Bab 7
Masuk sahaja ke dalam kedai, Naim sudah memandang mereka semacam. Mana tak semacam bila mereka berdua sama-sama ke kedai pagi ini. Semalam pula mereka sama-sama keluar dari kedai.
"Amboi merpati dua sejoli ni, seronok ke dating semalam?" usik Naim walau dia tahu perkara sebenar. Sengaja mengusik.
"Kau dah kenapa?" Hampir serentak dialog itu keluar dari mulut Deeja dan AJ. Mata kedua-duanya terus saling berpandangan. Ikut turut terkejut.
"Wow! Kuat betul chemistry kau orang ni," tambah Naim lagi. Tersengih-sengih.
Tanpa mempedulikan usikan Naim, AJ terus ke bahagian pantri. Naim yang berselisih dengan lelaki itu sedikit tercengang.
"Eh Deeja, kenapa dengan muka AJ tu? Macam kena tumbuk aje," bisik Naim sedikit musykil. Dia tahulah serba sedikit cerita tentang Maya. Tapi, apa cerita pula tentang muka AJ yang bengkak itu.
Soalan Naim itu buat otak Deeja berkelip. Haah, semalam kan AJ kena tumbuk dengan Dato Jaafar. Pasti muka lelaki itu masih belum diletakkan ubat. Macam manalah dia boleh lupa?
"Eh Naim, first aid ada kat mana, ya?"
"Ada dalam laci kat dapur."
"Okey, thank you." Soalan Naim tadi dibiarkan tak bersambut. Kakinya terus berlalu ke pantri dan mengeluarkan first aid. Lambat-lambat Deeja merapati AJ yang sedang sibuk mengemas barang-barang.
"AJ..." Lambat-lambat suara keluar dari anak tekak.
"Hmmm..."
"Duduk sini kejap."
Terhenti kerja-kerja AJ. Pelik dengan permintaan Deeja itu.
"Buat apa?"
"Sinilah..." Kerusi di bahagian pantri itu ditarik.
Lambat-lambat AJ menurut. Apabila dia duduk, tangan Deeja terus sibuk mengeluarkan isi ubat di dalam first aid. Cotton bud disapu krim ubat supaya dapat mengubati hujung bibir AJ yang pecah.
Namun belum sempat cotton bud itu sampai di bibirnya, AJ sudah melarikan tubuhnya ke belakang. Terkejut!
"Isy... Duduklah diam-diam. Aku nak sapu ubat ni," bebel Deeja geram.
"Erk... Aku boleh buat sendiri, kan?" Tapak tangan ditadah. Tak mungkin dia akan membiarkan diri mereka sedekat ini.
Sesaat.
Dua saat.
Muka Deeja bagai disimbah rasa malu.
"Oh... Haah, kan?" Ya Allah, kenapa aku tak malu sangat ni? Betullah kan AJ boleh buat sendiri. Kenapa pula aku terlebih hormon penyayang ni? Aiyooo...
"Kau jangan ingat aku baik sangat tau! Aku cuma serba salah sebab kau kena tumbuk dengan Dato Jaafar masa teman aku selamatkan Maya." Laju sahaja otak Deeja bergerak. Tak mahu disalah tafsir oleh AJ.
"Thanks," ucap AJ ringkas dengan senyuman pendek.
Kepala Deeja terangguk sebelum dia tolak kerusi ke belakang. Ingin mengundur diri dari rasa kekok yang membelit mereka.
"Deeja..." Nama gadis itu terlepas dari mulut AJ.
"Ya..."
"Kau... Tunggu kejap," tahan AJ pula sebelum bangun meninggalkan tempatnya.
Tangan Deeja lincah mengemas barang first aid yang dikeluarkan tadi. Belakang tangannya yang bengkak itu dipegang. Ubat apa yang sesuai nak hilangkan sakit ni, ya?
"Letak tangan kau atas meja," arah AJ setelah kembali mendapatkan tempatnya.
"Huh! Kenapa nak letak tangan? Kau nak periksa kuku aku ke apa?" Spontan terkeluar dialog bodoh itu dari bibir Deeja.
"Periksa kuku apa kejadahnya? Kau ingat aku cikgu disiplin ke?" Anak mata dijeling ke atas. Geram dengan soalan Deeja yang macam orang tak ambil SPM.
Lambat-lambat Deeja labuhkan tapak tangan di atas meja makan.
"Arahan simple macam tu pun otak kau tak boleh terima ke?" bebel AJ geram. Beg ais yang diambil tadi diletakkan di atas belakang tangan kanan Deeja. Dia perasan tangan Deeja yang bengkak itu. Pasti kesan daripada tumbukan semalam.
"Ais ni sesuai untuk kurangkan lebam dan bengkak. Mesti tangan kau sakit lepas tumbuk Amran semalam, kan?" Sedikit sebanyak, kagumnya meningkat dengan Deeja. Memang patut pun mamat kurang ajar tu dapat tumbukan daripada Deeja. Baru dia rasa penangan perempuan.
Mulut Deeja sedikit melopong. AJ perasan?
"Kau juga cakap, kan... Jadi perempuan tak boleh lemah sangat. Elok juga dia dapat penumbuk sulung daripada aku. Tapi rupa-rupanya tumbuk orang pun sakit, ya? Mujurlah tak patah. Kalau patah, kat manalah bakal suami aku nak sarung cincin nanti?" Deeja mula berdrama. Yang sebenarnya untuk menghilangkan kekok bila AJ melayannya dengan baik.
AJ sembunyikan senyum. Deeja dengan dramanya yang berpisah tiada.
"Oit, tak payah nak drama queen sangatlah!"
Deeja lepaskan tawa.
"Thanks, AJ. Baik juga kau ni, ya?"
"Aku tak baik. Aku cuma tak nak berhutang kebaikan dengan kau aje. Kan kau bagi ubat untuk aku tadi," balas AJ senada.
Deeja mencebik.
"Tapi lain kali jangan berani sangat nak tumbuk lelaki. Bahaya. Kalau semalam buatnya Amran tarik kau masuk rumah dia, tak ke bahaya? Hilang nak selesaikan masalah, lagi tambah masalah," bebel AJ rasional. Bimbang juga jika Amran berdendam dan mencari Deeja di luar nanti.
Kali ini dahi Deeja dah berkerut.
"Kau ni peninglah, AJ. Dulu kau cakap jangan lembik sangat. Hari ni kau cakap jangan berani sangat. Sebenarnya kau nak apa? Eloknya, kau yang dapat penumbuk sulung aku."
"Kau nak tumbuk aku?" soal AJ berani.
"Kenapa tak?"
"Nah, cubalah tumbuk..." AJ halakan wajahnya dekat ke arah Deeja. Namun Deeja yang terkejut terus menarik tubuhnya ke belakang hingga membuatkan kerusi yang diduduki hilang imbangan. Dan akhirnya...
Gedebuk!
"Deeja!" Terbeliak matanya melihat Deeja jatuh ke belakang begitu.
Mata Deeja berkelip berulang kali memandang siling kedai. Ya Allah, adakah aku baru lepas jatuh terlentang? Di hadapan AJ?
"Kau okey?" Suara AJ terkandung rasa risau. Lututnya direbahkan di sebelah Deeja. Tak sangka gurauannya membuatkan Deeja jatuh begini. Tangannya pula tak sempat untuk mencapai Deeja daripada terjatuh.
Lambat-lambat Deeja angkat tubuh. Mukanya blur.
"Deeja, kau okey ke tak ni?" AJ serba salah sendiri. Hendak memegang Deeja, batas menghalangnya.
"Huwaaa..." Tangisan kecilnya pecah. Tangisan yang membuatkan AJ bertambah panik. Apatah lagi bila gadis itu melungkupkan kepalanya di bawah lutut.
"Deeja, sakit sangat ke? Mari aku hantarkan kau ke klinik." Bimbang juga jika ada kecederaan dalaman di kepala Deeja. Tapi takkanlah...
Diam. Tiada sebarang balasan daripada Deeja. AJ dah garu kepala sendiri. Hampir sahaja dia ingin menjerit memanggil nama Naim.
"Deeja, kalau kau menangis sebab sakit sangat, biar aku hantar kau ke klinik. Tapi kalau kau menangis sebab malu..." Hujung kata-katanya sengaja digantung.
Jeda.
"Kalau kau malu, kau masuklah menyorok dalam hati aku. Aku janji tak akan ada orang tahu," pujuk AJ lembut menggunakan kaedah psikologi.
Huwaaa... Ayat mamat sebelah ni sekarang buat Deeja rasa lagi malu. Apa nak buat ni? Nak pergi klinik ke atau nak masuk dalam hati AJ, ya?
"Aku okeylah." Hujung matanya dikesat. Macam mana boleh termenangis pula ni? Aduh!
"Betul ke okey ni? Tak nak pergi klinik?" tanya AJ lagi. Nadanya penuh dengan kebimbangan.
Deeja menggeleng. Memang tiada sebarang rasa sakit yang ada. Yang ada cuma rasa terkejut sahaja. Wajah lelaki itu langsung tak dipandang.
"Masuk dalam hati aku pun tak nak?" usik AJ lagi. Kali ini dengan senyuman di pipinya. Sejak bila pula Deeja ada versi comel-comel begini? Atau yang sebenarnya... Dia yang sering menidakkan kecomelan Deeja.
"Hati kau tu gelap macam gua! Tak ingin aku!" jawab Deeja kasar sebelum menghilang ke ruang depan. Ya Allah, alangkah bagusnya jika dia ada kuasa untuk lesap saat ini juga.
Ada senyuman yang menerpa wajah AJ. Namun tidak lama bila rasa itu kembali ditepis.
Walaupun sedang bekerja, Deeja asyik teringatkan Maya di hospital. Entah apalah ceritanya! WhatsApp yang dihantar tadi pun tidak dibalas oleh Maya.
"Oit, berangan pula ke?!" sergah Naim sengaja.
Menyambut wajah Naim, terus Deeja melafazkan rasa syukur.
"Naim, terima kasih ya tolong cover aku semalam. Nanti aku belanja kau Latte kesukaan kau. Aku bertuah sangat ada kawan yang baik macam kau tau!" Terharu betul dengan semua pertolongan Naim. Semua tempahan semalam digubah oleh Naim. Malah Naim juga mengambil alih tugas AJ sementara adiknya Naimah menjaga kedai sebentar. Mujur Kak Ju tak bising.
"Belanja Latte aje buat apa?" Naim mencebik.
"Habis tu kau nak apa? Kau cakap aje. Tapi jangan mahal-mahal sangat tau. Tak pun kalau mahal, tunggu waktu gaji, ya?" Deeja tayang muka kesian.
"Hmmm... Apa kata kalau belanja nasi minyak kenduri kahwin kau dengan AJ?"
Kali ini terbeliak biji mata Deeja. Leher meninggi memandang ke pintu belakang. Tidak mahu AJ mendengar kata-kata Naim itu. Lagi pula, dia sudah cukup malu dengan lelaki itu hari ini.
"Kau dah kenapa, Naim? Dia tolong aku secara kebetulan ajelah. Suka betul gosipkan aku dengan AJ tu."
Naim lepas tawa sahaja. Entah bilalah AJ dan Deeja akan sedar bahawa mereka sebenarnya saling suka antara satu sama lain? Matanya sudah lama jadi saksi pada love hate relationship ini.
Bunyi beep daripada Vivo 7 plus mengalih perhatian Deeja. Lantas WhatsApp dibaca. Berubah sedikit air muka Deeja.
"Deeja, kau kenapa?" Pelik dengan reaksi wajah Deeja yang bertukar kelabu itu.
"Naim, aku nak keluar kejap. Aku kena pergi ke hospital ambil Maya."
"Ai, kenapa kau yang kena ambil? Mak ayah dia mana?" soal Naim penuh tanda tanya.
"Keluarga dia dah buang dia." Berdasarkan mesej yang diterima. Dato Jaafar sudah membuang Maya apabila Maya memutuskan untuk menjaga si kecil.
Ya Allah, selepas ini apa yang bakal menanti mereka?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro