Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 12

PERLAHAN-LAHAN pintu bilik ditolak lembut oleh Wak Rosli. Suis lampu yang terletak berhampiran dengan pintu, dipetik lembut. Bilik yang tadinya gelap bertukar menjadi terang-benderang. Bilik sederhana besar itu kelihatan kemas malah semua barang-barang masih utuh di tempatnya sama seperti empat tahun lepas.

Sedar tak sedar, hampir empat tahun Hajar meninggalkan bumi Johor. Meninggalkan bumi Malaysia dan mereka sekeluarga. Rasa sayu masih berbekas dalam hati Wak Rosli. Betapa dia merindukan anak gadisnya itu.

Bola mata Wak Rosli menebar ke segenap ruang bilik sebelum terhenti di dinding bilik Hajar yang dipenuhi dengan poster-poster motosikal berkuasa tinggi dan pelumba-pelumba motor antarabangsa. Wak Rosli tersenyum nipis. Mengenangkan minat Hajar yang sedikit pelik berbanding anak gadis lain membuatkan Hajar istimewa daripada orang lain.

Wak Rosli mengeluh kecil. Dia mencapai kotak kecil yang sengaja diletakkan di atas meja solek milik Hajar. Kotak yang berisi poskad-poskad kiriman Hajar menarik perhatian Wak Rosli. Tika dia merindui Hajar, poskad itulah yang menjadi tatapannya. Bukan dia tidak boleh membuat panggilan, tetapi panggilan jarak jauh memerlukan kredit yang banyak. Jadi pada pendapat Wak Rosli, asalkan Hajar tidak pernah berhenti mengirimkan poskad untuknya, itu sudah cukup.

Setiap dua kali sebulan, pasti dia akan menerima poskad daripada Hajar. Dapatlah dia melepaskan rindu walau secebis.

Wak Rosli mencapai sekeping poskad yang dikirimkan minggu lepas. Tulisan tangan Hajar masih lagi kemas dan tersusun rapi. Poskad berlatarkan belakang gambar kanggaru itu begitu menarik di mata Wak Rosli.

Kita mungkin jauh dari pandangan mata,

Tapi kita tetap berkongsi langit, tanah dan udara yang sama.

Kalau ayah rindukan Hajar, ayah pandanglah langit.

Di situ Hajar bisikkan doa dan rindu Hajar buat ayah, mak, abang dan Iqram.

Moga kita akan berjumpa lagi. Kirim salam semua. Hajar sayang semua.

-Hajar-

2:40 P.M, 25 July 2016

Melbourne, Australia.

Wak Rosli cuba menahan sebak. Dia harus kuat meskipun hatinya cukup tersentuh setiap kali dia membaca bait-bait yang ditulis oleh Hajar.

Ayah mana yang tidak rindukan anaknya yang sudah hampir empat tahun tidak bersua muka? Jika dahulu Hajar selalu menemaninya walau ke mana saja dia pergi tetapi sejak empat tahun yang lepas, dia berasa keseorangan.

Kesunyian tanpa Hajar. Sungguh, dia rindukan celoteh dan gurau senda Hajar yang selalu menemani hari-harinya.

"Baliklah cepat, nak. Ayah rindu..." desis Wak Rosli perlahan.

Cukup untuk dia saja yang mendengar. Dia membawa poskad itu ke dada. Sekeping kertas keras itu dipeluk erat seolah-olah dia sedang mendakap Hajar.

IQRAM mengetap bibir. Sedaya mungkin dia cuba menahan rasa nyilu yang menggigit tangkai hatinya saat melihat Wak Rosli yang duduk bersendirian di dalam bilik Hajar. Ayahnya nampak begitu sedih seolah-olah kakaknya itu pergi buat selama-lamanya padahal hujung tahun nanti Hajar akan pulang ke Malaysia.

Terkadang Iqram merasakan ayahnya tidak adil. Tidak adil dalam mencurahkan kasih. Tengoklah dirinya sekarang, langsung tidak dipedulikan oleh Wak Rosli. Setiap kali mereka empat beranak berkumpul, nama Hajar akan sentiasa meniti di bibir Wak Rosli. Hajar itu, Hajar ini. Semuanya Hajar. Sedangkan dia dan abangnya hanya dipandang sepi oleh Wak Rosli. Sejak mereka masih kecil lagi, tumpuan dan perhatian Wak Rosli hanya untuk Hajar.

"Nah, makan..." ucap Wak Rosli sambil mencapai dua ekor ikan haruan lalu dikerat menjadi empat bahagian kemudian diletakkan ke atas pinggan Zaidi, Hajar, Iqram dan isterinya.

Iqram melopong. Dia menarik mulut muncung.

"Alah, kenapa kena kongsi? Tadi ayah bawa balik banyak ikan, kan?" rungut Iqram tidak puas hati.

Semua mata memandang ke arah Wak Rosli yang sedang menggaulkan nasi dengan kicap tanpa ada lauk mahu pun sayur-sayuran.

"Ayah jual kat kedai Pak Ali. Ramai yang cari ikan haruan, jadi ayah juallah," jawab Wak Rosli bersahaja. Mendatar saja suaranya. Dia menyuap nasi perlahan-lahan ke dalam mulut.

"Kenapa jual banyak sangat? Tengok, tinggal kat kita sikit aje," protes Iqram.

Lazim sebagai kanak-kanak yang berusia enam tahun, dia memang mudah memberontak apabila kehendaknya tidak dipenuhi seperti kanak-kanak yang lain. Dalam usia sepertinya, dia inginkan basikal, dia inginkan makanan-makanan yang lazat tapi semua itu dia tak pernah dapat. Dia hanya mampu memandang kawan-kawan sepermainannya yang lain dengan berputih mata.

"Dik, minggu depan dah nak buka sekolah, ayah kena beli baju sekolah, kasut, buku, pensel kat kakak dan abang sebab itulah ayah kena kumpul duit," celah Hajar membuatkan Iqram menjeling tajam.

"Asyik kakak dan abang aje yang dapat macam-macam, adik ni ayah tak pernah beli apa-apa," ucap Iqram sayu. Hatinya nyilu. Malah dia sudah berjauh hati dengan sikap ayahnya.

Wak Rosli hanya mampu mendiamkan diri. Kesusahan yang mereka sekeluarga alami, memaksa Wak Rosli untuk mengutamakan keperluan sekolah Zaidi dan Hajar. Bukan dia tidak kesiankan Iqram, tetapi dia betul-betul tidak mampu untuk membelikan barang permainan untuk Iqram. Jauh dalam hatinya dia turut terkilan kerana terpaksa membiarkan Iqram melalui zaman kanak-kanaknya dengan serba kekurangan.

"Kalau adik nak apa-apa, adik kena sekolah dulu. Barulah ayah beli. Adik kena belajar rajin-rajin. Bila besar nanti, adik boleh kerja bagus-bagus, lepas tu adik dapat beli barang-barang yang adik nak. Janganlah cakap macam tu, kesian kat ayah," pujuk Zaidi lembut. Dia menepuk belakang Iqram dengan lembut.

Iqram mencemikkan wajah. Bibirnya sudah terjuih.

"Makan ajelah dulu, dik. Nanti dah beli barang sekolah kakak dan abang, kalau ada duit lebih, baru kita makan sedap-sedap, ya?" sampuk Mak Nab turut memujuk dengan lembut.

"Ataupun esok petang adik ikut abang pergi mancing, nak? Kita pancing ikan banyak-banyak. Dapatlah kita makan banyak esok. Nak tak?" Zaidi cuba memancing minat Iqram.

Wajah Iqram berubah. Riak sendu sudah berlalu pergi diganti dengan wajahnya yang ceria.

"Hajar pun nak ikut, abang. Nah, Am ambillah ikan akak ni, akak dah kenyang," ucap Hajar lalu meletakkan separuh ikannya ke atas pinggan Iqram.

Iqram tersentak. Semua mata memandang Hajar. Hanya nasi saja yang habis sedangkan ikan goreng yang dikerat oleh Wak Rosli tadi masih bersisa lalu diletakkan ke atas pinggan Iqram.

"Tapi tu kakak punya..." ucap Iqram serba salah.

"Tadi kakak punya, sekarang Am punya. Dah, makanlah. Jangan lupa baca bismillah," balas Hajar dengan lembut.

Iqram hanya menurut. Sekilas dia memandang wajah Wak Rosli. Anak mata ayahnya itu berkaca memandang Hajar. Mungkin bangga dengan sikap prihatin yang ditunjukkan Hajar. Sedikit sebanyak timbul rasa cemburu di hati kecilnya.

DERAP tapak kaki seseorang menyentak lamunan Iqram yang menerawang jauh. Dia tersedar. Anak matanya berpaling ke sisi.

"Kau buat apa kat sini, dik?" soal Zaidi yang kebetulan lalu di situ. Dia berdiri berhadapan dengan adiknya yang kelihatan termenung panjang.

"Abang tengok tu, ayah tak habis-habis kenangkan kakak. Kita ni langsung dia tak peduli," ujar Iqram sarat dengan rasa iri hati.

Zaidir tersentak. Lama dia menatap laman wajah Iqram. Semua perasaan Iqram terukir jelas di wajahnya.

"Tak baik cakap macam tu, Hajar tu satu-satunya anak perempuan ayah, mestilah ayah rindu. Tambahan sekarang Hajar tinggal jauh, lagilah ayah rindu. Abang pun rindu, Am tak rindu dekat kakak ke?" soal Zaidi.

Iqram merengus. Dia memeluk tubuh.

"Rindu pun berpada-padalah, bang. Jangan sampai terlampau kenangkan orang jauh, orang yang dekat ni terabai aje. Bukan sekarang ayah macam ni, sejak dulu lagi selalu aje lebihkan kakak. Macam kita ni tak bernilai je," ujar Iqram seakan-akan membentak.

"Hesy, jangan cakap macam tu. Ayah layan kita sama aje. Itu semua perasaan Am aje. Sebab tu Am rasa ayah tak sayang Am hakikatnya, mana ada ayah tak sayang anak. Mungkin dia lebihkan Hajar sebab Hajar perempuan. Kena perhatian yang lebih," balas Zaidi cuba menjernihkan keadaan.

"Ah, sudahlah! Abang pun sama. Hakikatnya tak ada pun yang pedulikan Am ni. Agak-agaknya kalau Am mati, tak ada siapa yang peduli!" bentak Iqram lalu beredar meninggalkan Zaidi yang tersentak.

Zaidi tergamam dengan kata-kata Iqram. Berderau darahnya.

"Am!" panggil Zaidi kuat. Namun, suaranya tidak sampai pada Iqram. Adiknya itu terlebih dahulu keluar dari rumah. Tidak lama kemudian, kedengaran motosikal milik Iqram berlalu meninggalkan pekarangan rumah.

Zaidi tidak dapat berbuat apa-apa. Hanya keluhan yang dapat dilepaskan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: