Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

22 : Rezeki untuk Orang Lain

Matanya membulat melihat akaun bank sendiri yang tidak putus-putus dimasuki duit. Shahrul menggeleng untuk memastikan itu bukannya mimpi di siang hari. Dia yang baru sudah mengemaskan rumah berehat di sofa ruang tamu.

Siapa saja yang tak terkejut jika jumlah asal hanya RM50 kini hampir mencecah RM15 000?

"Budak ni..." Rambutnya diraup ke belakang. RM10 000 sahaja dari akaun bank Saidatul Akma manakala selebihnya hasil sumbangan orang lain yang tidak dikenali. Patutlah Akma beria minta nombor akaun minggu lepas, ada agenda tersendiri rupanya.

Lelaki itu mendail nombor si gadis.

"Yang kau sengal sangat bank in RM10 000 dekat aku buat apa?" Itu ayat pertama yang dihamburkan. Hendak marah pun kasihan pula niat suci Akma yang hanya mahu menghulurkan bantuan.

"Eh, biarlah. Duit aku, kan?"

"Memanglah... Aku tahu kau orang kaya, tapi sikit-sikit dah la. Banyak lagi yang kau boleh buat dengan duit tu. Sekarang cerita macam mana aku nak bayar balik?" Shahrul menghela nafas berat. Nak minum air pun jadi terbantut. Akma memang suka buat kejutan begini.

" Kalau aku dah bagi duit kan... Kau boleh balik kolej ke? "

" Hm... Tak juga. Mak aku lumpuh, Akma. Aku tak boleh nak biarkan dia terkapai-kapai seorang diri dekat rumah. Kau faham kan maksud aku?" RM15 000 dalam akaun banknya, baru semalam dia runsing memikirkan cara untuk mendapatkan duit. Allah telah memudahkan urusannya dari jalan yang tak disangka-sangka.

" Aku... Aku ada dekat Selangor. Aku takut, cepatlah datang dekat terminal bas Kajang ni. Seramlah orang pandang-pandang."

"Apa?" Mata Shahrul hampir terkeluar. Dia memicit pelipis sendiri. Memang Akma hendak kena ceramah percuma. Akma ada sahaja khabarkan hendak melawat ibunya, tapi tak tapi tak tahu pula pada hari ini.

"Datang tau. Kau jangan biarkan aku macam gelandangan dekat sini."

"Ya, tunggu setengah jam lagi aku sampai," balas Shahrul. Ujian yang menimpa membuatkan dia mula menyedari erti kehidupan yang sebenar. Mungkin selama ini Shahrul hanya suka berhibur dan lagha bersama Akma. Kini, semua itu tiba-tiba sahaja lenyap sekelip mata.

Penyapu dan penyodok disimpan ke tempat asal. Tuala dicapai lalu dia menapak ke bilik air bagi membersihkan diri daripada segala anasir. Mula menghargai setiap detik yang ada bersama insan bernama ibu. Shahrul memang suka bergaduh mulut dengan Puan Hasmah dahulu, ada saja perkara yang tidak kena.

Orang kata setiap yang terjadi ada hikmahnya, cuma perlu bersabar. Usai sahaja bersiram, Shahrul segera memacu kereta ke lokasi Akma. Tempat duduk di sebelah pemandu dikerling. Lama juga Akma tidak duduk di situ dan bercerita sambil menampar lengannya. Seminggu sudah berlalu, Shahrul asyik berulang alik dari rumah ke hospital demi ibunya.

Telefon pintar ditekup pada sisi telinga. Lelaki itu memutarkan stereng kereta untuk ke bahu jalan. Pandangan dilontarkan ke arah lobi terminal bas lama itu. Entah ya atau tidak Akma ini, entah-entah Terminal Bas Sentral dengan Terminal Bas Kajang pun boleh tertukar.

Cubaan Akma membuka pintu dari luar gagal kerana berkunci. Dia mengetuk-ngetuk cermin kereta sambil memanggil nama Shahrul.

"Fuh, mati-mati aku ingat kau nak biar aku dekat luar," ujar Akma. Dia melompat ke dalam kereta dan mengatup pintu dengan penuh cermat.

"Haih, seminggu tak jumpa dah pandai tutup pintu?" tegur Shahrul.

"Hari tu... Pak cik grab marah aku sebab hempas pintu kereta Honda dia. Hek eleh, Honda je pun. Kereta mak ayah aku lagi mahal. Tapi Nafisah tegur aku tentang adab naik kereta orang. Macam tu lah..." terang Akma dengan panjang lebar. Dia memeluk beg galasnya.

" Baguslah. Pintu kereta aku ni pun boleh arwah kalau kau asyik hempas dia." Shahrul memasukkan gear. Keretanya meluncur di atas jalan raya kembali.

Akma menggaru pipi. " Tapi kereta kau kan second hand... Jadi kalau cepat rosak tu biasa la, kan?"

"Kau nak kena campak dekat luar?"

Gadis itu ketawa terbahak-bahak. Tangannya menggeliat kecil. "Aku bawa assignment sekali ni. Kau tolong aku buat ya? Kau kan pandai..." Mata dikelipkan beberapa kali.

"Hm, ya-ya." Sebelah tangan menongkat rahang. "Kau ni dah fikir masak-masak ke nak beri aku RM10 000?"

"Ya. Aku sedar yang duit banyak pun buat apa, kan? Kalau kita tak boleh nak tolong orang lain. Dalam rezeki aku ni, ada rezeki orang lain. Hari tu aku belanja Nafisah, ada satu rasa dalam hati aku ni. Rasa gembira sangat walaupun hakikatnya aku yang keluarkan duit. "

" Terima kasih. "

" Aku bukan jenis yang suka bazirkan duit untuk beg mahal, baju mahal atau benda lain. Macam ni la aku yang kau tengok hari-hari. Duit simpanan aku ada lagi bakinya. Aku gembira kalau kau gunakan duit pemberian aku sebaik mungkin," sambung Akma. Orang kaya sepertinya tak semua berlagak sombong. Cara Akma bergurau dengan Shahrul memang kasar, namun hatinya mahu melihat lelaki itu tersenyum sekali.

" Aku tak boleh nak balas budi kau."

"Tapi kalau difikirkan balik... Rezeki aku ni dari Allah juga, jadi kesimpulannya yang beri kau duit ni ialah Allah. Aku cuma medium perantaraan."

"Aku tahu tu. Kelakar, kan?" Shahrul menoleh ke kanannya.

"Kenapa? Aku salah cakap ke? Nafisah yang cakap macam tu dekat aku..." Akma sudah mengetap bibir.

"Bulan lepas kita dalam kereta juga tapi tak pernah cakap soal syukur. Kita cuma tahu habiskan duit, pergi cuba macam-macam jenis boba tea dan promosi makanan lain. Kau pula tak habis-habis benci tak nak pergi usrah Nafisah. Kau tak rasa pelik?" Di mata Shahrul, Akma tampak lebih ayu dengan tudung bawal yang terpakai. Gadis itu tidak lagi memakai hood semata-mata. Tudungnya tidaklah labuh pun tapi telah dilepaskan ke bawah bagi menutup dada. Simpulan biasa Akma pada hujung tudungnya cukup ringkas tetapi indah.

"Aku pun rasa juga. Bukan rasa kelakar, tapi rasa bersyukur sebab tahun ni dikurniakan macam-macam. Aku jumpa Badrul," Akma menjatuhkan kepala beberapa kali. Dia mendiam lama. Kereta Shahrul telah tiba di pekarangan hospital. "Kau okay?"

"Okay je."

"Kau nampak macam tak terurus," jujur Akma.

"Kenapa? Nampak selekeh?" Shahrul memegang rahang sendiri. Tiada pun jambang atau misai.

"Kau tak makan ke? Nampak badan kau susut."

"Oh, aku tak sempat. Aku sibuk jaga mak aku dan buat kerja sambilan dekat stesen pam minyak." Shift Shahrul dari pukul 12 malam hingga 6 pagi. Siang hari dia hanya mengular untuk mengecas tenaga.

"Jagalah diri." Akma tersenyum nipis.

***

Status Whats App Akma sedang online. Peti perbualan mereka kosong sahaja.

Amir tidak cukup berani lagi bagi membuka langkah untuk mengenali Akma dengan lebih. Rasanya dia sudah jatuh hati dengan gadis mulut becok itu. Berkali-kali tengok pun tetap membuatkan hati berbunga. Amir tersenyum sendiri.

Akma tampak lebih menawan berbanding tunang sendiri. Apatah lagi apabila mengenakan tudung labuh seperti hari itu. Dari hidung kecilnya, turun ke bibir merah delima. Walau bagaimana pun dia tidak boleh melepaskan Atikah jua. Keinginan untuk mengenali gadis bernama Saidatul Akma itu ada. Memandangkan Atikah sedang belajar di kolej lain, tak ada salahnya dia bermain cinta dengan Akma di sini.

Kelibat Badrul menuruni tangga ke lobi hostel disedari Amir. Dia mengerling jam.

9.00 malam.

Hatinya jadi panasaran.

Langkah Badrul diikuti secara senyap. Badrul meloloskan diri ke dalam kereta di kawasan parkir. Amir memeriksa poket seluarnya. Kunci motorsikal dikeluarkan lalu dia bergegas untuk mengekori gerak curiga Badrul. Amir yakin matanya tidak salah lihat. Tempoh hari itu memang baju perempuan yang berada di dalam bakul baju Badrul. Apa agaknya yang Badrul buat pada hujung minggu begini?

Sungguh mencurigakan.

Lampu belakang kereta Badrul bercahaya merah. Tayarnya berhenti berdekatan hentian bas di luar kawasan hostel. Kelibat seorang gadis memasuki kereta Badrul itu mengejutkan Amir.

Jarak antara motorsikal yang ditunggang dan kereta yang dikejari dikekalkan. Siapa gadis itu?

Grip motor digenggam erat.

Selepas beberapa ketika, barulah kereta Badrul diparkirkan di bahu jalan. Amir memberhentikan motornya sedikit jauh. Helmet di kepala membantu wajah untuk sukar dicam. Dia berpaling melihat bangunan yang dituju oleh naqibnya.

Sebuah hotel di tengah-tengah bandar.

Tangan Badrul bersulaman dengan gadis di sebelah. Hilanglah kelibat pasangan itu setelah melangkah ke dalam hotel bajet yang sering dijejaki oleh pasangan yang belum bernikah. Berkali-kali Amir menggosok matanya.

Kereta Badrul ada di sana, hotel pula hanya di seberang. Memang Badrul telah memasuki hotel bersama seorang gadis yang tidak dikenali. Apa sahaja yang mereka akan lakukan jika sudah masuk ke dalam hotel ini? Pasti perbuatan maksiat yang akan dikerjakan.

Amir berdecit. Macam ni rupanya perangai sebenar Badrul Amin. Depan mata, beria mengajak orang ke kuliyah agama. Bila terlepas pandang, dia masuk ke dalam hotel bajet bersama seorang perempuan bertudung labuh. Kini, baru Amir Farhan tahu tanduk syaitan Badrul.

"Haih, dunia." Gelengan Amir penuh kekecewaan. Dia terkelu, terkesima dan tersentak. Segalanya mula berbaur. Nilai hormat pada lelaki itu sudah menghakis sedikit demi sedikit.

Biarlah dia ini jahil sekalipun sampaikan Badrul asyik memberi nasihat. Sekurang-kurangnya masih dapat membezakan baik dan buruk. Bukan seperti lelaki bernama Badrul itu, sembang sahaja yang lebih. Padahal diri sendiri bergelumang dengan dosa.

***
votexkomen
*

**
apa jadi lepas ni? 😣😣

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro