Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Sahabat Lama

Langit merah perlahan-lahan bertukar gelap. Angin yang nyaman tadi mulai lenyap, meninggalkan udara kering yang menyesakkan. Debu-debuan berterbangan, membuatkan kerongkong Klee seperti di padang pasir.

Klee berhenti di tengah hamparan bukit-bukau yang retak. Melodi lira yang menemaninya tadi sudah lenyap. Tiada lagi bisikan pujangga yang memanggil-manggilnya. Hanya kesunyian yang menamparnya, mengejutkan Klee kepada realiti.

Kanak-kanak itu terus melangkah dengan kaki menggeletar. Patung Dodoco miliknya digenggam erat.

"Helo!" Laung Klee, "Helo suara pelik? Boleh dengar saya, tak?"

Senyap.

Hanya bunyi batuan kerikil yang dipijak menemaninya. Degupan jantung Klee semakin laju. Wajahnya memucat apabila melihat kawasan di sekitar yang semakin asing. Sedangkan hidupan yang disumpah pun, tiada di mana-mana.

Klee tersentak apabila satu suara yang aneh, menyapa di belakangnya. Seperti suara robot yang rosak, menyebut angka-angka kod bernombor. Langkahnya terhuyung-hayang apabila bintang terasa bergegar kuat.

Apabila Klee menoleh, dia terjerit panik.

"A-apa itu?"

Sebuah automaton gergasi melangkah ke arahnya. Raksasa mesin itu berkaki dan bertangan seperti manusia, tetapi bahagian atas badannya lebih besar. Terdapat ranting biru kecil yang tersembul keluar daripada celahan belakang robot itu.

Raksasa itu mengangkat kakinya tinggi-tinggi, lalu menghentam tanah dengan dahsyat. Rekahan besar terhasil lalu meluru pantas ke arah Klee.

Klee melompat terundur daripada terjatuh ke dalam rekahan. Gegaran tanah yang kuat membuatkan dia terjatuh. Kanak-kanak itu pantas berlari menyelamatkan diri.

Tangannya laju menyeluk begnya. Bom-bom ciptaannya dilempar ke arah raksasa itu. Bunyi letupan kuat menggegarkan bumi. Asap merah berkepul-kepul kuat bersama percikan jingga.

"3-2, 3... 3... 2-3 ...."

Suara raksasa itu berbunyi rosak, lalu terjatuh.

Klee melompat riang. "Rasakan!" 

Tidak sampai sedetik, sengihannya mati. Sekali lagi, Klee nyaris terjatuh apabila bintang bergegar kuat. Raksasa itu bangkit semula.

Raksasa itu masih bertahan!

Klee melemparkan bomnya ke arah raksasa itu. Berkali-kali jugalah tanah bergegar. Raksasa itu sudah terundur menahan serangan. Letupan bom itu menanggalkan plat-plat besinya. Tanah juga berlubang-lubang. Asap mula mencengkam leher Klee.

Tetapi, raksasa itu tetap melangkah ke arahnya. Elektrik terpercik keluar. Gear dan mekanisme di dalam robot itu dapat dilihat. Ngeri.

"R-Raksasa pelik apa ini?"

Klee cuba menyeluk begnya lagi, sebelum wajahnya pucat mendadak.

Bomnya habis.

Klee berundur apabila raksasa besi itu mula mendepa luas. Matanya bercahaya,  sebelum automaton itu berpusing selaju puting beliung. 

Ranting, serpihan besi dan rumput berpusar kuat seperti dilanda ribut. Klee terjatuh, sebelum dia berteriak kuat. Tubuhnya tertarik ke arah raksasa itu.

Klee menjerit sehingga tekaknya sakit. Tangannya menangkap rumput mati, berdekatan dengannya. Tarikan ribut itu terlalu kuat.

"Sesiapa pun!" Jerit Klee, "Tolong!"

Nafas Klee semakin laju. Raksasa itu semakin menghampirinya. Putaran raksasa itu semakin laju, semakin pantas. Bersedia menamatkan nyawa Klee dalam sekejap.

Air mata Klee berterbangan ditiup angin. Dia tersentak apabila topi merahnya sudah tercabut. "Tidak!"

Sebelah tangannya cuba menyambut topinya, tetapi tidak sempat. Kain merah itu sudah hancur digilis tangan robot. Seakan-akan daging yang dicencang.

Rembesan air matanya semakin laju. Topinya hancur seperti dadanya dicabik-cabik tanpa makna. 

Kanak-kanak itu berteriak sekuat hatinya, "Abang!"

ZAP!

Sebuang bayangan hitam melintasi Klee laju. Tangis Klee terhenti, lalu dia menoleh ke belakang. Matanya membesar apabila menyebut, "Abang cepat tua!"

Aether muncul bersama pedangnya. Seperti halilintar, dia menembusi raksasa itu dengan sekali tikaman.

Putaran raksasa itu terhenti, sebelum mesin itu terjatuh. Bahagian dadanya mula berlubang, menampakkan dawai dan gear yang berputar.

Sebaik sahaja Aether mendarat, Klee bersorak riang. "Kita menang!"

Aether memusingkan pedangnya dengan pantas, lalu melirik ke belakang. "Belum lagi."

Benar kata Aether.

Raksasa itu hanya terkaku buat seketika, sebelum tangannya bergerak-gerak. Besi berkaratnya berkeriut kuat apabila kaki robot itu memaksa rangkanya untuk bangkit. "2-3 ... 3 ... 2 ...."

Raksasa besi itu menghadap ke langit. Bahagian mulut raksasa itu bercahaya terang. Aether terbeliak apabila laser merah teracu ke arahnya.

Berdas-das peluru besar dilepaskan. Peluru itu berpusing di udara dan meluru laju ke arah Aether. Si pengembara pantas berpusing mengelak dan menepis dengan pedangnya. Genggaman pedangnya dikemaskan.

Aether berteriak, "matilah!"

Aether meluru laju ke arah robot itu. Dentingan besi kuat bergema. Hanya pancaran kilat muncul seperti halilintar. Kelibat Aether hampir tak terlihat. Pedangnya menembusi robot itu berkali-kali.

Aether menujah tinggi di atas kepala raksasa itu. Di bawah naungan langit, Aether mengangkat pedangnya setinggi angkasa. Memberi makna dia dan langit bersatu nyawa.

ZAS!

Pedangnya menikam wajah raksasa itu. Percikan elektrik muncul daripada raksasa logam itu.

Remaja itu mendarat dengan cekap, memusingkan pedangnya dengan bergaya, lalu menyimpannya ke dalam sarung. 

Letupan gergasi menggegarkan langit bintang. Habis serpihan mekanisma dan percikan api tersebar ke serata arah. Klee segera melindungi kepalanya dengan lengannya.

Apabila Klee menurunkan tangannya, Aether bergegas ke arahnya dengan gigi yang digertap kuat. 

"Apa yang kamu buat!" Suara Aether ternaik, "Kamu fikir sini taman permainan? Saya suruh kamu duduk diam-diam, itu sahaja!"

Klee tertunduk dengan kesal. Dia menarik hingusnya sewaktu mengucapkan maaf dan berkata, "Saya cuba ikut ... petunjuk angin itu."

Wajah Aether berubah. Suaranya rendah apabila dia menyoal, "Petunjuk angin?"

Klee mengangguk perlahan, lalu menceritakan tentang bait-bait puitis yang didengarinya tadi. Dada Klee berombak apabila Aether hanya mendiamkan dirinya. Ada pancaran misteri di iris emasnya.

"Sebenarnya," Aether menggumam perlahan, "Ayat pertama teka-teki ini sudah jelaskan tempatnya di mana."

"Be-betul?"

"Ikut saya," tegas Aether sewaktu melangkah ke bukit yang landai. "Jangan bertindak sembarangan."

Tetapi, tiada jawapan daripada Klee. Aether terus menoleh, dan keningnya terjongket apabila Klee mengutip sesuatu. 

Seperti mengeluh, Aether menyoal, "Sampah apa pula yang kamu kutip, Klee?"

Klee menatap cebisan kain merah, dan berkata perlahan, "Ini topi saya."

"Nanti kita carilah topi baru di mana-mana. Mari."

"Tetapi, itu topi yang sama lagikah?" suara Klee serak. "Topi saya lagi istimewa walaupun sudah lama. Daripada benang pokok ru yang dijahit, dan diberi selepas saya letupkan ikan. Topi yang lain, cuma topi biasa."

Dengan langkah yang berat, Klee mengikuti Aether. Remaja itu pula tiada apa-apa yang mahu diucapkan. Rasa kesal menyelubungi Aether buat seketika, tetapi dia menidakkan sendiri. Klee cuma terlalu emosional, itu sahaja.

Seandainya mereka tahu, seseorang memerhatikan mereka dari jauh. Kelibat itu tersenyum kecil, sebelum melangkah pergi.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro