Bab 6
Suasana kelihatan tegang antara dua keluarga. Tangan Dato Jaafar sudah ringan sahaja hendak menumbuk muka Amran. Tapi ditahan amarahnya. Bosan dengan kebisuan yang tak berpenghujung ini, Dato Jaafar mula bersuara.
"Sekarang ni macam mana? Dah pandai buat anak, pandailah bertanggungjawab."
Rata-rata yang menunduk terus mengangkat kepala. Lebih lebih lagi Puan Rosnah. Tuhan sahaja tahu apabila menerima WhatsApp daripada anak lelakinya tadi. Mujur tak kena serangan jantung. Tapi rupa-rupanya WhatsApp itu ditulis oleh orang lain? Berani betul hantar mesej begitu kepadanya.
"Anak sendiri yang tak pandai jaga maruah, nak salahkan anak lelaki kita pula," provok Puan Rosnah memeluk tubuh. Dia akui anaknya nakal, tapi tak mungkin anaknya akan melebihi batas.
Dato Jaafar sudah bangun dari duduk. Kakinya sudah mendekati lelaki tak guna itu. Tapi cepat sahaja Amran menyorok di belakang ibunya.
Maya makin menunduk. Takut dengan segala kemungkinan. Tangannya terketar-ketar. Matanya sudah bengkak kerana terlalu banyak menangis.
"Dato jangan nak marah anak saya, ya? Dato yakin ke yang budak ni hasil daripada benih anak lelaki saya? Entah-entah budak ni hasil daripada benih lelaki lain? Anak kita pula yang dipersalahkan," bela Puan Rosnah lagi. Mukanya sombong. Suaranya angkuh.
"Lagipun bila saya tengok muka budak ni, tak ada rupa macam anak lelaki saya pun. Yalah, kalau betul cucu saya, mestilah rupa dia macam anak lelaki saya, kan?" tambah Puan Rosnah lagi. Tak mahu kalah. Wajah si kecil sekadar dipandang dari jauh. Sikit pun dia tak rasa ingin memegang. Jijik.
Tangisan Maya yang jatuh sudah bertukar esakan. Sungguh hatinya begitu terluka dengan tiap satu bicara daripada ibu Amran. Benar kata orang. Balik-balik, wanita juga yang akan menanggung akibatnya. Dan paling sayu, rasa sakit dalam hati datang dari mulut seorang wanita juga.
"Am... Kenapa kau diam aje? Kenapa kau tak mengaku ni anak kau?" Geram dikutuk dan dicaci, Maya memberanikan diri untuk bersuara. Memang patut papa marah kerana dia sudah mencalarkan maruah keluarganya. Sudahlah pula, maruah si anak dipijak-pijak oleh ibu lelaki.
"Am tak tahu apa yang Maya cakap. Memang betul pun ni bukan anak Am... Yalah, mana Am tahu kalau Maya pun ada bersama dengan lelaki lain? Takkan Am pula yang kena bertanggungjawab." Mudah jawapan balas daripada Amran. Mujurlah emak menyebelahinya. Tidaklah dia rasa takut sangat berhadapan dengan ayah Maya yang sedari tadi bagai hendak menelannya.
"Amran!" Maya kancing gigi menahan amarah. Amran sendiri tahu dia lelaki pertama. Amran sendiri bangga kerana berjaya menakluki kesuciannya. Sampai hati Amran...
Deeja yang mendengar segalanya menjadi sedih. Sedih melihat hidup sahabatnya rosak di tangan lelaki durjana seperti Amran. Malah semua beban yang ada seakan-akan hanya perlu dipikul oleh kaum wanita. Bukan itu sahaja, keluarga lelaki pula tegar membela si anak. Bukannya nak sekolahkan anak sendiri.
Ingin sahaja Deeja menumbuk Amran seperti tadi. Kakinya sudah melangkah setapak, tapi cekap sahaja tangan AJ menarik hujung lengan bajunya. Nampak lelaki itu berulang kali menggelengkan kepala.
AJ hantar isyarat mata. Tidak mahu Deeja mengeruhkan lagi keadaan yang sudah sedia keruh.
Dato Jaafar memandang anaknya. Bibirnya herot dengan senyuman sinis sebelum bertepuk tangan.
"Tahniah, Maya. Kau tengoklah apa yang kau dah buat!"
Maya tundukkan kepala.
Dato Jaafar mengubah anak matanya ke arah lelaki yang merosakkan anak perempuannya.
"Baik. Tak nak mengaku sangat, kan? Kita buat ujian DNA. Biar semua orang tahu siapa bapak budak ni!" tegas Dato Jaafar mengarah.
"Mak... Memang bukan anak Am. Tak payah susah-susah buat ujian DNA." Amran sudah ketakutan. Bahu si emak digoncang. Minta bantuan kecemasan.
"Dato tak dengar ke yang anak saya cakap tak? Maknanya taklah..." bela Puan Rosnah lagi.
"Sekarang aku faham kenapa anak kau ni bodoh. Sebab menurun dari kebodohan mak dia rupa-rupanya." Kemarahannya tidak disimpan lagi. Berang.
"Mulut Dato baik-baik sikit, ya..." Jari sudah naik menghala ke wajah Dato Jaafar.
"Dah memang betul. Anak laki kau tu pandai sedekah sperma aje. Eh, bila aku tahu perangai anak kau macam ni, aku pun tak ingin nak bermenantukan lelaki tak guna macam kau ni. Kau dengan keluarga kau memang sama-sama sampah!" lempar Dato Jaafar. Kali ini kemarahannya sudah berkurang berganti pula dengan rasa lega.
"Dato jangan nak kurang ajar, ya!" Jika Dato Jaafar ini perempuan, sudah lama ditonyoh-tonyoh mulut lelaki itu. Adakah kerana Dato Jaafar berpangkat Dato, dia fikir orang lain akan takut padanya?
"Kalau kau pandai sangat jaga anak, ajarlah anak kau supaya bertanggungjawab dengan apa yang dia buat. Ini kau bela dia lagi. Percayakan anak tu memang bagus, tapi bila terlebih percaya, memang menjahanamkan anak sendiri. Aku akui, pada mulanya aku memang nak anak kau kahwin dengan anak aku. Tapi bila tengok perangai anak kau dan perangai kau sekali, tak perlulah kita nak tutup aib ni. Sebab aku bimbang banyak lagi aib yang perlu aku tanggung lepas ni," tegas Dato Jaafar geram.
Deeja geleng kepala. Puan Rosnah dan Dato Jaafar bergaduh bagaikan anak kecil. Sepatutnya mereka berdua menjadi contoh buat anak-anak. Bertekak tak akan selesaikan apa-apa masalah.
Puan Rosnah gigit bibir. Semua ini memang satu penghinaan buat keluarganya.
"Kalau dah rasa keluarga Dato mulia sangat, bolehlah keluarga Dato jaga cucu Dato ni sendiri. Jangan gatal-gatal nak claim bil dengan saya nanti. Amran, jom balik!"
Apabila Puan Rosnah dan Amran meninggalkan wad, suasana yang tadinya sunyi jadi makin sepi.
"Maafkan Maya, papa. Maya tahu Maya salah. Maafkan Maya." Tenggelam timbul sahaja suara Maya kali ini. Ingin sahaja dia mendekati si bapa, tapi dia tak punya keberanian. Dia juga tahu, kemaafan ini tak akan mengubah apa pun.
"Kau tak ada otak ke, Maya? Kau tak boleh fikir baik buruk ke? Kalau kau kenangkan maruah keluarga kau, mesti semua ni tak akan jadi macam ni." Kali ini suara Dato Jaafar sudah tidak sepetir tadi. Nadanya sudah rendah tapi penuh dengan kekecewaan. Dia dan isterinya sibuk dengan kerja, anaknya pula sibuk menjalang!
"Ampunkan Maya, papa..." Lambat-lambat Maya mendekati si ayah. Sakit yang mencengkam ditahan sepenuh daya. Walaupun dalam kesakitan, dia tetap ingin melutut. Apalah sangat jika hendak dibandingkan dengan sakit yang ditanggung keluarganya?
"Kalau kau nak jadi anak aku lagi, jangan jaga budak tu! Aku tak kesah kau nak bagi kat siapa pun, tapi jangan bawa balik rumah aku! Aku tak akan mengaku budak tu sebagai cucu aku. Dia bukan keturunan aku!" putus Dato Jaafar sebelum meninggalkan mereka.
Maya tutup muka. Tangisnya pecah. Bagaimana dia bisa memilih jika kedua-duanya juga adalah darah dagingnya sendiri?
Deeja turut tersentak.
Hanya AJ yang kekal tenang.
Sewaktu Deeja bangun pagi ini dengan melihat katil Maya yang kosong, hati dia juga sekosong itu. Usai menunaikan solat subuh, terus Deeja keluar berjoging seperti kebiasaan. Tapi kudrat kakinya seakan-akan tidak berdaya. Terngiang-ngiang di telinganya.
Jangan jaga budak itu!
Jangan jaga budak itu!
Jangan jaga budak itu!
Dia sendiri tak boleh tidur semalaman. Entah bagaimana pula keadaan Maya di hospital? Pasti fikiran sahabatnya itu akan lebih terganggu. Dia bimbang jika Maya melakukan yang bukan-bukan sahaja. Bukankah emosi wanita yang telah melahirkan tidak menentu?
Kenapa hidup ini kejam sangat? Kenapa bila terjadi sesuatu, semuanya terhumban di bahu wanita? Tidakkah Dato Jaafar sedar bahawa si kecil itu adalah darah dagingnya sendiri? Tanggungjawab yang akan dipersoal di akhirat kelak. Bagaimana satu dosa itu ingin ditutup dengan dosa yang lain?
Tangan sendiri diurut. Pagi ini baru terasa sakitnya. Itulah, semalam bukan main lagi tumbuk orang, kan? Satu keluhan dilepaskan. Berat. Mujurlah tak patah tangan sendiri.
"Mengeluh adalah cara yang paling buruk untuk menyelesaikan masalah," sampuk satu suara. Serta-merta Deeja berpaling. AJ!
"Kau keluar pagi-pagi ni semata-mata untuk termenung ke?" soal AJ dengan pakaian sukan yang lengkap.
Diam.
"Boringlah macam ni kalau hari-hari kau tak ada tenaga nak bergaduh dengan aku," kompelin AJ seraya melabuhkan duduk di sebelah Deeja yang masih kosong. Topik perbualan sengaja ditukar.
"AJ, macam mana kalau Maya betul-betul buang anak dia?" Soalan ini yang menjadi beban fikirannya sepanjang malam hingga mengganggu lenanya.
Jeda.
"Kau lebih kenal Maya macam mana. Kau rasa dia akan buat macam tu?" Soalan berbalas soalan.
"Semalam pun aku hampir tak kenal Maya bila dia buat keputusan nak tinggalkan anak dia di ladang. Aku takut... Rasa terdesak buat dia tak mampu berfikir dengan baik." Langit yang belum terang sepenuhnya dipandang tanpa kelip.
"Kau kena percayakan kawan kau. Dan kau kena percayakan apa yang dia pilih. Sebab itulah tugas kawan."
Kata-kata AJ buat Deeja kalihkan kepala memandang lelaki itu.
"Macam mana kalau dia buat pilihan yang salah?"
"Deeja, bukan semua salah itu adalah salah dan bukan semua betul itu adalah betul. Kita tak akan selalu salah dan akan disalahkan. Dan kita juga tak akan selalu betul dan kita boleh diperbetulkan."
Kata-kata AJ buat otak Deeja sedikit bercahaya.
"Sejak bila kau pandai berkata-kata, AJ?" Kali ini tenaga untuk bergaduh dengan lelaki itu sudah muncul.
"Hah... Kau baru tahu ke? Silap hari bulan, aku boleh tulis buku macam penulis kesukaan kau tu. Dahlah, aku nak sambung joging. Kau tu nak joging ke tak ni? Baik kau joging sebab aku tengok berat kau macam bertambah aje?" Habis ayatnya, terus AJ memakai earphone dan meneruskan larian.
"Hoi!" Menyambut penghinaan AJ, terus Deeja angkat punggung dan mengejar AJ. Mulut tu kalau tak berbisa, memang tak sah!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro