Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

Deeja menggeleng. Tak boleh jadi ni. Sudah dua kali wajah AJ menjadi mangsa tumbukan ayah Maya. Akhirnya, dia memberanikan diri dengan berdiri di hadapan AJ. Menghalang wajah AJ daripada menjadi sasaran lagi.

"Pak cik... Saya rasa pak cik dah salah orang ni. AJ kawan saya. Dia yang tolong kami tadi. Bukan dia lelaki jahanam yang pak cik fikirkan tu." Mungkin kerana melihat baju AJ yang diselaputi darah, ayah Maya telah menganggap AJ adalah lelaki jahanam itu.

Kali ini berubah wajah Dato Jaafar.

"Nama aku Dato Jaafar. Panggil aku Dato Jaafar." Keras nada suara Dato Jaafar memperkenalkan diri. Wajah AJ sedikit pun tidak dipandang.

Deeja telan liur. Patutlah Maya takut benar dengan ayahnya. Memang garang macam harimau rupa-rupanya. Sudahlah tu, tak reti nak minta maaf bila tersalah orang. Dia sudah beberapa kali bertemu dengan Dato Jaafar, tapi mereka tak pernah dikenalkan antara satu sama lain. Sudah hampir lima tahun berkawan dengan Maya, baru hari ini dia tahu Maya tu anak Dato.

"Maaf, Dato."

"Mana perempuan tak guna tu?" Kali ini kemarahan Dato Jaafar beralih pada Maya pula.

"Dato, saya tahu Maya salah. Tapi tolonglah jaga emosi..." Belum sempat Deeja habiskan ayat, Dato Jaafar sudah meluru ke dalam wad yang menempatkan Maya.

Deeja dan AJ sudah saling berpandangan sebelum bergerak masuk ke dalam. Semua kemungkinan boleh berlaku bila menangkap kemarahan Dato Jaafar yang meluap-luap itu.

Pang! Pipi si anak menjadi sasaran tapak tangannya.

"Papa..."

"Anak tak kenang budi! Berani kau conteng arang dekat muka aku?" Dato Jaafar sudah naik gila. Beberapa kali tangannya menghempuk tubuh Maya sebelum isterinya datang membela.

"Abang, jangan buat Maya macam ni. Dia baru lepas bersalin," rayu Datin Tiara menarik si anak menyembunyikan diri di belakangnya walaupun dia sendiri takut dengan kemarahan suaminya itu.

"Kau tepi, Tiara! Biar aku ajar betina ni. Kau nak menjalang sangat, kan?"

"Papa, ampunkan Maya. Ampunkan Maya... Jangan buat Maya macam ni." Pipinya kuyup dek air mata. Malu bila menjadi tontonan mata-mata yang memandang. Habis semua orang di sini tahu yang dia melahirkan anak tak sah taraf.

"Encik, tolong bagi kerjasama. Jangan buat bising di kawasan hospital ni. Kalau ada masalah, sila bincang elok-elok." Seorang jururawat bertugas datang memberikan amaran.

"Hei, anak aku dah conteng arang kat muka aku! Nak bincang apa lagi?!" pekik Dato Jaafar kembali. Terus jururawat itu diam tidak berkutik.

Deeja pegang kepala sendri yang berdenyut. Perkara tak akan selesai andai Dato Jaafar mendahulukan nafsu amarahnya.

"Siapa lelaki tu? Cakap dengan aku Maya, siapa lelaki tu? Biar aku cincang-cincang dia sampai lubang cacing." Jari telunjuk naik terarah ke wajah si anak.

Lambat-lambat Datin Tiada memusingkan tubuh. Memandang si anak.

"Cakap dengan papa, Maya. Siapa lelaki tu? Takkan dalam keadaan macam ni pun Maya masih nak selamatkan dia? Maya nak tanggung semua ni sorang-sorang?" Lembut Datin Tiara memujuk.

Maya teresak-esak mengelap air matanya. Malunya tak terperi dengan segala yang berlaku hari ini. Tapi inilah yang perlu ditanggung atas segala dosanya. Lambat-lambat Maya melepaskan pandang ke arah Deeja dan AJ yang berada di hujung katil.

Deeja mengerutkan dahi. Kenapa Maya memandang ke arah AJ tika ini? Adakah AJ yang dimaksudkan oleh Maya? Adakah kerana itu AJ kelihatan sangat panik dan gelisah tadi? Benarkah begitu?

Atau... Maya hendak menjadikan AJ sebagai kambing hitam?

"Aaa..."

"Siapa!" jerit Dato Jaafar lagi.

Tersentak Deeja yang mendengarnya. Kalau dia di tempat Maya, entah-entah dia sudah terkucil akibat terlalu ketakutan.

"Aaam... ran..."

Menyambut nama itu, Deeja lepas nafas lega. Tak pasal-pasal dia sudah bersangka buruk pada AJ tadi. Macam mana aku boleh berfikir sampai ke situ?

Tapi bila kembali tersedar, Deeja menggeleng tak percaya. Amran? Buaya darat tak guna anak orang kaya bajet bagus tu? Sejak bila Maya dengan dia? Kepala makin terasa dihempap dek batu. Dalam ramai-ramai lelaki, kenapa perlu lelaki tu, Maya?

"Kau kenal lelaki tu?" Kali ini soalan itu Dato Jaafar tujukan pada Deeja. Sasarannya bertukar.

Gulp.

"Errr... Kenal."

"Kau pergi bawa dia datang sini sekarang juga."

"Huh?" Terbuntang biji mata Deeja. Kepala yang tak gatal digaru. Masih kebingungan. Kenapa pula aku yang kena bawa jantan keparat tu datang ke hospital?

"Kau pekak ke? Aku suruh bawa lelaki tu datang ke hospital. Bawa keluarga dia sekali. Sekarang!" Dato Jaafar kembali memberi titah.

Belum sempat Deeja memberi sebarang kata balas, AJ terus bertindak menarik lengan baju Deeja supaya keluar dari wad.

"AJ, kita nak pergi mana ni?"

"Cari Amranlah. Kau nak kena marah lagi ke dengan Dato tak ada otak tu? Huh... Kenapalah dia tak nak pergi serang sendiri aje? Ingat senang nak suruh lelaki tu datang mengaku tahi yang dia lepaskan tepi jalan tu?"

Kali ini giliran AJ pula melampiaskan marah. Tak suka dengan karakter Dato Jaafar. Sudahlah dari tadi terpekik terlolong macam orang tak ada maruah. Sekarang tak pasal-pasal satu hospital tahu aib keluarganya. Sendiri buka pekung sendiri.

"Tapi kita nak cari kat mana? Aku manalah tahu rumah dia kat mana?" Deeja sudah kebingungan sendiri.

AJ bercekak pinggang dan berfikir. Tak lama selepas itu, dia memetik ibu jari.

"Apa kata kau tanya kawan sekelas Maya? Mungkin ada yang tahu?"

Oh. Betul juga, kan? Telefon bimbit dikeluarkan dari poket jean. Nombor Mira terus didial. Setelah berbual ringkas, Deeja putuskan talian.

"Dah tahu?"

"Dah. Dia duduk area taman sebelah. Satu rumah dengan classmate aku dulu. Aku tahu rumah tu kat mana." Penumbuk digenggam kuat. Jaga kau, Amran. Kau memang salah orang untuk cari pasal!

Keluar sahaja dari hospital, fikiran Deeja asyik terfikirkan tentang Maya sahaja. Kenapa Maya pandang AJ semacam tadi?

"Kau ada rahsiakan apa-apa daripada aku ke?" Suara Deeja memecah sunyi.

AJ yang sedang memandu itu mengerutkan dahi. Entah kenapa, dia dapat merasakan bahawa soalan itu merupakan satu perangkap.

"Memang banyak benda yang aku rahsiakan. Rahsia yang mana yang kau maksudkan tu?" Tenang AJ membalas pertanyaan Deeja. Bibirnya yang kepedihan akibat ditumbuk itu disentuh lembut. Boleh tahan juga penangan Dato ni. Padu!

"Pasal Maya."

Lambat-lambat AJ hela nafas.

"Hah... Betullah apa yang kau fikir tu." Malas-malas sahaja AJ menjawab. Sudah boleh membaca apa yang berkampung dalam fikiran Deeja.

"What?!" Suara Deeja sudah naik satu oktaf.

"Jadi selama ni..." Hujung ayatnya tergantung. Ada nada kecewa yang tersarung dalam dada. Sampai hati AJ...

"Ya. Aku tahu tentang hubungan Maya dengan mamat tu. Aku pernah terserempak beberapa kali." Jujur AJ bercerita. Terimbas perlakuan mesra mereka antara Maya dan Amran.

"Kenapa kau tak beritahu aku? Kalau aku tahu..."

"Kalau kau tahu, kau nak buat apa? Kau nak halang Maya daripada berhubungan dengan lelaki tu? Lepas tu, kau ingat Maya akan buat apa? Maya akan pilih teman lelaki dia. Orang tengah kemaruk, semuanya akan terlihat indah. End up, persahabatan kau orang akan jadi porak-peranda," sela AJ rasional. Yang sebenarnya, Maya sendiri meminta agar perkara ini dirahsiakan dari pengetahuan Deeja. Kalau Maya tak minta pun, mustahil dia akan mencampuri urusan Maya. Apa hak yang dia ada?

Pandangan dilemparkan ke luar tingkap. Kecewa, sedih, sakit. Semuanya bagai digaul dengan sebati. Dia yang salah. Dia yang tak cakna dengan perubahan Maya.

"Deeja..." Menyambut diamnya gadis itu, AJ rasa terganggu.

"Aku faham. Sorry, kalau aku macam menyalahkan kau tadi," akui Deeja. Tersenyum sedikit. Bukan salah AJ pun semua ini berlaku.

Sesampainya di rumah Amran, Deeja terlebih dahulu keluar dari kereta. Pintu rumah itu diketuk kuat. Tak cukup dengan itu, pintu grille digegarkan. Biar mengejutkan seisi rumah.

"Woi... Agak-agaklah nak ketuk pintu rumah orang pun." Muncul juga jejaka yang dicari tadi bila pintu dibuka. Usai Amran menolak pintu grille, satu tumbukan terus mendarat di pipinya.

"Setan! Kau kenapa, perempuan?" Tapak tangan naik di pipi. Terkejut betul bila menerima tumbukan dari Deeja. Bukan Amran sahaja yang terkejut, AJ ikut turut tercengang. Tak percaya.

"Soalan bodoh apa yang kau tanya ni? Kau dah sedap rosakkan anak orang, tak reti-reti ke nak bertanggungjawab? Ikut kita orang pergi hospital sekarang!" Tegas suara Deeja memberi titah.

Dahi Amran berkerut.

"Kau cakap pasal apa ni, Deeja? Aku tak fahamlah." Wajahnya sedikit berkerut. Berfikir. Adakah benar apa yang berada dalam fikirannya sekarang? Amran telan liur.

"Aku bercakap pasal Maya dan anak hasil benih yang kau tumpangkan dalam rahim Maya!" Tegang sahaja suara Deeja. Geram. Boleh pula buat tak tahu?

"Oh... Maya. Eh, dah bersalin ke? Alhamdulilah. Dia okey ke? Anak dia okey? Tapi kenapa hospital? Aku suruh bersalin dekat ladang aje. Supaya senang dia letak budak tu kat situ. Salah dia juga, awal-awal dulu dah aku suruh gugurkan tapi tak nak. Entah anak siapalah yang dia kandungkan tu," bebel Amran langsung tak rasa bersalah.

Nafas Deeja sudah tidak tersusun. Dari menghadap Amran, dia berpusing ke belakang memandang AJ. Dengan sekali nafas, lengannya diayun dan sekali lagi pipi Amran menjadi mangsa tumbukannya buat kali kedua.

Amran yang tidak bersedia hampir terjelepok ke lantai. Tapi cepat-cepat dia seimbangkan kaki dan menaik tinggi tangannya. Bertindak hendak membalas tumbukan Deeja itu. Bisanya Tuhan sahaja yang tahu.

Tapi belum sempat tangannya mendarat di pipi Deeja, tangan AJ terlebih dahulu menahannya. Seperti tempoh hari, cepat sahaja AJ memusingkan tubuh lawannya dan membawa lengan Amran ke belakang. Wajah Amran pula dirapatkan ke dinding rumah. Menjerit-jerit lelaki itu dibuatnya. Minta dilepaskan.

"Ikut kita orang pergi ke hospital. Call sekali keluarga kau," arah Deeja. Suka pula bila melihat kegagahan AJ dalam menumpaskan langkah Amran. Lelaki ini sentiasa menyelamatkan dia dalam apa keadaan sekalipun.

"Pergi matilah! Memang aku tak pergilah cerita dia." Bongkak suara Amran. Masih belum serik.

Menyambut ayat Amran, lambat-lambat AJ lepaskan pegangan. Terbeliak biji mata Deeja melihat tindak-tanduk AJ itu.

"AJ..." Kepala menggeleng. Melarang AJ meneruskan niatnya tapi cengkaman tetap dilepaskan.

"Tengok, kawan kau ni pun tak sokong, Deeja." Amran sudah ketawa jahat.

Namun, belum sempat Amran berpaling, lurus tapak tangan AJ menghempuk belakang leher Amran. Tak sampai dua saat, tubuh itu terus terkulai layu di atas lantai.

Jatuh rahang Deeja. Mata terbuntang sambil memandang AJ.

"AJ, apa kau buat ni? Kau bunuh dia ke?"

"Bukanlah. Aku bagi dia pengsan. Kau ingat kalau dia tak pengsan, kita boleh bawa dia ke hospital ke? Ini aje caranya." Poket seluar Amran diraba. Mencari telefon bimbit.

"Kau nak buat apa pula tu?" Risau pula dia lihat AJ bertindak. Cekap memanglah cekap, tapi dia naik seram.

"Mesej mak dia. Mak, saya dah mengandungkan anak orang. Dia dah pun bersalin pagi tadi. Jadi mak boleh datang melawat cucu mak kat hospital kejap lagi. Boleh kita bincang nama baby..." Sambil menaip, AJ membaca tiap satu tulisannya sebelum dihantar ke nombor mama Amran.

AJ senyum sinis.

Okey, dah bluetick. Lepas ni sambung drama di hospital."

"AJ..." Deeja kerdipkan mata berulang kali. Sungguh, semua ini di luar kotak fikiran Deeja. Bagaimana AJ boleh berfikir sehebat ini? 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro