Bab 11
PADANG SMK Datuk Haji Ahmad Said menjadi tempat utama bagi perlawanan futsal yang julung-julung kalinya diadakan antara masjid-masjid sekitar Seberang Jaya. Keadaan disekitar padang itu sesak dengan kehadiran para peserta dan penonton yang tidak pernah datang memberikan sokongan padu kepada pasukan pilihan mereka. Kanak-kanak pula berlari-lari keriangan seperti baru mendapat duit raya saja gayanya. Keadaan ketika itu sungguh meriah.
Mentari pagi telah pun memancarkan sinarnya. Walaupun cahaya mentari pada pagi itu agak terik, namun semua itu tidak dapat mematahkan semangat para peserta.Semangat mereka lebih berkobar-kobar untuk berjuang hingga ke keringat yang terakhir. Perlawanan yang dinanti-nantikan bakal berlangsung kurang beberapa minit sahaja lagi.
Kumpulan pertama perlawanan bermula. Kedua-dua pasukan telah pun bersedia di tengah padang. Pasukan A yang memakai jersi biru kelihatan bersemangat dan tidak sabar-sabar untuk memulakan perlawanan dengan pihak lawan yang berjersi merah.
Semangat yang ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan amat tinggi ketika perlawanan berlangsung. Kedua-dua pasukan saling mengasak antara satu sama lain bagi mendapatkan gol permulaan. Menuju ke saat akhir bagi separuh masa pertama, kedudukan kedua-dua pasukan masih seri tanpa sebarang jaringan gol. Ternyata persaingan yang berlaku sangat sengit. Persembahan menarik yang dipamerkan menyebabkan penyokong tidak henti-henti bersorak menyokong pasukan kegemaran mereka.
Peluh mula membasahi tubuh mereka. Waktu rehat yang singkat ini digunakan untuk mengumpul semula tenaga.
"Ada strategi lain untuk team kita tak Ris? Hebat juga depa ni. Mati akal aku dibuatnya." Ijan memandang sekilas ke arah ketua pasukan mereka.
Haris menghela nafas. "Kita guna strategi diamond." Pandangan redup itu dilontarkan ke arah teman-teman sepasukannya.
"Maksud hang, strategi rotate?" Ijan menuntut kepastian.
"Yup!"
"Tapi bahaya la guna cara ni. Risikonya tinggi kut." Jelas Ijan kebimbangan.
"Hang jangan risau. Memang bahaya sikit tapi kita akan guna taktik tambahan."
"Taktik tambahan yang macam mana tu?" soal Yasser pula.
"Hang dengan Rahimin adalah orang yang utama untuk berada di depan. Ijan dengan aku pula kat barisan belakang. Kami yang kena alert bila hangpa nak passing bola ke belakang. Kami akan melancarkan serangan ke arah gol lawan dan dalam masa yang sama, hangpa berdua akan ke belakang untuk cover kami. Hangpa berdua akan bertindak sebagai finishing bagi setiap bola muntah daripada pihak lawan. Taktik tambahan yang aku habaq tadi, kita akan cuba main bola setting, yang mana Rahimin akan memainkan peranan dalam setting bola tu nanti. Shooter utama kita macam biasa, sama ada Yasser atau aku sendiri yang akan memikul tugas tu. Dapat semua?" terang Haris panjang lebar kepada ahli pasukan.
"Ada sesiapa yang rasa tak larat untuk teruskan perlawanan lepas ni, habaq mai. Kita boleh tukaq orang." Mata ketua pasukan A itu mendarat perlahan-lahan ke setiap wajah temannya.
Salah seorang daripada ahli pasukan mereka mengangkat tangan sebagai tanda dia ingin bertukar dengan pemain simpanan.
"Okey tak apa. Hang ganti dengan Abu." Kini, Abu pula masuk untuk bermain.
"Hang sebagai goal keeper kena berhati-hati dengan helah depa. Hang adalah benteng terakhir yang kami harapkan," ujar Haris kepada Abu.
Teman-teman yang lain mendengar dengan teliti arahan daripada ketua mereka. Sebelum mereka memulakan perlawanan, Haris sempat memberi pesanan terakhir.
"Aku harap takkan berlaku kekeliruan posisi nanti. Hangpa semua kena elakkan daripada berkumpul setempat. Masing-masing mainkan peranan. Aku tengok pihak lawan tak alert pasal benda ni dan ini boleh dijadikan peluang untuk pasukan kita menjaringkan gol. Akhir sekali, perkara yang paling penting, kita bermain sebagai satu pasukan bukan berdasarkan kemahiran seseorang individu itu sendiri semata-mata. Apa yang penting?"
"Kerjasama!"
"Bagus!" Mereka semua mengangguk sebagai tanda mengerti akan arahan yang diberikan oleh kapten mereka. Pada masa yang sama, para penyokong juga telah berjaya meniupkan semangat ke dalam diri mereka bagi memburu kemenangan dalam pusingan yang terakhir ini.
Ternyata segala strategi yang digunakan telah membuahkan hasil. Tiupan wisel penamat akhirnya dibunyikan. Gelaran juara sah menjadi milik mereka hasil kemenangan 4-2 menentang pasukan lawan.
"Alhamdulillah kita menang!" Yasser begitu gembira sehinggakan tidak kelihatan riak letih di wajahnya.
Haris tersenyum bahagia. Walaupun tempoh latihan mereka begitu singkat, namun perkara itu tidak menghalang gelaran juara untuk menjadi milik pasukan mereka.
Pihak lawan datang menghampiri Haris dan teman-temannya.
"Tahniah atas kemenangan team hangpa. Team hangpa memang hebat," puji pasukan lawan sambil menghulurkan tangan untuk berjabat.
"Nama aku Amierul Khairi. Hangpa boleh panggil aku Khair. Bekas pelajar Maahad Al-Mashoor," ujar ketua pasukan lawan mereka.
"Maahad Al-Mashoor lelaki ka perempuan?" Terpacul soalan itu dari mulut Ijan.
Haris menyiku perut Ijan. "Hang ni agak-agak la. Dah terang lagi bersuluh dia ni laki. Dari al-Mashoor lelaki la, takkan perempuan kut."
"Mana la aku nak tau. Aku tengok kulit muka dia lawa semacam aja. Pakai Fair and Lovely ka?" Matanya jatuh kepada wajah yang baru dikenalinya itu.
"Taklah. Pakai Loreal aja. Kerana dirimu begitu berharga." Khair layan saja. Ketawa berderai untuk persahabatan yang baru terjalin.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro