Bab 15
"KAU dah mintak maaf dengan ayah belum pasal semalam?" soal Zaidi sewaktu dia menumpangkan Iqram untuk ke bengkel tempat dia bekerja.
Akibat peristiwa semalam, Iqram tidak dibenarkan untuk menunggang motor sehinggalah cukai jalannya diperbaharui. Itu arahan Wak Rosli melalui Zaidi. Rela dalam terpaksa, Iqram hanya menurut. Tidak mahu perselisihan faham berlaku seperti semalam.
"Perlu ke mintak maaf? Selama ni Am mintak maaf, ayah tak pernah kesah pun," jawab Iqram dengan suara yang meninggi bagi mengatasi deru angin yang kuat.
Zaidi mengetap bibir. Kalau diikutkan hati ingin saja diketuk kepala adiknya ini. Kuat sangat memberontak tak tentu pasal. Keras kepala. Persis perangai ayahnya.
"Kau ni boleh tak kalau fikir matang sikit? Mintak maaf tu tanda kau hormat ayah. Takkan tergoleknya ego kau tu kalau kau minta maaf. Dapat pahala adalah. Lagipun tu ayah kau. Walau macam mana kau tak suka pun, dia tetap ayah kau!" nasihat Zaidi sambil meneruskan perjalanan.
"Am bukan tak suka ayah, bang. Am cuma geram aje. Tengoklah, nanti Am mintak maaf. Abang tak payahlah risau," jawab Am dengan nada lembut. Dia memegang kemas bahu abangnya itu.
Zaidi menghela nafas lega. Dapatlah dia bekerja dengan tenang hari ini.
"Abang ni kenapa bawa motor slow sangat? Kalau macam ni bila nak sampai bengkel Am?" soal Iqram kemudiannya. Sumpah, dia rasa seperti naik basikal. Perlahan sangat. Seakan dia dapat mengira batu-batu yang terdapat di bahu jalan. Abang aku ni pun, sejak bila bawa motor macam orang-orang veteran? bebel hati Iqram.
"Banyaklah kau punya songeh. Kau tengoklah motor ni motor tahun berapa. Dah enjin dia jenis slow, takkan abang nak paksa suruh laju pula. Kang tak pasal-pasal terlerai satu-satu body motor ni!" balas Zaidi cuba membela dirinya dan motor Honda Cub C70 milik ayahnya.
"Tu Am tahulah, bang. Abang kan ada beli motor baru, kenapa abang bagi motor tu kat ayah dan abang bawa motor ni? Patutlah abang selalu pergi kerja awal, rupa-rupanya abang tunggang siput, bukan tunggang motor!" balas Iqram mengutuk. Sempat lagi dia ketawakan Zaidi yang terkulat-kulat.
Zaidi mengemam bibir. Sakit juga hatinya dikenakan oleh Iqram. Pantas, dia memulas minyak dengan kuat. Anjakan yang terjadi dengan tiba-tiba itu membuatkan Iqram hampir terjatuh. Ketawanya terhenti dengan sendiri.
"Abang ni nak bunuh Am ke? Kalau jatuh macam mana?" soal Iqram sambil memegang helmetnya yang longgar.
Giliran Zaidi pula yang ketawa.
"Tahu pun takut, ingatkan tak takut mati," jawab Zaidi sambil berpaling ke belakang. Mencari raut Iqram.
Iqram tidak memandang wajah Zaidi namun pandangannya lebih tertumpu ke hadapan. Kelihatan beberapa kawanan kambing teragak-agak untuk melintasi jalan, dan di sebelah jalan sana kelihatan sebuah kereta Perodua Myvi sedang mengelak seekor kambing yang berada di tengah jalan.
"Abang, kambing!" jerit Iqram memaksa untuk Zaidi kembali tegak ke hadapan.
Mata Zaidi terbeliak apabila jarak dia dan kambing-kambing itu hanya beberapa meter sahaja. Keadaan menjadi kelam-kabut apabila Zaidi cuba mengelak daripada melanggar kambing tetapi muncul kereta Perodua Myvi dari arah depan memaksa Zaidi untuk mengarah motornya hingga terbabas ke dalam parit yang berada di sepanjang jalan.
"Aaa!" Zaidi dan Iqram menjerit serentak.
Sekelipan, mereka berdua jatuh ke dalam parit yang tidak berair.
"Ya Allah, Am! Kau okey?" soal Zaidi lalu cuba bangun mendapatkan Iqram yang jatuh tercampak tidak jauh daripadanya.
Iqram bersusah-payah untuk bangun. Wajahnya berkerut kerana menahan sakit di pinggang. Nasib mereka baik apabila tiada kecederaan yang berlaku. Pantas, dia menyambut huluran tangan Zaidi kemudian dia bangkit kembali.
"Abang tak puas hati betul dengan driver kereta tu. Dah tahu kambing ada kat atas jalan raya, takkan tak boleh nak elak? Kita yang sebesar-besar alam pun dia tak nampak. Mentang-mentang kita pakai motor aje. Buat macam kita ni tak wujud aje. Abang nak pergi bersemuka dengan dia! Biar dia bayar ganti rugi kerosakan motor kita!" bebel Zaidi dengan riak wajah yang tegang.
Lantas, dia berlari mendaki tanah yang curam untuk kembali ke jalan utama. Dia tidak kira, dia ingin bersemuka dengan pemandu kereta terbabit. Kalau boleh, dia nak sekolahkan sekali pemandu itu biar jadi pengajaran pada masa akan datang.
"Abang, tunggu dulu!" laung Iqram lantas segera mendapatkan Zaidi yang semakin laju ke hadapan. Angin abangnya itu bukan boleh dijangka. Selama dia hidup, belum pernah lagi dia melihat Zaidi semarah itu. Lebih baik aku cepat, sebelum abang bergaduh. Naya kalau ayah tahu ni! detik hati Iqram lantas berlari-lari anak dengan kaki yang terhincut-hincut.
Manakala Zaidi melangkah menghampiri kereta Myvi berwarna putih yang diparkir di bahu jalan. Dadanya berombak kencang menahan marah. Sudah hilang ketenangan yang sentiasa menghiasi wajahnya. Sudah terbang segala kesabaran yang selama ini dititikberatkan.
Pemandu kereta tersebut keluar dari kereta dengan riak yang cemas. Dia terus berlari mendapatkan Zaidi yang berada di tengah-tengah jalan.
"Maafkan saya, encik. Saya tak sengaja. Saya nak brek tapi kambing-kambing tu macam nak melintas. Bila saya tak brek, dia tegak atas jalan raya. Nak tak nak saya kena elak. Saya tak perasan yang encik lalu. Saya betul-betul mintak maaf!" pohon gadis itu dengan penuh mengharap. Dia mencantumkan kedua-dua belah tangannya tanda dia benar-benar rasa bersalah.
Zaidi terkaku seketika. Terkebil-kebil dia memandang wajah gadis bertudung dan berbaju kurung itu. Tampak manis walaupun wajah itu nampak seperti ingin menangis. Tanpa sedar, terbang segala amarahnya sebentar tadi. Tiba-tiba saja Zaidi hilang kata untuk berbicara.
"Abang!" tegur Iqram sambil menepuk bahu Zaidi.
Zaidi tersentak. Dia tersedar akan sesuatu lalu melotot memandang wajah gadis itu.
"Dah sah, sah kambing tu tak boleh nak fikir, sepatutnya awak yang ada akal ni fikirlah cara lain. Berhentikan kereta ke, perlahankan kereta ke. Ni tak, main elak sesuka hati sampai masuk jalan saya. Awak ingat saya ni kuman sampai awak tak nampak? Motor saya tu... Motor saya tu dah rosak awak tahu tak? Macam mana saya nak pergi kerja tanpa motor tu? Awak tu lainlah ada kereta, bila-bila masa boleh claim insurans. Saya ni? Insurans nyawa pun saya tak ada, tahu?" hambur Zaidi dalam satu nafas.
Iqram yang berada di belakang Zaidi hanya melongo. Pertama kali dia melihat abangnya bersikap seperti itu. Betul ke ini abang aku? detik hatinya. Pelik.
Wajah gadis itu berubah cemas. Kemarahan Zaidi sudah dijangka tetapi dia tidak tahu harus berbuat bagaimana. Semua yang terjadi sekelip mata. Otaknya tidak sempat bertindak.
"Saya tahu itu semua salah saya. Saya janji saya akan baiki motor awak. Saya tanggung segala kos perbelanjaan..."
"Hah, itulah orang yang ada duit macam awak ni selalu fikir. Semua nak tanggung. Nasib baik tak ada yang cedera. Kalau saya cedera tak apa tapi kalau jadi apa-apa pada adik saya, siapa nak tanggung? Awak?" pintas Zaidi pantas tanpa memberi ruang untuk gadis di hadapan itu bersuara. Anak matanya merenung tepat ke mata gadis tersebut.
"Abang... Sudahlah tu, Am boleh baiki motor kita. Cik ni kan dah mintak maaf. Sudahlah tu," pujuk Iqram lantas menarik lengan baju Zaidi.
"Buat apa Am nak baiki motor kita? Am pandai baiki ke?" soal Zaidi tanpa mengalihkan pandangan daripada menatap seraut wajah di hadapannya.
Iqram menepuk dahi. Tak sangka disebabkan kemalangan kecil itu, abangnya jadi hilang ingatan.
"Macam ni, encik. Saya serius ni. Saya akan tanggung segala-gala kerugian yang encik alami disebabkan saya tadi. Saya nak tanggung ni bukan sebab saya nak tunjuk yang saya ada duit tapi atas tanggungjawab. Saya takkan lari daripada kesalahan yang saya lakukan!" tegas gadis itu.
Zaidi terpanar seketika. Anak mata yang penuh dengan sinar ketegasan itu membuatkan Zaidi terdiam. Entah mengapa ada debar menyapa saat dia gadis itu berani menentang matanya.
"Abang..." panggil Iqram lagi. Dia resah apabila melihat situasi bertambah tegang. Dahlah mereka bertiga berada di tengah-tengah jalan raya, buatnya ada kereta yang merempuh mereka, pasti mati katak ni! getus hati Iqram.
"Abang..." Kali ini suara Iqram bertukar keras apabila panggilannya tadi tidak dijawab oleh Zaidi.
Zaidi tersedar. Dia berpaling sejenak ke belakang.
"Apa dia?" Zaidi menekan suaranya.
"Tak payahlah gaduh-gaduh, Am boleh baiki motor kita tu..." jawab Iqram sambil mengerling wajah gadis yang berada di hadapan mereka berdua.
"Kau nak baiki dengan apa? Kau pandai ke baiki motor?" soal Zaidi lagi.
Sekali lagi Iqram menepuk dahinya. Dia menggeleng-gelengkan kepala.
"Abang, Am kan kerja kat bengkel, mestilah Am tahu," ujar Iqram seakan berbisik di telinga Zaidi.
Dahi Zaidi berkerut lagi.
"Sejak bila kau kerja bengkel?" soalnya seperti orang bodoh.
Mata Iqram membulat. Dia melongo seketika. Dah kenapa dengan abang aku ni?
"Abang! Dah dua tahun Am kerja kat bengkel Abang Azlan tu. Takkan tu pun abang lupa? Abang ni dah kenapa? Kena sampuk ke? Atau kepala abang ada terhantuk kat mana-mana?" soal Iqram dengan nada suara meninggi. Dia memeriksa kepala Zaidi yang tiada kesan luka.
Lama Zaidi berfikir sebelum dia tersedar. Tangan Iqram yang membelek-belek kepalanya ditepis lembut. Hampir dia terlupa yang Iqram bekerja di bengkel. Apa dah jadi dengan aku ni? Takkan tengok muka perempuan ni terus hilang ingatan?
"Adik kerja kat bengkel Abang Azlan? Bengkel yang kat depan jalan sana tu ke?" soal gadis itu beralih pada Iqram yang berada di belakang Zaidi.
Iqram mengangguk laju. Gadis itu tersenyum penuh makna.
Zaidi terkebil-kebil seketika.
"Lawanyaaa..." gumamnya tanpa dia sedar.
Iqram memalingkan wajah ke arah Zaidi. Telinganya seakan menangkap sesuatu yang keluar daripada mulut Zaidi tetapi tidak jelas.
"Abang cakap apa?" soal Iqram pelik.
Pantas, Zaidi menggelengkan kepala. Dia berdeham kecil. Anak matanya dikerlingkan pada gadis itu yang kelihatan resah.
"Sekarang apa cerita?" soal Zaidi kemudiannya.
"Macam ni, awak hantar aje motor awak tu kat bengkel tempat adik awak kerja. Pasal bayaran, saya akan settlekan semua. Awak jangan risau, saya takkan lari..."
"Kalau awak lari macam mana? Saya ni susah sikit nak percaya dengan orang baru jumpa," pintas Zaidi tanpa sempat gadis itu menghabiskan bicara.
Gadis itu mengetap bibir. Lantas, dia mengeluarkan sesuatu daripada tas tangannya. Kad pengenalan dihulurkan pada Zaidi.
"Ini kad pengenalan saya. Awak boleh pegang IC saya sampai motor awak siap," ucap gadis itu nekad.
Zaidi terkesima. Dia berpandangan dengan Iqram sebelum anak matanya jatuh pada kad pengenalan yang berwarna biru itu.
Siti Salwa binti Abdul Wahid. Hmmm... Nama boleh tahan. Orang pun lawa... monolog hati Zaidi. Tanpa sedar ada senyuman menguntum di bibirnya.
Iqram semakin pelik melihat reaksi Zaidi. Tadi bukan main garang, sekarang senyum pula. Dalam sekelip mata saja abangnya jadi tak betul.
"Yang abang senyum sorang-sorang tu kenapa?" soal Iqram sambil berbisik.
Zaidi tersentak. Spontan, senyumannya mati. Wajahnya terus diseriuskan.
"Ini nombor telefon saya... Kalau dah siap, nanti telefon saya, ya? Saya kena gerak dulu. Assalamualaikum..." ujar Salwa sopan setelah memberi secebis kertas yang tertulis sepuluh digit nombor kepada Zaidi yang membatu.
Zaidi tidak menahan sebaliknya dia hanya menghantar batang tubuh Salwa dengan pandangannya sehingga gadis itu hilang di sebalik perut kereta.
Sebelum kereta Salwa berlalu, sempat lagi gadis itu menghadiahkan senyuman buat Zaidi yang masih terkaku. Zaidi terpanar.
Jantungnya mula berdenyut. Petanda apakah ini?
AZLAN mengerling jam di pergelangan tangan. Jarum jam sudah menunjukkan ke angka sembilan lima minit pagi tapi bayang Iqram masih tidak kelihatan. Selalunya Iqram jarang lambat. Iqram merupakan salah seorang pekerjanya yang paling berdisiplin.
"Fizi, Am ada call kau bagi tahu kenapa dia lambat tak?" soal Azlan sebaik saja dia terpandang kelibat Hafizi yang baru keluar dari tandas.
"Tak ada pula, bang. Selalunya dia jarang lambat. Kalau lambat mesti dia hantar mesej kat saya," jawab Hafizi sambil menjongketkan bahu.
Azlan ingin berkata sesuatu namun telefon bimbitnya yang menjerit nyaring membuatkan kata-katanya terbantut. Dia memandang nama yang tertera di skrin. Bibirnya tersenyum lebar.
"Waalaikumussalam... Kenapa telefon abang pagi-pagi ni?" soal Azlan kepada pemanggil yang berada di hujung talian.
"Hah? Bila? Habis tu macam mana?"
"Abang, tu pun Am dah datang. Eh, abang dia ada sekali," ucap Hafizi sambil menuding jari ke arah Iqram yang sedang berjalan sambil mendorong motornya dengan perlahan.
Azlan turut mendongak sambil terus bercakap sesuatu di telefon. Tidak lama kemudian, talian dimatikan. Wajah Iqram dan Zaidi menjadi tatapan.
"Hah Am, kenapa dengan motor tu? Motor kau mana?" soal Azlan lantas mendapatkan Iqram dan Zaidi yang berada di luar bengkel.
"Motor saya road tax matilah, bang. Ini yang saya tumpang abang saya pergi kerja. Alih-alih, masa on the way nak datang bengkel, accident pula. Tuan kereta cakap nanti dia datang bayar untuk kos baiki motor abang saya ni," terang Iqram. Zaidi yang berada di belakang hanya mendiamkan diri.
"Masya-Allah, teruk ke kau accident? Kau orang okey ke?" soal Azlan prihatin. Wajahnya berubah risau. Dia memandang Iqram dan Zaidi silih berganti.
"Alhamdulillah tak ada apa-apa, bang. Abang, kalau saya nak pinjam motor bengkel untuk abang saya boleh tak? Dia dah lambat nak pergi kerja ni," ujar Iqram. Takut-takut untuk dia meminta. Bimbang Azlan tidak membenarkan.
Azlan tersenyum manis.
"Boleh. Gunalah. Guna sampai motor kau ni siap," jawab Azlan sambil mengerdipkan matanya.
Zaidi meraup wajah. Lega rasanya apabila satu masalahnya dapat diselesaikan.
"Terima kasihlah, Abang Azlan. Saya rasa menyusahkan pula," ucap Zaidi sambil menundukkan wajah.
Azlan menepuk lembut bahu Zaidi. Lama dia merenung wajah Zaidi sebelum tersengih.
"Ni abang kau, Am?" soal Azlan tiba-tiba.
Iqram mendongak. Dia berpandangan dengan Zaidi seketika sebelum menganggukkan kepala.
"Yalah, bang. Satu-satunya abang yang saya ada. Dia selalu juga datang bengkel tapi abang tak ada. Hari ni baru kesempatan nak jumpa. Kenapa abang tanya macam tu?" soal Iqram dengan dahi yang berlapis.
"Jauh betul beza muka kau dengan muka abang kau ni, abang kau handsome sikit daripada kau," jawab Azlan sambil ketawa kuat.
Iqram mendengus geram. Dia mengherot-herotkan mulutnya tanda tidak berpuas hati.
"Malaslah saya nak layan abang merepek. Lebih baik saya buat kerja saya," balas Iqram selamba.
"Saya pun nak pergi kerja dululah. Hah, Am ni IC Cik Salwa tu, kalau dia datang ke bengkel kau bagilah balik IC ni kat dia. Cakap kat dia, tak payah bayarlah kos kerosakan motor ni. Tadi tu abang tak tahan sangat marah, sebab itulah abang cakap yang bukan-bukan," ujar Zaidi lalu menghulurkan kad pengenalan kepada Iqram.
Dahi Iqram berkerut. Pelik dengan sikap abangnya. Tadi bukan main beria-ia sekarang tak nak pula. Mana satu yang betul ni? soal hati Iqram. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
"Tapi tadi abang... Eh, kenapa abang tak call dia terus aje? Abang kan ada nombor telefon dia?" soal Iqram apabila teringatkan sesuatu.
"Abang seganlah. Dahlah abang cakap bukan-bukan tadi. Biarlah kau aje yang uruskan," jawab Zaidi lalu melompat ke atas motor yang diberikan oleh Iqram.
"Abang gerak dulu!" sambung Zaidi tanpa sempat Iqram membalas.
Iqram hanya mampu mengeluh kecil. Dia memandang kad pengenalan yang berada di tangan. Lama dia merenung gambar yang berada di sebelah kanan kad tersebut sebelum dia menghembuskan nafas pendek.
"IC siapa tu?" soal Azlan lantas menghampiri Iqram.
Iqram tersentak. Dia berpaling ke belakang.
"Nilah cik yang hampir terlanggar kami tadi. Asal sini juga," jawab Iqram lalu menghulurkan kad pengenalan tersebut pada Azlan.
Kad bertukar tangan. Terangguk-angguk kepala Azlan apabila dia mengamati wajah dan nama yang terpempan di atas kad tersebut.
"Kenapa abang terangguk-angguk ni? Abang kenal ke?" soal Iqram pula. Wajah Azlan dan kad tersebut dipandang silih berganti.
"Kenal... Kenal sangat," jawab Azlan selamba.
"Kenal? Siapa dia ni, bang?" soal Iqram kembali. Dahinya berkerut.
"Adik abang..." ucap Azlan dengan sengihan melebar.
Iqram tersentak. Matanya membuntang.
"Adik abang?"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro