10: Benci Rindu Untuk Dia
Amir Farhan memuncungkan bibirnya di hadapan skrin komputer riba. Jambulan rambut disisir dengan jemari ke kanan. Sesekali mata mengerling telefon pintar, menunggu balasan mesej daripada buah hati. Kepalanya tertoleh ke arah pintu bilik apabila mendengar salam.
"Ha, Bad. Kau dari mana?" soal Amir sebelah mata memandang. Dagu ditongkatkan lelaki itu. Tekuknya sudah penat asyik menghadap komputer sejak pagi lagi. Siapkan kertas kerja kemudian beransur pula ke assignment yang baru nak bertimbun.
"Aku nak pergi beli makanan ni. Kau nak apa-apa?" Badrul sudah bersiap elok memakai baju Melayu untuk turun ke kafeteria. Teringat pula rakannya di bilik lain.
"Belikan nasi bujang. Aku takde duitlah," balas Amir. Bibirnya yang muncung dikendurkan. Dia tersenyum sumbing melihat dompet sendiri. Satu not merah dikeluarkan dengan rasa berbelah bahagi.
"Itulah kau. Asyik keluar berdating dengan cik tunang. Sampai duit pun habis," geleng Badrul.
"Tunang aku, kan?" Sengih Amir.
"Yelah, tunang pun... Tak bermakna kau boleh keluar dengan dia malam-malam atau siang-siang. Bila berdua syaitan yang ketiga, selagi tak halal jangan hirup sangat manisnya cinta." Badrul melangkah lebih dekat dan mengambil duit itu. Wajah Amir yang buat-buat tidak bersalah dikerling tajam.
" Aku tahulah nak jaga diri dan tunang aku. Aku dah besar," balas Amir tak mahu kalah.
"Memanglah tahu. Tapi kalau syaitan datang jadi tak tahu... Kopiah pun entah ke mana nanti," pesan Badrul berkali-kali tanpa jemu. Tunang saja tak menghalalkan lagi hubungan seorang lelaki dan perempuan. Dia berlabuh di birai katil berdekatan Amir.
"Ish, tak baiklah kau ni," cebik Amir. "Doakanlah yang elok-elok untuk aku."
"Aku doakan je yang baik-baik selama ni. Cuma sengaja nak pesan. Kau tu mudah lupa." Muka Amir ditolaknya, menyampah dengan wajah merajuk lelaki.
"Kau tengah buat apa ni?" Badrul melihat skrin komputer riba Amir Farhan yang membentangkan satu dokumen seakan data pelajar.
"Aku tengah tengok respons pelajar yang nak pergi kem. Kau tu bukannya nak kalau masuk hutan. Sedihlah kalau macam ni... Peserta tak cukup lagi." Jari dikuis-kuis di atas papan sesentuh. Nama pelajar yang tidak sampai 50 orang itu dipandang sepi.
"Sekejap, naik atas balik," arah Badrul. Dia duduk lebih rapat dengan Amir bagi melihat skrin.
Satu nama berjaya dikesan dengan sekali kilasan mata.
Saidatul Akma.
"Kena bayar berapa kalau nak pergi sana?" soal Badrul.
"RM50. Tiga hari dua malam je. Nak ke?"
"Aku nak pergi." Jika Akma pergi, dia harus juga pergi. Hutan itu tempat yang bahaya untuk gadis seperti Akma. Hatinya cepat saja berubah demi gadis yang telah dijanjikan untuk menjadi pelindung diri.
"Boleh." Amir teruja sahabatnya tiba-tiba sahaja membuat keputusan drastik. Senyuman meleret ke telinga. Jemarinya menaip nama penuh Badrul Amin dalam borang atas talian. Selaku badan yang mengurus aktiviti kokurikulum pelajar, Amir agak sibuk kebelakangan ini. Tunangnya pun telah terabai kerana kesibukan diri.
"Nanti hantar tentatif program dekat aku." Badrul berdiri kembali. Hendak diminta nombor telefon Akma yang tertera dalam senarai itu, tidak sopan pula. Lebih baik dia meminta nombor dari tuan badan secara langsung. Peristiwa semalam bermain di minda berulang kali.
Benarkah Akma langsung tidak mengingatinya?
"Bad, aku dah minta maaf dekat Akma."
Badrul mengangkat sebelah kening.
"Tapi dia tak maafkan aku," sayu Amir.
Tersenyum Badrul dibuatnya. Sikap Akma memang begitu dia sudah lali tika bersahabat dengan gadis kecil itu beberapa tahun yang lalu. "Tak apa. Nanti lembutlah hati dia. Dia memang macam tu."
"Aik, kau kenal ke dia?" Hairan Amir.
"Dia kawan lama aku."
"Oh, ya? Macam mana kau boleh kawan dengan dia?" Amir sendiri tak dapat membayangkan Badrul berkawan dengan Akma yang menjengkelkan itu. Mulut becok, apa yang dia buat pasti dibidas Akma.
"Macam biasa. Dah lah, aku nak gerak dulu. Nanti yuran kem tu aku bank in. Lambat-lambat ni nanti lauk makan tengah hari habis pula." Badrul segera meminta diri daripada memanjangkan perbualan.
Hatinya meminta peluang untuk bertemu dengan Akma sekali lagi agar dapat memperkenalkan diri sebagai Amin. Keretanya yang terpakir segera dinaiki.
Semalam Akma ada masuk ke dalam keretanya. Berjumpa setelah sekian lama. Wajah Akma masih tidak berubah semenjak dahulu. Orangnya kecil dan bermata luas. Cuma sewaktu sekolah, Akma lebih berisi berbanding versi yang kini.
***
"Nafisah, kau nak makan apa?" Akma menyarungkan sehelai cardigan berlengan panjang bagi menutupi lengannya yang terdedah. Tudung pemberian Nafisah dipakai. Wajahnya dibelek terlebih dahulu di hadapan cermin bilik.
"Awak. Biar saya belanja awak makan ya?" ujar Nafisah.
"Tak payahlah. Aku ada je duit poket sendiri. Cepat-cepat, aku dah siap ni." Akma tersenyum melihat penampilannya. Jari jemari kaki digerakkan lalu dia memandang jari kaki Nafisah yang berstoking. Hujung bibirnya terjongket.
"Kenapa kau pakai stoking dan tudung dalam bilik? Aku ni perempuan tau, bukan lelaki." Mata dipencilkan ke arah Nafisah yang bersandar pada kepala katil. Kadang-kadang dia juga naik hairan. Apa aurat sesama perempuan memang begini? Dia sajakah yang jahil?
"Stoking ni dia yang belikan. Takut angin masuk sebab saya tengah tak sihat. " Nafisah mudah terhibur dengan wajah tidak puas hati Akma.
"Dia? Siapa? Mak cik cleaner?" Beberapa not duit diselitkan ke dalam casing phone.
"Siapa-siapa je," senyum Nafisah. "Kalau tudung pula... Saya tak biasa buka tudung depan orang sebab dah terbiasa pakai dekat rumah depan abang ipar dan sepupu. Akma jangan salah faham pula, cuma saya memang tak biasa." Takut juga Akma berfikir di luar kotak. Bukan boleh jangka si Akma ni.
"Pakai la, aku tak tanya dah." Baju pada bahagian pinggul dibaiki lalu dia berlalu ke muka pintu.
"Awak, hati-hati. Nanti hari lain biar saya belikan makanan untuk awak pula."
Akma mengangguk setuju sambil mengenyitkan sebelah mata tanda jangan khuatir. Jarinya membuat simbol 'OK' buat Nafisah. Pemergian Akma diiringi dengan secalit senyuman.
Akma meneruskan langkah. Kali ini dia menuruni anak tangga dengan gembira. Terloncat-loncat turun nak-nak lagi apabila tiba di aras satu. Lima anak tangga dia lepasi dengan sekali loncatan ke bawah lalu tertawa sendiri. Nasib baik tiada orang yang melihat dia hampir jatuh tersungkur. Umur sahaja sudah meningkat 23 tahun, otaknya masih memikirkan keseronokan bagi melepaskan stress.
Tiba di hadapan cermin koridor, tudungnya dilipat tepi membentuk awning yang padang dengan wajah itu. Cantik juga tudung pemberian Nafisah.
"Aku kena beli tudung macam ni banyak-banyak. Tak payah susah nak pin sana sini. Kain dia pun sejuk je macam tak pakai tudung" omel Akma sendirian. Dia mencari logo jenama pada hujung kain tudung.
Bibir membentuk 'O' setelah melihat jenama tudung.
Difikir kembali. Nafisah itu bukannya orang senang. Sanggup dibelikan tudung buat Akma. "Baiknya lahai. Aku dah lah tak boleh orang baik sangat dengan aku. Rasa geram je."
Langkahnya dituruskan hingga berhampiran pengawal keselamatan di pintu keluar masuk hostel perempuan. Apabila melintasi sebuah kereta, namanya dipanggil.
Akma berkerut dan mengundur beberapa tapak bagi melihat tuan kereta.
Lelaki itu cepat-cepat keluar dari perut kereta dan mendapatkan Akma yang terpinga-pinga. "Akma, nak pergi mana? Sini aku hantarkan."
"Sekejap." Tangannya diangkat bagi memperlahankan lelaki itu. "Kita kenal ke?"
"Akma, ni aku." Lelaki itu tersenyum nipis. Akma sedang memandangnya seperti orang asing.
"Kau yang semalam, kan? Aku ingat kereta ni." Kereta putih itu menjadi pengingat memori.
"Akma, ni aku. Amin."
"Amin? Amin mana?" Pelipis yang tidak gatal digaru.
"Aku Amin, kawan kau. Badrul Amin. Kita pernah sekolah sama-sama sejak tadika. Main sama-sama, makan sama-sama." Mata Badrul memandang wajah Akma.
Akma terkesima. Tangannya yang menggaru tadi jatuh ke bawah hinggakan telefon pintar jatuh mencium jalan tar.
" Amin, aku suka kau. Nanti dah besar kita kahwin, nak?" Polos sungguh ajakan Akma yang bertudung sekolah itu. Dia yang tadi jalan di sisi telah berubah arah. Kini langkahnya ke belakang kerana mahu memandang wajah Amin.
" Mana bolehlah, mak aku tak bagi kahwin dengan kau. "
" Sebab? Aku tak lawa?" Mata Akma dikecilkan tidak puas hati. Bahu Amin ditolaknya kasar.
"Aku dan kau macam abang dan adik je."
"Sebab aku tak cantik, kan? Kau cuma suka budak-budak pengawas tudung biru, kan?" Emosi Akma bergelodak. Perasaannya sedang ditolak mentah-mentah oleh rakan baik sendiri.
"Nanti kau cari lelaki lain kalau nak buat suami. Aku cuma akan kekal jadi abang kau yang akan sentiasa melindungi kau." Pipi kembung Akma ditariknya. Akma sudah tersebek-sebek mahu menangis.
"Jangan menangis, minggu depan kita nak ambil PMR. Janji tau kau buat betul-betul?" Tubuh Akma ditarik ke sisi kembali. Mereka jalan seiringan. Tangan lelali itu melingkar pada bahu Akma sambil menepuk-nepuk memujuk.
"Kau tak suka aku?"
"Aku sayang kau sebagai adik aku."
"Kenapa adik pula? Mak ayah kita sama ke? Tak kan? Kau memang tak suka aku." Lengan Amin itu ditolak ke tepi lalu dia berlari dengan baju kurung sekolahnya. Hatinya sakit. Air mata berlinang di pipi.
"Aku benci kau!" Jerit Akma sekuat hati. Kakinya gagah berlari hingga dia tersadung batu di laluan denai. Terjelopok jatuh mencium debu tanah. Esakannya makin kendengaran dek luka di lutut. Kain birunya telah terkoyak begitu juga seluar trek yang dipakai.
Amin berlari laju mendapatkan rakan sepermainannya. "Tengok, dah jatuh. Dah besar pun jatuh juga," keluh remaja lelaki itu. Calaran darah di lutut Akma ditiupnya.
Akma diam melihat lelaki itu. "Pergilah sana. Kau bukan suka aku pun." Kepala Amin ditunjal jauh.
"Aku sayang kau." Akma dibantunya untuk berdiri kembali dengan perlahan-lahan. Beg sekolah Akma digalasnya lalu dia memapah gadis itu. "Jangan buat macam ni. Nanti kau cederakan diri sendiri. Aku tak suka."
"Amin?" Mata Akma berkaca-kaca. Dia mahu menyentuh wajah di hadapannya. Beberapa pelajar perempuan yang lalu lalang ada memerhatikan mereka dan mula membisik sesama sendiri. Seorang ketua naqib datang ke hostel perempuan untuk berjumpa dengan seorang gadis.
Akma sedar keterlanjurannya. Dia menekur dengan tangisan yang berlinang.
"Kau tipu aku. Kau kata kau nak jaga aku." Nafas dalam ditarik. "Mana kau pergi selama ni, Amin? Kau kata kau sayang aku?"
Menitis-nitis air mata si gadis.
Akma berpindah ke negeri lain setelah kejadian perit yang menimpanya pada usia 16 tahun. Dia dirogol, pengajiannya tertangguh. Mentalnya turut terjerut. Badrul tahu Akma telah pergi saat itu. Akma pergi dengan perkataan benci buat Badrul.
"Aku masih sayangkan kau. Aku akan jaga kau, jadi jangan risau ya?" Badrul tersenyum nipis. Perasaan benci Akma telah bertukar kepada rindu yang mendalam.
"Aku ada belikan makanan tengah hari untuk kau." Lelaki itu mencapai sebungkus plastik di bahagian tempat duduk. "Kau suka sambal tumis udang masak petai, kan?"
Akma mengangguk dengan tangisan. Dia masih cuba menahan diri. Kalau bukan kerana dia di kolej, sudah lama tubuh Badrul didakap sepuasnya seperti dahulu.
"Kau makan banyak-banyak tau? Sebab kau nampak kurus sekarang ni." Badrul risaukan kesihatan Akma.
Tangisan dikesat dengan kekura tangan. Kepala dijatuhkan beberapa kali. Bungkusan makanan itu disambut bahagia.
"Lagi satu nasi tu untuk Nafisah. Tolong beri dia."
Senyuman Akma tidak lekang melihat lelaki itu. Badrul mengambil telefon pintar Akma yang terjatuh tadi.
"Amin, nak nombor kau," ujar Akma separuh berbisik.
Satu nombor telefon disimpan di dalam telefon itu sebelum diserahkan pada Akma.
"Dah, jangan menangis," pesan Badrul. Dia senang melihat Akma begini. Bukannya menyalahkan dia atas kejadian hitam itu.
"Assalamualaikum."
"Waalaikumsalam."
***
votexkomen
***
kesian shahrul nak letak mana
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro