30 : Aurat, bolehkah?
Badan diringkukkan di atas katil. Nafasnya dalam sahaja. Lesu juga jika suhu badannya asyik naik turun tidak menentu. Diraba dahi sendiri buat beberapa kali. Kelopak matanya makin menurun mahu merehatkan diri. Sesekali ada batuk kering yang kedengaran.
"Assalamualaikum, Badrul."
Mata cepat-cepat dicelikkan. Lengannya menolak tubuh untuk duduk bersandar pada dinding.
"Waalaikumsalam," jawab Badrul separuh berbisik.
Kepala Han terjegul untuk melihat keberadaan sahabatnya. Dia kembali menutup pintu bilik dan melangkah ke arah Badrul. Wajah Badrul yang pucat diperhatikan mata perangnya.
"Kau demam lagi?"
"Entahlah. Semalam aku sihat je. Siap boleh drive thru McD. Pagi ni jadi tak larat balik." Badannya direbahkan ke atas katil. Han rupanya, diingatkan siapa.
Han yang mahu ke kelas sengaja menyinggah ke bilik itu. Dia hairan kerana kasut Badrul ada tidak berusik pada rak di luar. Maknanya, Badrul masih ada di dalam bilik dan tidak ke kelas.
Perlahan-lahan dia berlabuh di birai katil. Kemeja kelabu pada tubuh tersarung elok, Han sudah bersiap hendak pergi ke kuliyah. Tangannya memeriksa dahi dan sekitar wajah Badrul.
"Dah makan ubat?" soal Han.
"Dah, subuh tadi."
"Isteri kau tahu yang kau demam?"
"Aku malas nak kacau dia. Kelmarin dah minta dia temankan aku pergi klinik. Doktor kata kalau melarat baru datang balik. Demam aku ni kejap ada kejap takde. Aku tak tahulah nak buat apa," Badrul mengeluh.
"Kau okay ke duduk sorang-sorang dalam bilik?" Han rasa bersalah nak tinggalkan Badrul seorang diri. Teman sebilik Badrul telah pergi ke kelas awal-awal lagi.
Badrul menjatuhkan kepalanya.
"Han, nampak Amir tak? Aku dah lama tak tengok dia datang majlis ilmu. Kalau kau terjumpa dia, kirim salam aku." Terdetik pula rindu pada si keras kepala itu.
"Kau tahu tak siapa buat aduan tangkap basah kau? Si Amir tu yang buat. Bukan tu je. Amir siap fitnah kau sampai semua orang pinggirkan kau." Han penat mendengar nama Amir dari mulut Badrul. Tak kuasa rasanya ingin bertemu dengan buaya berkopiah itu.
Badrul terdiam.
"Jangan berkawan dengan orang yang tikam kawan. Nanti esok lusa kau yang susah," sambung Han.
Batuk yang naik ke tekak ditahannya. Wajah dibenamkan pada bantal.
"Dia hina kau. Padahal serbuan jabatan agama Islam tu takde apa pun sebab memang sah-sah kau dah nikah lama dah. Tapi dia macam tak puas hati bila tahu kau dah kahwin sedangkan kau terikat dengan biasiswa. Dan dia juga cemburu tengok kau kahwin awal dari dia." Han tak betah melihat Amir menjaja nama buruk Badrul. Selama dia berkawan dengan Badrul, Badrul jauh tersasar dari tomahan Amir. Yang dikatakan gila kuasa ini ada sebab tersendiri. Yang dikatakan gatal nak kahwin ini bukan sesuka hati dia memutuskan keputusan.
Skrin telefon dikerling Badrul. Mesej daripada dua orang gadis yang dia sayang keduanya. Nafisah dan Akma. Badrul tidak mempunyai mood untuk membalas segala mesej itu. Dia mahu berehat saja.
"Badrul, jom aku hantar ke klinik? Dah tiga hari kan kau demam?" Keluhan terbit di bibir Han. Badrul seperti amat terkesan dengan kata-katanya. Han sedia maklum Amir itu rakan sekelas Badrul sejak dahulu lagi, pasti susah untuk dihadam kebenaran pahit.
"Han, aku nak rehat."
"Tak payah lah fikir pasal Amir, ya?" pujuknya. "Sekarang ni fikir pasal kesihatan kau dulu."
Badrul mengangguk lemah.
"Kita pergi klinik, buat ujian darah. Takut kau ni bukan demam biasa," ujar Han. Badan Badrul ditarik bagi terduduk tegak di atas katil. Mukanya lesu sahaja.
"Nak tanya, apa kaitan kau dan Akma? Aku ada nampak kau dengan dia hari tu berpegang tangan." Sehelai baju sejuk di pinggir katil dihulurkan pada Badrul. Badrul menyambut sahaja tanpa bercakap banyak. Kepalanya sedikit berpinar jika duduk dan berdiri apatah lagi hendak berjalan.
"Dia adik susuan aku," jawab Badrul.
"Oh, betul la sangkaan aku. Kau ada kaitan dengan dia. Kau tahu tak yang... " Melihat keadaan Badrul, Han tak mahu meneruskan kata-kata. Nanti fikiran lelaki itu makin serabut dengan agenda Amir yang mahu menarik Akma supaya tergila-gilakannya.
Gelengan menjawab soalan Han."Apa?"
"Takde apa. Nantilah aku beritahu."
Badrul mula menapak dengan bantuan Han. Kunci bilik dan dompet dicapai lelaki itu sebelum melangkah keluar bilik. Tombol pintu dipastikan berkunci, kemudian barulah Han membawa Badrul menuju ke lift.
Mata perangnya bertemu dengan seraut wajah. Bak kata orang tua-tua, panjang betul umur. Wajah dingin Han membalas pandangan Amir. Jarinya menekan punat ke tingkat paling bawah.
"Bad, kau tak pergi kelas lagi hari ni?" Amir beralih kepada Badrul.
"Tak," Han yang tolong jawabkan.
"Aku ada cakap dengan kau ke?" panas pula hati lelaki berkopiah itu. Dia berdiri di hadapan Han yang memegang lengan Badrul untuk memastikan Badrul tidak terlorot jatuh ke bawah.
"Sorrylah. Tepi sikit boleh tak? Badrul tak nak bersembang dengan kaki tabur fitnah." Sengaja dilanggar bahu Amir tika menapak keluar lift. Wajah pura-pura Amir menyakitkan hatinya. Belakang Badrul, punyalah sembang tak ingat dunia. Apabila di depan mata Badrul, dialah yang paling tidak bersalah. Pandai bermain play victim.
Han berdecit.
Kata-kata Amir keluar masuk sahaja di telinga Badrul. Masih berfikir kebenaran di sebalik fitnah yang telah dilemparkan kepadanya.
"Tak payah layan Amir tu. Biar dia meroyan sorang-sorang. Kalau dia kacau kau, beritahu aku." Belakang badan Badrul ditepuk Han bagi menyedarkan lelaki itu ke realiti.
"Okay," jawab Badrul separuh berbisik.
***
Pengorbanan lelaki bernama Amir Farhan itu terhadapnya ditimbang kira. Dua kali Amir muncul sewaktu dia kesusahan. Sanggup diharungi gelap malam bagi mencarinya di dalam hutan. Ditambah pula dengan kemalangan di masjid beberapa hari yang lalu.
Segala budi itu membuatkan hati Akma serba salah jika tidak membalas mesej Whats App Amir.
Lama kelamaan hatinya makin selesa berhubung dengan lelaki berkopiah itu. Akma tersenyum sendiri di atas katil. Badrul dan Shahrul kedua-duanya tidak membalas mesej Akma. Sibuk barangkali.
Hanya Amir sahaja yang ada 24 jam bagi melayan telatahnya di alam maya.
Amir Farhan
Amir, takpe ke kita mesej
macam ni? Tak jatuh haram ke?
Haram apanya?
Kita Ukhwah Fillah.
Kita berhubungan inipun
semata-mata kerana Allah,
bukan untuk buat maksiat.
Terima kasih, Amir.
Akma terangguk faham. Betullah kata-kata Amir ini. Dia juga jadi makin rajin ke usrah gara-gara Amir. Setiap kali masuk waktu solat, Amir pasti mengingatkannya untuk solat di awal waktu.
"Akma, saya nak ke hospital ni."
Telefon pintar cepat-cepat dimatikan. Tahu dek Nafisah ni, habis dimarahi nanti.
"Ya? Kenapa?" sahut Akma yang terlantar di atas katil bilik. Terkelip-kelip matanya memandang Nafisah yang tidak tenteram.
"Badrul warded. Dia suspek denggi. Pagi tadi Han bawa dia ke hospital untuk buat check up."
"Ha?" Akma terkejut mendengar itu. Patutlah Badrul langsung tidak membalas mesej mahupun mengangkat panggilan telefon. Dia bingkas berdiri dan mendapatkan Nafisah di tengah-tengah laman bilik.
"Kenapa tak beritahu Akma awal-awal?" Tangan Nafisah diraihnya. Dari riak wajah sahaja, Akma tahu Nafisah sedang kerisauan.
"Saya baru tahu." Mulalah Nafisah berkaca-kaca matanya. Nafas dalam ditarik, dia takut Badrul dalam keadaan yang teruk.
Tubuh Nafisah dibawa ke dalam dakapan. Kekuatan disalurkan buat gadis bertudung litup itu. Dalam keadaan berpelukan begini, Akma dapat rasakan perut Nafisah yang sudah mula ke depan, kecil sahaja. Kandungannya hampir tiga bulan.
"Kita pergi sama-sama ya?" ujar Akma lembut. Belakang gadis itu diusap perlahan.
Butir mutiara menitis-nitis. Akma mengelap air mata kakak iparnya itu. "Nafisah janganlah macam ni. Badrul demam je..."
"Tapi dia demam denggi," balas Nafisah teresak-esak.
"Kawan-kawan Akma pun ramai yang pernah kena denggi tapi dorang baik je. Nafisah janganlah menangis. Kita pergi tengok Badrul, ya?" Pipi Nafisah diusapnya pula agar gadis itu tenteram dengan kata-katanya.
Pujukan Akma berjaya menghentikan kegusaran hati Nafisah. Nafisah mengangguk akur sahaja. Dia naif soal sakit-sakit ini.
"Nafisah tak boleh terlebih risau, nanti kesian Badrul. Dia tak suka tengok Nafisah menangis." Akma mendudukkan Nafisah di birai katil sebelum dia menyarungkan baju dan tudung. Kelihatan Nafisah menekur lantai sahaja. Perutnya yang beralas jubah diusap lembut.
Hujung bibir Akma tertarik mengoyak senyuman. Telefon dan beberapa barang lain dimasukkan ke dalam beg kecilnya. Kadang-kadang dia merasakan perkahwinan itu jauh sekali nak dijadikan satu bab dalam hidupnya. Tapi tahu-tahu Badrul sudah berkahwin dan tampak bahagia sahaja. Ketika sakit pun ada yang risaukan.
Sebuah kereta dari aplikasi Maxim ditempah. Dua gadis itu menanti berdekatan pondok pengawal keselamatan dengan sabar. Sementara itu sempat juga Akma bermain telefon pintar.
Amir Farhan
Betis Akma dah sembuh ke?
Belum. Tapi dah okay sikit.
Mana? Biar Amir tengok.
Takpe ke? Ni kan aurat.
Amir bukannya nak buat
apa-apa pun. Cuma nak
pastikan keadaan luka tu.
Kalau belum elok lagi,
boleh Amir ambil ubat di klinik
dan tunjuk gambar tu pada
kaunter klinik.
Em, nantilah. Akma
nak ke hospital.
Okay. Nanti tangkap juga
gambar betis yang tak
luka tu. Boleh bandingkan
seteruk mana luka Akma.
Kening Akma bertaut seketika. Dia hendak bertanyakan pada Nafisah yang sedang menekur. Ragu-ragu juga dengan si Amir ini. Memang benarkah lelaki boleh melihat aurat kita sesuka hari dengan alasan 'bukannya nak buat apa pun'?
Telapak tangan Nafisah disentuhnya.
"Akma, betul ke kalau demam denggi boleh sembuh? Saya takut," polos Nafisah.
"Ya, doakan yang baik-baik. Jangan risau," pujuk Akma. Kepala Nafisah dibiarkan bersandar di bahunya. Dia melingkarkan tangan belakang bahu gadis itu.
"Akma doakan tau."
"Mestilah Akma doakan. Dia kan abang Akma? Akma risau sangat kalau dia tak sihat." Akma tersenyum nipis.
Hati Nafisah menjadi lega. Tak dapat dibayangkan macam mana keadaannya jika tiada Akma di sisi. Senyuman kecil terbentuk lalu dia membalas pelukan Akma." Terima kasih, Akma."
Satu kucupan Akma berlabuh pada pipi Nafisah. "Sama-sama. Dah, jangan menangis lagi ya? Akma ada."
Terus Nafisah tertawa halus. Dia segan setiap kali Akma mencium pipinya itu. Tak pernah pula terdetik nak balas, Akma sahaja yang berperangai begitu.
"Baby pun jangan risau ya?" pesan Akma. Tangannya mengusap perut kecil Nafisah. "Baby kena kuat sebab baby kan baby boy? Ha... "
Nafisah mengangguk dan tersenyum. Perutnya bergerak setiap kali bernafas. Ia sudah mula membukit di luar kesedarannya. Ramai kawan-kawan mereka yang telah mengetahui hubungannya Badrul. Kecoh juga satu kolej itu. Kandungan ini sahaja yang masih menjadi rahsia.
***
votexkomen
***
Akma ni dah lah baru nak berubah. Jatuh pula perangkap buaya.
Btw, happy 30 bab!
Kita road to 3k reads pula.
Maaflah kalau ada kekurangan buku ni. Buku ini memang dari penulis yang tak pandai menulis tetapi dia tetap nak sampaikan sesuatu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro