Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

Prolog

"ARGH!!!" Puan Rosnah terjaga daripada tidurnya. Lampu tidur dinyalakan. Sungguh ngeri mimpinya tadi. Suaminya yang berada di sisi dikejutkan. "Abang... Bang bangun la. Ros nak tanya abang

ni. Betul ka Haris tu gay?"
Encik Ismail diam tidak bergerak.

Puan Rosnah sabar menanti respons daripada suaminya.

Prot! Kentut menjadi jawapan untuk Puan Rosnah.

"Hesy, orang tanya guna mulut, dia jawab guna buntut pula." Puan Rosnah risau memikirkan mimpinya tadi. Tak mungkin anak aku gay. Tak boleh jadi ni.

Suaminya dipaksa untuk bangun dan kemudian turun ke ruang tamu bawah walaupun jarum jam sudah menunjukkan pukul satu pagi.

"Awak kejutkan saya tengah-tengah malam buta ni semata-mata nak cakap pasal ni saja? Cik Ros, awak tau dak esok pagi saya ada mesyuarat penting dengan klien? Kita bincang lain kali aja tak boleh ka?" Encik Ismail malas melayan kerenah isterinya.

"Tapi perkara ni penting. Urusan keturunan," tegas Puan Rosnah. Encik Ismail semakin pening. "Bang, Ros cuma nak tahu angah tu lagu mana," keluh Puan Rosnah.

"Lagu mana apanya? Awak habaq tadi, tu semua mimpi aja. Mimpi kan permainan tidoq. Bukannya betul pun. Jangan duk pikiaq sangat la." Encik Ismail cuba memujuk.

"Tapi angah tak nak kahwin," rungut Puan Rosnah lagi.

"Apa dia ada habaq ka yang dia tak nak kahwin? Ada? Tak dak, kan?" sangkal Encik Ismail.

"Habis tu, awat dia tak nak kahwin sampai la ni?"

"Mana la abang tau. Awak pi la tanya dia sendiri."

"Awat pula Ros yang kena tanya?" soal Puan Rosnah pula.

"Awak yang sibuk sangat nak tau. Abang dah habaq benda betul, awak tak percaya. Dah la, abang dah mengantuk ni. Abang nak pi sambung tidoq." Encik Ismail berlalu ke tingkat atas. Puan Rosnah menghantar suaminya hanya dengan pandangan mata.

SAHUR. Puan Rosnah sudah bersiap sedia dengan 'peluru' untuk dilontarkan kepada anak keduanya, Haris. Mata Puan Rosnah tidak lepas memandang tubuh anak terunanya itu yang telah tiga tahun tidak pulang ke Malaysia. Haris duduk berhadapan dengan ibunya. Setelah membacakan doa, Vico suam diteguk perlahan-lahan. 

 "Angah, hang gay ka?" Soalan direct tanpa berlapik daripada Puan Rosnah itu membuatkan Encik Ismail tercengang. Anak dan menantu sulungnya juga terpanar. Hampir tersembur keluar air Vico yang baru menuruni rengkung Haris.

"Tell umi the truth." Nada Puan Rosnah berbaur ugutan. Pandangan tajam Encik Ismail menikam ke wajah isterinya. Puan Rosnah sedikit kaget.

"Semalam abang suruh Ros tanya, sekarang Ros tanya la." Puan Rosnah mencari alasan untuk membela diri.

"Bila masa saya suruh tanya?" Berkerut dahi Encik Ismail melayan perangai isterinya pagi ini.

"Eh, takkan dah lupa kut. Semalam awak habaq kat saya, kalau saya nak tau awat Haris tak nak kahwin, saya kena tanya dia sendiri. Sekarang saya tanya la."

"Ha, betullah tu. Abang suruh Ros tanya awat dia tak nak kahwin tapi bukan dia gay ka dak," bangkang Encik Ismail.

"Sama la tu."

Haris semakin pening dengan perbalahan yang sedang berlaku. Matanya mendarat di wajah along tersayang sebagai tanda mengharapkan bantuan. Sungguh, Ikram Suhaili juga bingung dengan apa yang sedang berlaku antara ayah dan umi mereka.

"Umi, apa semua ni?" Lemah Haris bersuara.

"Hang habaq mai kat umi, awat sampai la ni hang tak mau menikah?" Tajam mata Puan Rosnah memandang wajah hitam manis itu.

Haris merengus perlahan. "Umi, cek baru dua puluh tiga tahun, bukan tiga puluh tiga tahun. Awat umi duk kalut sangat cek tak menikah lagi ni? Dalam famili kita ni, along kan dah ada famili sendiri, kira okey dah la tu. Cek ni belajaq pun tak habis lagi. Lagu mana nak menikah?" bebel Haris panjang lebar. Alongnya sedikit tersentak. Aku pun kena heret juga ke dalam perbincangan ni?

Puan Rosnah tidak berpuas hati dengan jawapan anaknya itu. "Kawan hang umur dua puluh tahun dah selamat menikah. Dia pun tak habis belajaq lagi tapi boleh aja kahwin."

"Dah jodoh dia mai awal, kahwin awal la dia," jawab Haris acuh tak acuh.

"Umi musykil la dengan hang ni, angah. Hang normal ka dak?" Puan Rosnah memandang anaknya dari atas ke bawah.

Umi aku ni awat jadi lagu ni. Salah makan ubat ka? "Angah normal la. Lelaki tulen, okey?" Haris bangun menuju ke dapur. Terbantut sudah seleranya untuk bersahur. Vico diminum sehingga habis kemudian dia mahu naik ke bilik semula.

"Mana nak pi tu? Umi tak habis cakap lagi." Sedikit meninggi suara Puan Rosnah.

"Cek nak bersiap pergi surau. Umi nak cek kahwin sangat, kan? Umi doa moga angah jumpa siapa-siapa kat surau ka, kat mana aja la bakal menantu umi tu." Haris malas hendak melayan perangai ibunya yang sangat pelik semenjak dia pulang bercuti ke tanah air itu. 


Bab 1

MOTOR KRISS itu dipecut selaju mungkin. Pelajar lelaki yang merupakan calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) itu memandang sekilas ke arah jam di tangan kirinya.

Dah pukul lapan. Mati aku. Dah la ada perhimpunan rasmi pagi ni. Itulah, gatal sangat tidur lepas subuh tu siapa suruh? Umi dah banyak kali pesan jangan tidoq lepas subuh, tak elok. Kan dah terlajak.

Budak lelaki itu dengan selamba memarkirkan motornya di hadapan dewan perhimpunan tanpa menghiraukan mata-mata yang sedang memandang ke arahnya. Dengan penuh keyakinan, dia melangkah menuju ke arah barisan kelasnya. Teman-temannya yang lain sudah berada di sana.

Memang tak ada perasaan serba salah langsung. Dia melepaskan lelah seketika. Ijan yang berada di sebelahnya menyiku perlahan sahabatnya itu yang sudah terang- terangan melakukan kesalahan besar.

"Selamba gila kan hang ni. Hang tak nampak ka yang pengetua kita tengah duk berucap kat atas pentas tu?" bebel Ijan, teman seperjuangannya.

"Aku nampak la. Hang tak usah duk kalut boleh dak? Sekurang-kurangnya aku mai sekolah juga walaupun aku lew..." Belum sempat budak itu menghabiskan kata- katanya...

"Haris Naim!" laung Ustaz Irwan.

Dengan berat hatinya, Haris bangun menuju ke pentas. Habislah aku kena soal siasat dengan Inspektor Gadget dekat atas tu.

"Assalamualaikum ustaz." Salam daripada pelajarnya dijawab perlahan.

"Awat hang mai lambat hari ni?" Pandangan Ustaz Irwan tajam menikam tubuh Haris.

"Maaf, ustaz. Saya tertidoq lepas subuh tadi. Letih sangat agaknya baca buku dari pukul empat setengah pagi." Itulah kebenarannya. Senakal-nakal Haris, tanggungjawabnya sebagai seorang pelajar tidak pernah dilupakan.

"Lepas ni, ustaz tak mau tengok lagi hang lewat macam hari ni. Faham?" Haris diam.

"Hang dengaq dak apa yang ustaz kata tadi?!" Kali ini suara Ustaz Irwan kuat memecah gegendang telinganya.

Hesy! Agak-agak la ustaz oi. Ada ka patut guna mikrofon tu masa cakap dengan aku dekat sebelah dia ni? Menjerit pulak tu. Bocoq gegendang telinga aku nanti, nak tampal guna apa?

"Faham," jawabnya sepatah. Padahal dalam hati ni geram juga. Malu tu tak la sangat. Geram aja lebih. 

"Dah, hang boleh masuk balik dalam barisan."

Semua pelajar tidak lepas memandangnya.

"Apa pandang-pandang? Aku ada hutang dengan hangpa ka? Ka hangpa cemburu tengok aku dapat cakap dengan pengetua direct macam tadi. Hangpa ada ka? Tak dak, kan?" Begitu lancang mulutnya berbicara. Cikgu-cikgu yang mendengar hanya mampu menggeleng.

Mulut Haris memang laser sikit tapi dia seorang pelajar yang cemerlang. Selancang-lancang mulut dia apabila bercakap, dia tidak pernah melawan cakap guru apatah lagi ibu bapanya.

"ASSAlAMUAlAIKUM, mak su. Mak su oh mak su!" teriak Haris dari luar rumah. Memang tak ada adab langsung la budak ni.

"Ha, hang Ris. Mak su dah agak, mesti hang yang mai. Dari jauh lagi dah cam bunyi motor ni. Tak dak orang lain yang suka merempit pagi-pagi buta ni melainkan hang aja. Awatnya pagi-pagi lagi dah mai rumah mak su ni?"

Haris tersengih. Kata-kata mak sunya itu memang tidak dapat disangkal. "Umi ada kirim bihun goreng untuk mak su sekeluarga." Bungkusan plastik yang berada di dalam bakul motosikalnya dihulurkan kepada ibu saudaranya itu.

"Ris balik dulu na mak su. Kirim salam kat pak su." Setelah selesai tugasnya, Haris memecut pulang ke rumah yang hanya terletak tujuh kilometer dari rumah mak sunya.

 "HARIS!!!" laung Puan Rosnah dari jauh. Bunyi bising enjin motor yang ditunggang Haris telah menenggelamkan suara ibunya.

"Awat la hang ni Haris oi?" Puan Rosnah hanya mampu mengeluh.

"Dah buat apa yang umi suruh?" soal Puan Rosnah setelah anaknya kembali daripada menghantar bihun.

"Dah, umi. Umi tak payah duk risau sangat," jawab Haris acuh tak acuh.

"Angah... Janganlah ketegar sangat." Puan Rosnah mengeluh.

"Apa yang ketegarnya umi? Angah dah hantaq pun kan bihun tadi tu." Haris bingung. Perintah yang mana aku belum turutkan lagi?

"Dah banyak kali umi pesan kat hang, jangan bawa motor laju-laju. Jadi apa-apa nanti, umi dengan ayah hang juga yang susah." Haris tersenyum. Dah buat salah pun relaks aje budak ni.

"Ala... Umi janganlah risau. Cek tau la jaga diri. Tak dak laju mana pun, setakat 120 kilometer sejam tu biasa la umi." Puan Rosnah rasa bagai mahu pitam mendengarnya. Membuntang mata Puan Rosnah memandang anak keduanya ini.

Haris menahan tawa. Dia gemar mengusik ibunya. "Cek gurau aja, umi. Cek janji, lepas ni tak bawa laju dah. 20 kilometer sejam okey dak, umi?" Haris masih belum puas menyakat ibunya.

"Hang dah mula buat perangai loklak noh. Sat gi umi bantai hang dengan penyapu kat dapoq tu kut. Hang nak ka?"

 "Boleh juga umi. Dah lama rasanya cek tak kena bantai." Belum sempat Puan Rosnah meneruskan kata-kata, Haris mengucup pipi tua itu dan terus berlari naik ke bilik.

Sabar aja la dapat anak teruna macam ni.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: