Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 9

"Cancel Grab kau tu," arah AJ sebelum memulakan pemanduan. Deeja sekadar patuh pada arahan. Nak-nak suara AJ keras semacam.

"Kau orang nak pergi mana ni?"

"Kita orang nak pergi hotel."

"Hotel?" Pelik sahaja AJ mendengar jawapan Deeja itu.

"Haah. At least untuk bermalam malam ni. Esok baru cari bilik sewa ataupun rumah sewa yang lain." Itulah cadangan yang dia ada setakat waktu ini.

AJ lepaskan nafas. Banyak benda yang ingin dia tanyakan pada Deeja. Tapi dia tidak mahu terus mengusutkan fikiran Deeja yang nampak sudah sedia kusut itu.

"Kenapa kau tak call aku aje? Kita ni bukan aje rakan sekerja, tapi rumah sewa aku pun selang beberapa buah aje dari rumah sewa kau." Sedikit mendatar suara AJ. Mujurlah dia tergerak hati untuk ke kedai burger. Kalau tidak, pasti tidak akan terserempak dengan Deeja dan Maya dalam hujan.

"Aku tak naklah susahkan kau." Makin perlahan suara Deeja.

AJ genggam stereng kereta.

"Lepas ni kalau ada apa-apa, call aje aku terus."

Suasana mula bertukar sepi. Namun tidak lama kemudian, suara rengekan Adam mula kedengaran. Dari perlahan, suara itu sudah bertukar nyaring.

"Shyyy... Jangan nangis, Adam," pujuk Maya yang sedang mengalirkan air mata.

AJ yang sedang memandu mula rasa tidak selesa mendengar tangisan bayi yang kuat itu. Nafasnya terasa tersekat. Rasa gelisah mampir membuatkan pemanduannya sedikit goyah.

"AJ, kenapa ni? Kau okey ke tak?" Bukan pertama kali dia lihat AJ kegelisahan seperti ini saat mendengar tangisan bayi.

Bimbang memandu dalam keadaan bahaya, AJ hentikan pemanduan di bahu jalan. Mata dipejam. Stereng kereta dipeluk.

"Boleh tak... Boleh tak... Hentikan tangisan dia?"

"Adam... Kenapa ni? Janganlah macam ni?" pujuk Maya. Makin dipujuk, makin kuat pula tangisan Adam.

Dari bahagian depan, Deeja keluar dan masuk ke bahagian belakang. Cuba untuk membantu.

"Maya, macam mana kau nak pujuk emosi Adam kalau emosi kau sendiri tak terpujuk?" Lembut suara Deeja menegur. Walaupun dia belum mengetahui perasaan menjadi seorang ibu, tapi dia boleh tahu Adam menangis kerana berjaya menangkap emosi ibunya.

Tubuh Adam diambil dari dukungan Maya. Tubuh Adam ditepuk lembut sambil mengalunkan zikir. Tak sampai dua minit memujuk, tangisan Adam kembali reda. Dia mula tertidur seperti tadi.

"Kau kena kuat, Maya. Aku tahu kau kuat." Pujukan Deeja kali ini terarah pada Maya pula. Tangan Maya digenggam erat.

"Sorry, Deeja... Aku belum mampu jadi ibu yang baik untuk Adam." Maya lap air matanya. Hari ini seakan-akan berlalu dengan sungguh panjang.

Kali ini pandangan Deeja kembali pada AJ yang berada di bahagian pemandu. Tanda tanya berjuntai di kepala. Kenapa dengan AJ sebenarnya? Apa yang mengganggu lelaki ini? Adakah kerana tangisan Adam?

"AJ, kau okey? Kau nak aku drive ke?" soal Deeja prihatin.

Lambat-lambat AJ angkat kepala dan menggeleng. Apabila keadaan mula tenang, AJ kembali memulakan pemanduan.

Dari dalam kereta, Deeja melihat hala tuju pemanduan AJ yang membelok masuk ke suatu kawasan perumahan elit.

"AJ, kita nak pergi mana ni?" Tak nampak seperti AJ hendak membawa mereka ke mana-mana hotel di bandar.

"Kau orang stay aje dekat rumah ni. Rumah ni tak ada orang," tutur AJ sewaktu kereta masuk ke dalam garaj kereta.

Deeja dan Maya sudah saling berpandangan. Keliru sendiri. Rumah banglo dua tingkat lot tepi ini kepunyaan siapa?

AJ buka dashboard kereta dan mengeluarkan segugus kunci yang memang sentiasa diletakkan di dalam kereta. Kemudian dia menghilang masuk ke dalam rumah.

Lambat-lambat Deeja dan Maya keluar dari perut kereta. Tak berani pula hendak masuk ke dalam rumah.

"Rumah siapa ni, Deeja?"

Deeja angkat bahu.

"Entahlah..."

"Kau perasan tak, Deeja? Kawan kau ni misteri betullah..." komen Maya spontan.

Kepala Deeja terus mengangguk. Mengakui kata-kata Maya itu. Dari dahulu lagi AJ ni memang misteri, tapi makin lama makin misteri pula perangainya.

"Eh, tunggu apa lagi? Masuklah..." arah AJ di muka pintu. Siap pakej dengan berpeluk tubuh.

"Errr... Rumah siapa ni, AJ? Kau pun akan tidur sini ke?" Takut-takut Deeja menyoal. Tapi tak soal lagilah tak sedap.

"Kau nak aku tidur sini ke?"

"Apa punya soalan tu? Mestilah tak nak..." Laju Deeja menjawab siap dengan jelingan tajam.

"Ini rumah pak saudara aku. Sekarang dia studi PhD dekat US. Jadi, dia suruh aku jaga rumah ni. Dari kau orang tidur kat hotel, kau orang duduk ajelah sini buat sementara waktu," jelas AJ ringkas.

"Oh... Tapi tak apa ke kami tinggal sini?"

"Deeja, cuba kau tengok jam. Dah dekat pukul dua belas. Kau tak kehabisan tenaga ke jadi polis pencen tanya soalan macam-macam tu? Kesianlah kat Maya dengan anak dia tu."

Lambat-lambat mereka berdua masuk ke dalam rumah. AJ menunjukkan sebuah bilik di bahagian bawah.

"Maya mesti tak boleh naik tangga sangat, jadi bolehlah guna bilik bawah ni. Bilik ni pun ada bilik air. Deeja, kau boleh guna bilik bahagian atas kalau kau nak."

"Eh, tak apa. Aku kongsi bilik dengan Maya aje. Senang jaga Adam kalau dia terbangun." Cepat-cepat Deeja memintas.

"Okey. Kau orang rehatlah. Apa-apa telefon aku." AJ sudah bergerak ke muka pintu. Tak elok jika berlama-lama di dalam rumah ini.

Cepat-cepat Deeja meletakkan Adam di atas katil sebelum berlari keluar untuk mendapatkan AJ.

"AJ..."

"Ini kunci rumah. Jangan lupa kunci pagar, grille dengan pintu depan ni." Segugus kunci itu dihulur pada Deeja di pintu rumah.

"AJ..."

"Kau dah kenapa berminat sangat dengan nama aku? Jangan-jangan kau dah berminat dengan aku?"

Kening dijongketkan. Dari tadi lagi telinganya menangkap namanya diseru. Deeja nak cakap apa sebenarnya?

"Eee... Perasan betul! Aku cuma nak ucap terima kasih aje sebab dah tolong kita orang," ucap Deeja ikhlas.

"Nanti-nantilah terima kasih kau tu. Aku balik dulu." AJ terus berlalu ke kereta.

Deeja yang berada di muka pintu gigit bibir. Sabar ajelah layan perangai mamat sorang ni. Baru sahaja dia hendak keluar dan mengunci pintu, telefon bimbitnya berbunyi.

AJ?

"Kenapa? Ada tertinggal barang ke?" Pelik sahaja AJ yang baru melepasi pintu pagar itu menelefon dirinya.

"Haah. Tertinggal hati." Jawapan itu terus membuatkan mata Deeja terbuntang. Ayat apakah ini?

"Huh?!"

"Dah. Jangan nak berangan, Deeja. Tadi aku tinggal kunci rumah, kan?"

"Haah." Gugusan kunci di tangannya dibelek.

"Jadi, tunggu apa lagi? Kuncilah pintu tu." Arahan dikeluarkan lagi. Dia hendak pastikan yang Deeja tidak terlupa untuk mengunci pintu pagar.

"Eee... Aku tahulah. Nak kuncilah ni." Telefon dikepit dengan bahu.

"Masuk ke dalam rumah cepat," arah AJ lagi.

"Pergi baliklah. Aku tahulah kerja aku," marah Deeja pula. Geram bila diperlakukan seperti budak-budak.

"Kau ni dari kedai sampai ke rumah lembabnya tak habis-habis, kan? Dah, pergi berehat. Night." Usai habis ayatnya, terus AJ putuskan talian bila memastikan Deeja sudah masuk ke dalam rumah dengan selamat.

Deeja yang berada di hujung talian sudah membara. Lama dipandang telefon sendiri. Geramnya dengan AJ! Mulut tu kalau tak sakitkan hatinya, memang tak sah!

Pagi itu, Deeja bangun dengan senyuman apabila melihat Adam dan Maya yang tidur pulas itu. Adam hanya bangun dan merengek ketika hendak menyusu sahaja.

Alhamdulillah, Allah sebaik-baik tempat untuk meminta pertolongan yang menggerakkan hati AJ untuk membantu mereka. Tak putus-putus dia melafazkan rasa syukur atas bantuan Allah ini.

Usai menunaikan solat subuh, Deeja bergerak ke dapur. Sudah dua hari dia cuti. Nampaknya hari ini dia tetap perlu ke kedai. Bimbang nanti Kak Ju bising pula. Dan sebelum ke tempat kerja, dia perlu ke rumah dahulu untuk mengambil skuter miliknya.

Apa-apa pun, dia perlu sediakan makanan berpantang buat Maya dahulu. Lama dipandang dapur yang agak luas itu. Boleh ke dia pandai-pandai guna dapur ni, ya? Satu lagi, ada ke barang-barang untuk dimasak? Pemilik rumah ini kan ke luar negara, pasti rumahnya tiada sebarang bahan basah atau pun kering.

Agak-agak, ada kedai berhampiran ke tak ya? Deeja berfikir sendiri. Tapi jam baru menunjukkan angka 7.30 pagi. Mestilah kedai tak buka lagi.

Sedang dia berperang dengan fikiran sendiri, loceng pintu rumah berbunyi. Alamak! Siapa yang datang? Entah-entah tuan rumah balik tak? Mesti dia terkejut tengok rumah dia ada orang duduk?

Deeja telan liur yang terasa berpasir.

Tudung disarung ke kepala sebelum bergerak ke pintu rumah. Dan terpacul tubuh AJ di pintu pagar.

Kunci rumah dicapai dan melangkah ke pagar rumah.

"Kenapa kau datang pagi-pagi ni, AJ?"

"Aku nak pastikan kau tak jahanamkan rumah aku," jawab AJ sarkastik. Tapi jawapan itu membuatkan dahi Deeja berkerut seribu.

"Rumah kau?"

Kali ini berubah sedikit air muka AJ.

"Maksud aku, rumah pak saudara akulah."

"Kau ni, kita orang tahulah kita orang menumpang." Ada rasa kecil hati yang menumpang di dalam sudut hati. Kadang-kadang mulut AJ ni memang main lepas sahaja.

"Hah, tak payah nak bela sangat kecil hati tu. Sini, tolong aku angkat barang-barang ni." Tak mempedulikan emosi Deeja, AJ keluarkan arahan seperti biasa. Yang sebenarnya, ayat itu dilontar supaya Deeja tak berfikir yang dia terlebih fikir dengan kebaikannya.

Terbuntang biji mata Deeja melihat boot kereta yang penuh dengan bahan basah dan kering.

"Untuk apa semua ni?"

"Deeja, pagi-pagi ni aku malas nak bergaduh dengan kau sebab aku faham otak kau bukan berfungsi sangat pun. Jadi, aku jawab ajelah memandangkan kau malas nak berfikir. Mestilah barang-barang ni untuk kegunaan kau orang. Rumah tu bukannya ada apa-apa barang pun."

Deeja gigit bibir. Eee... Mamat ni sempat lagi nak mengutuk dirinya! Tapi cepat Deeja membantu menjinjit barang-barang yang dibelikan oleh AJ.

"Bila kau beli semua barang ni? Kedai mestilah tak buka lagi, kan?"

"Tengoklah plastic bag tu tulis LYC. Pasar raya tu kan buka dua puluh empat jam." Menyambut kata-kata AJ, terus matanya merayap di plastic bag. Betullah kata AJ, otaknya tak berfungsi pagi-pagi ni.

"Aku dah belikan breakfast untuk kau orang. Aku beli roti canai favourite kau..."

"Eh, AJ... Maya kan pantang. Mana boleh makan roti canai," bidas Deeja cepat.

Kali ini, mengecil mata AJ menoleh pandang ke arah Deeja.

"Aku cakap untuk kau, kan? Untuk Maya sah-sahlah aku beli benda lain. Ada nasi himpit sambal ikan. Aku tanya mak cik yang jual tu, dia cakap boleh makan untuk orang pantang," jawab AJ sambil laju memasukkan barang-barang yang berkaitan ke dalam peti. Ada sesetengah barang pula dimasukkan ke dalam kabinet. Cekap sahaja perbuatannya.

"Lapan setengah aku ambil kau semula pergi kedai. Sempat tak kau nak masakkan tengah hari untuk Maya?"

"Eh, tak apa. Aku boleh pergi kedai sendiri." Sudah cukup banyak dia susahkan AJ. Mukanya terasa seperti sudah tebal benar.

"Okey. Aku ambil lapan setengah," putus AJ sebelum keluar dari rumah. Langsung tak dipedulikan bantahan Deeja itu.

Deeja pandang sahaja belakang tubuh AJ yang menghilang di balik pintu itu. Dari mana munculnya lelaki ini? Tiba-tiba sahaja dia sudah membawa kesan yang besar dalam hidup seorang Siti Khadeeja.

Tiba-tiba teringat satu quote dari novel Shinyu.

"There's a massage in the way a person treats you..."

Adakah kebaikan AJ bermaksud sesuatu? 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro