Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Cahaya, Sinarilah Kegelapan Teyvat

Langkah mereka akhirnya terhenti.

Klee menatap sesuatu di hadapannya tak berkelip. Kepalanya ditelengkan. 

Hanya sebatang pohon oak yang sudah mati, di atas bukit kecil. Batangnya terlalu gelap, seakan-akan sihir jahat mengalir di dalam salur uratnya. Beberapa kuntum bunga Windwheel Aster menemani pohon kuno dengan merahnya yang suram. Muara kecil yang berlumpur mengelilingi pepohon itu, bersambung dengan sungai sehinggalah ke laut.

"Erm ... abang memang yakinkah di sini tempatnya?" Klee menyoal waswas. 

"Tersedarlah angin dari lenanya," sebut Aether sambil menepuk dadanya, "Di sinilah Windrise, tempat yang dahulunya dikelilingi angin yang lembut."

Aether melangkah tenang, mendekati lembah kecil itu. Suaranya mengalunkan semula bait-bait kata, "Tenanglah berjalan di lembah yang layu."

"Si juita menanti," sambungnya seraya memetik sekuntum Windwheel Aster, "Bersama merahnya dengan rindu."

Aether menghalakan tangannya ke langit, membiarkan kelopak tumbuhan itu berubah hitam. Bunga itu bertukar menjadi debuan halus, lalu terbang ditiup angin. Tatapan emas Aether yang suram, terhala kepada debu-debu bunga yang menuju ke sungai.

"Mengenang muzik yang mengalir syahdu," Aether tidak berpaling sewaktu berkata, "Aliran muara yang dahulunya indah seperti alunan muzikal."

Klee menguis mulutnya, dan menyambung ayat terakhir, "Aku 'kan menunggumu."

Tetapi, siapa yang menunggu mereka?

Aether memanggil Klee yang tiba-tiba berlari melepasi sumur kecil itu. Kanak-kanak itu memanjat akar-akar banir, sementara Aether berusaha membuntutinya. Apabila Aether menyoal mengapa, Klee menjawab yang dia mahu mencari sebarang klu.

Klee melangkah mengelilingi pohon itu dengan kening berkerut-kerut. Tajam dia meneliti setiap sudut pohon itu. Aether pula menghela berat, hanya mengikuti rentak Klee. Memenatkan.

Perlahan-lahan, hujung jari Klee menyentuh batang pokok yang berselirat itu. 

Buat seketika, tubuh kecilnya terpegun.

Suatu cahaya zamrud bersinar di hujung jarinya laksana bintang yang berkelip. Aether terkaku, sementara Klee membulatkan matanya.

Pokok itu bercahaya terang, membebaskan bayangan gelap yang membelenggunya. Satu-persatu daun pohon itu muncul, seakan-akan diberi nyawa baharu. Bunga-bungaan Windwheel Aster yang layu mula berdiri segar. Rama-rama sebiru permata firus, muncul dari secercah cahaya lalu mengepak bebas.

Aether berbisik perlahan, "Apa yang ...."

Siulan angin yang lembut menyapa mereka dengan ramah. Melodi petikan lira beralun di udara laksana penyair yang bercerita. Alunan suara misteri tadi sekali lagi, menyapa telinga Klee -- ajaibnya, Aether juga mendengarnya.

"Suatu masa dahulu, terlahirlah bayi daripada tiupan angin Selatan.

Dia hanyalah hembusan angin yang lemah, tetapi kegembiraan Teyvat telah memberinya kehidupan bahagia.

Melodi lira Der Fruhling setia menemani kisahnya yang beralun di seluruh benua Mondstadt.

Oh malangnya si kecil! 

Kesedihan telah menenggelamkan Teyvat laksana awan hitam yang menyelubungi dunia.

Si kecil itu menjadi tak berdaya, lalu terlena di alam tidur yang panjang."

Aether tertoleh-toleh ke sekitar, mencari asal-usul suara itu. Klee yang teruja, menunjuk ke atas dan memekik, "Ada orang di sana!"

Di atas dahan yang hampir terlindung oleh rimbunan daun, seorang remaja lelaki bersandar sambil memetik lira kayunya. Berlian biru kehijau-hijauannya, terhala ke arah dua tetamunya. Buah anggur tidak perlu dipetik, kerana senyumannya semanis ladang anggur Dawn Winery. 

Remaja asing itu menyoal, "Rindu aku?"

Mata Aether mula bergenang dengan air matanya. Suaranya tersekat-sekat sewaktu menyoal, "Itu ... kaukah?"  

Klee terundur apabila remaja misteri itu melompat turun daripada pokok oak. Pusaran angin muncul di tubuhnya, membuatkan tubuhnya mendarat dengan lembut. Lira kayu yang dipegangnya tadi hancur menjadi debu keemasan, lalu menghilang di udara.

"Siapa si kecil ini, agaknya?" soal lelaki itu sambil ketawa. "Dan, sahabatku Aether! Kenapa muka kau pucat? Eh!"

Aether menggenggam bahu Venti sewaktu menyoal, "Selama ini, kau di mana?"

Lelaki itu hanya terkekeh sambil bercekak pinggangnya. "Aku terangkan nanti. Pertama, siapa si kecil bertelinga runcing di sebelah kau?"

Klee menelengkan kepalanya. Dia meneliti penyair aneh yang selalu tersenyum mesra itu.

Penyair itu berkulit cerah dan berbadan langsing, dengan tatapan permata biru kehijau-hijauan yang riang. Rambut biru gelapnya diikat tocang di kedua-dua sisi telinga, dengan beret sehijau belantara di atas kepalanya. Bunga Cecilia putih tersisip di beretnya dengan anggun.

Pakaiannya memang aneh, dengan kemeja putih dan ves perang gelap. Seluar hijau pendeknya kembung, dengan stoking putih yang panjang. Mantel hijaunya pula, bergerak-gerak ditiup angin yang entah datang dari mana. 

Klee menggaru-garu kepalanya. "Abang Aether kenal penyair pelik ini?"

"Hei! Penyair pelik kamu kata?" Penyair itu bercekak pinggang. "Inikah cara baru menyambut seseorang yang baru kembali?"

Klee tidak pasti mahu terkejut dengan kemunculan orang asing tiba-tiba itu, ataupun Aether yang ketawa kecil. 

"Penyair pelik ini, Venti namanya," terang Aether kepada Klee. "Sebelum Teyvat malap, dialah yang suka bercerita di sebuah kedai di kota. Tempat ini juga, ialah tempat dia bermalas-malasan. Jangan pelik kalau dia tak tahu malu meminta duit."

"Kau tak perlu cerita bahagian itu!"

Sewaktu Aether tergelak, Venti berpura-pura menghela malas. Kemudian, dia tersenyum lalu mengeluarkan liranya seperti magis.

"Kanak-kanak sememangnya sukakan hikayat, betul, Aether?" Venti melirik Aether sambil memetik alat muziknya. "Aku yakin, kau juga mahukan sedikit hiburan."

Aether mengangguk sekali, manakala Klee terkinja-kinja teruja sambil menyahut, "Ceritalah! Ceritalah!"

Si penyair itu membebaskan anginnya, membuatkan mantelnya berkibar perlahan.

"Inilah hikayat, yang bermula sejak beratus-ratus tahun yang lalu," suara Venti mula beralun.

"Mengenai sebuah bintang yang dahulunya ... sentiasa bersinar indah."



Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro