Tersedarlah Angin dari Lenanya
400 tahun?
Dua patah perkataan itu berulang-ulang di dalam kepala Klee. Dunianya terasa berpusing apabila dia cuba mengira jumlah tiga digit tersebut. Dia berharap lelaki itu tersenyum dan ketawa, mengatakan bahawa semua itu hanyalah candaan semata-mata.
Sebaliknya, wajah Aether tetap kaku tanpa senyuman. Serius.
"Jadi ...," sebut Klee perlahan, "tetapi, tadi ... saya baru ... datang? Jadi, abang ...?"
Aether menghela nafasnya dengan berat. Rambutnya bergoyang-goyang ditiup angin ringut. Pandangannya kekal ke langit hitam.
"Letupan itu berlaku 400 tahun yang lepas, di mana semua hidupan disumpah menjadi batu. Beberapa jenis haiwan yang terselamat pula berubah menjadi raksasa yang mengerikan, seolah-olah ada tenaga dalaman yang diserap mereka," terang Aether. "Hanya saya satu-satunya yang terselamat."
Penjelajah itu melirik Klee, dan menyambung, "Sehinggalah kamu datang."
"Apa yang berlaku sebenarnya?" Klee menyoal sambil tergeleng-geleng, bingung. "Kenapa sampai selama ini? Apa .... dan batu ... dari mana letupan itu datang? Aduh, kepala saya sakit!"
"Dandelion itu, 'kan?"
Klee membulat memandang lelaki itu. "Abang tahu sesuatu fasal bunga itu?"
"Dandelion, yang memberitahu angin mengenai keinginan seseorang," terang Aether, "Kesan biji Dandelion juga melekat pada pakaian kamu."
Klee menunduk, memeriksa pakaiannya. Dia baru tersedar terdapat beberapa biji halus yang bersinar kebiruan di pakaian dan begnya.
Aether bercerita, bahawa dia terlihat, suatu pancaran cahaya yang muncul di langit -- tahi bintang. Cahaya itu meluncur ke sebuah tebing tidak jauh dari tempatnya.
Selepas Aether tiba di tempat itu, dia dapat merasakan aura bintang yang segar. Aura itu terasa manis, seperti anggur segar yang baru dipetik. Tanda kehidupan yang telah lama lenyap dahulu telah muncul, dan aura itu menuju ke sebuah pusat kota -- yang kini tidak lagi -- iaitu kota Mondstadt.
"Jadi, nama tempat ini Kota Mondstadt?" soal Klee, "Kenapa tempat seteruk ini boleh jadi kota?"
"Panjang ceritanya," Aether bercekak pinggang sambil menatap ke hamparan plaza kota. "Apa yang pasti, jarak bintang kamu dan bintang Teyvat sangat lama. Mungkin beratus-ratus juta tahun cahaya. Mungkin kamu rasa seperti baru beberapa jam berlaku, tetapi itulah hakikatnya."
Klee akhirnya terdiam, berusaha mencerna kata-kata Aether. Remaja itu pula merenggangkan tubuhnya, sebelum duduk di atas bongkah batu gergasi. Dia menguap besar, dan memberitahu Klee untuk memanggilnya jika ada apa-apa yang berlaku.
Tidak sampai beberapa ketika jugalah, remaja itu sudah tertunduk dan berdengkur halus di tempatnya. Cepat benar dia tertidur, seperti sudah lama tidak terlena beberapa hari ini.
Klee mengeluh perlahan, dan duduklah dia di sebelah pengembara itu. Berlian merahnya terhala kepada titisan hujan yang berjatuhan.
Tanganya memeluk patung yang tergantung di sisi begnya. Patung arnab yang dingin kerana basah, tetapi mampu menghangatkan jiwa kecilnya. Satu-satunya patung yang mempunyai aroma seperti bintang tak bernama itu.
"Sekurang-kurangnya...." Klee tersenyum kecil dan berbisik, "Dodoco ada dengan saya."
Rasa sebak mula menyelubungi dirinya. Wajah Albedo yang tersenyum nipis, menyapa memorinya. Pasti lelaki itu akan mengambil sampel air hujan, dan berkurung di dalam khemah buat seketika.
"Tersedarlah angin dari lenanya."
Klee tercengang apabila suatu suara yang merdu, bergemersik halus di telinganya. Dia segera menoleh ke sekitar dengan mata membulat.
"Suara yang sama macam sebelum ini!" kata Klee kagum.
Bezanya, melodi petikan tali muzik yang indah, mengiringinya dengan gembira. Seakan-akan menarik Klee ke alam fantasi nan luar biasa.
"Membelai lembut daun yang berbisikan
diiringi melodi lira yang nyaman."
Hembusan angin yang lembut, menyapa wajah Klee -- anehnya begitu berbeza daripada udara yang dihirupnya tadi. Lebih segar. Lebih hidup. Malah, lebih bebas daripada udara misteri sebelumnya.
Apabila kanak-kanak itu mendongak, matanya bersinar-sinar kagum.
Awan yang berkepul-kepul melitupi langit mula berpecah, memberi ruang kepada cahaya langit. Hujan dan petir yang menyambar mulai reda. Seakan-akan angin sengaja menolak kegelapan daripada terus menutupi dunianya.
Dengan bersemangat, Klee melangkah mengikuti suara yang berbisik itu. Matanya meliar, mencari-cari tanda kehidupan di mana-mana.
"Ikutilah petunjuk yang menari-nari kepadamu,
Tenanglah berjalan di lembah yang sayu,
Si juita menanti bersama merahnya dengan rindu,
Mengenang muzik yang mengalir syahdu,
Aku 'kan menunggumu."
. . .
Mata Aether terbuka luas. Nafasnya laju apabila dia bangkit dari lenanya. Peluh merenek di dahinya, seolah-olah baru dikejar bayangan mengerikan. Remaja itu menoleh ke sekitar dengan cemas, sebelum menghela nafas dengan lega.
Sekejap.
Lelaki itu bangkit dan mencari-cari kelibat Klee. Tiada. Keningnya berkerut apabila menatap langit yang luas, tanpa mega gelap dan dentuman guruh. Tatapan Aether berubah tajam.
"Takdir tidak pernah," getus Aether, "membenarkan aku berehat."
Remaja itu menunduk, lalu menyentuh bumi. Matanya dipejam dengan tenang, berusaha mencari tanda-tanda kewujudan tenaga dan aura baharu.
Sebaik sahaja dia mencelik, iris emasnya bersinar seterang mentari yang membakar. Suatu gelombang keperakan tersebar ke semua arah. Seperti radar.
Anak matanya mencerlung tajam ke suatu arah. Sempat dia berkata sendirian, "Jumpa."
Kesan tapak kaki kecil milik Klee.
Dan aura biru kehijau-hijaun yang asing.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro