Hikayat Bulan dan Arnab
Bagaimana penyair 'Yang Tidak Pandai Menyanyi' itu mulakan kisah, agaknya?
Oh, ya! Semuanya bermula di suatu tempat yang sangat jauh di atas, bulan yang dijaga sekumpulan arnab, bukan?
Apa? Bukan arnab?
Suka hati Paimonlah!
Jadi, sebelum salah seorang di antara mereka yang obses dengan pengetahuan itu dihukum, terdapat sebuah lagi kisah yang sangat mengerikan berlaku!
Kamu tahu bahagian bulan yang gelap? Jadi ... tempat itu sentiasa gelap tanpa cahaya mentari. Sebab itulah, suhu di sana luar biasa sejuk dan hanya salji yang berjatuhan. Akibatnya, seekor hidupan telah terlahir daripada kegelapan tempat itu.
Seekor anjing yang sangat jahat telah pun hidup!
Dia nakal, tidak bertanggungjawab dan jahat! Dia suka sangat kacau hidupan lain sama ada pagi, petang dan malam.
Sehinggalah seekor arnab yang mempunyai masalah ketagihan ilmu itu, menyiasat bahagian terlarang. Anjing itu cemburu kerana arnab boleh keluar-masuk kawasan sesuka hatinya.
Urm ... anjing suka makan arnab, dan dia mahu seluruh penduduk bulan menjadi santapannya! Tetapi, arnab bermasalah itu selalu menghalangnya.
Cita-cita anjing itu ialah memporak-perandakan sesuka hati yang dia mahu. Dia terus menyerang arnab genius itu apabila ada peluang. Pergaduhan mereka sangat dahsyat, dan sesekali mereka berundur apabila kepenatan. Tetapi, di akhirnya, anjing itu kalah teruk.
Dia, akhirnya, dihukum di suatu tempat yang tidak akan dijumpai sesiapa pun. Jauh daripada kehidupan. Terkurung di dalam sangkar.
Kemudian, arnab itu mencari fasal. Dia tersilap langkah di dalam kajiannya -- apa? Kamu mahu tahu apa yang dia kaji? -- Lebih tepat, dia mengkaji kuasa kegelapan salji yang mengerikan! Maka, kuasa itu terbebas! Habis lobak-lobak di seluruh bulan layu dan mati!
Kerana itulah, bulan kacau-bilau! Arnab genius itu ditendang keluar ke sebuah meteor yang sangat jauh. Arnab-arnab lain merajuk, tidak mahu arnab genius itu pulang.
Selepas beberapa abad telah berlalu, salah seekor arnab juga terjumpa sesuatu.
Sangkar itu kosong!
. . .
"Kosong? Apa jadi selepas itu?"
Klee bersungguh-sungguh menyoal dengan mata bersinar ingin tahu. Paimon pula menguis dagunya dalam keadaan terbalik, berfikir buat seketika.
Akhirnya, Paimon memberi sebuah balasan, yang amat membosankan, "Tidak tahu."
"Cerita tiada pengakhiran itu terkenalkah sekarang?" Klee merengek bosan. "Lagipun, pakcik pelik itu suka cerita dongengkah? Langsung tidak penting!"
Paimon hanya ketawa janggal sambil menggaru kepalanya. Sedar tidak sedar, mereka sudah berdiri di hadapan sebuah pintu bilik stor yang bersawang. Klee menoleh ke sekitar, gugup melihat ruangan ini terlalu senyap. Sedangkan haiwan juga takut bersuara.
Sebaik sahaja pintu ditolak, bunyi keriutan berat bergema perlahan.
Hanya sebuah bilik stor yang kecil.
Tingkap bilik itu sudah hitam legam dilitupi lumut dan habuk. Paimon segera mengheret segulung tikar di suatu sudut, lalu dihamparkan ke tengah ruangan. Seketul batu Lumenstone Adjuvant disimpan di atas almari kecil.
"Selesai!" Paimon menepuk tangan kecilnya beberapa kali. "Kamu duduk di sini dulu, budak. Paimon ambil pakaian dan selimut."
"T-Tapi, tempat ini gelap ...."
"Jangan risau, Paimon akan datang beberapa minit sahaja lagi!"
Wajah Klee semakin memucat apabila Paimon sudah meluncur keluar. Dia mahu mengikuti budak itu, tetapi langkahnya terhenti. Matanya bergetar menatap bayang-bayang luar yang menyeringai kejam.
Hanya laluan yang gelap, tidak berpenghujung di hadapannya. Seolah-olah Paimon lenyap ke sebuah dimensi yang berbeza.
Klee duduk di atas tikar sambil memeluk lututnya. Dia mengesat air matanya dengan kasar, lalu meraba-raba beg di sebelahnya.
Mata Klee terbeliak.
Dia bangkit lalu berpusing sewkatu menggapai begnya. Liurnya terasa kelat apabila ditelan. Nafasnya laju. Jantungnya berdegup kencang dengan panik dan cemas.
"Dodoco hilang," Klee bersuara perlahan, lalu terjerit, "Hilang!"
Dia merogoh beg sandangnya dengan cemas. Bunga Mint, Cecillia layu, Sunsettia yang berlumpur, batu-batuan yang entah apa gunanya, dan epal. Matanya mula berair, sebelum esakan halusnya terlepas.
Sahabatnya tiada.
Membayangkan arnab kecil itu menangis sendirian di dalam kegelapan, membuatkan dadanya menjadi sebak. Mungkin arnab itu terjatuh sewaktu mereka berlarian meredah kegelapan. Melawan arus ribut yang kejam.
"S-Saya mesti cari Dodoco!"
Klee sudah menyandang begnya dengan tekad. Nafasnya ditarik kuat. Mana mungkin dia mahu menangis sahaja dan membiarkan sahabatnya bersendirian.
Kristal bercahaya itu disambar. Klee berusaha melawan kakinya yang menggigil, memulas tombol pintu yang berkarat. Perlahan sahaja. Dia hanya perlu berjalan beberapa langkah, menuruni tangga, dan berlari keluar mendapatkan Dodoco. Mudah sahaja.
Pintu bilik terbuka. Klee menarik lagi nafasnya, dan mula melangkah. Dia boleh --
"Kamu mahu ke mana?"
Klee terjerit lalu terjatuh apabila seseorang muncul di hadapannya. Hampir gugur jantungnya diterjah sebegitu. Selepas beberapa lama, pernafasannya mulai tenang apabila melihat suatu kelibat yang amat dikenalinya. Kelibat yang sentiasa menatapnya dengan tatapan dingin dan menjengkelkan itu.
"Abang Aether?"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro