Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

Mulut sudah melebar dengan senyuman. Cepat-cepat Deeja masukkan motor ke dalam garaj kereta dan keluar semula. Helmet di kepala pun tak sempat dicabut.

"Umar!" jeritnya gembira. Terus dia mendapatkan kembarnya yang sedang menggeleng dalam senyuman.

Lengan si abang ingin dicapai tapi cepat sahaja tangan Umar naik dan menahan kepala Deeja yang masih berhelmet.

"Tak senonohlah kau ni. Cabutlah helmet dulu! Buatnya berlaga dengan kepala aku, tak pasal pecah otak aku," gurau Umar.

"Oh... Haahlah." Baru Deeja sedar yang dia masih belum mencabut helmet di kepala.

"Umar... Rindunya kat kau. Kau buat apa datang sini?"

"Aku hantar awek aku tadi kat rumah hujung tu. Jadi, aku singgahlah tengok kau."

"Awek rumah hujung? Itu rumah Aunty Lela. Anak dia semua lelaki. Aunty mana ada anak perempuan?"

Bertaut keningnya. Kebingungan sendiri.

Umar gigit bibir.

"Haihlah Deeja, entah bilalah perangai lurus kau ni nak meninggal? Sah-sahlah aku datang nak jumpa kau!" Laju sahaja tangan naik dan mengetuk kepala si adik.

"Heiii... Sakitlah! Aku baru nak touching tadi. Mujur kena tipu aje. Nak marah pun ada, sebab kalau kau ada awek pun belum tentu nak bagi tahu aku. Sebelum kau cari awek, awek kau tu, biar aku aje yang tapis sebab otak kau bila melibatkan perempuan bukan boleh percaya sangat. Kelabu asap." Kali ini giliran Deeja pula yang membebel pada kembarnya.

Umar sekadar tersenyum. Lega pabila melihat Deeja sentiasa ceria sebegini. Deeja, tolonglah jangan cepat sangat dewasa. Aku tidak pernah bersedia untuk itu.

"Jom, lepak mana-mana?" ajak Umar seraya membukakan pintu kereta.

"Hmmm... Dekat perempuan lain pun kau selalu bukakan pintu ke?" Soalan itu datang menerpa fikiran. Melihatkan rupa tampan Umar dengan kerjayanya yang stabil, tak mustahil ramai yang jatuh suka kepadanya. Apatah lagi dia penyayang orangnya.

"Mestilah... Aku kan gentleman."

"Better don't. Kau hanya akan buat ramai perempuan patah hati," komen Deeja sebelum masuk ke dalam perut kereta.

Pemanduan Umar terus ke taman berdekatan. Dia menjinjit mangkuk tingkat kecil dan dua botol minuman sebelum mendapatkan sebuah meja kosong di tepi taman.

"Kenapa tak minum kat kedai aje? Bukan selalu dapat paw kau," bebel Deeja.

"Malas aku nak berhabis duit kat kau. Duduk... Makan..." Mangkuk tingkat dibuka. Terhidang makanan kegemaran Deeja.

"Ya Allah, pulut kuning dengan sardin?"

Deeja yang nampak tak berminat tadi terus melabuhkan duduk. Matanya sudah bercahaya menangkap makanan kegemarannya. Laju sahaja tangannya ingin mencapai pulut, tapi cepat dilepuk oleh Umar.

"Main terjah aje. Basuhlah tangan tu dulu." Dari dulu lagi tak pernah berubah Si Deeja ni. Tak senonoh!

"Ohhh... Haah, kan." Sengih ditayang sebelum mula membasuh tangan menggunakan air mineral yang tersedia.

Namun belum sempat tangannya buat kerja, Umar terlebih dahulu mencubit pulut kuning dan mencicah dengan sardin sebelum menyuakan ke mulut Deeja.

"Aummm..." Suapan terus diterima tanpa banyak soal. Sudah biasa dengan layanan kelas pertama dari Umar.

"Sedapnyaaa pulut dan sardin yang mama buat..." Matanya sedikit bergenang dek air mata. Tak terperi rindunya pada masakan mama. Tapi rindunya pada mama lagi menggunung.

"Dah tahu rindu, tak reti nak balik? Kesian orang tua tu, tunggu kepulangan anak dia yang tak kunjung tiba." Umar dah masuk gear membebel.

Lambat-lambat kunyahan Deeja. Terdiam dibuatnya.

"Hah, hantu mana yang sampuk tiba-tiba jadi bisu ni?" Faham sangat dengan kerenah Deeja. Diam sentiasa menjadi jalan penyelesaian untuk semua bebannya. Tapi kadang-kadang diam juga membuatkan masalah yang sedia ada tak pernah selesai.

"Merajuk?" tebak Umar.

Hanya gelengan sebagai jawapan.

"Aku nak balik... Tapi ayah mesti tak suka."

"Kenapa mesti ayah tak suka? Kau anak, tetap anak dia, kan? Kau aje yang rasa macam tu." Faham benar dengan krisis antara Deeja dan ayah. Tapi jika asyik melarikan diri, sampai bila masalah nak selesai?

"Bulan lepas aku balik. Ayah membebel pasal kerja aku. Bila nak tukar kerja? Bila nak tukar kerja? Salah ke kerja kedai bunga? Aku nak kerja bagus-bagus pun, aku bukan belajar sampai degree pun."

Umar mendaratkan lengannya di atas meja.

"Tapi kau bukan tak ada kelulusan, kan? Kau tetap ada diploma. Yalah ayah bising sebab kau kerja kat kedai bunga tu dari part-time sampai ke full-time. Mungkin dia nak sesuatu yang boleh jamin masa depan kau," pujuk Umar, lembut. Sentiasa menjadi pengantara antara Deeja dan si ayah.

"Aku suka kerja kat situ. Sebab orang biasa datang ke situ untuk membahagiakan orang yang dia sayang. Jadi, sedikit sebanyak aura positif tu meresap dalam fikiran aku. Tak cukup ke kalau aku happy dengan apa yang aku buat? Lagi pun ia masih pekerjaan yang halal, kan?" Diceriakan suasana. Sudahlah sesekali sahaja berjumpa dengan Umar. Dia tak mahu bergaduh dengan lelaki itu.

"Tapi..."

"Kau nak tahu satu kebenaran tak?" Laju Deeja menahan suara kembarnya.

"Ayah sebenarnya tak pernah kesah pun aku kerja apa. Sebab dia bukan peduli pada aku pun. Yang dia kesah sebenarnya pandangan orang sekeliling dia. Eh Yaacob, aku nampak Deeja kerja kedai bunga. Abang-abang dia ada yang doktor dan pilot. Adik dia pula bakal peguam. Deeja? Sekadar kerja di kedai bunga aje?" Sempat lagi diajuk nada suara kenalan ayah itu.

Umar terdiam.

"Dan paling melukakan... Adalah jawapan ayah." lambat-lambat pertuturannya. Suaranya sendiri hampir tidak kedengaran.

"Budak malas belajar macam itulah..." Dibesarkan suara. Membuat gaya seorang lelaki bernama Yaacob. Air mata yang jatuh tumpah di pipi segera diseka. Bilalah dia nak kuat sikit bila berhadapan dengan kebencian ayah?

"Deeja..." Umar hilang kosa kata.

"Eh, lama ke kau cuti ni?" Laju sahaja mulutnya mengubah suasana. Faham benar akan skop tugas Umar sebagai seorang pilot. Kalau dia pulang ke sini, pasti kerana dia bercuti.

"Empat hari."

"Ada hadiah untuk aku tak?" Selalunya, Umar tak akan datang dengan tangan kosong. Ada sahaja hadiah-hadiah yang dibeli untuk dirinya.

"Ada dalam kereta. Nanti aku bagi."

Tanpa sebarang perbualan, Deeja habiskan makanan. Seolah-olah makan dapat mengurangkan tekanan emosinya.

"Eee... Makanlah pelan-pelan. Pelahap macam ape aje. Kau tu perempuan tahu?" Laju tangan naik dan mencubit pipi Deeja. Bukan sedikit sayangnya pada Deeja. Terlalu.

"Yalah. Aku tahu aku perempuan. Sebab kalau aku lelaki, aku tak akan dilayan macam ni," ujar Deeja sambil berseleroh dan ketawa kecil.

Tapi wajah Umar sikit pun tidak beriak. Kosong.

"Aku tak suka kau cakap macam tu." Tegas suara Umar. Ayat seperti itu seakan-akan menunjukkan dia seorang abang yang tak berguna sahaja.

"Okey. Nanti kalau aku nak ulang ayat tu, aku akan pastikan aku kerat dulu cuping telinga kau," gurau Deeja lagi.

"Dejaaa..." Mengecil mata Umar. Menahan geram.

Deeja ketawa sahaja. Cepat betul angin monsunnya tadi menghilang. Itu yang membuatkan Umar kagum dengan adiknya itu.

"Umar, bak telefon kau." Tapak tangan ditadah.

"Buat apa?" Namun telefon itu tetap diletakkan di atas tangan si adik.

Tak menunggu lama, terus Deeja mendail nombor seseorang.

"Helo, assalamualaikum. Ya Umar, ada apa call mama? Dah bagi Deeja makanan tu?" Terus kedengaran suara mama di hujung panggilan.

"Maaa..." Menyebutkan nama mama pun, air mata sudah bergenang.

"Deeja..."

Selebihnya, Umar sekadar menyaksikan perubahan mimik-mimik muka si adik. Terlalu lama Deeja bertahan secara sendirian. Sampai bilakah gadis itu mampu bertahan?

Usai menghabiskan bacaan al-Quran, Deeja bergerak ke dapur untuk mengisi tekak yang kehausan. Terasa panas benar malam ini. Di dapur, dia berselisih pula dengan Rita. Nama sahaja serumah, namun dia dan Maya tak pernah sebulu dengan Rita.

"Eh, Deeja... Macam tahu-tahu aje aku tengah cari kau?" Rita memulakan teguran. Teguran yang buat dahi Deeja berkerut seribu.

"Kenapa cari aku?"

"Aku nak tanya sikit pasal... Maya." Kerusi di meja makan sudah ditarik.

"Kenapa dengan Maya?" Malas-malas sahaja soalan Deeja. Bukan dia tak kenal perangai Si Rita ni. Suka sangat melaga-lagakan orang. Kalau tak mengenangkan yang dia nak berjimat cermat dan kawasan perumahan ini pula berdekatan dengan kedai bunga, pasti dah lama dia angkat kaki ada housemate macam Rita ni.

"Anak siapa yang dia mengandungkan tu?"

Menyambut soalan Rita itu, automatik minuman yang menjengah masuk ke dalam tekak kembali tersembur. Bibir yang basah itu dilap kasar.

"Kau merepek apa ni, Rita?" Hei, geram aje nak bagi debik sedas dua pada Si Rita ni.

"Lah... Takkan kau tak tahu Maya pregnant?" Muka tak percaya ditayang.

Kali ini Deeja terdiam. Mengandung? Bila masa pula Maya mengandung? Dia tengok Maya macam orang normal sahaja.

"Pandai-pandai aje kau ni. Maya tu berisi sikit sekarang, tapi tak bermakna dia mengandung." Deeja terpanggil membela sahabat baiknya itu. Walaupun dia sudah bekerja dan Maya masih meneruskan degree, tapi mereka masih berkawan baik.

Rita ketawa lagi. Menggeleng.

"Kau ni naif betullah, Deeja. Kena tipu hidup-hidup aje dengan Si Maya tu. Takkan kau tak perasan dia tak datang period dah lama? Takkan kau tak perasan muka dia sembap. Kaki dia pun sembap. Dan memang kau tak perasan atau acah-acah tak perasan yang perut Maya memang memboyot?" Semuanya bertubi-tubi masuk ke dalam peluput telinga Deeja. Terdiam dibuatnya.

"Tapi mungkin betul kau tak perasan sebab orang cakap bila mengandungkan anak tak sah taraf ni, perut memang tak nampak," tambah Rita lagi.

Satu demi satu kata-kata Rita bagai racun yang menyerang akal fikirannya.

"Kalau kau tak percaya, kau tengoklah dia bila dia balik nanti. Aku bukan apa, aku tak naklah kau terkejut sangat kan bila tiba-tiba baby tu lahir nanti." Sinis Rita memerli.

Tak tunggu lama lagi, terus Deeja masuk ke dalam bilik. Telefon dicari. Nombor Maya didial. Berulang kali tangannya mendail, tapi tiada satu pun yang bersambut. Lantas WhatsApp ditekan. Menghantar pesanan ringkas kepada Maya.

Where are you?

Seminit.

Lima minit.

Tiada sebarang balasan daripada Maya. Betul ke apa yang Rita katakan?

Kaki Deeja sudah tak duduk diam. Ke hulur ke hilir menantikan panggilan balik Maya. Ingatannya diperah sehabis mungkin. Memeriksa jika ada kata-kata Rita yang sama dengan tingkah Maya.

Okey, yang pertama, Maya sudah tidak seaktif dahulu. Dia gemar tidur sahaja. Jika diajak berjalan pun, pasti gadis itu akan menolak.

Kedua, berat Maya memang naik. Dan sahabatnya itu tidak lagi memakai pakaian yang sendat. Malah dia rajin menyarung baju kurung. Dia ingat Maya dah berhijrah.

Ketiga, memang Maya dah lama tak datang bulan.

Gulp.

Telefon di tangan nyaring berdering. Menyambut nama Maya, terus skrin disentuh.

"Maya? Kau pergi mana ni? Dah pukul sebelas tak balik-balik lagi ke?" Dia bukannya hendak menambah kadar stres milik Maya. Tapi sungguh dia risaukan sahabatnya itu.

"Errr... Aku kat studio, Ja. Kan nak final year dah... So, kena settlekan projek." Suara Maya di sana sedikit tenggelam timbul.

"Haih, kalau ya pun sibuk, takkan tak sempat nak balik tidur, Maya." Deeja faham jika course Maya memang menuntut kerja lebih masa bila hendak menyiapkan projek akhir. Tapi Maya tetap perlu fikirkan kesihatan tubuhnya.

"Tak apa. Aku tidur kat studio aje, ya? Kau tidurlah dulu. Jangan tunggu aku," pesan Maya tergesa-gesa.

"Maya, siapa lagi yang ada kat studio?" Dia perlu tahu siapa yang berdekatan dengan rakannya itu.

"Ramai. Mira, Hani, Syuk..." Maya sekadar menyebut beberapa nama yang dia ingat.

"Oh, okey. Jaga diri. Apa-apa hal, call aku ya." Soalan yang berkompang dalam fikiran sekadar dibiarkan berlalu. Biarlah, bila Maya pulang nanti baru dia akan tanya.

"Ya. Thanks, Deeja. Aku sayang kau sangat." Suara Maya di hujung suara sudah berintikan sebak. Membuatkan Deeja kebingungan sendiri.

Walau sudah lima minit memutuskan talian, Deeja masih tidak dapat melelapkan mata. Telefon kembali disentuh. Skrin telefon mencari nama Mira. Harap-harap ada.

"Yes! Ada pun nombor Mira." Tanpa berlengah lagi, terus nombor rakan sefalkuti Maya itu dihubungi.

"Helo... Siapa ni?"

"Helo, Mira. Ni Deeja."

"Oh, Deeja. Ada apa call malam-malam ni?"

"Oh, aku nak tanya, kau kat mana, ya?" Tanpa mempedulikan soalan daripada Mira, Deeja hulur soalan lain.

"Nak dekat pukul dua belas dah ni, Deeja oit. Haruslah aku kat rumah. Nak tidur dah pun."

Kali ni Deeja tutup mulut sendiri.

"Rumah? Bukan kat studio ke? Kau kan kena settlekan final project?"

"Memang pun tapi taklah sampai aku nak tidur kat studio. Eh Deeja, alang-alang kau telefon aku ni, aku nak tanyalah. Kenapa Maya dah lama tak masuk kelas? Dia tu hampir kena buang dah tau."

Bang!

Kali ini kata-kata Mira bagai halilintar yang membelah bumi. Maya dah lama tak datang kelas? Habis tu, dia keluar dengan siapa? Dia pergi mana selama ini?

"Oh... Dia tak sihat sangat. Thanks, Mira. Nanti aku call kau lagi." Cepat-cepat Deeja putuskan talian.

Nama Maya sekali lagi menjadi mangsa jarinya di skrin. Dia perlu mendapatkan penjelasan dari Maya.

"Nombor yang andai dail tiada dalam perkhidmatan."

Ya Allah, Maya. Tolonglah jangan buat sesuatu yang bukan-bukan. Kenapa Deeja rasa tak sedap hati ni? 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro