahu dia masih marahkan saya sebab simbah minyak tanah pada dia dulu tapi saya dah minta maaf. Hari ni dia nak balas dendam kepada saya dengan cara yang kotor ni tok..." rintihan Ain membuatkan beberapa orang penduduk kampung itu terpanggil untuk mengambil tindakan selanjutnya ke atas Haris.
Haris merengus kasar. "Aku sentuh hang pun dak lagi hang dah tuduh aku nak rogol hang. Kalau aku tau macam ni jadinya, aku takkan tolong hang dari cengkaman lelaki-lelaki jahat tadi. Biar depa yang rogol hang betul-betul. Itu yang hang nak sangat kan, perempuan murahan!" Habis runtuh tembok kesabarannya selama ini.
Ain terpempan. "Tengoklah tu pak cik. Dia sangat bencikan saya sampai sanggup menghina saya macam tu." Ain masih setia dengan tangisan yang dibuat-buatnya.
"Sekarang hang ikut kami pi rumah penghulu kampung. Melampau betul perangai hang ni." Tubuh Haris ditarik kasar.
"Dasar hipokrit. Aku benci hang, perempuan jalang!" Mata Haris jelas menunjukkan bahawa amarahnya sudah berada di kemuncak.
Ain mengesat air mata yang mengalir di pipinya. Kau memang pelakon yang hebat, Ain. Sekarang Haris sudah mendapat balasan yang setimpal. Inilah akibatnya kepada sesiapa yang berani menghina aku! Ain tersenyum puas.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro