Bab 11
Tahun 2016, Australia...
"KAU NEKAD ke, Hajar?" soal Lina apabila melihat Hajar sibuk mengira duit yang berada dalam buku akaun simpanannya.
Hajar mendongak. Dia tersenyum nipis sambil menyambung kembali kerjanya yang tergendala.
"Kau tahu kan pakai superbike ni berisiko. Kenapa kau tak beli kereta aje? Selamat sikit untuk perempuan macam kau guna." Lina bersuara lagi.
Kali ini Hajar bangkit. Dia duduk bersila sambil menghadap Lina yang kelihatan resah tanpa punca. Dia tahu sahabatnya itu risau akan dirinya sama seperti ayahnya tetapi sukar untuk ditolak keinginan hatinya. Minat yang mendalam sukar untuk dikikis.
"Kereta atau motor sama aja, Lina. Dah ini minat aku. Bukan baru lagi tapi dah lama aku minat motor. Minat menunggang. Bila aku menunggang, aku dapat satu kepuasan. Satu kebebasan yang aku tak dapat kalau naik kereta. Mungkin kau takkan faham," jawab Hajar cuba menerangkan mengapa dia begitu minat dengan motosikal terutamanya motor berkuasa tinggi.
"Jadi kau fahamkan aku. Cuba cerita pada aku kenapa kau minat sangat naik motor sampai nekad nak beli superbike?"
Hajar mencarik senyuman nipis.
"Sebelum tu, biar aku tanya kau dulu. Kau minat sangat baca novel, kan? Sampaikan semua novel kau kat Malaysia, kau angkut sekali ke sini. Kau sanggup beli novel kat Malaysia dan pos ke sini walaupun makan kos yang tinggi. Betul tak?" soal Hajar. Dia merenung tepat ke anak mata Lina.
Lambat-lambat Lina menganggukkan kepala. Memang itulah tabiatnya daripada sekolah menengah lagi. Dia dan novel memang tidak boleh dipisahkan.
"Kenapa kau sanggup buat macam tu? Maksud aku, sanggup beli novel dan pos ke sini walaupun kos penghantaran mahal? Kau terpaksa tunggu sekurang-kurangnya tiga bulan baru novel tu sampai. Kenapa kau buat semua tu?" soal Hajar lagi.
"Sebab aku minat. Aku minat sangat baca novel. Aku tak kesah berapa pun kos janji novel yang aku nak, dapat," jawab Lina laju.
"Hah, itulah point aku! Kau dah dapat jawapan untuk soalan kau sendiri. Minat. Minat yang dorong aku untuk kumpul duit, beli superbike. Minat kita tak sama, Lina. Tapi apa yang kita dapat melalui minat tu? Kepuasan. Kepuasan untuk diri sendiri, betul tak?" ujar Hajar membuatkan Lina berfikir panjang.
Betul juga kata-kata Hajar. Kerana minat semua orang boleh jadi senekad Hajar. Dia pun boleh jadi senekad itu jika dia betul-betul mahukan sesuatu. Lina mengerti sekarang. Dia menganggukkan kepala.
"Bila kau baca novel apa yang kau dapat?" soal Hajar ingin tahu. Sekadar untuk bertukar cerita dengan sahabatnya itu.
Lina diam sejenak. Bola matanya dihalakan ke atas. Cuba memikirkan jawapan yang sesuai.
"Aku dapat rasa seronok. Aku tak rasa sunyi pun bila aku dapat baca novel atau apa-apa bukulah. Ilmu yang tak pernah aku tahu pun, aku dapat dengan pembacaan," jawab Lina dengan senyuman.
Hajar ikut senyum. Dia menggeliat sedikit bagi mengurangkan lenguh-lenguh di badan.
"Macam tu juga dengan aku. Aku rasa seronok bila bawa motor. Bila aku bawa laju, aku rasa aku makin ke depan. Aku rasa bebas. Bebas daripada semua masalah yang ada. Kau tahu tak, bagi aku dunia ni macam pentas perlumbaan, semua orang nak menang tapi at the end, hanya akan ada seorang aje yang pemenang. Orang yang berani menghadapi risiko, orang itulah yang akan berjaya," ucap Hajar penuh dengan makna yang tersendiri.
Lina kagum seketika. Ternyata minat Hajar bukan minat biasa. Minat yang cukup mendalam boleh menjadikan seseorang itu luar biasa. Sama seperti Hajar, gadis itu sanggup melakukan pelbagai kerja semata-mata untuk memenuhi angan-angan dan impiannya. Tetapi sesibuk mana pun Hajar mengejar minatnya itu, belum pernah sekali Lina melihat Hajar gagal dalam pelajarannya. Malah, setiap semester gadis itu akan tersenarai dalam sepuluh orang pelajar terbaik kos mereka!
"Yalah-yalah. Aku akui cakap kau tu. Tapi kau jangan lupa jaga kesihatan kau. Kerja, kerja juga. Kalau kau sakit, semua benda tergendala nanti," omel Lina mengakui kata-kata Hajar.
Hajar tersengih.
"Terima kasihlah sebab kau risaukan aku. Insya-Allah, aku akan jaga kesihatan aku. Kau ni macam mak ayah aku pula. Membebel aje kerja kau," ucap Hajar bergurau.
Lina membesarkan bola matanya.
"Mahu aku tak risau, kau tu kawan baik aku. Dari sekolah kita kenal sampailah ke sini. Mana sanggup aku tengok aku sakit," ujar Lina sedikit beremosi.
Hajar ketawa kecil. Dia menghampiri Lina. Bahu sahabatnya itu dipeluk mesra.
"Oloh, budak kecil ni dah merajuk. Aku tahulah kau sayangkan aku. Disebabkan kau sayangkan aku, boleh tak aku nak mintak tolong sikit?" soal Hajar sambil mengangkat-angkat keningnya.
Lina berpaling. Dahinya berkerut.
"Tolong apa?"
"Tolong rahsiakan semua ni daripada ayah aku. Aku tak nak dia marah kalau tahu nanti. Bila aku dah sedia aku bagi tahu dia. Boleh tak Lina?" Hajar mengharapkan simpati. Dia mengerdipkan kelopak matanya banyak kali.
"Ayah kau tak tahu kau kumpul duit selama ni?" Lina bagaikan tidak percaya.
Hajar tersengih kemudian menggeleng.
"Kau ni, Hajar. Benda macam ni pun kau nak rahsia. Kesian ayah kau tu, nanti mesti dia fikir bukan-bukan. Kau tahu kan dia bukan main payah lagi nak bagi kau belajar kat sini. Kalau dia tahu tentu dia kecewa," bebel Lina lagi. Dia meleraikan pautan tangan Hajar di bahunya.
"Sebab aku tak nak dia kecewa, aku nak kau rahsiakan. Tolong aku, Lina. Kau sayang aku tak?" uji Hajar. Sengaja dilunakkan suaranya agar Lina cair.
Lina mengetap bibir. Wajah penuh mengharap Hajar itulah yang membuatkan dia sukar untuk membantah. Lagipun gadis itu telah banyak membantunya dalam soal pelajaran. Jadi tak salah rasanya kalau dia membantu Hajar pula.
"Yalah. Kali ni aje tau. Lepas ni aku tak nak tolong dah," jawab Lina akhirnya.
Hajar menjerit kegembiraan. Spontan, pipi Lina dicubit kuat. Menjerit sahabatnya itu. Akhirnya, mereka berdua ketawa lepas.
IRWAN memandang langit yang kelam. Hujan masih tidak henti-henti membasahi bumi kanggaru ini. Rasa sejuk mula mencengkam diri meskipun jaket tebal telah tersarung di tubuhnya yang tegap. Irwan menggosok kedua-dua belah tapak tangannya. Berharap agar ada haba yang terhasil. Namun, semuanya tetap sama. Tetap sejuk.
"Bilalah hujan nak berhenti ni?" soal Irwan sendirian. Dia mengerling jam yang melilit di pergelangan tangan. Jarum jam sudah menunjukkan pukul dua petang. Tetapi cuaca gelap bagaikan pukul tujuh malam.
Buat seketika, Irwan memeriksa telefon bimbitnya. Satu panggilan dia tidak dapat daripada Hajar hari ini. Kebiasaannya gadis itu akan menanyakan keadaannya. Di kolej pun kelibat Hajar tidak kelihatan. Sedikit sebanyak timbul rasa risau dalam diri Irwan. Walaupun Hajar seorang yang pandai berdikari tetapi Hajar tetap perempuan yang perlukan perlindungan.
Irwan mengeluh kecil. Dia tidak dapat berbuat apa-apa saat ini. Hanya menunggu hujan reda barulah dia dapat pergi ke rumah sewa Hajar. Ketenangan Irwan diganggu apabila sebuah superbike berwarna merah putih berhenti di perhentian bas yang sama dengannya. Mata Irwan terarah pada superbike tersebut.
"Fuyooo... Yamaha YZF-R1... Smart gila!" desis Irwan sedikit teruja melihat motor berkuasa tinggi itu. Menderum-derum bunyi enjinnya.
Pandangan Irwan teralih pada empunya motor. Wajahnya tidak kelihatan dek terlindung dengan helmet Shoeifull face berwarna merah yang dipakai. Visornya yang gelap menyukarkan Irwan untuk mengecam wajah si penunggang.
"You have awesome superbike..." ujar Irwan cuba berbual. Lelaki yang duduk di sisinya itu hanya menganggukkan kepala tanpa berkata apa-apa.
"This superbike delivers extremely high horsepower and strong pulse of linear torque for outstanding performance. What a superb bike. The styling and design is inspired by the YZR-M1 MotoGP right? Purposely sculpted for maximum aerodynamic efficiency," ucap Irwan lancar. Betapa dia kagum dengan penciptaan superbike yang berada di hadapannya. Jika nak dibandingkan dengan Honda CBR1000RR miliknya, rasanya jauh panggang daripada api walaupun kedua-duanya direka untuk kelajuan.
Irwan menanti balasan daripada pemilik motosikal tersebut tetapi pemiliknya hanya mengangguk dan mengangkat ibu jari tanda bagus. Apa yang bagusnya pun Irwan tidak tahu. Dia cuba berkongsi info yang dia dapat memandangkan dia dan lelaki itu mempunyai minat yang sama.
"If you want to know, my girlfriend also very interested with this Yamaha YZF-R1. She wish to have the same superbike like her idol. I don't know what's good about Valentino Rossi. I think Marc Marquez is greater than him. Young and energetic. The veteran racers should retire and give chances to the new generation. So they can sharpen their racing skills. What do you think?" soal Irwan sambil membuang pandang pada pemilik motor tersebut.
Kelihatan lelaki yang memakai sut lengkap dan berhelmet tu menarik nafas panjang sebelum melepaskannya dengan perlahan. Irwan cuba mengintai wajah lelaki itu tetapi masih tidak jelas. Semuanya gelap.
"Two time world champion compared to nine-time world champion, is it worthy? He is legend!" Nah, pemilik motor itu bersuara.
Irwan tersentak. Suara itu lembut. Tak macam suara lelaki pun. Jadi dia ni lelaki ke perempuan? soal Irwan. Mula serba salah. Wajahnya berubah.
"Sorry, are you miss or mister?" soal Irwan lambat-lambat.
Pemilik superbike itu kelihatan marah. Pantas, dia menanggalkan helmet yang tersarung di kepala.
"Apa masalahnya kalau saya perempuan ataupun lelaki? Oh, sampai hati awak kutuk idola saya. Depan saya bukan main lagi awak puji dia melambung. Ini rupanya perangai awak selama ni!" bebel gadis itu membuatkan Irwan tersentak.
Dia bingkas bangun. Sungguh dia terkejut melihat kenyataan di hadapan mata. Ternyata pemilik YZF-R1 yang disangka lelaki itu ialah Hajar! Macam mana semua ini boleh berlaku? jerit hati Irwan. Dia tersenyum kelat.
"Awak Hajar? Motor ni siapa punya?" soal Irwan cuba melarikan topik perbicaraan.
"Awak jangan nak alih topik dengan saya, ya? Lebih baik awak tarik balik kata-kata awak tadi!" marah Hajar sambil mencekak pinggang. Dia menuding jari telunjuknya tepat ke wajah Irwan.
Tertelan air liur Irwan dibuatnya. Wajah bengis Hajar kadang-kadang mampu membuat perutnya kecut.
"Ya, ya, saya tarik balik kata-kata tu. Saya mintak maaf, tak patut saya kutuk idola awak tu. Alah, saya bergurau aje pun. Saya pun admire dia juga," akui Irwan akhirnya sekadar untuk mengambil hati Hajar yang hampir merajuk.
Hajar menjeling. Dia masih tidak percaya dengan kata-kata Irwan tetapi dia tidak mahu memanjangkan cerita. Lantas, helmet yang berada dalam pegangannya diletakkan di atas bangku di perhentian bas tersebut.
"Cantik tak superbike saya?" soal Hajar sambil tersengih panjang. Dia membetulkan tudungnya yang senget setelah menanggalkan helmet tadi.
Irwan menarik nafas lega. Cepat saja mood Hajar berubah.
"Cantik sangat. Awak punya ke ni? Saya macam tak percaya aje," balas Irwan memandang superbike dan Hajar silih berganti.
"Awak ni, kan saya pernah cakap saya nak kejar angan-angan saya ni sampai dapat? Empat tahun saya kumpul duit campur dengan duit saya kerja kat Malaysia lepas SPM. Siang malam saya tak rehat, inilah hasilnya!" ucap Hajar sambil menunjukkan Yamaha YZR-R1 pada Irwan. Dia tersenyum meleret.
Irwan terkebil-kebil. Dia masih tidak percaya tetapi apabila Hajar begitu bersungguh meyakinkannya, barulah Irwan dapat menerima. Bukan dia tidak kenal dengan gadis bernama Siti Hajar ini, dia akan pastikan apa yang dia nak tercapai. Sekarang gadis itu sudah membuktikannya.
"Awak memang nekad, kan? Keluarga awak tahu tak pasal ni?" soal Irwan.
Senyum manis Hajar mati dengan sendiri apabila soal keluarga dibangkitkan. Dia duduk kembali. Satu keluhan dilepaskan.
"Maaflah kalau pertanyaan saya tadi buat awak tak selesa," sambung Irwan apabila melihat wajah Hajar bertukar mendung semendung awan yang berada di kaki langit sekarang.
"Abang, adik dan mak saya tak kesah sangat sebab dia tahu saya memang minat motor daripada kecil lagi. Tapi ayah saya susah sikit..." jawab Hajar perlahan.
Irwan turut mendiamkan diri. Dia dapat rasakan kerisauan yang bermukim di hati Hajar.
"Kalau macam tu apa kata kalau awak jelaskan perkara sebenar pada ayah awak. Awak buat sampai dia faham..."
"Susahlah, Irwan. Ayah saya ni tradisional sikit orangnya. Dia susah nak faham benda-benda macam ni. Tapi awak tak payahlah risau, pandai-pandailah saya uruskan nanti," balas Hajar akhirnya. Dia cuba mengukir senyuman tetapi dirasakan cukup hambar.
Irwan tidak jadi meneruskan kata. Dia hanya menurut jika itu yang Hajar mahukan. Dia tidak mahu terlampau mendesak Hajar nanti pertengkaran yang mengakhiri perbualan mereka.
"Tapi awak kena ingat, apa pun yang terjadi, family come first. Jangan simpan apa-apa rahsia daripada keluarga awak terutama ayah awak," nasihat Irwan lembut.
Hajar termenung sejenak. Terlintas wajah Wak Rosli yang tua pada pandangan mata. Bagaimana agaknya reaksi Wak Rosli jika mengetahui dia sudah memiliki motosikalnya sendiri? Marahkah lelaki itu? Tak sanggup untuk Hajar bayangkan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro