Dunia yang Hancur
Dunia terasa gelap.
Anehnya, dia tidak dapat merasakan salji yang membeku, tiupan angin kencang ataupun titisan air yang tajam. Kulitnya terasa dicucuk jejarum halus yang kering dan kasar. Juga, panas.
Sesekali, bunyi haiwan yang mencicit perlahan menegurnya. Siulan halus angin dari Selatan, meniup lembut telinganya. Panggilan alam menyedarkannya.
Matanya yang berat, dipaksa dibuka. Terkelip-kelip matanya dicucuk silau seperti baru tersedar dari lena yang panjang. Mengantuk sekali. Dia menggosok matanya sekejap, sebelum terhenti.
Matanya membulat apabila tersedar sesuatu yang ganjil.
Langit di tempat ini semerah api yang membakar.
Budak itu tertoleh-toleh ke sekitar dengan panik. Wajahnya memucat. Kolam merah miliknya bergelinangan dengan air mata.
Bencana apakah ini?
Walaupun langit terbakar, langsung tiada matahari ataupun awan di dunia ini. Tanah juga sudah kering dan retak. Tiada pokok yang berjaya bertahan, kecuali beberapa pohon hitam yang aneh. Dengan batang yang berpusar, daun yang berona hitam pekat, dan terlalu besar. Mengerikan.
Jantung Klee berdegup lebih kencang. Matanya menangkap sesuatu yang lebih mengerikan.
Beberapa manusia yang berubah menjadi batu. Tidak jauh tempatnya. Mata mereka terbeliak, dan salah seorang di antara mereka terduduk. Seperti takutkan sesuatu.
Mungkin, cahaya itu yang dilihat mereka?
Klee berkata sendiri, "Mungkin, abang pengsan di mana-mana?"
Kanak-kanak itu mula berlari ke sekitar, mencari kelibat Albedo. Di sebalik pepohon hitam, di celah batu-batu gergasi yang berceracak, ataupun di antara akar banir gergasi. Sebutlah di mana pun, keputusannya tetap sama.
Abangnya tiada.
Titisan jernih mula menitis dari dagu Klee. Dia tercebik-cebik, lalu esakannya pun terlepas. Dia terduduk sambil melepaskan tangisan sepuas hatinya. Rasa bingung, takut dan kesunyian bercampur aduk di dalam dirinya.
Tiada sesiapa yang datang memujuk, kerana dunia ini sememangnya sunyi.
Tanpa dijangka, suatu sensai sejuk menyentuh kakinya. Esakan Klee terhenti. Rasa dingin yang terasa terasa amat dikenalinya -- seperti angin yang menyapanya.
Kanak-kanak itu mengesat air matanya, dan menunduk.
Ah.
Sekuntum bunga Dandelion kecil, tersenyum dengan cahayanya yang bersinar. Daunnya bergerak-gerak ditiup angin lembut, seperti membelai kakinya. Memujuknya bahawa dia tidak bersendirian.
Benar juga.
Bunga ini benar-benar memberitahu angin tentang keinginannya. Dan kini, Klee berada di dunia yang amat asing.
Adakah bunga ini mendengar rintihannya?
Klee mengepal tangannya dengan tekad. Dia terus bangkit, dan mengesat sisa air matanya lagi.
"Betul, saya tidak boleh terus menangis! Abang perlukan Klee!" ujarnya dengan semangat. "Mesti ada cara yang boleh saya buat! Baiklah, apa yang abang akan lakukan kalau di dalam situasi ini?"
Klee berpeluk tubuh dengan kening berkerut-kerut. Dia cuba mengingati kata-kata Albedo.
"Klee, kamu mahu tangkap ikan lagi? Tidak, bukan bom."
"Tumbesaran kamu terbantutkah? Atau, kamu memang pendek?"
"Apa? Kamu tanya apa yang abang bagi? Ini baja. Mungkin kamu boleh cuba."
Dia tersenyum dengan hati yang berbara. Dia mengepal tangannya seraya berkata, "Pertama, saya mesti buat bom! Jadi -- eh!"
Angin di belakangnya bertiup kuat sehingga menerbangkan topi merahnya. Dia segera berlari dan mengejar topinya. Klee melompat ke atas batu, dan menangkap topinya dengan cekap. Helaannya terlepas. Mujurlah topinya tidak terbang jauh.
Klee tersedar sesuatu, terus berpusing.
Ikatan rambutnya bergerak-gerak dibelai angin. Mulutnya terlopong.
Tebing.
Klee memanjat puncak tebing dengan berhati-hati. Dia memijak akar banir yang berselirat, dan berdiri di puncak tebing. Angin seperti mahu membuktikan sesuatu kepadanya.
Jauh di hadapannya, berdirinya sebuah kota yang dipisahkan dengan muara air yang semakin kontang. Separuh benteng kota itu telah roboh. Tiada pertempatan kecuali reruntuhan peninggalan istana. Pepohon hitam gergasi itu seakan-akan menjadi sebahagian ibu kota, membesar tidak terkawal di mana-mana.
Takdir apakah yang menantinya di sana?
. . .
Langkah kecilnya dituju merentasi jambatan batu yang separuh hancur. Dia terpaksa berhati-hati melangkah, kelak terjatuh ke dalam saliran. Dia melepasi pohon gergasi yang menghalang laluannya, lalu memasuki gerbang kota.
Klee menguis mulutnya, tertanya-tanya apa yang patut dilakukan. Kaki kecilnya diatur melalui lantai berbatu yang merekah. Berdasarkan peninggalan kedai dan restoran, berkemungkinan besar tempat ini merupakan pasar yang meriah.
Dia sendiri tiada idea, jika tempat ini masih berpenghuni.
"Hei!"
Klee tersentak apabila suara seorang lelaki, menegur di belakangnya. Apabila dia berpaling, sebilah pedang sudah teracu ke wajahnya.
"Apa yang kau buat di sini?" Orang asing itu menyoal dingin, "Dari mana kau datang? Siapa hantar kau?"
Soalan bertalu-talu daripada remaja itu membuatkan Klee terkedu. Klee terus terundur sambil menggeleng takut. Berderau darahnya apabila pedang itu semakin dekat ke wajahnya. Bersungguh Klee memberitahu yang dia tidak berniat jahat.
Remaja itu kekal menatap Klee dingin, menurunkan pedangnya. "Apa yang seorang budak kecil buat di tempat yang hancur ini?"
"Saya ... saya tak tahu."
Kening remaja itu berkerut.
"Betul!" ujar Klee. "Saya mesti tolong abang saya!"
Tangan dan kaki Klee berkeringat melihat renungan dingin lelaki itu. Selepas beberapa lama, barulah pedang lelaki itu disimpan ke dalam sarungnya. Klee menghela nafas lega.
Lelaki itu, menakutkan. Rambut lelaki itu sudah menyentuh belakangnya, dijalin tocang agar lebih kemas. Jaket pelindung gelap di dadanya, penuh dengan calar-balar seperti sudah lama bertempur.
Selendang dan mantel putihnya lembut, begitu indah berakserorikan emas. Sayangnya, rona putih itu sudah ternoda dengan lumpur dan tanah. Seluar hakamanya gelap, dan kakinya disarung but hitam yang lusuh.
Sama ada petarung atau pengembara, Klee tidak pasti.
Klee tersentak apabila lelaki itu menyoal datar, "Di mana tempat asal kamu?"
Klee terdiam sejenak. Dia tidak pasti bagaimana mahu mula, dan terus menjawab, "S-Saya tak tahu."
Aether mengerutkan dahinya.
"S-Saya tak menipu!" Klee bersungguh memberitahu. "Tempat kami memang jauh daripada kehidupan. Hanya salji dan gunung."
Klee bersungguh bercerita mengenai bintang tidak bernama yang sejuk. Mengenai cahaya misteri, abangnya yang berubah menjadi batu, sehinggalah angin misteri yang berkata-kata.
Senyap.
Lelaki itu menatap terus ke arah Klee, tetapi anak matanya tidak bergerak. Seperti tenggelam jauh ke fikiran sendiri. Selepas beberapa lama, barulah dia berpaling dan berkata, "Ikut saya."
"Pergi ... pergi mana?"
Klee terjerit apabila guruh berdentum di langit. Dia segera duduk menunduk sambil menekup telinganya. Kuat.
Langit bintang berubah sehitam lumpur gelap. Awan tebal muncul entah dari mana, berkepul-kepul seperti hembusan nafas naga. Pohon hitam digoncang ribut taufan. Petir merah berdarah menyambar dunia dengan kepanasannya.
Langit ini, sama seperti di tempat Klee dahulu.
Pengembara itu tersedar Klee tidak mengekorinya, segera berpaling. Keningnya berkerut menatap kanak-kanak yang menggigil takut. Tanpa perasaan, dia menyoal, "Apa pula kamu buat?"
"A-Ada raksasa ...," suara Klee bergetar kuat, "Raksasa itulah ... yang serang selepas cahaya pelik itu ... muncul."
Klee terjerit sekali lagi apabila petir menyambar bumi. Matanya berkaca-kaca dengan ngeri. Esakannya terlepas apabila dunia bergegar dengan lolongan ribut . Beberapa batang pohon yang disambar, terbakar disambar petir.
"Sini."
Suara pengembara itu memanggil lembut, membuatkan esakan Klee terhenti. Lelaki itu menghalakan tangan kepadanya. Apabila Klee mendongak, tatapan remaja itu masih gelap dan dingin, tetapi terdapat kehangatan di dalam kolam emasnya. Tatapan yang mengingatkan Klee dengan berlian biru itu.
Rasa kepercayaan mereka mula terikat. Klee perlahan-lahan menyambut tangan lelaki itu, lalu memeluk kaki remaja itu seperti menyorok. Pengembara itu tergamam, tetapi akhirnya meneruskan langkahnya jua.
Mereka bergegas memanjat tangga plaza kota, dan melintasi runtuhan batu. Klee memegang topinya dengan erat agar tidak terjatuh. Anak mata merah terangnya menatap ke sekitar.
Hancur. Lampu-lampu jalan berkarat teruk. Air pancur pula tercabut dari tempat asalnya. Manusia-manusia yang disumpah menjadi batu menunjukkan reaksi yang sama -- terkejut. Sekawan burung juga sudah mengeras di lantai. Retak.
Klee berharap, badai yang menimpa Albedo tidak meretakkan lelaki itu.
Dan, pengembara itu.
Dia muncul di tempat yang mustahil -- sangat mustahil -- untuk manusia yang terus hidup di sini. Pertemuan awal mereka juga dimulakan dengan senjata. Berjalan sendirian. Dingin. Sememangnya, dia lelaki yang aneh.
Lamunan Klee berkecai apabila dia terlanggar belakang lelaki itu. Lelaki itu membuat bunyi tsk, sebelum meneruskan langkahnya. Klee meneguk.
Mereka berlindung di bawah atap pejalan kaki yang masih kukuh -- separuh daripada bumbung pejalan kaki sudah hancur. Bangunan Katedral Mondstadt di hadapannya sudah tidak terlihat seperti gereja. Hanya bongkah-bongkah batu yang hitam.
Klee tergesa-gesa membuntuti lelaki itu. Besar benar langkahnya.
Pemuda itu menyoal dengan nada bosannya, "siapa nama kamu, budak?"
Kanak-kanak itu menepuk dadanya. "Klee!"
"Aether."
Klee mendengus jengkel. Dia lebih bersyukur hidup 100 tahun di bintang yang sunyi berbanding berbual dengan lelaki pelik ini.
Aether menyoal tiba-tiba, "Sudah berapa lama abang kamu disumpah, Klee?"
Klee menyentuh mulutnya seperti berfikir, lalu menjawab ragu-ragu, "Mungkin ... baru satu jam yang lepas?"
"Kamu mahu tahu sesuatu?"
"Tahu apa?"
Langkah lelaki itu terhenti. Manik emasnya terhala ke ke langit, sebelum dia berbisik perlahan, "Sebenarnya, sudah 400 tahun sumpahan ini bermula."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro