Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 8

Air mata tak putus-putus mengucupi pipi. Sungguh tak sangka papa benar-benar membuangnya setelah dia membuat keputusan untuk menjaga anaknya. Tapi dia tak boleh salahkan papa. Dalam hal ini, dia tidak berhak untuk merasa terluka atas layanan papanya.

"Dahlah. Ibu bersalin tak elok emosi sangat," pujuk Deeja sambil mengelap air mata di pipi sahabatnya.

"Lagipun kau tengah susukan baby. Nanti emosi tu baby dapat rasa." Tangan berubah mengusap kepala si kecil.

"Aku banyak susahkan kau, Deeja." Maya tidak tahu bagaimana hendak dia sorokkan malunya pada Deeja. Sudahlah membantunya ketika melahirkan anak, malah Deeja juga masih membantunya ketika dia dibuang keluarga.

"Susahkan aje aku sebanyak mana kau nak, Maya. Kita kan kawan." Deeja tersenyum. Tapi tidak lama sebelum senyuman itu pudar sendiri.

"Aku minta maaf, Deeja." Rasa sebak yang menghuni dada, memang sukar untuk disembunyikan.

"Aku akui, aku terkilan sebab kau tak cerita masalah kau ni dari awal." Mungkin jika Maya ceritakan dari awal, dia tidak terlalu terkejut sebegini. Malah dia pasti akan bantu Maya membuat persediaan dengan lebih baik.

"Aku malu. Aku takut. Aku takut kau benci aku. Setiap malam aku bimbang memikirkan nasib aku dengan anak aku. Macam-macam yang aku fikir, Deeja. Pernah juga aku rasa macam nak bunuh diri. Nak bunuh anak aku..." Bicaranya tergantung bila esakan sudah menjadi gantinya.

Kali ini Deeja membiarkan Maya melepaskan rasa yang terbuku di dalam dada.

"Jadi, aku tak nak kau tanggung beban ni. Aku tak nak kau hilang selera makan fikirkan pasal aku. Aku tak nak tidur kau terganggu fikirkan pasal aku. Aku kenal kau, Deeja. Kau akan dahulukan orang lain lebih daripada diri sendiri. Aku yang berdosa, jadi... Aku tak nak kau tanggung akibat daripada dosa aku walaupun akhirnya, aku tetap susahkan kau. Aku tetap... Susahkan kau."

Terenjut-enjut bahu Maya melampiaskan tangis.

Tak membiarkan Maya bersedih sendiri, Deeja terus menarik tubuh Maya ke dalam pelukannya. Bahu sahabatnya ditepuk lembut. Cuba menenangkan.

"Terima kasih sebab fikirkan tentang aku, Maya. Hanya Allah aje yang tahu betapa aku sayangkan kau banyak mana. Jadi, lepas ni jangan simpan semuanya sorang-sorang lagi, Maya. Kongsi aje semua kesakitan kau dengan aku..." pujuk Deeja lembut.

Maya lepaskan pelukan. Wajah Deeja dicari.

"Lepas apa yang jadi, kau tak bencikan aku?"

Takut-takut soalan itu dihulur. Bimbang dengan jawapan yang bakal diterima.

Deeja senyum.

"Aku benci dosa yang kau lakukan. Tapi itu tak dapat menutup kasih sayang aku pada kau."

"Jujur, Deeja. Aku pernah terlanjur sekali aje. Sekali aje aku terpedaya dengan tipu daya syaitan. Sekali aje, Deeja. Tapi sebegini hebat Allah hukum aku."

Matanya sudah bengkak kerana terlalu banyak menangis. Tapi apa pilihan yang dia ada selain meratapi kebodohan diri?

Maruah keluarga, dia calarkan. Kepercayaan keluarga, dia hancurkan. Yang tinggal hanya kekecewaan.

"Jangan rasa ini hukuman Allah, Maya. Sebenarnya Allah tegur dan selamatkan kau daripada melakukan dosa yang sama berulang kali. Kau rasa kalau kau tak mengandung, ada kebarangkalian tak kau ulang dosa kau?" provok Deeja supaya akal Maya berfikir.

"Mungkin kalau kau tak mengandung, kau akan ulang dosa yang sama. Kau akan rasa nikmatnya sebuah kemaksiatan. Tapi sebab Allah sayang kau, dia selamatkan kau. Dia selamatkan anak kau. Dan dia juga selamatkan kau daripada lelaki tak guna macam Amran tu."

Tak dapat bayangkan jika Amran hendak bertanggungjawab. Bagaimana Maya nak hidup dengan lelaki dan wanita seperti Puan Rosnah itu? Mahu terlingkup hidup gamaknya.

"Terima kasih, Deeja. Terima kasih sebab terima aku pada saat semua orang buang aku." Terasa ingin melutut di kaki Deeja sekarang. Beruntungnya dia memiliki sahabat seperti Deeja.

"Dahlah. Sekarang ni baik kita fikir ke depan. Esok kita kena daftar nama baby. Dah fikir ke nak bagi nama apa kat anak angkat aku ni?" Deeja ceriakan suasana. Matanya menangkap si kecil yang sedang nyenyak tidur itu. Comel betul.

"Kau ajelah bagi cadangan, Deeja. Kau kan bidan terjun merangkap mak angkat dia." Maya memberi izin. Sudah boleh tersenyum sedikit.

"Betul ke? Hmmm... Nak bagi nama apa, ya?" Jari telunjuk menari di dagu. Berfikir.

"Remy Ishak?"

Maya garu leher yang tidak gatal.

"Aduh, Deeja. Dalam banyak-banyak nama..."

Pecah tawa Deeja. Suka melihat Maya sudah boleh tersenyum. Lega. Adalah penting untuk dia menjaga emosi Maya supaya tidak dijamah kemurungan.

"Saja usik. Remy kan nama suami aku. Mana boleh nama yang sama. Nanti aku panggil Remy, dua-dua pula menyahut." Deeja dah mula nak berdrama.

"Kau ni tak habis-habis dengan Remy kau tu, kan? Dia tu tunangan orang."

"Isy kau ni, aku tahulah. Tak perlulah nak ingatkan aku banyak kali. Sakit tu Tuhan aje yang tahu."

Mulut dimuncungkan. Sempat lagi nak berdrama Deeja oittt...

"Cepatlah aunty, apa nama saya?" Maya kecilkan suara. Seperti mewakili suara si kecil yang tidur.

"Hmmm... Apa kata kita namakan dia Adam?"

"Adam? Sedap." Maya tersenyum sambil menatap mata Deeja yang sentiasa penuh kasih sayang itu. Matanya jatuh pula pada Adam. Entah apalah yang menanti Adam dalam hidup nanti? Adakah bila Adam besar nanti, dia akan persoalkan status dirinya? Dan apa jawapan yang dia boleh berikan? Argh... Ada baiknya jika dia tidak terlalu berfikir.

"Nyenyak betul dia tidur. Spesies kau ni, Maya... Kalau dapat tidur, terus tak ingat dunia," bebel Deeja sengaja gamatkan keadaan. Sedang mereka saling bertukar tawa, pintu bilik ditolak kasar dari luar.

Terpacul wajah Kak Jamilah dan Rita.

"Eh, Kak Milah? Ada apa akak datang rumah malam-malam ni?" Deeja terus bangun dari duduk. Terkejut juga dengan kedatangan pemilik rumah yang mereka sewa ini.

"Ada apa kau tanya? Aku datang melawat sebab dengar kata, ada orang baru lepas bersalin anak tak sah taraf!" Macam petir sahaja suara Kak Jamilah. Rita yang berada di belakang sudah tersengih jahat. Akhirnya berjaya juga dia umpan dua orang ini untuk keluar dari rumah.

Deeja gigit bibir. Sah! Ini mesti kerja Rita tak guna ni.

"Kak..."

"Ini ke babynya? Alalala... Comel juga anak haram ni, ya?" Sinis suara Kak Jamilah memerli.

"Kak Milah... Saya hormat akak sebagai tuan rumah sewa ni. Tapi satu aje saya nak cakap, tolong jangan melampaui batas sangat." Deeja sudah ketapkan bibir. Kemarahan sudah menular dalam hati. Tak ada seorang pun yang diberikan kebenaran untuk mencerca atau mencaci manusia lain. Tak kiralah dengan cara bagaimana sekalipun seseorang itu lahir.

"Aku pula yang melampaui batas?" Air wajah Kak Jamilah terpinga-pinga. Suka dapat mencabar Deeja.

"Apa-apa pun, aku nak kau orang berdua keluar dari rumah sewa aku sekarang. Aku tak nak orang cop rumah sewa aku ni sebagai kawasan untuk ternak anak haram!"

"Kak Milah!" Kali ini suara Deeja naik satu oktaf. Kata-kata Kak Jamilah memang keterlaluan. Pandangannya bertukar ke arah Rita pula.

"Ini mesti kerja kau kan, Rita? Apa yang kau tak puas hati sangat dengan kita orang?" Dari dahulu lagi Rita sentiasa cari masalah dengan mereka berdua.

"Eh, kau tak payah nak marah-marah Rita. Aku patut ucap terima kasih pada Rita sebab beritahu hal sebenar sebelum jiran tertangga berfikir yang bukan-bukan. Tunggu apa lagi, keluar dari rumah sewa ni. Aku tak nak anak haram ni duduk di dalam rumah aku. Sebab biasanya anak haram ni bawa sial!" tempelak Kak Jamilah kuat.

Deeja gigit bibir.

"Kami masih bayar sewa, kak. Akak tak berhak nak halau kami keluar dari rumah ni. Lagi pun kita ada perjanjian yang mengikat."

Kak Jamilah keluarkan telefon. Sudah berkira-kira untuk membuat rakaman.

"Kau pilih, Deeja. Kau nak ikut perjanjian itu ke atau nak aku viralkan pasal Maya dengan anak haram dia tu? Biar viral satu Malaysia tahu yang Maya lahirkan anak haram!"

Penumbuk dikepal. Ya Allah, tolong sabarkan aku. Adakah aku terlalu lembik atau dunia ini yang terlalu kejam?

"Baiklah. Saya dengan Maya akan keluar dari rumah ni. Tapi bagi kami bermalam malam ni aje. Esok pagi kami akan keluar. Lagi pun, akak tak kesian ke kat baby tu? Mana kami nak pergi malam-malam ni?" Kali ini Deeja kendurkan suara. Memujuk.

"Eh, itu bukan masalah aku. Apa pun yang jadi, aku nak kau orang keluar malam ni juga!" tengking Kak Jamilah kuat.

"Saya yang salah, kak. Deeja tak ada kena-mengena dengan hal ni. Jadi biar saya aje keluar." Kali ini Maya sudah bersuara. Sudah terlalu banyak dia susahkan Deeja. Takkan dia nak tambahkan beban di bahu Deeja lagi?

"Jom Maya, kita keluar dari rumah ni. Aku pun tak teringin nak duduk di dalam rumah puaka ni," putus Deeja muktamad. Buat apa duduk di sini dan berhadapan dengan Rita yang muka bertalam-talam ni?

"Aku bagi masa kau sepuluh minit aje untuk berkemas," ujar Kak Jamilah sebelum meninggalkan bilik.

Rita yang sedari tadi memerhati tak henti-henti tersenyum.

"Kesian kau orang... Belum apa-apa lagi budak ni dah bawa sial."

Deeja tahan sabar melihat perangai Rita. Tapi cepat-cepat disusun emosinya. Dia tak boleh layan amarahnya pada Rita. Yang lebih penting sekarang ini, ke mana mereka hendak pergi malam ni?

Adakah perlu untuk dia pulang ke rumah ayah? Tapi... Kenapa Deeja rasa itu bukan idea yang baik.

Sewaktu tangannya laju mengemas barang-barang dan mengambil sekadar yang perlu sahaja, otaknya juga selaju itu. Selepas ini mereka perlu menaiki Grab dan bermalam di hotel sahaja. Itu sahaja solution yang Deeja ada.

Kalau ayahnya normal seperti ayah orang lain, mungkin dia boleh bawa Maya ke rumah. Tapi sayangnya, keluarga dia tak macam keluarga orang lain.

"Kau jangan risau ya, Maya? Aku dah booking Grab. Lepas ni kita tidur di hotel dulu. Esok kita cari rumah sewa atau bilik sewa." Deeja tenangkan sahabatnya.

"Deeja, kenapa kau kena susahkan hidup kau dengan aku? Biar aku aje yang pergi," halang Maya. Cukup-cukuplah dia susahkan Deeja.

"Maya, berjuang seorang diri tu memang menyakitkan. Jadi aku selalu cakap pada diri sendiri yang aku tak akan biar orang lain rasa benda tu. Apatah lagi kau. Jadi, jom kita berjuang bersama-sama." Digenggam erat tangan Maya. Cuba meyakinkan.

"Deeja..." Maya sudah menangis.

"Dah, sekarang bukan masa yang sesuai untuk menangis. Jom." Beg miliknya dan Maya digalas ke bahu.

Sewaktu berkira-kira hendak keluar dari rumah, baru Deeja perasan cuaca di luar sedang gerimis. Grab masih belum munculkan diri.

"Kak Milah... Barang selebihnya saya akan ambil nanti."

"Hah, tunggu apa lagi? Keluarlah..." desak Kak Jamilah. Dia juga sudah hendak pulang ke rumah. Tapi adalah penting untuk dia memastikan kedua-duanya berambus dari rumah ini terlebih dahulu.

"Tunggu kejap, kak. Kami tunggu Grab datang. Luar tu kan hujan. Nanti baby kena tempias pula," jelas Deeja lagi. Cuba bersabar walaupun dilayan kasar. Ke mana perginya nilai kemanusiaan yang sepatutnya ada pada seorang manusia?

"Eh, bukan masalah akulah kalau anak haram tu kena hujan ke tak? Yang penting aku nak pastikan kau orang berdua keluar dari rumah aku!"

Maya bawa Adam rapat ke dada. Perkataan anak haram itu sangat merobek jiwa seorang ibu.

"Deeja, jomlah..."

Telinganya sudah tidak mampu untuk menepis hinaan demi hinaan itu. Ini baru dua hari Adam dilahirkan. Kuatkah dia untuk menghadapi hari-hari depan yang belum tahu cuacanya itu?

Deeja menunduk dan mengeluarkan sesuatu dari beg pakaiannya. Jaket pemberian lelaki misteri itu dibalut ke tubuh Adam. Tidak mahu Adam kesejukan. Lambat-lambat Deeja capai payung dan bergerak keluar dari garaj kereta. Nampaknya mereka perlu menunggu di bus stop yang berhampiran.

Walaupun hujan tidak lebat, tapi angin malam tetap terasa dingin. Deeja paut bahu Maya agar tidak jauh darinya. Dipastikan payung dapat memayungi tubuh Maya dan Adam.

Pin! Pin! Pin!

Oh, pasti itu Grab yang ditempah. Deeja pusing ke belakang. Namun matanya menangkap kereta milik AJ.

AJ keluar dari kereta dan mendapatkan kedua-duanya.

"Kau orang nak pergi mana malam-malam ni?" Wajah yang terkena tempias hujan disapu.

"Kita orang kena halau." Perlahan sahaja suara Deeja.

"Hah?! Siapa yang halau? Dah... Masuk kereta aku."

"Kejap lagi Grab datanglah, AJ." Jujur, dia sudah terlalu banyak menyusahkan AJ.

"Masuk sekarang!" Suara AJ keras semacam. Langsung tak ada kompromi. Lambat-lambat mereka bergerak masuk ke dalam kereta sebelum hujan jadi lebih lebat. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro