Bab 14
TIDAK KIRA sama ada Iqram mahu pun Zaidi, masing-masing mendiamkan diri. Hanya Wak Rosli sahaja yang mundar-mandir di hadapan mereka berdua. Mak Nab yang memerhati keadaan hanya mampu mengeluh kecil.
"Macam mana semua ni boleh jadi, Am? Kenapa kau kena tangkap?" Suara Wak Rosli memecah kesunyian mereka empat beranak.
Iqram mendongak. Melihat wajah Wak Rosli yang bengis sudah cukup untuk dia kecut perut. Dia melemparkan pandangan pada Zaidi, mengharap simpati daripada abangnya itu.
"Am tak salah..."
"Kau diam, Zaidi! Ayah tak tanya kau. Ayah nak Am yang jawab. Macam mana dia boleh kena tangkap? Berapa kali ayah nak pesan, kalau nak berkawan pilih kawan yang elok bukannya mat rempit macam tu!" dengus Wak Rosli memotong bicara Zaidi yang cuba membela adiknya.
Iqram memicit dahinya yang terasa berdenyut. Bagaimana harus dia terangkan jika ayahnya tidak pernah memberi ruang untuk dia jelaskan letak duduk perkara yang sebenar?
"Semua yang berlaku tu kebetulan aje, ayah..."
"Kebetulan? Takkanlah polis tu bodoh nak tangkap kau senang-senang aje kalau kau tak buat salah!" Melengking tinggi suara Wak Rosli bergema di segenap ruang rumah.
Mak Nab memejamkan mata sejenak. Berderau darahnya mendengar suara suaminya yang tinggi.
"Kenapa susah sangat ayah nak percaya ni? Am bukan merempit pun. Kebetulan masa polis kejar mat rempit tu, Am ada sekali kat jalan tu. Dalam kelam-kabut, apa lagi yang boleh Am boleh buat selain larikan diri?" jelas Iqram. Dia meraup rambutnya ke belakang.
"Kau jangan nak tipu ayah, ya? Kalau kau tak salah kenapa abang kau kena bayar denda pula? Tentu kau ada buat salah. Cakap, mat rempit mana yang kau ikut? Kau berlumba kat mana? Cakap kat ayah cepat!" gesa Wak Rosli.
Dia meluru ke arah Iqram. Kolar baju anak bongsunya itu ditarik supaya Iqram berdiri. Dia takkan berpuas hati selagi Iqram tidak ceritakan hal yang sebenar. Dia yakin pasti ada sesuatu yang Iqram sorokkan daripada pengetahuan dia dan keluarga.
"Am tak buatlah kerja tu, ayah! Am tak buat!" tegas Iqram cuba membela diri.
Zaidi yang berada di belakang adiknya hanya mampu memandang. Tidak berani untuk ikut campur, bimbang ayahnya akan bertambah berang.
"Jangan nak tipu ayah. Lebih baik kau cakap cepat sebelum aku kerjakan kau cukup-cukup. Aku tak pernah ajar kau malukan keluarga macam ni!" hambur Wak Rosli lagi.
Iqram tersentap. Hatinya tergores dengan kata-kata Wak Rosli. Tanpa sedar ada air mata berlinangan di kelopak matanya. Lama dia memandang Wak Rosli dengan hati yang luluh.
"Pernah ke selama ni ayah ajar Am? Pernah ke ayah percaya cakap Am? Pernah ke ayah nak dengar apa yang Am lalui setiap hari? Pernah ke?" soal Iqram bertalu-talu. Dia meleraikan pautan tangan Wak Rosli di bajunya. Dia menjarakkan diri ke belakang.
Wak Rosli terpempan seketika. Dia terus terdiam.
"Kenapa ayah diam? Betul kan apa yang Am cakap? Ayah tak pernah nak luangkan masa dengan Am. Dengar cerita Am. Bukan sekarang tapi sejak dari kecil lagi ayah buat seolah-olah Am ni tak wujud dalam rumah ni. Apa yang Am nak, tak pernah ayah nak tanya. Semuanya Kak Hajar! Am ni bukan anak ayah ke?" Suara Iqram meninggi. Dia beremosi.
Mak Nab berpaling. Begitu juga dengan Zaidi. Suasana semakin tegang.
"Am, abang, sudahlah tu. Dah malam ni. Dengar dek jiran malu kita," tegur Mak Nab cuba meredakan suasana yang semakin panas.
"Kau jangan kaitkan Kak Hajar kau dalam masalah ni!" Wak Rosli tidak mempedulikan kata-kata Mak Nab. Melotot matanya memandang Iqram.
Iqram tersenyum sinis.
"Tengok, ayah selalu menangkan Kak Hajar. Kak Hajar seoranglah anak yang baik. Anak yang taat. Anak yang pandai. Habis tu Am dengan abang ni apa ayah? Ayah nampak kesalahan yang Am buat, baguslah. Sekurang-kurangnya Am sedar yang ayah masih anggap Am ni anak ayah!" hambur Iqram dengan rasa panas yang meluap-luap.
Wak Rosli tersentak. Dadanya berombak panas.
"Kurang ajar!" jerkah Wak Rosli. Serentak dia mengangkat tangan. Tetapi ayunan tangannya terhenti apabila Zaidi terlebih dahulu menahan.
"Nanti dulu, ayah! Betul, Am tak salah!" Zaidi menahan.
Iqram berundur setapak ke belakang. Dengup jantungnya berlari pantas. Hampir saja pipinya makan pelempang sulung ayah. Nasib baik Zaidi bertindak tepat pada masanya.
"Kau jangan masuk campur, Zaidi. Biar ayah ajar sikit adik kau ni! Pandai sangat nak melawan orang tua!" bentak Wak Rosli sambil meronta cuba melepaskan tangannya daripada pegangan Zaidi yang kemas.
"Ayah dengarlah dulu. Am tak salah! Polis tu dah jelaskan segala-galanya pada Di. Am kena tangkap sebab cukai jalan dia tamat tempoh bukan sebab dia merempit. Mat rempit yang kena tahan polis tu pun tak kenal siapa Am. Semuanya berlaku secara tak sengaja, ayah," jelas Zaidi akhirnya.
Wak Rosli terdiam. Perlahan-lahan, rontaannya terhenti. Dia menarik kembali tangannya daripada pegangan Zaidi.
"Kau jangan nak buat cerita. Ayah tak percaya!" Wak Rosli masih tetap dengan pendiriannya. Walaupun hatinya sedikit lega mendengar penjelasan Zaidi.
"Kalau ayah tak percaya, kita boleh jumpa polis tadi semula. Ayah dengar semuanya dari mulut dia," ucap Zaidi cuba meyakinkan Wak Rosli.
"Tak payahlah abang nak yakinkan ayah. Ayah mana nak percaya kita. Kita ni bukan anak yang baik macam Kak Hajar tu!" Iqram mencelah. Sakit hatinya masih lagi bersisa.
"Am, sudahlah tu!" Keras suara Zaidi kedengaran.
Wak Rosli berpaling. Tajam dia merenung wajah Iqram. Rasa ingin ditelan anaknya itu hidup-hidup.
"Budak ni..." gumam Wak Rosli lalu cuba mendapatkan Iqram yang bersembunyi di belakang Zaidi.
"Ayah, sudahlah tu. Semua ni salah faham aje. Kesianlah kat Am," pujuk Zaidi lembut.
Wak Rosli mendengus.
"Kau dengan adik kau tu sama aje!" bentak Wak Rosli lalu berlalu meninggalkan anak-anaknya dengan rasa marah yang masih belum reda.
Iqram dan Zaidi menarik nafas lega. Zaidi berpaling ke belakang.
"Kenapa kau cakap dengan ayah macam tu? Patutnya abang biar aje ayah tu lempang kau. Suka sangat menjawab!" marah Zaidi pula.
Wajah Iqram bertukar cemberut. Dia mencebikkan bibir.
"Zaidi, Am, sudahlah tu. Dah malam ni. Banyakkan istighfar," tegur Mak Nab menghentikan pertelingkahan kecil antara Zaidi dan Iqram.
"Salah ke apa yang Am cakap tadi? Kenyataan kan. Abang pun tahu pasal ni." Iqram masih lagi mahu menjawab.
"Hesy, budak ni. Makan pelempang juga nampak gayanya!" sergah Zaidi. Berpura-pura mengangkat tangannya untuk melempang Iqram.
Tanpa menunggu lama, berdesup Iqram lari meninggalkan Zaidi dan Mak Nab. Bimbang juga jika abangnya naik darah. Biru mukanya nanti.
WAK ROSLI termenung seketika di birai tingkap. Perbalahan antara dia dan Iqram sedikit sebanyak mengganggu fikirannya kala ini. Benarkah selama ini dia tidak pernah peduli pada Iqram? Benarkah selama ini kasih sayangnya berat sebelah? Pelbagai soalan mula menjengah hati Wak Rosli. Dia meraup mukanya yang lesu.
"Pernah ke selama ni ayah ajar Am? Pernah ke ayah percaya cakap Am? Pernah ke ayah nak dengar apa yang Am lalui setiap hari? Pernah ke?"
Kata-kata Iqram tadi kembali memenuhi ruang fikiran Wak Rosli membuatkan dia terasa serba salah. Betul ke aku tak pernah luangkan masa dengan Am? Tapi dia anak lelaki, sepatutnya dia tak boleh lemah, tak boleh manja sampai macam tu sekali. Hajar tu lainlah. Dia perempuan, dia kena perhatian yang lebih. Takkan itu pun Am nak iri hati? monolog hati Wak Rosli masih enggan mengakui kesalahan diri sendiri.
Bunyi daun pintu yang dikuak dari luar memancung lamunan Wak Rosli. Dia berpaling. Kelihatan Mak Nab melangkah masuk dengan riak wajah yang keruh.
"Abang tengok apa yang abang dah buat..." Mak Nab memulakan bicara setelah melabuhkan punggung di birai tilam. Dia merenung si suami yang sedang termenung di tepi jendela.
"Apa yang saya dah buat?" soal Wak Rosli tanpa memandang wajah Mak Nab.
Mak Nab melepaskan nafas kuat. Dalam keadaan begini pun, suaminya masih lagi menjunjung ego.
"Tengoklah Am tu. Sekarang dah berani nak tinggi suara dengan kita. Berani nak lawan cakap awak. Selama ni dia tak pernah macam tu," ulas Mak Nab cuba menarik perhatian Wak Rosli untuk memberi respons.
"Dia jadi macam tu sebab terlampau banyak sangat bergaul dengan budak yang tak tentu arah. Malam-malam bukan rajin nak lekat kat rumah. Entah dengan siapa dia berkawan pun kita tak tahu. Pandai sangat lawan mak bapak," hambur Wak Rosli sambil mengerling sekilas pada Mak Nab.
Mak Nab terkelu seketika. Dia tidak percaya yang Wak Rosli masih tidak mahu mengaku salah. Lelaki itu masih lagi menyalahkan Iqram atas apa yang berlaku.
"Abang, Am tu setiap malam dia pergi masjid. Mana pernah dia lepak dengan budak-budak kutu rayau. Kalau dia melepak sekalipun, tu hah dia pergi kedai burger tauke bengkel tempat dia kerja. Am tu seboleh-boleh dia nak jadi anak yang baik untuk abang, tapi abang tak pernah pedulikan dia. Abang tak kesian ke anak kita tu?" soal Mak Nab dengan suara yang lirih.
Wak Rosli terdiam.
"Saya penat cari duit pagi petang. Lagipun dia dah besar, pandai-pandailah dia berdikari. Awak ada kat rumah, awak tengok-tengoklah dia," balas Wak Rosli. Masih berdegil.
"Saya tahu abang penat. Saya tahu abang buat apa saja untuk keluarga kita tapi abang janganlah abaikan dua orang lagi anak kita. Semua yang berlaku pada Am bukan sebab pergaulan dia, tapi sebab kita yang tak pernah nak luangkan masa dengar masalah dia. Kita yang bersalah, bang," ujar Mak Nab menyesali sikapnya yang suka lepas tangan apabila berkaitan dengan Zaidi dan Iqram. Segala tumpuannya difokuskan pada Hajar.
"Saya didik dia dah betul. Saya bagi dia ilmu agama. Hantar dia mengaji. Apa lagi tak cukup?" Keras suara Wak Rosli kedengaran.
Mak Nab menggelengkan kepala. Sikap ego Wak Rosli ini kadang-kadang menyakitkan hatinya. Sukar untuk dibawa berbincang jika dia selalu merasakan dirinya saja yang betul. Pendapat orang lain langsung tidak diterima.
"Susahlah saya nak bercakap dengan abang ni. Satu saja saya nak cakap, jangan sampai bila kita kehilangan dia, baru kita nak hargai kehadiran dia," ucap Mak Nab lalu membaringkan diri di atas tilam.
Tubuhnya diselubungkan dengan selimut. Enggan meneruskan perdebatan dengan Wak Rosli kerana dia tahu, dia pasti akan kalah. Dasar keras kepala!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro