Bab 14
PENANTIAN selama ini telah pun berakhir. Keputusan SPM telah sudah diumumkan. Ternyata apa yang dikatakan Puan Rosnah dulu telah menjadi kenyataan apabila anaknya itu berjaya mendapat 11A.
Tiada lafaz seindah syukur yang dapat diucapkan buat pencipta yang Maha Kuasa. Nikmat yang diberikan moga menjadikan diri ini lebih dekat dengan-Mu. Bukan makin menjauh dan bongkak mahupun riak. Naudzubillahiminzalik. Peliharalah diri ini supaya menjadi hamba yang bersyukur dan rendah diri.
Sepertiga malam itu digunakan untuk melakukan sujud syukur dan solat-solat sunat yang lain. Haris termenung sejenak. Teringat dia akan pesan Khair.
"Kalau hang nak tau sepertiga malam la waktu kita paling dekat dengan Allah. Orang lain lena diulit mimpi. Biar la kita leka dibuai rasa cinta pada Ilahi. Carilah sumber kekuatan di situ. Pasti hang jumpa punya la."
Betul kata hang Khair. Aku dah jumpa kekuatan tu. Insya-Allah moga aku istiqamah di jalan ini. Terima kasih sahabat atas nasihat-nasihat yang sangat berguna.
SELEPAS seminggu mendapat keputusan SPM, Haris telah menjadi penunggu setia tidak bergaji di hadapan peti surat rumahnya. Lagaknya seperti orang yang sedang menanti surat daripada seorang kekasih.
"Sudah-sudah la tu angah. Buat habis tenaga aja hang tunggu surat tu. Baik hang buat benda lain yang mendatangkan manfaat," laung abang sulungnya.
"Senang la along kata lagu tu. Along dah ada tempat belajaq. Angah ni ternanti-nanti lagi," rungut Haris.
Ikram keluar ke laman rumah untuk mendapatkan adiknya. "Angah percaya tak pada ketentuan Allah?" Soalan pertama daripada alongnya membuatkan dahinya berkerut.
"Awat along tanya soalan tu?" Haris memandang sekilas wajah abangnya.
"Jawab aja la soalan tu. Tanya along balik buat apa?"
"Mesti la angah percaya."
"Kalau angah percaya, jangan buat benda yang menampakkan angah macam tak boleh terima qadak dan qadar yang Allah dah tetapkan." Lembut Ikram cuba berdiplomasi dengan adiknya.
"Apa yang angah dah buat?" Haris bingung.
Ikram menarik tangan adiknya ke meja kayu yang terletak di tepi buaian di laman rumah mereka.
"Angah duduk termenung depan rumah hampir setiap hari tanpa mempedulikan diri angah sendiri. Makan dan minum pun dah tak kisah. Tak boleh la angah buat lagu tu. Diri kita ni pun amanah daripada Allah juga. Kita sebagai hamba jangan pernah berputus asa. Berdoa dan terus berdoa untuk meminta yang terbaik daripada Allah. Mungkin setakat ini Allah rasa tanpa sebarang surat tawaran tu adalah yang terbaik untuk diri Angah. Perancangan Allah tu lagi baik daripada manusia kan angah." Ikram memaut bahu adiknya untuk memberikan semangat.
"Terima kasih along sebab dah sedarkan angah. Baik la, lepas ni angah takkan tunggu lagi. Biarlah masa yang menentukan takdir sngah selepas ni." Haris berlalu masuk ke dalam rumah.
Seminggu kemudian, barulah Haris menerima surat tawaran untuk menyambung pelajaran di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan dalam bidang sains fizikal. Tetapi jauh di sudut hatinya, dia mahu menyambung pelajaran ke luar negara.
Tak apa la, Ris. Belajar kat mana-mana pun sama aja, yang penting niat dalam hati. Haris memujuk dirinya sendiri dalam hati.
Surat itu diberikan kepada ayah dan uminya.
"Angah nak terima ka tawaran ni ataupun nak tunggu tawaran yang lain?" tanya Encik Ismail setelah membaca isi kandungan surat tersebut.
Haris berfikir sejenak. Nak tunggu surat tawaran ni pun bukan main payah lagi. Inikan pula surat tawaran yang lain.
"Tak apa la, ayah. Angah terima aja tawaran ni dulu. Kalau ada rezeki lain, kita boleh tukaq, kan?" Haris tersenyum.
Mungkin ini yang terbaik untuk diriku.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro