Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 4

"SHAM, kau pergi ambil bulu tangkis atas bumbung rumah kau tu," arah Razi.

"Aku juga ke yang kena?"

"Yalah. Rumah kau, kan? Bukan rumah aku. Nampak dek ayah kau aku yang panjat karang, tak pasal-pasal ayah kau kejar aku dengan batang mop tu pula."

Sham Izwani melangkah lemah menuju ke arah tembok rumahnya.

Kerusi plastik diletakkan di atas tembok untuk sampai ke atas bumbung rumahnya. Dengan penuh berhati-hati, Sham Izwani memanjat untuk mengambil bulu tangkis itu.

"Aku dah dapat," laung Sham Izwani dari atas bumbung. Allah! Macam mana nak turun ni? Naik tadi bukan main pandai tapi nak turun pula tak tahu. Kaki Sham Izwani telah selamat memijak kerusi plastik tadi, namun entah di mana silapnya, tiba-tiba dirinya hilang keseimbangan lalu jatuh ke dalam kolam ikan milik jiran sebelahnya.

Bunyi apa tu? Haji Halim yang leka membaca surat khabar hari ini tersentak setelah mendengar bunyi yang sangat kuat.

Razi berlari mendapatkan Sham Izwani. "Kau okey tak ni?" Habislah aku dah buat anak dara orang cedera. Sham Izwani mengerang kesakitan. Sebelah kakinya berada di dalam kolam dan sebelah lagi nyaris tersepak pasu bunga yang berhampiran dengan kolam itu.

Selamat jiran sebelahnya tiada di rumah. Kalau tak, malu kut. Razi memapah Sham Izwani keluar dari kolam ikan keli itu. Nasib baik tak kena sengat.

"Apa dah jadi ni?" Haji Halim memandang keadaan anak daranya yang seorang itu. Razi berasa serba salah.

"Apa yang kau dah buat pada adik aku, hah?" soal Hafiz. Dia turut mendengar bunyi yang sama.

"Maaf bang, pak cik. Ini semua salah saya. Saya yang suruh Sham panjat bumbung rumah ni untuk ambil bulu tangkis tadi. Tak sangka dia akan jatuh," jelas Razi.

"Tak ada apalah abah. Sikit aje ni. Jangan risau, okey? Tak berdarah pun." Sham Izwani tersengih.

"Siapa suruh kau pegang adik aku ni? Haram tau tak?" Hafiz menepis tangan Razi yang erat memegang lengan Sham Izwani. Sham Izwani kini berada di sebelah abang longnya.

"Thanks, Razi. Aku masuk dulu."

Sham Izwani terpaksa menadah telinganya mendengar bebelan daripada ibu bapanya. Ditambah lagi dengan bebelan daripada abang-abangnya. Memang syok la!

"Kau tu perempuan Sham. Jangan nak main cara jantan. Lepas ni abang ngah takkan benarkan Sham keluar bermain lagi dengan budak-budak laki kat luar sana." Zaki turut bimbang akan keadaan satu-satunya adik perempuan yang dia ada.

"Badminton tu kan sukan untuk lelaki dan perempuan. Bukan budak lelaki aje yang boleh main. Tengok dalam TV tu, orang perempuan pun ada bertanding jugalah." Sham Izwani ingin membela dirinya.

Puan Noraini mengurut lembut kaki anak daranya yang semakin membengkak itu.

"Sakitlah mak. Perlahan-lahanlah sikit." Berkerut-kerut muka Sham Izwani menahan kesakitan.

"Tadi kata tak ada apa-apa. Sikit aje ni. Nak berlagak kuat depan Razi, kan?" Haji Halim memerli anaknya. Sham Izwani hanya mencebik.

"Malam karang Sham ikut abah pergi rumah Tok Mat," sambung Haji Halim.

"Nak buat apa?"

"Urut kaki Sham tu la. Dah masuk angin. Tak nampak dah makin bengkak tu," bebel Haji Halim. Sham Izwani hanya mengikut sahaja cakap ayahnya.


Selepas solat Maghrib, Sham Izwani dibawa ke rumah Tok Mat yang merupakan tukang urut terhebat di kawasan perumahannya.

"Kenapa dengan anak kau ni, Halim?" soal Tok Mat.

"Jatuh dari bumbung rumah."

"Kau repair apa atas bumbung rumah kau, Sham? Abang-abang kau tak sampai, kau pula yang disuruh naik ke tempat orang laki tu ke?" Tok Mat mengeluarkan minyak urut buatannya sendiri.

"Sham ambil bulu tangkis la atuk." Ada ke patut dia kata aku repair something dekat atas atap rumah tu. Ingat aku buruh ke apa?

Kaki Sham Izwani dilunjurkan ke arah Tok Mat. Tok Mat memulakan urutan dengan bacaan basmallah dan ayat Kursi.

"Tahan sikit, ya?" Tangan Tok Mat menyentuh pergelangan kaki Sham Izwani yang membiru akibat masuk angin.

"Lain kali jangan panjat bumbung. Panjat tangga ke, panjat gunung ke tak apa la juga," perli Tok Mat. Haji Halim tersengih melihat wajah keruh milik anaknya.

Hesy, orang tua ni nak membebel pula. Dah nak jatuh, nak buat macam mana. Cuba kau keluar rumah, lepas tu ada kereta langgar kau. Salah kau ke, hah? rungut Sham Izwani dalam hati.

"Sakitlah atuk! Janganlah urut kuat sangat." Tangan Sham Izwani menampar tangan Tok Mat.

"Kenapa Sham pukul atuk pula ni?" Haji Halim memegang tangan anaknya.

"Atuk ni hah. Tekan kuat sangat. Makin bengkak la jadinya," rungut Sham Izwani. Tok Mat hanya tersengih saja. Biasa la kalau mengurut, mana boleh perlahan sangat nanti apa nak rasa kalau macam tu. Bengkak pun tak mahu surut. Kalau tersalah tekan urat pula, sampai bila nak betul.

"Sakitlah atuk! Atuk ni pandai urut ke tidak?" Kali ini suara Sham Izwani makin meninggi.

"Dah nak habis urut ni. Kamu ni pun kalau main bukan main lagi macam lelaki. Atuk urut sikit dah menjerit macam perempuan."

"Sham memang perempuan pun." Tegas suara Sham.

"Maaflah, Tok Mat... Anak dara saya ni kurang ajar sikit. Saya tak tahu macam mana nak ubah perangai dia ni. Suka sangat berkawan dengan budak lelaki. Itu yang terikut-ikut jadi macam dia orang."

"Tak apa, budak lagi ni. Dah sampai masanya nanti berubahlah dia."

Haji Halim mengangguk tanda mengerti apa yang dimaksudkan oleh Tok Mat.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: