9 : Mudah Meminta Maaf
Mata Akma meliar ke arah lain sepanjang Amir memperkenalkan diri.
Perbuatan itu cukup untuk membuatkan lelaki berkenaan beristighfar panjang. Usai mengkhabarkan nama, asal dan bidang yang diambil di kolej itu, Amir beralih kepada ahli kumpulan lain pula.
"Nama aku Shahrul Ridzwan, berasal dari Selangor. Sekarang ni tahun kedua bidang statistik." Shahrul tersenyum sumbing melihat Akma bermain telefon pula di bawah meja. Akma ini memang sedang membenci Amir, tanda protes rasa tidak sukanya.
"Aku Akma, sama bidang dengan Shahrul." Akma membalas senyuman sekadar sahaja.
Suasana petang di tepi tasik hostel puteri mendamaikan hati. Mereka berempat duduk di pondok yang disediakan bagi memulakan sesi taa'ruf dengan ahli kumpulan. Ahli keempat adalah seorang perempuan, gayanya pendiam sahaja. Namanya Lina. Kumpulan ini terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan.
"Kalau lebih daripada dua orang, kena pilih ketua. Jadi kita lantik ketua dulu lah ya?" Amir kembali mengendalikan bicara.
"Kau je lah jadi," celah Akma.
"Aku tak kisah," balas Amir.
"Jadi je lah, Amir." Shahrul mengangguk setuju. Begitu juga dengan Lina. Mudah saja nak lantik ketua.
"Okay, lepas tu kena tetapkan peraturan."
"Aku nak setiap perjumpaan tak lebih 30 minit dan perjumpaan mestilah dekat tasik ni sebab aku takde transport kalau nak buat dekat hostel lelaki." Akma awal-awal lagi membuka cadangan. Tak kiralah berat sebelah atau tidak, dia perlu memudahkan dirinya.
Amir mengeluarkan sehelai kertas. Dia yang ketua, dia jugalah setiausaha. Matanya mengerling gadis itu.
" Lepas tu siapa datang lambat kena belanja lunch," fikir Akma. "Okay ni lagi penting. Kau catat tau." Mata hitamnya membulat memandang Amir.
"APA format dah ada 7th edition. Referencing style dia tak sama dengan yang 6th edition. Kalau tak rajin nak buat manual, boleh install Mendeley yang latest edition." Pesanan khidmat masyarakat buat semua daripada Akma. Tak mahu buat kerja dua tiga kali nanti jika tidak sefahaman dalam membuat rujukan maklumat.
Amir baru sedar yang dia hampir terlepas maklumat itu. Dialah manusia yang masih menggunakan edisi keenam. Mata menekur kertas dan menyalin apa-apa yang terpacul keluar daripada mulut gadis itu. Beberapa cadangan akan diketepikan dan yang diterima akan disenarai akhir. Tanpa peraturan, sukar untuk mengawal ahli-ahli, lagi-lagi sejenis ikut kepala sendiri seperti Akma ini.
"Ada apa-apa lagi, ketua? Kalau takde, aku nak balik," soal Akma.
"Takde dah. Bolehlah nak tutup majlis dengan selawat dan tahlil tiga kali," balas Amir sambil memandang Shahrul dan Lina.
Selawat ke atas Rasulullah SAW dibaca.
"Akma, tunggu. Aku ada benda nak cakap." Lelaki berkopiah itu bingkas berdiri ingin menahan Akma.
Akma menggulingkan biji mata ke atas. Dia mengeraskan badan tak mahu menoleh. Shahrul dan Lina telah melangkah pergi meninggalkan mereka berdua di pondok itu.
"Aku minta maaf." Amir menghela nafas. Egonya diturunkan demi gadis itu.
"Minta maaf lepas tu ulang lagi. Kalau bukan dengan aku pun, kau buat macam tu dekat orang lain, kan?" Akma tersenyum sinis. Tangan disilangkan ke dada. Inilah manusia yang berasa diri lebih baik, sedap menasihati orang dengan perlian.
"Aku sedar cara aku salah," sambung Amir.
"Aku tak nak maafkan kau."
"Kenapa?" Amir mengangkat wajah.
"Biar kau rasa bersalah seumur hidup kau."
"Aku betul-betul minta maaf ni," rayu Amir. Dia sudah penat bergelumang dengan rasa bersalah pada gadis itu.
"Tak nak." Akma melangkah pergi begitu sahaja. Langkahnya dibuka seluas mungkin tika menaiki tangga ke susur gajah.
Raut wajah Amir tidak dipandang langsung. Dia kekal berjalan mahu ke hostel secepatnya. Rasa bersalah untuk tak memaafkan lelaki acah maksum itu langsung tidak meresap ke hati.
Wajah Amir tika memerlinya lebih diingati. Angka lima ditekan lalu lift membawa tubuhnya ke aras yang diingini.
"Assalamualaikum." Pintu dikatup perlahan apabila dia melihat Nafisah sedang tidur di atas katil. Gadis bertudung litup itu terpejam matanya dengan wajah yang kelihatan lesu.
Hood pada kepala diturunkan Akma.
Lengan baju disinsing hingga siku. Dia baru sahaja hendak ke meja belajar, bunyi muntahan menyapa ke gegendang telinga. Terus dia mendapatkan Nafisah yang telah bangkit dari tidur. Muntahnya tidak banyak namun telah tertumpah di atas lantai.
Nafisah melinangkan air mata. Dia penat asyik muntah sepanjang hari, perut pun sudah masuk angin dan kembung.
"Kau okay tak ni?" Akma kaget. Dia memegang bahu rakannya.
Gelengan Nafisah menjawab.
"Kita pergi klinik, nak? Kau keracunan makanan kot ni... Janganlah menangis. Sikit je," ujar Akma. Tangisan Nafisah diseka dengan ibu jarinya.
"Tak nak," bisik Nafisah. Dia mahu berdiri untuk mengelap muntah itu. Tubuhnya dipaksa duduk oleh Akma.
"Biar aku bersihkan. Kau rehat."
Nafisah dibaringkan kembali ke atas katil. Akma kasihan melihat rakannya yang asyik muntah siang dan malam. Pagi ini pun Nafisah tidak ke kelas kerana pening kepala.
Muntah itu dilap dengan tisu, kemudian barulah Akma merenjis lantai dengan air. Segalanya dibuat oleh gadis itu sambil diperhatikan Nafisah yang terbaring di atas katil. Kerdipan matanya lemah memandang. Tubuh itu masih tidak biasa dengan norma baharu. Dia tidak pernah mengandungkan anak sebelum ini.
"Akma, saya minta maaf..." bisik Nafisah.
"Kau ni macam orang mengandunglah asyik muntah," seloroh Akma bagi menceriakan suasana.
Nafisah terdiam. Matanya dipejamkan. Tangan di sebalik selimut mengusap bahagian perut dengan lembut. Memang dia sedang mengandungkan anak seseorang dan Akma tidak tahu itu.
***
19 April
Nafisah asyik muntah. Aku tak tahu kenapa tapi aku rasa aku dah mula sayangkan dia. Nafisah layan aku macam adik sendiri. Aku rasa selamat bila dengan dia. Kalau aku salah pun dia tegur elok-elok. Persepsi aku pada perempuan bertudung labuh mula berubah apabila aku sebilik dengan Sayyidah Nafisah. Harapnya semester depan pun aku dijodohkan dengan teman sebilik yang baik macam ni. Terima kasih ya Allah.
Tak dilupakan Amir ada minta maaf. Pak Ustaz tu memang...
Penulisan Akma terhenti apabila ada satu mata yang sedang memerhatikannya dari jauh. Dia yang di dinding surau tertunduk cuba menyorokkan wajah.
Apabila mata lelaki itu tidak memandang, barulah dia berbuat seperti biasa. Jika diperhatikan wajah lelaki berkenaan baik-baik, itu kan kawan Amir tempoh hari?
Akma mula terintai-intai keberadaan Amir dalam lingkungan di tengah-tengah surau itu. Tiada pula batang hidung lelaki berkenaan. Kelompok naqib dan naqibah sedang bermesyuarat diketuai seorang lelaki.
Bahu diangkat malas ambil peduli. Akma kembali menulis diarinya. Nama Amir dipadam dari lembaran kertas berkenaan.
Shahrul macam tengah diet, sebab bila aku ajak pergi McDonald dia tolak. Ini pertama kali dalam sejarah. Dalam pingggan dia penuh dengan sayur dan lauk, nasi pula segenggam sahaja. Hairan betul. Kalau dia berjaya kurus, aku rasa muka dia akan jadi hensem gila. Cuma... Itulah. Dia chubby dan ada jerawat, aku je kot nampak dia hensem kalau kurus nanti.
Akma tertawa halus di hujung surau. Orang lain tengah sibuk mesyuarat, dia sedang memerah otak menulis diari. Sekeping gambar Shahrul yang sedang menjamu selera tengah hari tadi dikepilkan pada coretan diari itu. Biar nanti bisa jadi pengubat bosan.
Wajah diangkat. Akma bingkas berdiri dan membawa Ipadnya bersama-sama. Mesyuarat pada malam itu telah dibubarkan meninggalkan Nafisah yang masih duduk bersimpuh.
Akma menurunkan badan. "Kau okay tak?" Risaunya.
Sudah dilarang jangan pergi mesyuarat, Nafisah berdegil juga. Katanya takut ketua naqib marah. Berani betul ketua Naqib nak marah perempuan selembut ini?
Kekura tangan Nafisah disentuh lembut. "Perut kau masuk angin ya? Kita cari makanan, nak?" Akma tersenyum.
Nafisah mengangguk kecil. Dia dibantu berdiri oleh Akma. Tangannya dirangkul oleh gadis itu sepanjang melangkah ke tempat letak kasut. Akma bimbangkan Nafisah yang asyik muntah siang tadi. Kasut Nafisah dicari lalu diletakkan dengan kaki Nafisah.
"Akma..." Pipi Nafisah memerah kerana layanan Akma. Kaki berstokingnya disarungkan kasut.
"Kita balik rehat, jangan risau," pujuk Akma. Akma datang ke surau hanya untuk menemani Nafisah. Dia takut juga tinggalkan rakannya seorang diri. Dibuatnya ada lelaki nak apa-apa kan Nafisah tengah malam sebegini, bahaya betul.
"Nafisah." Satu suara garau menyapa.
Akma dan Nafisah berhenti melangkah. Seorang lelaki sedang mendekati dua orang gadis kecil itu di bawah biasan lampu beranda surau.
"Biar saya hantarkan balik," pelawa Badrul.
"Tak apa, kitorang naik Grab je. Lelaki tak elok keluar malam-malam dengan perempuan," tolak Akma awal-awal.
Mata Nafisah membulat, Akma selamba bercakap begitu dengan ketuanya.
"Tapi naik kereta saya free je. Lagipun dah nak lewat malam ni, biarlah saya hantarkan. Pemandu Grab ada juga yang berniat jahat dalam diam. Nak-nak lagi perempuan yang naik," balas Badrul. Dia seakan kenal dengan suara itu. Keningnya berkerut seketika memandang Akma yang bertudung sarung.
" Akma," bibirnya terlafaz dengan sendiri.
" Kita kenal ke?" Akma memencilkan mata.
" Kau tak kenal aku ke? Aku kawan kau." Nada suaranya makin kendur.
"Kawan aku ramai. Kau dari kelas mana?" Lengan Nafisah dirangkul elok. Nafisah diam sahaja semenjak tadi. Badrul pula telah mengabaikan anak buahnya dan beralih pada Akma.
Badrul terdiam. Dalam samar-samar begini, hanya dia yang mengenali Akma.
"Atau kita ada jumpa dekat mana-mana? Dalam majlis apa? Aku susah sikit nak ingat orang ni. Nak-nak lagi yang baru berjumpa sekali dua," tambah Akma.
"Aku..."
Nafisah hampir terlorot jatuh akibat lama-lama berdiri di situ. Lutut lemahnya menampung diri dengan tenaga yang terbatas.
Tubuh Nafisah dibantu Akma bagi kekal berdiri. "Mana kereta kau? Cepatlah." Akma bimbang.
Badrul berlari anak ke kereta yang diparkir berdekatan sahaja. Lampu belakang yang berkelip memanggil Akma bagi membawa Nafisah masuk ke dalam kereta.
Dua orang gadis itu duduk di tempat duduk belakang. Enjin kereta dihidupkan Badrul, lalu tingkap diturunkan. Udara dari luar memasuki kereta memberi Nafisah hirupan yang baik.
"Nafisah tak makan ke sampai jadi macam ni?" soal Badrul.
"Ya," keluh Akma. Kepala Nafisah dibiarkan bersandar pada bahunya. Kasihan Nafisah.
"Kau kawan sebilik dia?" tebak lelaki itu.
"Ya."
"Nanti beri dia makan roti dan ubat sebelum tidur. Jangan biar Nafisah tidur dengan perut kosong," pesan Badrul tika tayar kereta sudah berjalan.
Akma menjatuhkan kepala beberapa kali. Pipi Nafisah diusapnya dengan sebelah tangan yang melingkar bahu gadis itu.
***
votexkomen
***
Dah nak bab 10! Wau
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro