Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Hadiah Tidak Terjangka

Hujan telah berhenti.

Akhirnya, malam dapat terlena dengan tenang tanpa pekikan petir. Hanya kegelapan yang menyelimuti bintang, kecuali cahaya permata yang samar. Sekelam tatapan pemuda yang berdiri di sisi tingkap. Merenung terus keluar tidak bergerak, tenggelam di dalam bayangan fikiran.

"Hei, Tuan Diluc!"

Diluc menoleh sebaik sahaja ditegur seseorang di belakang. 

Paimon meluncur turun dari tangga sambil menyoal, "Dari tadi Paimon cari, tetapi langsung tidak jumpa apa-apa. Di mana selimut dan bantal? Oh, juga, pakaian tambahan untuk kami! Baju ini basah dan langsung tidak selesa!"

Diluc berkerut mendengar Paimon yang tidak berhenti bercakap. Dia membalas datar, "Cari di bilik sebelah sana. Mesti ada. Baju untuk Klee mungkin ada, tetapi kalau kamu ... rasanya terlalu besar."

"Apa? Alah ...."

Paimon mengeluh kecewa sambil melayang ke bilik yang ditunjuk. Susah juga kalau badan terlalu kecil. Salah pengembaralah kerana beri makanan sedikit sahaja, mungkin sebab itu dia tidak cukup nutrisi.

Paimon terhenti apabila terdengar erangan halus di meja bulat. Diluc menoleh apabila Aether merintih.

"Lumine ...."

"Aether, kau sudah sedar?" Paimon meluncur ke arah sahabatnya dengan risau.

Remaja itu menggumam tidak jelas walaupun matanya terpejam rapat. Sesekali wajahnya berkerut. Diluc yang baru menghampiri, mengeluh perlahan.

"Mungkin dia bermimpi ngeri," getus Diluc.

Paimon melirik Aether dengan simpati sewkatu berkata, "Kasihan dia. Selama ini, dia terpaksa berhadapan dengan masalah sendirian. Dan ...."

Diluc menjongket keningnya. "Kenapa?"

"Aether lain sedikit daripada dahulu, dan ...," getus Paimon perlahan, "Paimon perasan yang dia langsung tidak pandang Klee."

Buat seketika, hanya angin yang bertiup hening. Menyapa di antara kesunyian. Diluc menjeling wajah Paimon yang muram, sebelum merenung ke luar tingkap.  

"Saya mungkin tidak pandai beri nasihat ... cuma," sambung Diluc, sedikit lambat, "Jangan risau, Aether tetaplah Aether yang kamu kenal."

Paimon akhirnya menarik senyuman lebar sambil mengangguk, lebih bersemangat.  

"Tolong!"

Perbualan mereka terhenti.

Jeritan seseorang bergema sayup-sayup di luar. Memanggil tidak berhenti.

Paimon bersuara waswas, "Tunggu, ada orangkah di sini?"

Diluc lantas menerjah keluar dari kilang kayu itu. Pedang besarnya muncul di sisinya, sebelum digenggam pemuda itu. Paimon tersentak, memanggil Diluc sambil mengejar pemuda itu. Nyaris kanak-kanak itu bergolek di atas angin. 

Langkah Diluc terhenti. Paimon yang terkejut, terlajak terbang melepasi Diluc sebelum menyorok di belakang pemuda itu.

Paimon menjerit teruja bercampur panik, "Manusia!"

Di bawah pohon hitam berdekatan, seorang wanita berteriak meminta tolong sambil terduduk cemas. Dia memegang kepalanya dengan tubuh terketar-ketar kuat. Air matanya mengalir deras sewaktu beberapa ekor makhluk berupa goblin yang menyarung topeng, tertawa mengejek. 

Paimon menyengetkan kepalanya sambil memberi komen, "Eh, kenapa mereka seperti lutsinar?"

Separuh lutsinar, sebenarnya.

Si mangsa dan Hillichurl itu tidak berjasad. Hanya cahaya-cahaya halus yang membentuk tubuh mereka. Anehnya, wanita dan makhluk itu langsung tidak sedar Diluc sudah berada di hadapan mereka. Seolah-olah ralit di dunia sendiri.

"Tengok ini, Tuan Diluc!"

Diluc menoleh, tetapi Paimon sudah hilang di belakangnya. Apabila dia berpusing ke arah lain, matanya menangkap kelibat Paimon yang sudah melayah di atas akar. Tangan kecilnya menunjuk akar pohon hitam yang bercahaya halus.

"Tengok, akar pokok ini seperti baru dihiris seseorang!" laung Paimon dengan panik. "Paimon rasa, perempuan dan Hillichurl ini imej yang terlepas dari pokok ini!"

Diluc duduk melutut berdekatan pohon itu, berhati-hati. Tangannya menyentuh cahaya kebiruan yang terlepas dari hirisan itu. Tatapan pemuda itu semakin tajam.

"Kita diperangkap."

.    .    .

"Cantik tempat ini, 'kan, Aether?"

Suara yang lembut itu menyapanya seperti angin yang bertiup. Desiran pepohon yang hijau, kicauan burung yang indah, musang yang berlarian bersama rakannya, juga langit yang membiru. 

Gadis itu membongkok di suatu tebing, menatap sebuah kota yang beberapa kilometer di hadapan. Dia menoleh ke arah Aether lalu tersengih.

Aether melangkah mendekati gadis itu sambil menarik nafasnya. Matanya bersinar-sinar merenung hamparan bukit yang bercahaya seperti zamrud. Indah.

"Jadi, inilah Mondstadt," kata Aether sambil menutup dahinya dengan tangan. "Aku dengar, kota di sana dipanggil Kota Kebebasan. Menarik."

"Siapa sampai di sana dahulu, yang kalah mesti belanja makan!"

"He-Hei! Tunggu, Lumine!"

Gadis itu tertawa riang sambil melompat turun dari tebing. Lincah dia berlari meredah lautan rumput panjang, meluru ke jambatan gergasi. Aether yang baru melompat turun, memecut sekuat hatinya mengejar gadis itu. Mereka ketawa dan saling mengejek apabila dapat melepasi antara satu sama lain.

Kemudian, tawa Aether terhenti.

Berderau darahnya apabila melihat asap hitam yang tebal, berada di hadapan gadis itu. Melitupu keseluruhan ruangan tanpa ampun. 

Lumine pula baru terhenti, meneguk apabila kota Mondstadt sudah tenggelam di dalam kegelapan. Gadis itu menoleh perlahan-lahan ke arah Aether, menyerlahkan wajahnya yang memucat.

Mata Aether terbeliak luas. "Hati-hati, Lumine!"

Tangan-tangan hitam muncul dari lautan kehampaan itu, lalu menangkap tangan dan kaki Lumine. Gadis itu terkejut, meronta-ronta mahu melepaskan diri, tetapi tidak berjaya. Tubuhnya ditarik ke dalam jurang itu, membuatkan air matanya mengalir deras. 

Aether meluru laju ke arah Lumine, berusaha menggapai tangan gadis itu. Lumine pula menatap Aether dengan cemas sambil menjerit, "Jangan datang!"

"Tidak!"

Suasana terus berubah gelap. Seolah-olah lampu pentas ditutup paksa. 

Tiada lagi hiruk-pikuk penduduk Mondstadt. Tiada lagi pedati yang keluar masuk dari bandar itu. Tiada lagi angin yang bertiup tenang, ataupun gelak tawa Lumine.

Hanya kegelapan.

Dia dapat mendengar hembusan nafasnya sendiri. Langsung tiada hidupan yang bersuara, kecuali titisan hujan yang baru berhenti. Dingin.

Apa yang berlaku tadi?

Ah, dia berada di Dawn Winery dan berusaha menyelamatkan Diluc.

Berjayakah?

Aether berusaha membuka matanya yang terlalu berat. Sesekali dia berkerut apabila denyut di kepalanya menyerang. Mahu bergerak pun terasa lenguh, seperti baru berkerja kuat tanpa henti. 

Pemandangan yang kabur menjadi hidangan tatapan. Aether berkelip-kelip, terasa aneh buat seketika.

Matanya terbeliak.

"Kau ...!"

Aether terjerit sambil bangkit dari pembaringan. Anak matanya bergetar kuat sewaktu menatap ke sekitar. Nafasnya laju dan rasa sakit menyerang tubuhnya semula.

Remaja itu menoleh ke sekitar dengan dahi yang berkerut. 

Aneh.

Dia seperti melihat seseorang berdiri di sebelahnya tadi. Tersenyum sinis dengan tatapan yang kejam. 

Dan, wajahnya sama seperti orang yang amat dikenalinya.

"Aether!"

Aether menoleh sebaik sahaja pintu dirempuh Paimon. Kacang kecil itu laju memeluk Aether dengan soalan yang bertubi-tubi.

"Kau sudah bangun? Kau baik-baik sahaja? Apa yang berlaku?"

Diluc yang tercungap-cungap penat, mengesat peluhnya dengan lega. Aether masih bingung apabila Paimon tiba-tiba menangis dan menyebut tidak jelas tentang akar pokok dan Hillichurl yang menari. 

Apabila Aether menatap Diluc, pemuda itu hanya memberi isyarat dengan mata -- Aku jelaskan nanti.

Sementara itu, seseorang memerhati kilang Dawn Winery dengan tajam. Jubah hitamnya berkibar-kibar ditiup angin dingin. Rona firusnya bersinar penuh makna, sebelum dia melangkah pergi. Tenang menuju ke dalam kegelapan malam.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro