Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 13

TELEFON BIMBIT milik Haris sedang mendendangkan lagu Flying Without Wings nyanyian Westlife terhenti seketika apabila ada satu mesej masuk. Lantas dia membuka peti masuk untuk melihat isi mesej yang baru diterima.

Jom pi masjid kat Nyior Sebatang malam ni . Aku dengaq ada ceramah, tapi ustaz mana aku tak pasti pula.

Haris tersenyum. Semenjak dia bersahabat dengan Khair, dirinya sedikit demi sedikit sudah terikut-ikut dengan rutin harian Khair. Kemudian, Haris membalas kembali mesej itu.

Insya-Allah aku pi kalau tak ada apa-apa hal.

Jangan bagi alasan. Aku tau hang liat sikit. Meh bagi aku rebus sikit badan hang tu supaya tak malas lagi dah.

Ya, aku pi. Tak ada masa nak cipta alasan dah ni.

MALAM itu mereka bertemu di masjid Ar-Ridhwan. Ruang masjid itu dipenuhi dengan golongan 'KRU' ataupun Kumpulan Rambut Uban. Mana perginya pemuda-pemuda kita?

Usai menunaikan solat maghrib berjemaah, sementara menunggu waktu Isyak, masa yang ada diisi dengan tazkirah daripada penceramah jemputan.

"Assalamualaikum, semua. Maaf kerana kalian terpaksa menunggu lama. Kami daripada pihak masjid minta maaf sangat sebab penceramah dari Kuala Lumpur tu tak dapat mai hari ni sebab ada hal yang tidak dapat dielakkan." Seorang lelaki dalam lingkungan umur 30-an itu menjelaskan situasi yang berlaku.

"Tapi tak apa, kami dah cari pegantinya. Tak payah cari jauh-jauh. Kita jemput orang kampung kita juga. Dipersilakan Ustaz Don Daniyal Don Biyajid." Semua muslimin dan muslimat yang hadir berasa gembira dengan kehadiran ustaz muda itu.

Ustaz Don sudah duduk di tempat yang telah disediakan oleh pihak masjid. Ustaz yang gemar memakai jubah dan serban itu begitu murah dengan senyuman. Salam daripada ustaz muda itu disambut mesra dan penuh semangat oleh para jemaah.

"Kawan saya, Ustaz Zahazan minta maaf banyak-banyak sebab dia tak dapat mai malam ni. Itu yang dia minta saya ganti. Tuan-tuan tak apa ka saya yang ganti penceramah hari ni?" Pandangan Ustaz Don dilontarkan ke seluruh penjuru ruang solat itu untuk memerhatikan wajah-wajah yang sudi hadir mengimarahkan rumah Allah. Semuanya tiada halangan untuk dia meneruskan sedikit perkongsian dalam masa yang singkat ini.

"Sebelum saya nak mula, saya nak minta semua yang hadir malam ni tengok sekeliling. Agak-agak, ramai golongan veteran ka, ramai yang muda ada kat sini?" Soalan pertama dilontarkan.

Semua tertoleh-toleh memerhati sekeliling. Ternyata memang ramai orang tua yang memenuhi masjid.

Ustaz Don senyum sesaat. "Hmmm... Kalau saya tak habaq pun semua mesti tau la apa jawapannya. Mana pi semua anak muda kita? Itu yang saya nak kongsi sikit dengan muslimin muslimat yang hadir pada malam ini."

Posisinya dibetulkan. "Mula-mula sekali sebelum nak kahwin, kita kena cari dulu suami yang mantap agama sebab depa tu bakal pemimpin keluarga. Lepas tu baru boleh didik isteri dengan anak-anak. Bila dah masuk bab anak-anak ni, kita kena didik dari kecil lagi. Benda paling penting sekali kita sebagai mak ayah kena ajaq adalah solat. Kalau solat kita pun tunggang-langgang, cari Allah bila susah saja, bila senang tinggal macam orang tak dak agama, lagu mana anak-anak nak ikut? Tunjuklah contoh yang baik kat depa. Jangan salahkan depa mahupun guru-guru kalau anak-anak kurang ajaq dengan kita bila depa dah besaq nanti." Gelas di atas meja diambil dan disua ke bibir.

"Kenapa pula ustaz? Kita hantaq anak-anak pi sekolah. Mesti la cikgu yang kena ajaq depa lagu mana nak hormat mak ayah," ujar salah seorang jemaah lelaki yang berada di saf hadapan.

Ustaz Don tersenyum lagi. "Itu betul. Tapi kalau kita pun tak hormat Allah yang ciptakan kita, lagu mana anak-anak nak hormat kita sebagai mak ayah depa? Solat tu merupakan salah satu cara kita bersyukur dengan segala nikmat yang Allah dah bagi. Bukan susah pun nak tunaikan. Luangkan masa dalam sepuluh minit untuk solat. Sehari ada dua puluh empat jam. Allah perintahkan kita untuk solat lima waktu sehari semalam. Kalau satu waktu kita ambil masa dalam sepuluh minit, kali dengan lima waktu, baru lima puluh minit aja kita menghadap Allah. Tak sampai sejam pun kita ambil dari dua puluh empat jam yang Allah bagi pinjam. Tok sah la kedekut sangat dengan Allah. Dia tak berkira apa pun dengan kita tapi kita hamba yang penuh dosa ni boleh pula nak berdolak-dalih bagi macam-macam alasan tak nak solat. Boleh kira ka nikmat yang Allah dah bagi kat kita? Tak terkira walau sampai tujuh lautan sekali pun. Percayalah..." Semua yang hadir terdiam.

Ustaz Don meneruskan lagi perkogsiannya. "Anak-anak ni waktu kecik depa ada fitrah untuk melakukan apa yang mak ayah depa buat. Kalau depa nampak kita solat, depa mesti nak cuba punya la. Itu satu petanda yang baik. Senang kita nak didik depa untuk mengenali Allah."

"Ustaz, ketika anak kita umur berapakah wajib kita didik untuk bersolat?" Soal jemaah wanita pula yang duduk di saf belakang.

Sebelum menjawab, Ustaz Don berselawat terlebih dahulu. Itu sudah menjadi kelaziman buat dirinya apabila ingin menjawab sesuatu.

"Bagus soalan puan tu. Terima kasih kerana sudi bertanya. Rasulullah dah beritahu dalam satu hadis riwayat Abu Daud, Al-Hakim dan Tirmizi. Kita kena didik anak-anak mula dari umur tujuh tahun untuk bersolat. Kalau depa buat sambil lewa lagi, tak apa. Kita bagi depa peluang. Tapi bila dah sampai umur sepuluh tahun tapi masih tak nak bersolat juga, kita sebagai bapa boleh pukul depa.

Okey, settle pasal umur anak-anak. Bila anak-anak kita dah mula solat, kita bawa la depa pi masjid. Jangan tunggu depa dah besaq baru nak bawa. Sepatutnya dari kecik lagi kita biasakan anak-anak kita dengan suasana masjid. Tak salah apa pun bawa anak-anak pi masjid. Pi cari dalam Quran atau hadis, ada tak nas yang melarang budak-budak mai masjid. Ini tak, bila budak-budak mai masjid, kita pi marah depa sebab mai bukannya nak sembahyang tapi lari sana, lari sini. Tu tak kira lagi yang duk teriak sebab jatuh la, apa la. Zaman Rasulullah S.A.W. dulu, kanak-kanak buat perangai lagu tu juga tapi baginda mahupun para sahabat tak pernah nak marah atau pun bertempik kat budak-budak tu. Bahkan ada dalam satu hadis riwayat Ahmad daripada Syaddad bin al-Had R.A. pernah menceritakan bahawa Nabi S.A.W. pernah mai masjid bawa cucu baginda bersama-sama sehinggakan baginda pernah memanjangkan sujudnya kerana cucunya berada di atas belakangnya. Tengok, betapa mulianya peribadi Rasulullah S.A.W. dalam mendidik anak-anak supaya cintakan masjid. Kita jangan la marah kat anak-anak yang mai masjid bila buat perangai pelik-pelik. Itu yang depa takut nak mai dah sebab kena tempik dengan orang tua. Kita dulu waktu kecil-kecil lagu tu juga. Mai masjid main lari-lari dengan kawan-kawan kita. Otak budak-budak ingat main aja waktu tu. Itu fitrah juga. Lepas ni kita tegoq depa baik-baik noh."

Air diteguk lagi untuk mengurangkan rasa kering di tekak. "Pesanan saya yang terakhir, didiklah anak supaya dirikan solat sewaktu depa masih rebung sebab bila dah jadi buluh, keras payah jadinya. Ingat, solat tu tiang agama, kalau kita sendiri tak buat itu bermakna kita sanggup runtuhkan agama kita sendiri. Jangan jadi pengkhianat agama kita."

Tazkirah pendek itu ditutup dengan sedikit ancaman keras sebagai peringatan kepada semua umat Islam bahawa solat itu wajib dilaksanakan bukan part time or sometime or anytime or another time but the most important is on time.

"Sebelum saya balik, saya nak kongsi satu kata-kata ni. Boleh dak?" Ustaz Don meminta persetujuan para jemaah. Semua memberi kebenaran.

"Tapi dalam bahasa orang putih la. Tak pa la sekali-sekala. Bahasa Arab dengan Melayu pun ada sikit. Dengaq baik-baik. Enter the masjid, forward your solat, download pahala, firewall your iman, backspace from syaitan, bookmark to Allah, delete Allah enemies, copy paste from the al-Quran and sunnah. Help your muslim brothers and sisters, file your amal, edit your akhlaq, view your good and bad deeds, search the straight and right path, and insya-Allah you will never get virus. Wallahuaalam." Ustaz Don mengakhiri pertemuan pada malam itu dengan kata-kata yang cukup bermakna kepada para jemaah.

Setelah menunaikan solat isyak berimamkan Ustaz Don, Haris membawa ayahnya bertemu dengan Khair.

"Ayah, ni kawan angah. Khair namanya." Khair tunduk mengucup tangan tua itu.

"Pak cik sihat?" Khair memulakan perbualan.

"Alhamdulillah sihat," jawab Encik Ismail, sepatah.

"Hang duduk kampung mana?" tanya Encik Ismail pula.

"Rumah saya dekat Seberang Jaya." Khair menghadiahkan senyuman ikhlas.

"Rajin hang mai sini. Jauh juga tu." Encik Ismail sudah mula serasi dengan anak muda yang sebaya umur dengan anak keduanya.

"Tak dak jauh mana la pak cik. Nabi kan pernah pesan, kalau nak cari ilmu biaq sampai ke negara China. Ini dalam Penang lagi pak cik. Sabah Sarawak pun tak lepas lagi."

Pecah tawa orang tua itu. Encik Ismail memberi ruang kepada Haris untuk berbual seketika dengan Khair sebelum pulang ke rumah. Dia terlebih dahulu meninggalkan Haris dan Khair.

"Hang selalu ka mai sini?" soal Haris.

"Boleh la. Kalau ada apa-apa tazkirah atau kuliah maghrib, aku mai la. Kalau tak dak, aku sembahyang dekat surau rumah aku aja."

Mereka berdua duduk di penjuru ruang solat di dalam masjid itu. Haris sungguh kagum dengan kesungguhan yang dimiliki Khair.

"Rajin gila hang pi surau. Aku selalu sembahyang dekat rumah aja," jelas Haris jujur.

"Kita ni kan muda lagi. Kan Ustaz Don dah pesan tadi, orang muda la patut penuhkan masjid. Kenapa tak gunakan tenaga yang Allah bagi ni untuk menapak ke masjid ataupun surau? Kalau tak nak menapak, merempit pun boleh juga. Kalau mati tengah jalan pun masuk syurga terus. Kita tengah buat benda baik, kan?" perli Khair.

Haris berasa terpukul dengan kata-kata Khair. "Amboi, sedap sungguh bahasa hang!"

"Itu bukan aku yang kata. Imam Muda Asyraf yang kata. Betul apa dia kata tu. Daripada kita merempit tak tentu hala lepas tu mati, mati katak pula tu. Baik la merempit pi masjid. Ini kalau pi masjid aja asyik-asyik muka orang tua. Mana pi orang muda semua? Depa mesti melepak lagi. Orang dah nak bang subuh dia baru balik rumah. Kalau pergi berperang tak apa juga, ini entah benda apa yang depa buat. Membazir masa dengan aktiviti yang tak berfaedah macam pi usyar anak dara orang, lepak dekat warung mamak tengok bola dan macam-macam lagi la," bebel Khair panjang lebar.

Haris menadah telinganya mendengar segala luahan hati Khair. "Baik, pak ustaz." Satu tamparan hinggap di bahunya.

"Hang main-main pula. Aku serius ni."

"Mana ada aku main-main. Aku tengah dengaq la apa yang hang cakap tu." Haris membela diri.

"Satu aja aku nak pesan kat hang dan aku nak hang ingat sampai bila-bila." Riak wajah Khair semakin serius.

"Apa dia?" Mata Haris terpaku melihat wajah yang suci bersih itu. Terpancar sinar keimanan di wajah Khair. Sungguh menenangkan.

"Allah sangat sayangkan pemuda yang hati depa dekat dengan masjid. Insya-Allah, mudah jalan kita nak masuk syurga." Khair menepuk lembut bahu temannya itu.

"Insya-Allah aku akan ingat pesan hang ni."

"Kalau hang dapat ilmu baru, jangan lupa share dengan aku," pinta Khair.

Haris tersenyum kelat. "Ilmu aku tak sebanyak ilmu hang Khair kalau nak dikongsi pun."

Pantas Khair menggeleng. "Hang jangan ingat aku ni sempurna. Tak ada manusia yang sempurna melainkan Rasulullah S.A.W. aja. Aku perlukan hang untuk perbaiki mana yang rompong. Hang tampal la dengan kelebihan hang. Kita diciptakan untuk saling lengkap-melengkapi, kan?"

"Tapi aku bukan tulang rusuk hang yang hilang. Macam mana nak saling lengkap-melengkapi? Aku straight, okey?" usik Haris.

Satu tumbukan pula yang hinggap di bahu sebelah kanan Haris. "Hang ni selalu buat perangai loklak, kan? Aku serius, hang main-main. Aku tak tahu la siapa yang akan jadi bini hang nanti. Nakal betul." Pening Khair melayan kerenah Haris.

"Huh, jauh lagi tu! Tak mau pikiaq la. Hang ni macam tak sabaq pula nak kahwin. Kita baru lapan belas tahun kut. Orang kata baru cukup umur walaupun kita baligh lama dah." Ketawa mereka bersatu.

Sungguh dia tak sangka perkenalan yang tidak sampai setengah tahun itu sudah banyak memberinya pelbagai ilmu baru. Kadang-kadang ilmu tu kita dah lama tahu tapi sebab tak amalkan, itu yang terasa seperti ilmu baru.

Moga aku dapat mencontohi sifat kau, Amierul Khairi.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: