34 : Cik Tunang
"Weh, kau tak kisah orang mengata kau asyik berkepit dengan aku?" Akma memuncungkan bibirnya. Dia menguis-nguis jemari pada meja kantin.
"Kenapa? Salah ke?" soal Badrul kembali.
"Em... Tak adalah. Cumanya, kau takde kawan lain ke?" Sengih Akma. Asyik-asyik wajah Badrul sahaja yang menemani dia didenda di kantin sekolah. Akma diharamkan pulang pada pukul 2 petang seperti pelajar yang lain kerana telah sepahkan kelas sendiri dengan tepung. Prank hari jadi rakannya bertukar sendu gara-gara ditangkap pengetua. Checkmate betul!
Lagi menyedihkan, dialah yang beria membawa semua tepung itu.
"Aku kena denda ni, kau pula sibuk nak tunggu juga." Akma mencebik. Dagunya direhatkan ke atas meja sambil mata menyepet memandang wajah Badrul.
"Aku kan kena balik dengan kau. Nanti mama aku marah pula," balas Badrul. Dia tekun menulis nota mata pelajaran Sejarah di meja itu sementara Akma asyik membazir masa.
"Hm... Tiga jam tau kena duduk dekat sini," omel Akma. Matanya mengerling jam tangan besi Badrul.
Baru 2.10 petang.
"Jangan membazir masa." Badrul menjeling tajam.
Terkocoh-kocoh Akma membawa keluar buku teks. Dia tersengih menampakkan barisan giginya. "Aku buat la ni... Sayang juga kau ya dekat aku?"
"Sayanglah. Kalau tak, aku dah biar kau merempat dekat sini."
"Betul-betul sayang?"
"Kau je yang tak sayang aku. Mana nak ingat aku kalau dah keluar dengan kawan." Sengaja Badrul membidas begitu. Dia menongkatkan dagu.
"Haish... Haish..." Pipi Badrul ditepuknya lembut. "Cakap lagi macam tu, aku tampar kuat-kuat nak?"
"Tamparlah," cabar Badrul tidak heran.
Ketika Akma sudah melayangkan tangannya ke udara, automatik Badrul memejamkan mata. Akma ni kalau dicabar, nanti dengan abang sendiri pun dia tibai.
Matanya tercelik sebelah kerana tiada pun tamparan yang menyinggah pipi. Kelopak mata yang lagi satu dibuka juga. Tangan Akma betul-betul mendarat di sebelah wajah Badrul.
Terledaklah ketawa Akma. Dia menarik pipi abang susuannya itu ke kiri dan kanan. Kepala Badrul terikut bergerak sekali kerana perbuatan Akma itu.
"Amin..." gumam Akma dalam lenanya.
Dia membesarkan bukaan mata perlahan-lahan kerana terganggu dengan Nafisah. Matanya habis sembap kerana menangis semalaman.
Lengan Akma diusap Nafisah lembut. Adik iparnya masih tidur di surau meskipun telah 10 pagi. Beria Akma bangkit pada dua per tiga pagi untuk melakulan solat taubat yang diajarkan Nafisah.
Terpisat-pisat gadis itu bangkit dari tidurnya. Akma mendakap tubuh Nafisah lama. Mamainya masih ada. "Mana Amin?"
Wajah didongakkan. Matanya yang sepet ditenyeh.
"Badrul ada dekat bilik dia. Akma, mama Badrul datang ni," khabar Nafisah. Dia duduk bersimpuh di sebelah Akma, wajah adiknya diusap. Kehadirannya bukanlah berseorangan. Ada seorang wanita hampir setengah abad di belakang, turut memerhatikan tanpa sebarang suara.
Wanita itu melihat wajah Akma lama. Bibirnya mengoyak senyuman manis.
"Akma."
Mata Akma terbuntang luas. Dia kaku di situ. Reaksinya itu membuatkan Nafisah tercuit. Puan Rohizah berlabuh berdekatan Akma apabila dipelawa Nafisah.
"Mama..." Terkebil-kebil Akma bersalaman dengan pengasuhnya sejak kecil. Dia melingkarkan tangan pada tubuh bonda Badrul. Hangatnya masih sama seperti dahulu. Akma rindu untuk disuap nasi oleh wanita itu.
"Akma ingat mama lagi?" Puan Rohizah sudah lama terpisah dengan anak susuannya. Mata itu pun berkaca melihat anak dara kecilnya sudah besar panjang. Kepala Akma diusap manja.
"Ingat... Rindu..." adu Akma. Senyaplah dia dalam pelukan ibu susuannya. Dia berkongsi kasih sayang yang sama dengan Badrul sewaktu kecil. Secalit pun tidak pernah tersisih sewaktu dalam jagaan Puan Rohizah.
"Mama, Amin sakit," ujar Akma.
"Mama tahu. Insya Allah, kita doakan dia cepat sembuh." Tangisan Akma dihapuskan dengan telapak tangan. Wajah anak susuannya dibersihkan dari segala anasir luar agar si kecil Akma yang ceria tampak di hadapan mata.
Akma mengangguk. Tubuhnya tertolak tatkala pelukan dileraikan. Dia masih tidak percaya ibu Badrul ada di situ. Ditatap wajah Puan Rohizah berserta sulaman senyuman.
"Kenapa Akma tak balik hostel? Sakit badan kalau tidur atas lantai."
"Akma nak tunggu Badrul sihat. Akma dah janji tak nak tinggal dia. Kesian dia sakit..." Nafas dalam ditarik. Rasa berdosa mengikat jiwa. Tika Badrul elok kebah demam, dia buat tidak endah tempoh hari.
"Dah makan?" soal wanita itu.
"Belum... Nafisah pun belum makan. Mama mesti gembira, kan? Nanti mama nak dapat cucu dah." Akma tersenyum nipis.
"Nafisah mengandung ke?" Wajah Puan Rohizah berpaling ke arah menantunya. Sungguh, dia langsung tidak tahu apa-apa. Perkahwinan anak sulungnya yang hampir lima bulan itu senyap tanpa khabar. Tahu-tahu saja sudah berisi.
"Ya, dah tiga bulan." Akma pula yang tolong jawab. Mata Nafisah membulat, tertunduklah dia kerana malu. Akma memang kaki adu. Bukannya dia tidak tahu Nafisah sedang memberi isyarat untuk mendiamkan jawapan.
"Kenapa tak beritahu mama?" Tangan menantunya diraih. Wajah Nafisah tertarik untuk memandang.
"Nafisah takut kandungan ni gugur sebab baru trisemester yang pertama," jawab Nafisah perlahan. Cukup untuk membuatkan Puan Rohizah tersenyum manis. Terdetik untuk melekapkan telapak tangannya pada perut Nafisah yang beralas baju. Degupan nadi di bawah pusat ada di situ, kuat pula.
Tubuh menantunya ditarik ke dalam dakapan. Rasa sedihnya melihat Badrul terlantar diubatkan dengan rasa bersyukur.
Akma hampir ketawa, bibir dikemam rapat. Dia tak mahu Nafisah merahsiakan perihal kandungan itu pada mamanya. Akma menghapuskan sisa air mata lalu mencelah dalam pelukan Puan Rohizah juga. Tubuhnya berjaya menerima hangat kasih sayang yang mengalir.
Ya Allah, rasa kasih sayang begini lagi indah berbanding berduaan dengan Amir Farhan.
Pipinya tiba-tiba dikucup Nafisah. Mata terpejam bahagia.
***
Akma seolah tidak percaya bahawa Han yang menanggung semua perubatan Badrul hingga dipindahkan ke wad kelas pertama. Bilik yang sejuk dengan pendingin hawa itu hanya ada dia dan abangnya. Yang lain sibuk menunaikan solat zohor di saat dia sedang haid.
Bibir merahnya berlabuh pada dahi Badrul. Senyuman nipis terkoyak. Akma benar-benar sayangkan Badrul. Dia mahu ada menemani lelaki itu sepenuh masa.
"Amin, nanti dengar cakap doktor. Makan ubat, jangan degil," gumam Akma sendirian. Tangan Badrul digoyangkannya. "Kalau degil, nanti Akma jentik tangan ni."
"Akma," bisik Badrul.
Cepat-cepat Akma meletakkan tangan Badrul kembali ke atas katil. Dia mengusap kekura tangan Badrul lalu membuat seperti tiada apa yang berlaku.
Badrul tersenyum nipis.
"Kenapa? Sakit ke?"
Anggukan Badrul membuatkan Akma cemas. Gadis itu merapatkan kedua-dua belah tangan tanda memohon maaf. Matanya terpejam sebelah.
Mujurlah doktor dapat mengesani luka pada abdomen dalaman Badrul. Pelan rawatan awal dapat dilakukan bagi mengelak berlakunya mudharat. Tekanan darah Badrul masih bukan diparas normal. Lelaki itu banyak berehat sepanjang hari.
"Akma pergi mana semalam?" Badrul tak mahu melelapkan mata. Alang-alang sudah terjaga, biarlah dia berbual buat seketika.
"Akma..."
"Keluar dengan Amir?" tebak Badrul.
"Amin tahu?"
"Teka je. Han ada beritahu yang Amir cuba buat Akma tergilakan dia." Dada Badrul berombak menarik nafas.
"Amir jahat ke?" Akma terkelip-kelip.
"Tak. Dia cuma nakal. Akma jangan berkawan dengan dia. Biar Amin je yang berkawan dengan dia," balas Badrul lembut. Wajah Akma berubah sayu.
"Amin, boleh tak Akma nak panggil Amin... Abang?" Tiba-tiba sahaja hatinya mahu meminta begitu. Badrul setahun lebih tua darinya. Tak enaklah kalau asyik berbahasa aku-kau seperti selalu. Badrul bukan kawannya yang boleh dibuat gurau hingga hilang adab. Dia seorang abang yang menjaganya semenjak kecil lagi.
"Boleh."
"Terima kasih." Bibir Akma menyimpulkan semyuman. "Terima kasih sebab jaga Akma selama ni, abang."
"Sama-sama. Kalau nak keluar dengang siapa-siapa beritahu abang ya?"
Laju kepala dijatuhkan. "Baik, abang." Tangan diletakkan pada dahi seperti tabik buat seorang pegawai polis.
Badrul mahu ketawa tetapi perutnya masih sakit. Lalu ditarik pipi Akma yang sudah berisi itu.
"Aw... Sakitlah. Abang ni sama macam Nafisah." Akma menjarakkan wajah ke belakang. Bibirnya dicebikkan. Pipi yang kemerahan itu diusap berkali-kali.
"Akma, boleh tolong tinggikan suhu bilik ni? Sejuklah," pinta Badrul.
"Okay," akur Akma. Gadis itu bingkas berdiri sambil mengeluarkan telefonnya daripada poket seluar jeans. Ada satu panggilan yang terlepas beberapa minit yang lalu. Kening Akma berkerut hairan.
Punat alat kawalan jauh ditekan lima kali lalu dia meminta kebenaran Badrul untuk keluar buat seketika.
Nombor yang sama didail Akma.
Dia menanti dengan penuh tanda tanya.
"Assalamualaikum, kenapa ya call nombor ni?" secara terus Akma menyampaikan tujuan panggilan.
"Waalaikumsalam. Ini Akma, kan?"
"Ya, siapa ni?"
"Saya Atikah, tunang Amir. Boleh kita berjumpa esok?"
Lidah Akma hampir berbelit di dalam rongga mulut. Pasti ragamnya sudah sampai pada pengetahuan tunang Amir yang sebenar. Sebentar, Amir ada tunang?
Lelaki yang selama ini menjanjikan cinta seindah syurga rupanya tunang orang?
Perangai buruk Amir makin jelas pada sisi Akma. Yang selama ini berkopiah itu sudah bertunang tetapi masih mahu menjerat hatinya.
"Cik Atikah tunang Amir ke? Maksud saya... Tunang yang betul-betul?" Hujung kening yang tidak gatal digaru Akma.
"Ya, saya tunang dia. Kami dah hampir dua bulan bertunang. Jadi saya nak settle dengan Akma cara baik."
"Tunang yang betul-betul? Yang ada cincin tu? Atau Amir cuma kata yang kalau dua hati dah bersetuju nak kahwin dikira tunang?"
"Cik Akma, saya bertunang dengan dia depan ibu bapa kami berdua. Bukannya senyap-senyap bersembang dalam Whats App sampai main tukar-tukar gambar."
Pedas sungguh kata-kata Cik Atikah. Berasap telinga Akma yang mendengar ini. Mengapa kesalahan hanya diletakkan pada dia? Sedangkan Amir yang mulakan dulu!
"Cik Atikah nak jumpa saya esok? Okay, boleh. Beri saya masa dan tempat, sebelum nyamuk bangun saya datang," geram Akma. Matanya terpejam dengan sendiri.
Setelah panggilan itu termati, dia melabuhkan punggung di atas lantai koridor. Kenapa tunang orang cuba memainkan hatinya? Mata yang hendak berkaca cepat-cepat dikawal.
" Jangan, Akma. Jangan bazirkan air mata untuk lelaki sampah."
***
votexkomen
***
Apalah yang Amir kata dekat tunang dia ni 😢😢 Kesian Akma.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro