Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

35: Akma yang Asal


"Cik Atikah, tunang awak tu yang terhegeh-hegehkan saya sampai dia putar belit otak sempit saya ni dengan ayat-ayat munafik dia. Faham tak? Jantan tu tak guna. Dia cuba jerut saya dengan budi dia selama ni! Argh!"

Sebiji batu berdekatan kakinya diambil lalu dilempar sekuat hati ke dalam tasik di hadapan mata. Tak cukup dengan itu, matanya meliar mencari batu lain pula.

Rasa geramnya makin menjadi-jadi apabila dilihat kembali peti perbualan antara dia dan Amir. "Tak guna punya jantan. Aku ni dah lah bodoh, dia bodohkan lagi. Sekarang ni kau senang-senang nak kata aku goda kau? Kau ni memang, kalau aku tumbuk kau sampai koma..."

Terkelip-kelip orang awam yang melintasi trek joging di hadapan Akma. Mereka tidak berani untuk menegur perbuatan Akma yang sedang menggila. Suasana taman tasik bandar pada pukul 10 pagi kebiasaannya akan dikunjungi oleh masyarakat setempat sebagai lokasi beriadah.

"Mana perempuan ni... Terhegeh-hegeh pula nak datang. Sekali dengan kau aku buang dalam tasik ni nanti," bengang Akma. Tangan disilangkan ke dada. Biji mata digulingkan ke atas apabila ada mata-mata yang memandang.

10 pagi. Tepat.

Akma sudah panas punggung duduk di bangku itu. Mujur saja ada pokok rendang berdekatan. Dapatlah bertedup daripada sinaran matahari.

"Assalamualaikum, awak ni akma ke?"

Sampai pun perempuan itu. Akma tersenyum penuh kepalsuan. Mana muka yang nak kata dia ni penggoda tunang orang?

"Waalaikumsalam, ya-" Bibir Akma terketap.

Seorang gadis bertudung labuh berwarna hijau pastel menyapa pandangan. Senyumannya sungguh manis apabila Akma terkebil-kebil memberikan tempat duduk.

"Atikah ke ni?" soal Akma sopan.

"Ya, saya." Atikah menurunkan tas tangannya ke atas riba.

Habis hilang maki hamun tadi tatkala terlihat tunang Amir. Atikah tidaklah sebengis yang disangka. Raut wajahnya pun indah untuk dipandang. Nak dibandingkan dengan keselebetan Akma, Akma tersenyum senget.

"Akma dah lama ke berhubung dengan Amir?" Atikah mulakan pertemuan hari itu dengan soalan cepumas.

Belakang leher diusap. Tasik yang tenang di hadapan mereka ditekur Akma. "Macam mana ya nak cakap? Entahlah. Tapi baik awak tinggalkan Amir. Bulan ni juga saya berhubung dengan lelaki itu. Bulan ni juga dah macam-macam yang jadi."

"Akma nak dekat Amir ke?"

"Eh, tak nak aku. Lelaki buaya macam tu baik campak dalam tasik ni je. Mana tahu dalam tasik ni ada buaya juga, elok sangatlah dapat kawan sejenis," gumam Akma.

Dalam tidak sedar, jawapan Akma membuatkan Atikah menitiskan air mata. "Akma janganlah ambil Amir dari saya. Saya minta tolong sangat..."

Berkerut kening Akma. Dia memegang bahu gadis bertudung labuh itu. Memang taste Amir ini semua tudung-tudung labuh nampaknya. "Awak, saya tak nak pun dekat dia."

"Tapi saya nampak gambar awak dalam telefon dia." Air mata jatuh menitis ke tudung.

"Ya, memang. Kalau boleh saya nak padam, tapi Amir degil. Dia tak nak padam walau apa pun yang saya katakan dekat dia. Sumpah saya tak tahu dia ada tunang sebelum ni." Akma mengangkat satu tangannya dan membuat gaya orang berikrar. Hatinya jadi serba salah melihat tangisan Atikah.

"Tinggalkanlah Amir tu. Tak guna kalau ambil lelaki playboy jadi suami," pujuk Akma. Bahu gadis di hadapannya diusap lembut. Kasihannya dengan perempuan yang sering dipermainkan lelaki.

"Tak boleh..." Teresak-esak Atikah memandang Akma. Nafas dalam ditarik bagi mencari kekuatan yang tersisa.

"Kenapa? Sebab dia banyak budi dekat awak?" Akma menggeleng. Budi tak budi, kalau dah niat nak ambil kesempatan baik ditinggalkan sahaja. Biarlah orang kata tak kenang budi sekalipun.

"Saya tak boleh nak tinggalkan dia. Sebab kalau saya tinggalkan dia... Siapa nak bertanggungjawab dengan anak dalam rahim saya ni?"

"A-anak?" Rahang Akma hampir jatuh. Lidahnya banyak terkelu kebelakangan ini. Asyik-asyik menerima kejutan tak diundang.

"Ya," angguk Atikah lemah. Dia menekur riba. Perutnya diusap penuh kekosongan.

"Jangan main-main." Akma tersenyum tidak percaya.

"Waktu tu Amir ajak pergi tengok rumah sewa yang dia cadangkan untuk kami beli. Saya ikut je lah sebab waktu tu takde siapa nak temankan. Lagipun, siang hari lagi. Masa dalam rumah tu lah sesuatu berlaku. Saya terpeluk Amir. Akma mesti tahu kan nafsu dia macam mana? Peluk sikit pun dia boleh tergoda. Dia tarik saya untuk puaskan dia. Dia kata tak apa sebab dah bertunang. Saya ikut je cakap dia. Dia kata tak apa kalau takde siapa tahu. Nanti dah kahwin pun sama juga... "

"Astaghfirullah..." Akma menekup mulut tidak percaya. Tangisan Atikah makin lebat di hadapannya.

"Saya takut Amir akan tinggalkan saya bila dia jumpa awak. Dia langsung tak kisah lepas dapat apa yang dia nak. Dia buat macam takde apa-apa yang berlaku dan biarkan saya tanggung benih yang dia dah tanam dalam rahim saya. Akma tak faham..." lirih Atikah.

Tipulah kalau tak faham. Akma sendiri pernah diperkosa tanpa hati perut. Betapa traumanya tika itu. Semua lelaki dianggap sampah hinggalah Badrul mengubah persepsinya.

"Tak apa, nanti awak cakap dengan dia elok-elok. Jangan jadi lemah macam ni," pujuk Akma. Tangannya melingkar pada belakang tubuh tunang Amir. Kadang-kadang Akma sendiri hairan, kenapa lelaki sanggup buat begitu? Dengan perempuan bertudung labuh pun mereka jadikan mangsa keadaan.

"Tapi... Apa saya nak cakap dengan mak ayah saya? Dengan abang-abang saya?" Atikah memejamkan mata.

"Bincang elok-elok dengan keluarga untuk percepatkan tarikh perkahwinan. Atikah jangan ulang dah, ya? Menghampiri zina pun dilarang, apatah lagi berzina. Selagi tak bergelar suami isteri... Jangan biar lelaki sentuh kita sikit pun." Hujung suaranya makin perlahan. Rasa tidak layak untuk diri ini bercakap soal agama. Tetapi jika bukan dia, siapa lagi?

"Akma janganlah ambil Amir dari saya," rayu Atikah. Kepalanya bersandar pada bahu Akma.  "Saya tak tahu nak buat apa kalau dia pergi."

"Eh, mana ada nak ambil." Akma cepat-cepat menafikan. "Saya dah tak nak dekat lelaki macam Amir. Nak-nak lagi lepas tahu apa yang dia buat dekat awak."

"Ini pun saya yang tahu sendiri sebab terdetik nak buka Whatsapp Web Amir. Saya dah risau fikir macam-macam yang Amir nak tinggalkan saya."

Pipi Akma berona merah. Dalam itulah segala gambarnya terkumpul. "Saya minta maaf ya? Sebab kacau hubungan awak dan Amir. Maaf sangat-sangat. Anggap je saya ni tak wujud." Akma mengeluh berat. Kusutnya fikiran.

"Terima kasih, Akma."

Senyuman kecil dihadiahkan buat Akma. Gadis bertudung labuh itu berpelukan dengan Akma sebelum beransur pergi. Wajahnya tampak lebih gembira berbanding tadi.

Belakang tubuh Atikah yang melangkah ke seberang jalan diperhatikan Akma. Mujurlah bukan dia yang diserang. Kalau nak serang, Akma boleh sahaja kemukakan evidens kukuh untuk mempertahankan diri sendiri.

***

"Shahrul, aku minta maaf."

Tertunduk Akma menekur hujung kasut sendiri.

"Sedar pun diri tu salah," balas Shahrul selamba. Kedatangan Shahrul ke hospital disambut Akma baik. Lelaki itu tidak dapat bergerak ke mana-mana kerana Akma menghalang dengan depaan tangan.

"Ya, aku salah. Aku minta maaf sebab buat kau rasa tersisih. Tapi kau pun salah juga."

"Asal? Apa kaitan dengan aku?"

"Sebab kau tak tarik aku awal-awal. Kau yang sibuk kerja dan abaikan aku. Aku pun pergilah dekat Amir," omel Akma. Anak matanya meliar ke sekeliling kerana tak mahu bertentang.

"Yang salah tu kau. Kau tak boleh melekat dengan lelaki yang baru kenal sebulan dua. Nak-nak lagi kalau kau tak kenal siapa lelaki tu yang sebenar," balas Shahrul.

"Ya-ya. Aku yang salah," akur Akma.

"Dan kau tak boleh nak harapkan orang lain untuk jaga kau. Kau dah besar, Akma. Kau kena berdikari. Memanglah aku dan Badrul ada, tapi kami ni bukan 24 jam dengan kau." Shahrul mula melangkah di koridor itu.

"Shahrul, kau marah aku ke?" Gadis itu segera menyaingi sahabatnya.

"Hm, tak juga." Dia cuma bersyukur yang Akma tidak disentuh Amir lagi. Nak marah lebih-lebih pun tidak guna. Penat sudah buat sesi curahan hati kelmarin. Kalau Akma masih tak sedar, tak tahu lah nak kata apa. Gadis di sebelahnya dikerling dengan ekor mata.

"Shahrul, mak kau sihat?" sengaja Akma bertanya. Dia masih hairan tentang sesuatu.

"Alhamdulillah, sihat je."

"Kerja okay?"

"Okay je."

Jari diletakkan pada dagu. Hati gadis itu tidak puas.

"Apa masalah kau pandang aku macam tu?" Shahrul pula yang hairan. Mata Akma mencerlung tidak puas hati.

"Boleh aku nak panggil kau 'Shah'? Shahrul tu macam panjang sangat. Berbelit lidah aku nak sebut Badrul lagi."

"Ikut kau lah."

"Kau nak tahu tak? Siang tadi aku jumpa tunang Amir. Aku kesian dekat tunang dia." Akma membuka cerita tergempar dan mahu melihat respons lelaki itu.

"Kalau pasal aib dia, jangan cakap. Tak baik," potong Shahrul.

"Cuba sebut nama penuh aku."

"Saidatul Akma. Sekarang ni apa masalah kau? Kau nak main-main dengan aku ke?"

"Kau sakit tekak ke?" Itulah yang menganggu Akma selama ini. Dia perasan kotak suara lelaki itu sedang melantunkan suara yang lain. Sampaikan Akma pun terpinga-pinga. Takut juga kalau tersalah jumpa pelanduk dua serupa. Muka sama, tapi yang ni versi suara serak sikit!

"Oh." Shahrul berdehem perlahan. "Nanti eloklah suara aku. Bangun tidur tadi je dah jadi macam ni."

Mata Akma bersinar-sinar memandang wajah lelaki itu. Dia yang terlebih teruja. "Kalau dalam kartun my little pony kan, dorang akan dapat tatu dekat badan dorang sempena kuasa masing-masing. Kalau kau... Mungkin kau dah jumpa suara sebenar kau!"

"Jangan merepek." Tangannya memegang tekak sendiri. "Mungkin sebab aku makan ais semalam dekat tempat kerja."

"Kalau macam tu... Makanlah ais hari-hari. Baru sedap sikit suara macam Cakra Khan gitu..." Akma tersenyum-senyum kambing.

"Dah-dah. Aku datang sini nak jumpa Badrul." Ingin sahaja dia menolak wajah Akma agar berpaling ke arah lain.

"Badrul ada je. Alhamdulillah, dia dah sihat sikit. Aku risau sangat kalau jadi apa-apa dekat dia."

Ini barulah Akma yang asal. Tudungnya memang tidak selabuh dahulu tetapi bawal bidang 45 yang tersarung dibiarkan ke bawah. Hanya pin yang tersemat untuk mengelakkan ia terbelah.  Shahrul lebih suka Akma berubah bukan hanya luaran tetapi juga dalaman. Kerana kebanyakan manusia sekarang ini, tudung saja yang labuh tetapi mereka ibarat tin kosong.

"Macam mana dengan biasiswa Badrul? Rasanya semua orang dah tahu yang dia dah kahwin." Shahrul terdetik ingin bertanya soal itu.

***
votexkomen
***

Amir ada lagi ni. Ada juga yang minta dia supaya bertaubat. Tapi nak ke dia bertaubat? Akma dah melepas, tunang je yang masih ada 😓😓😓

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro