Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Roda Akan Berputar

Adapun di sebuah bintang yang sunyi dan kelam, tinggallah seorang lelaki dan kanak-kanak kecil bersama. Sudah 100 tahun mereka mengembara ke puncak gunung, menatap cahaya Dandelion yang indah, dan bercerita mengenai kisah-kisah bintang yang luar biasa.

Walaupun satu abad telah berlalu, kanak-kanak perempuan itu tetap bertubuh kecil, seperti baru mencapai tujuh tahun.

Rambut keemas-emasannya diikat dua.
Tidak seperti lelaki itu yang bertelinga manusia, telinga si kecil itu runcing. Kot merah si kecil itu, memang sama dengan anak matanya yang sentiasa terbakar dengan semangat.

Dan sebuah nama telah dipilih untuknya - Klee.

Masalahnya, adakalanya semangat kanak-kanak itu membuatkan lelaki itu sakit kepala.

Seperti ini.

Albedo bercekak pinggang di belakang hutan ru yang terbakar. Klee pula menggosok tangannya sambil tertunduk, kesal.

Mujurlah khemah mereka jauh dari sini. Entah bahan apa yang digunakan, api itu susah terpadam walaupun kawasan bersalji.

"Tak sampai lima minit abang ada di dalam khemah," suara lelaki ditekan apabila dia berpeluk tubuh, "Lebih baik kamu jelaskan apa yang berlaku."

"Saya cuba buat bom dan panaskan pokok," Klee yang tertunduk dengan rasa kesal, teresak-esak sewaktu berkata perlahan, "Saya cuma ... tidak mahu abang kesejukan ...."

Helaan berat terluah daripada Albedo. Syukurlah bom itu tidak dilempar kepadanya.

Budak itu tetaplah tunas yang baru tumbuh dari tanah. Kehidupan yang masih mentah, dan tersesat di dunia yang luas. Albedo melirik barang-barang yang berkumpul di sebelah mereka -- daun perak, kayu api, berlian merah, cendawan ais ... mungkin itulah bahan untuk membuat letupan dahsyat tadi.

Albedo duduk melutut, dan mengelus rambut Klee dengan lembut.

"Selagi kamu ada," katanya tenang, "abang tidak pernah kesejukan."

Mendadak wajah si kecil itu bercahaya semula. "Betul? Kalau macam itu, saya akan lempar banyak-banyak bom lagi!"

"Daripada letupkan hutan, apa kata kalau kita main satu permainan?" cadang Albedo, "Kita boleh tangkap ikan di tasik sana. Siapa dapat ikan paling banyak, dia menang."

"Yeah! Letupkan ikan!"

Walaupun mereka sentiasa bersama, Albedo masih lagi tidak dapat memecahkan rahsia mengenai Klee. Dia dapat merasakan suatu aura yang aneh, misteri, dan kuat daripada tumbuhan merah itu.

Tetapi, apa?

Sebab itulah, dia perlu menyuruh Klee duduk diam-diam. Tergelak Klee apabila rambutnya ditarik-tarik, lengannya diangkat, ataupun pipinya dicucuk-cucuk.

Bukan sekali sahaja Albedo menyoalnya, "Kamu boleh rasakan apa-apa yang berbeza, Klee? Mungkin, ada pokok yang keluar daripada hidung kamu?"

"Apa? Seramnya!"

"Kamu boleh keluarkan buah dari rambut?"

"Abang lapar? Saya boleh bawa ikan lagi!"

"Mungkin, muka kamu jadi hijau?"

"Kenapa abang suka tanya soalan pelik-pelik?"

Albedo mengeluh. Mungkin dia terlalu teruja dengan kejadian Klee yang luar biasa.

Sewaktu Albedo mengukir bongkah ais sebagai catatannya mengenai Klee, kanak-kanak itu pernah menyoal tulisan apa yang diukirnya. Albedo pula, menjawab selamba yang itu merupakan kod rahsia resepi memasak ikan.

Apa yang pasti tentang Klee ... pertama, kanak-kanak itu mempunyai umur yang sangat panjang. Kedua, Klee bukan manusia tetapi seperti manusia. Ketiga, Klee datang daripada bintang lain, kerana tiada benih begitu di sini.

Hari yang mungkin pagi ataupun malam, mereka meredah hutan ru melalui laluan yang sudah ditanda. Pepohon itu bercahaya terang, satu-satunya cahaya yang membantu perjalanan mereka. Albedo mengangkut beg berat, manakala Klee mengutip bongkah ais yang terjatuh.

"Abang Albedo ...," Kanak-kanak itu seperti merengek, "Kenapa kita mesti bawa banyak barang dan selalu berpindah? Saya suka berjalan tapi saya penat ...."

"Maaf, Klee," ucap Albedo, "Tak banyak ikan di sana. Kita boleh berehat di sini sekejap."

Klee bersorak riang sambil melompat duduk di atas salji. Dia menggosok-gosok tangannya untuk mencari kehangatan, lalu meniup tangannya. Wap dingin berkepul-kepul keluar dari nafasnya. Sejuk.

Tidak seperti abangnya, lelaki itu tidak pernah menggigil kesejukan. Mungkin kerana toleransinya terhadap kedinginan itu amat tinggi, Klee tidak pasti.

Klee perasan, Albedo menatap bunga Dandelion yang baru dipetiknya. Senyap. Lelaki itu sentiasa ada renungan tajam apabila berfikir, tetapi berlian biru itu menunjukkan sebaliknya.

Suram.

Albedo tersentak apabila Klee muncul di hadapannya.

"Abang kata Dandelion membosankan," soal Klee, "tetapi, kenapa abang suka tengok bunga itu?"

Pemuda itu akhirnya tersenyum nipis, seperti mahu tertawa. Dia menyerahkan Dandelion itu kepada Klee dan berkata, "Cubalah tiup."

Klee masih bingung, meniup Dandelion itu sekuat hati. Terpercik air liurnya sehingga wajah Albedo berkerut lucu.

Maka, berterbanganlah benih-benih halus itu ke serata arah, menyebarkan cahaya birunya ke sekitar. Albedo dan Klee menatap cahaya pari-pari itu yang terbang ke langit hitam, seperti gugusan bintang.

"Dandelion," kata Albedo, "Cahayanya sentiasa memberitahu angin untuk mendengar kisah kita."

"Erm ... apa maksud abang?"

"Dandelion ialah sahabat yang baik."

"Tetapi, ini cuma bunga. Bunga boleh menjadi sahabatkah?"

"Kamu cuma pokok, tetapi bising."

Klee termenung panjang. Albedo ketawa kecil dan berkata dia hanya bergurau, membuatkan si kecil itu mengembungkan pipi. Geram.

Mereka akhirnya bangkit, menuju ke destinasi mereka.

Meredah ribut salji bersama kisah dan tawa mereka. Kenangan hanya tinggal kenangan, membawa harapan kehangatan yang baharu.

Malangnya, siulan salji membawa petanda bertentangan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro